Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 44

Hari-hari yang Layla lalui terasa semakin positif di mahligai Bukhari itu. Faris meskipun ada angin juga kadang-kadang tetapi layanannya sudah tidak begitu teruk seperti dia mula-mula berada di situ. Sebenarnya, semua sangkaan negatif Faris terhadap Layla memakan dirinya sendiri. Layla sebenarnya tidak seperti stereotypenya. Layla memang lain dari apa yang dia bayangkan.

Kepada Tan Sri Omar, Layla macam anak perempuan yang dia tidak ada. Pada Tok Zauyah pula dia macam cucu perempuan idamannya. Boleh berbincang tentang apa saja jenis masakan. Sudahlah begitu suka melayan orang tua itu berbual. Faris selalu juga memperhatikan gadis itu yang memang mesra dengan Tok Zauyah. Selalu membantu Tok Zauyah. Selalu ke sana ke mari dengan orang tua itu dan melayan neneknya itu dengan baik.Kadang-kadang Faris boleh dengar hilai tawa mereka di dapur. Tiba-tiba dia rasa cemburu kerana Layla tidak ketawa seperti itu bila mereka berdua sahaja dalam bilik. Bila dengan Tok Zauyah, Layla macam kebudak-budakan bermanja dengan orang tua itu tapi kalau dengan Faris, Layla jadi serius tiba-tiba dan agak kasar. Dia tidak faham “child woman” ini. Layla lain dari semua wanita yang dia pernah temui. Itu yang meresahkan jiwanya selalu.

Layla telahpun mula membuat permohonan ke Universiti- universiti di US dan UK sejak beberapa minggu lalu. Kata Tan Sri Omar, Layla perlu pilih universiti yang terulung supaya Layla dapat kelulusan yang terbaik nanti dan, dia memang sanggup biaya Layla kalau dapat universiti begitu walaupun pembiayaannya mahal. Layla sangat gembira sebab memang  cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti sebegitu. 

Faris hanya diam pada waktu itu. Dalam benaknya dia terfikir bolehkah Layla masuk universiti macam itu? Dia ragu dengan keupayaan gadis itu kerana Layla nampak macam gadis biasa sahaja.Entah fasih atau tidak bahasa Inggeris, sebab sepanjang di mahligai itu tidak pernah pula dia berbahasa Inggeris. Layakkah dia dengan SPMnya itu? Dia pun tidak pernah tahu keputusan SPM Layla kerana dia memang tidak berminat langsung untuk tahu disebabkan perasaan bencinya pada gadis itu sebelum ini.

Pada mulanya Faris ingatkan Layla lulus biasa-biasa sahaja dalam SPMnya. Tapi satu hari bila dia belek borang permohonan Layla dia dapati isterinya juga bukan calang-calang. Hebat juga Layla dengan keluarga yang sedemikian dia mampu sama bersaing dengan orang yang datang dari keluarga yang lebih bernasib baik dan yang lebih banyak kemudahan seperti dia. Entah bagaimana Faris tersedar bahawa latar belakang keluarga yang miskin sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mendapat keputusan yang baik. Dia lihat Layla bagus dalam bidang sains dan matematik, tidak menyangka gadis yang dia anggap macam kampungan itu sebenarnya bijak dan bergeliga. Keputusan SPMnya yang tertera di borang permohonan itu telah membuktikan.

Sejak akhir-akhir itu Faris mula banyak memerhati Layla ditambah dengan cerita-cerita dari Mak Neng tentang gadis itu. Faris juga kian selalu memperhatikan gadis itu di bilik, sewaktu dia ralit membaca buku cerita. Rambutnya yang hitam lurus diikat satu tapi ada yang terjuntai-juntai di dahinya. Khayal membaca novel dan tidak sedar dirinya diperhatikan. Nampak comel sungguh kalau dia menggigit jari membaca buku cerita sambil kadang-kadang mengurut rambutnya yang melepasi bahu itu.

 Kadang-kadang Faris saja-saja bangun perlahan-lahan dan renung wajah Layla bila gadis itu tertidur di sofa tak sedar apa. Saja menikmati wajah gadis itu yang comel itu puas-puas tanpa disedari. Sebenarnya, tak pernah dia ada perasaan sebegitu terhadap seorang perempuan. Dia pula yang curi-curi pandang bila ada kesempatan. Selalu perempuan yang serahkan diri mereka padanya tanpa dia perlu terkejar-kejar. Ini dia pula yang lebih sedangkan Layla macam biasa sahaja bahkan Layla buat dia seperti teman sebilik sahaja.

Memang benarpun, bagi Layla yang naif, Faris hanyalah teman sebilik. Teman sebilik yang tiada perasaan terhadapnya malahan sebelum ini benci, jadi dia memang tak terfikir apa yang selalu bermain dalam kotak fikiran Faris. Baginya Faris memang harmless walaupun ada insiden-insiden di mana Faris menggetarkan jiwanya sepanjang beberapa bulan itu. Namun sebab Faris pun dah berterus terang padanya dari mula-mula lagi yang dia bencikan Layla, jadi Layla tidak terasa yang Faris ada perasaan padanya.

Dia anggap Faris macam tiada apa. Itulah sebabnya dia tidak berapa kisah. Kadang-kadang dengan baju pijamanya dia meniarap di atas katil membaca buku novel. Dia selalu tidak sedar mata Faris yang memerhati segala. Yang tidak lena tidur semakin hari kerana merasakan kehadiran Layla di dalam bilik itu yang menggetarkan jiwanya. Itulah sebabnya bila satu hari Faris keluar dan tidur di bilik tetamu Layla hairan juga. 

Apa dah jadi? Marah ke? Ada masalah ke? Aku ada buat salah ke? Tapi bila mengingatkan bahawa dia tak perlu harapkan apa-apa dan tidak perlu busy body, Layla buat selamba. Elok sangatlah!. Dia lagi suka kalau Faris tiada di bilik kerana dia boleh terus membaca novel dan tidak perlu menutup lampu sampai ke pagi kalau dia nak!

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.