Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,773
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8

Bibirnya memuncung ke hadapan, tiada langsung senyuman yang terukir. Dia memeluk tubuh. Matanya tajam memandang sungai yang mengalir lesu. Sudah berhari-hari tidak ada hujan. Kepanasan hawa bumi begitu terasa menyengat tubuh, bertambah panas apabila hatinya pula disakiti. Mahu sahaja ditikam lelaki itu 18 kali, biar jadi mayat dan tidak bangun-bangun lagi. Inikah dinamakan sahabat? Langsung tidak pernah bertanya khabar. Rasa marah merentap jantung hatinya.

“Kau marah kat aku ke?” tanya Haikal. Dia sendiri terkejut melihat Roseyatimah terpacul di hadapan pintu rumahnya tadi. Rasa hendak gugur jantungnya. Kantoi! Sengaja dia merahsiakan kepulangannya daripada pengetahuan Roseyatimah. Dia sudah berkira-kira, waktu ini, sahabatnya sejak kecil itu tidak akan pulang ke kampung. Kenapalah tiba-tiba muncul? Bagaimana pula tahu yang dia akan bertunang? Siapa pula yang menyampaikan berita tersebut.

“Erk… taklah, suka! gembira!” jawab Roseyatimah. Apa punya soalan? Tidak nampakkah muka dia yang muncung macam itik. Hanya orang buta dan tidak berperasaan sahaja yang tidak nampak perasaannya dan terhasil melalui memek mukanya.

“Maaflah! Bukan sengaja pun,” Haikal duduk di bangku yang terdapat di bawah pokok mempelam di tepi sungai rumahnya.

“Bukan sengaja kata kau?” sergah Roseyatimah.

“Aduh!” kata Haikal, terasa telinganya sakit mendengar sergahan Roseyatimah. Gadis itu akan mengamuk, habis satu kampung. Macam manalah dia boleh jadi setiausaha? Bos yang mana mampu bertahan dan menahan perangai bengkengnya itu.

“Aku sedarlah siapa aku, Haikal. Rupa tiada, kau pula semakin kacak, bergaya dah macam rupa Eizlan Yusuf aku tengok. Aku pula Dayang Senandung yang disumpah sampai mati. Kena halau dari istana pun tidak mungkin akan putih kembali! Kau pun dah nak jadi tunangan orang. Aku pasti, bakal tunang kau tu takkan suka kau bergaul dengan aku! Kau pun tahu, bakal tunang kau tu, musuh tradisi aku!” jerit Roseyatimah. Rasa hendak menangis di situ juga. Tidak adakah gadis lain yang boleh dijadikan isteri oleh sahabatnya itu? Kenapa perempuan yang pernah jadi musuhnya sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya! Sakit benar hatinya. Mudah sungguh Haikal menggores hatinya. Nama sahaja sahabat! Sahabat jenis apa agaknya?

“Aku tak bermaksud nak kecilkan hati kau. Hati aku dah suka, Rose. Nak buat macam mana?” Haikal mati idea. Apa jawapan yang harus diberikan kepada sahabatnya itu. Roseyatimah bukan jenis orang yang boleh menerima alasan.

“Yang kau pergi menggatal mengayat dia, buat apa?” tengking Roseyatimah. Rasa hendak dibenamkan sahaja Haikal ke dalam sungai. Suka hati mak ayah dia sahaja. Jatuh hatilah, sudah sukalah. Alasan! Itu semua alasan.

“Ini soal hati Rose!” Haikal mengepam bibirnya sendiri.

“Hati mati!” laung Roseyatimah. Hilang rasa sabarnya, lagi pun selama ini mana pernah dia bersabar. Bolehkah dia bersabar? Dia mendengus kasar. Wajah kelat Haikal menjadi tatapan matanya. Dia perasan, tiada sedikit pun rasa bersalah. Mungkin, Haikal benar-benar jatuh hati dengan musuh tradisinya itu.

“Esok kau datanglah ya. Boleh bantu emak aku,” pinta Haikal.

“Aku? Datang sini? Lepas itu berarak ikut kau ke rumah Mak Limah CNN tu?” Roseyatimah mencebik.

“Apa salahnya? Kau lupakanlah permusuhan kau dengan Aina. Diakan dah nak jadi isteri aku? Sama seperti akan jadi sahabat kau juga.” Haikal terus memujuk.

“Kirim salam!” jawab Roseyatimah. Haikal bukan hendak melepaskan Aina pergi malah semakin beria-ia untuk menyambung perhubungan dengan gadis itu. Hatinya bertambah sakit, perit dan pedih. Sama sakitnya waktu dia kehilangan pekerjaan. Terasa seperti, sudah jatuh ditimpah tangga, terus ditolak masuk dalam kandang buaya. Mata terasa panasnya. Janganlah dia menangis. Buat malu sahaja. Haikal cuma sahabatnya, bukan kekasih. Mereka tiada hubungan istimewa.

“Tak boleh ke kau putuskan hubungan dengan perempuan sengal tu? Carilah perempuan lain!” pinta Roseyatimah.

“Apa? Putuskan hubungan? Kau siapa?” jerkah seseorang dari belakang mereka.

Roseyatimah dan Haikal memandang ke belakang.

Aina berdiri sambil mencekak pinggang, memandang mereka seperti hendak ditelan seorang demi seorang.

“Aku sahabat Haikal sejak kecil! Aku berhak terhadap dia! Kau tu belum ada apa-apa hubungan dengan dia?” kata Roseyatimah berani. Dia pasti Haikal akan memihak kepadanya. Mereka memang sudah lama bersahabat. Adakah Aina tidak tahu, atau pura-pura tidak tahu.

“Oh tolonglah!” Aina menjeling tajam. Dia menghampiri Haikal. Tangan pemuda itu diraih, digenggam jari jemari pemuda itu.

Roseyatimah yang melihatnya hampir tersembur biji mata. Dia mengetap bibir. Semakin mendidih hatinya. Mahu sahaja dia menarik tangan Haikal daripada menjadi sentuhan tangan Aina.

“Hoi! Belum ada ikatan, sudah gatal tangan. Main pegang-pegang! Kau nak tangan kau orang berdua kena bakar dengan api neraka ke?”tegah Roseyatimah. Dia tidak kira siapa. Hukum tetap hukum. Belum ada apa-apa ikatan, mana boleh sentuh antara dua kulit lelaki dan perempuan. Haram! Berdosa! Itulah yang dipelajari waktu sekolah dahulu. Tidak mungkin kedua orang yang berdiri di hadapannya itu tidak tahu. Mereka sama-sama belajar di sekolah yang sama.

“Hey, ustazah tidak bertauliah. Kalau nak berdakwah pergi ke masjid. Jangan nak bersyarah kat sini!” marah Aina, terasa dirinya disindir. Dia memang tidak suka dengan gadis hitam legam di hadapannya itu. Macam manalah Haikal boleh berkawan dengan gadis seburuk itu. Langsung tidak menyelerakan untuk dijadikan kawan, apatah lagi teman hidup. Buat sakit mata sahaja. Itu sebab Haikal tidak memilih Roseyatimah walaupun mereka berkawan baik.

“Sedapnya mulut sindir aku?” marah Roseyatimah. Dia mula hendak mengangkat tangan, hendak disepak muka Aina yang sedap rasa sahaja menyindir dan menghinanya itu. Salahkah dia menegur? Benar tegurannya itu. Bukan dia mereka cerita. Dasar tidak tahu hukum atau pura-pura tidak tahu? Sudah gatal, itulah jadinya.

“Rose!” tempik Haikal. Tangan Roseyatimah ditarik kasar. Kalau tidak pasti melekat ke pipi Aina. Gadis itu sudah menahan mukanya dengan kedua belah tangan daripada menjadi sentuhan telapak tangan Roseyatimah.

“Kau dah gila ke? Nak tampar orang sesuka hati?” radang Haikal.

“Kau kata aku gila, Haikal? Hanya kerana perempuan ni, kau kata aku gila?” Jari telunjuknya mengarah ke muka Aina yang tersenyum sinis merenungnya.

“Sudahlah, Rose. Pergilah balik. Aku dan Aina akan bertunang esok. Kalau kau nak datang, aku tak halang. Kalau kau tak sudi, aku tak boleh memaksa,” jelas Haikal.

Aina menyengih. Semakin erat lengan Haikal dipeluknya. Padan muka perempuan hodoh! Bisik hati kecilnya.

Tanpa perlu berpamitan, langkah diatur meninggalkan kedua-dua manusia yang sakit matanya memandang. Hatinya terus ditebuk luka berdarah. Air mata mengalir di tebing mata, disapu dengan hujung lengan baju. Semakin laju langkahnya, semakin lebat air mata mengalir. Terasa pilu di hati.

Hari ini dia kehilangan seorang sahabat yang amat disayangi. Sudah hilang rasa sayang seorang sahabat lantaran jiwa dipenuhi dengan kasih sayang perempuan lain. Sampai hati kau Haikal! Detik hati kecilnya yang berlagu sendu. Meninggalkan perkarangan rumah Haikal dengan hati yang penuh duka. Terasa ringan sahaja kakinya melangkah, semakin lama semakin laju seperti berlari rasanya.

Terik mentari tidak dihiraukan. Bahang kepanasan tidak terasa di tubuh, seperti kebal menahan sinar suria daripada membakar kulitnya yang sedia maklum, tidak akan berubah apa-apa jika dia berdiri sehari suntuk dibawah terik mentari. Apa yang terbakar kini, hanyalah hatinya. Terluka dimamah oleh insan yang pernah disayanginya. Dia menoleh ke belakang, mengharap Haikal akan mengejar dan memujuknya. Harapan seorang sahabat terhadap sahabatnya sejak kecil itu, atau kedewasaan telah meranapkan hubungan persahabatan yang telah sekian lama terjalin.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.