Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
4,643
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 5

Adira bangun awal sedikit dari waktu biasa. Dia perlu siapkan sarapan untuk ibu dan adik-adiknya.Pagi itu dia akan menghadapi peperiksaan PT3.  Biarpun tidak punya waktu yang banyak  mengulangkaji pelajaran, dia berharap sangat akan lulus cemerlang seperti pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Dia sering ponteng sekolah, kerana adiknya itu.  Dia terpaksa ponteng sekolah ketika adiknya jatuh sakit juga. Tapi, hari ini dia tidak boleh ponteng sekolah. Ain perlu ditinggalkan dengan seseorang, tetapi bukan  dengan ibu. Sudah pasti ibu takkan sudi menjaga Ain. Sehingga ke hari ini, otaknya masih belum dapat mencari jawapan kenapa  ibu begitu membenci Ain?  Kenapa adik bongsunya itu tidak boleh disayangi seperti mana ibu menyayangi dia dan Ali.  Sukar benar nak mendapatkan jawapan daripada ibu.  Ibu sering mengelak memberi jawapan.

            Setelah menyiapkan sarapan buat seisi keluarga, Adira menyiapkan Ain yang sudah pun bangun.  Adik bongsunya itu dimandikan, dipakaikan lampin sebanyak dua helai, agar tidak cepat bocor.  Nak beli lampin pakai buang, mana mereka mampu.  Lampin yang ada pun sudah semakinlusuh dan koyak-koyak. Kalau ajukan kepada ibu, ada sahaja jawapan ibu yang Adira tidak mahu dengar.  Ali sudah pun bersiap nak ke sekolah. Ibu?  Tidak pula kelihatan, bilik ibu masih gelap.

            Setelah menyiapkan Ain, Adira berdiri di hadapan bilik ibu.  Dia berkira-kira sama ada nak mengejutkan ibunya atau tidak.  Tidak pergi menorehkah pagi ini?  Ibu tidak pernah bangun lewat, selalunya sebelum masuk waktu subuh, ibu sudah terpacak di dapur menyediakan sarapan buat mereka sekeluarga.  Pagi ini, ibu seperti terlambat bangun.

            “Akak, duit belanja mana?” tanyaAli.

            “Akak mana ada duit, ibu belum bangun lagi.  Ali mintalah sendiri. Akak tak berani,” kata Adira.  Dia berlalu kedapur.  Kalau tidak ada duit belanja,bawa sahajalah nasi goreng yang ada ini. Sekurang-kurangnya waktu tengahari nanti perut mereka tidak lapar. 

            “Asyik tak ada duit aje,” rungut Ali lalu pergi menuruni anak tangga.

            Adira mengeluh.  Apa boleh buat, keluarganya bukan daripada keluarga yang berharta. Nak makan pun tidak pernah cukup.  Arwah ayah bukan ada tinggalkan harta atau tanah berekar-ekar.

            Adira sudah siap berpakaian sekolah.  Hari ini ada peperiksaan PT3,dia wajib hadir.  Biar hidup miskin asalkan berpelajaran.  Dia ingin mengubah nasib keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.

            “Ain, tinggal di rumah ya,ini nasi dan ini air, nanti Ain makan dan minum. Jangan kacau ibu, tau,” ajar Adira sebelum pergi meninggalkan adiknya seorang diri.  Dia terpaksa.  Kalau ikutkan hatinya, dia tidak sanggup berbuat demikian. Tapi, apakan dayanya. Ain tiada sesiapa selain dirinya.  Hanya kepada Allah dia berserah setiap kali dia keluar dari rumah.  Dia berdoa agar adik bongsunya itu selamat  dan dilindungi Allah sepanjang ketiadaannya. Barang mainan dan segala keperluan Ain sudah ada di hadapan mata.  Ain hanya perlu mengesut sedikit untuk mengambilnya. Ain sudah pandai makan dan minum sendiri.  Kencing beraknya, terpaksalah tunggu sehingga Adira pulang dari sekolah.

            “Kak!”  Ain menghulurkan kedua belah tangannya.

            “Tak boleh ikut, akak ada periksa hari ini.  Dua minggu ini, akak tak boleh ponteng sekolah.  Lagi dua bulan, akak akan bercuti.  Nanti, banyaklah masa akak di rumah,” pujuk Adira.

            “Kak!”   Ain masih bersikap seperti tadi.  Adira mengeluh.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia berhenti sekolah dan menjaga adiknya sepenuh masa. Tetapi, bagaimana dengan nasib dirinya? Takkan  belajar setakat tingkatan tiga?  Apa pekerjaan yang boleh dialakukan nanti?  Bagaimana masa depan Ain dengannya?  Mereka sudah tidak punya sesiapa dalam dunia ini. Ibu semakin jauh daripada mereka. 

            “Ain tinggal ya.  Kakak akan cuba balik cepat,”  kata Adira tetap terus memujuk.  Dia tidak tahu nak hantar Ain kepada siapa lagi. Jiran tetangga tidak mahu lagi menjaga Ain yang susah nak dijaga. Ain hanya mahu dengannya sahaja. Kalau duduk di rumah orang, Ain suka mengamuk dan memberontak. 

            Adira memandang pintu bilik ibunya yang masih tidak terbuka.  Dia bingkas bangun dan menuju ke arah bilik ibunya. Dia mengetuk pintu, tiada jawapan. Dia memegang tombol pintu kayu itu, tidak berkunci.  Dia memutar tombol dan membuka pintu bilik ibunya.  Gelap.  Suis lampu dibuka, katil sudah dikemas.  Tiada siapa di dalam bilik itu.  Adira mengeluh. Ibunya keluar lebih awal daribiasa ke?  Kerutan dahi Adira semakinmenebal.  Macam-macam perangai ibunya yang membuatkan hatinya resah dan takut.    

            Ibu ke mana?  Adira mendengus kasar.  Dia keluar dari bilik tersebut lalu mendekat iAin. Dipeluk dan dicium adiknya dengan erat. Berat hatinya nak meninggalkan adiknya tetapi dia terpaksa.  Sebelum melangkah keluar, dia berdoa agar rumahnya itu dijauhi dari sebarang malapetaka dan orang-orang berniat jahat.

            “Kak!” panggil Ain, menarikkain  biru yang dipakai oleh Adira.

            “Ain tinggal sorang-sorang ya. Nanti akak balik cepat,” janji Adira. Allah!  Apa yang harus dialakukan?  Takkan nak tinggalkan Ain seorang diri?  Penat benaknya berfikir.  Tiada  jalan lain. Kalau dia tidak ke sekolah, bermakna dia takkan ambil peperiksaan.  Terasa lemah seluruh tubuhnya apabila melihat wajah sayu Ain.  Mungkin adiknya takut tinggal seorang diri.  Dia tidak salahkan adiknya.  Apalah si kecil itu tahu?  Adira duduk bersila di hadapan Ain. Wajah itu dipandang lama, sebak hatinya. Air matanya tumpah.  Ya Allah! Kau berilah aku kekuatan, doa Adira dalam hati.

            “Kak,”  panggil Ain lalu tersenyum.

            “Ain tak bagi akak pergi sekolahya?”  soal Adira. Dia melepaskan keluhan.

            Ain mengangguk.

            “Tapi, akak ada peperiksaan hari ini,” cerita Adira dengan linangan air mata.

            Ain mengesot dan memeluk Adira.

            Semakin laju air mata Adira mengalir.  Pelukan Ain dibalas dengan erat.

            “Baiklah dik, akak tak pergi sekolahhari ini,” kata Adira.

            Bagaimana mungkin dia meninggalkan adiknya seorang diri?  Bahaya?  Tidak juga. Ini kawasan kampung.  Kedudukan kampung tidak jauh antara satu sama lain. Cuma, rumahnya itu sahaja yang agak jauh dari rumah penduduk yang lain.  Adira mengesat air mata yang mengalir di pipi. Kalau hari ini tidak boleh, mungkin dia boleh pergi ke sekolah esok hari.  Itulah harapannya.  Tidak dapatlah dia mengambil peperiksaan pagi ini.

            Adira mencium dahi Ain dengan penuh kasih dan sayang.  Tahun hadapan Ain sudah mula bersekolah. Kalau boleh, Adira ingin melihat adiknya pergi ke sekolah. Belajar seperti anak orang lain. Itupun kalau ibunya bersetuju. Kalau tidak boleh , terpaksalah Adira mengajar adiknya membaca, menulis dan mengira setakat yang dia tahu.  Dia tidak mahu adiknya buta huruf.  Ain bukan tidak pandai atau budak terencat akal.  Dia cuma tidak boleh berjalan dan bercakap lambat.  Akak akan jaga kausebaik mungkin, dik, bisik hati kecil Adira.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.