Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 8

Lunch di KLCC memang agak celaru sedikit bagi Faris. Dalam waktu-waktu begitulah agak sukar mencari tempat parkir di KLCC itu. Mujurlah dia segera nampak ruang kosong dan masuk sebelum sebuah kereta Persona memarkir di situ. Nasiblah! Siapa suruh tercangak-cangak dan terkial-kial memarkir. Siapa suruh lembab sangat, gumamnya. Dalam dunia ini siapa yang cepat dan pandai mengambil peluang sahaja yang berjaya. Macam dia. Ye macam dia, ulangnya dalam hati sambil tersenyum bangga membetulkan kotnya. Dia perasan wajah geram pemuda di dalam kereta tersebut bersama dengan dua gadis muda di dalamnya. Seorang bertudung dan seorang tidak. Mesti budak-budak belum habis sekolah datang shopping atau berdating di KLCC itu. Dalam hati dia terasa seronok mengenakan budak – budak itu. Paling seronok bila gadis bertudung putih itu menjeling padanya dan dia telah membalas senyum mengejek yang paling ‘sweet’ sekali. Hatinya terasa puas bila melihat wajah geram gadis itu. Nasiblah!

Selesai saja memarkir dia menyanyi-nyanyi kecil terus ke Dome untuk temujanji dengan Julia yang menelefonnya tadi. Julia sudahpun menunggu. Setelah menegur dan mencium pipi wanita itu mereka duduk dan berbual seketika bertanya khabar sebelum memesan makanan. Banyak yang mereka bualkan sambil makan tengahari bersama terutamanya mengenai projek di Langkawi dan juga idea perniagaan  minyak wangi yang Julia  ingin ceburi. Julia seorang wanita yang penuh dengan idea. Berbual dengannya banyak membuka kemungkinan-kemungkinan untuk peluang perniagaan yang baru. Sama seperti datuknya. Kalau tidak tak mungkin syarikat mereka menjadi syarikat konglomerat yang berjaya di Malaysia. Dia rasa bertuah berkawan dengan wanita seperti itu. Intelligent, sophisticated and beautiful! Jadi, soulmate yang ingin dicarinya juga mesti begitu barulah ideal. 

Selepas temu janji makan tengahari itu berakhir sekitar 3.30 petang Faris bergegas ke kedai buku Kinokuniya. Teringat ada satu buku baru yang dia ingin beli di situ mengenai senibina dan juga satu buku dari Robert Kiyosaki. Sedang dia membelek-belek buku tersebut tiba-tiba seorang gadis bertudung putih lalu di hadapannya dan terpijak kakinya. Dia menjerit. “ Excuse me !” jeritnya pada gadis bertudung itu. Gadis itu jelas terkejut seolah-olah melompat

     “ Sorry! Saya tak sengaja.” Ujar gadis itu serba salah dan kelihatan kalut. Faris merenung wajah gadis itu yang kemerahan kerana rasa bersalah. Tapi bila dia melihat gadis itu lebih dekat dan lama dia terasa seperti pernah melihatnya. Sebenarnya, bukanlah sakit sangat kakinya dipijak gadis itu. Lagipun berat gadis itu mungkin separuh dari beratnya tapi hatinya terasa hangat sahaja tambahan pula kekalutan gadis itu menerbitkan keinginan untuk mempermainkan gadis itu sedikit. Seronok juga bila melihat wajah gadis itu yang merah dengan mata bundar itu. Wajah itu sangat familiar! Macam pernah jumpa..tapi di mana? Faris menyoal sendiri. Apa pun niat nakalnya diteruskan. Apa kata gertak sikit gadis itu?. Oleh itu dia pun dengan selamba berkata,

       “ Lain kali jalan tu jangan menonong aje boleh tak? Pandanglah sekeliling baru jalan. Ada faham? “ Ada nada ceramah pun ya. Gadis itu menggigit bibirnya kerana geram. Matanya memandang tajam kepada Faris. Renungan tajam berapi itu mengingatkan Faris pada sesuatu. Terus terdetik dalam hatinya. Ini bukan gadis dalam Persona tadi ke? Dia kenal sangat pandangan berapi itu.

Ish ini mamat sombong dalam kereta sport tadi ke? Getus hati Layla pula pada masa yang sama sambil memandang geram pada lelaki tampan di hadapannya.. Ya Allah, berlagak sungguh mamat ni. Harap muka saja yang handsome tapi sombong! Rasa macam mahu kerat dua saja dia ni! Tak boleh jadi! Dia perlu jawab balik! Dia menarik nafas mengumpul keberanian kemudian mendongak dan berkata,

       “ Awak tu yang menonong, salahkan orang pulak. Siapa suruh halang laluan orang?. Encik, ini bukan tempat berehat tau. Ini kedai buku. Kalau ye pun nak pilih buku janganlah guna space macam kedai buku ni bapa awak yang punya. Ha, ada faham? “ giliran Layla pula berkata sinis pada lelaki itu. Faris sedikit tergamam. Amboi, tak padan kecik!

Cepat-cepat Layla meninggalkan lelaki tersebut yang memandang geram padanya. Faris sedikit terpempan. Beraninya gadis itu! Tidak pernah ada seorang gadis yang bercakap begitu dengannya. Masih dia ingat mulut kecil itu berkata-kata.

       “ Idiot! Kedai ni memang bapak aku punya pun budak kecik!” sumpah Faris tapi gadis itu telahpun berlalu ke ruang lain kedai buku yang luas itu. Geram dia pada gadis bertudung putih itu. Kedai buku itu memang milik syarikatnya sejak beberapa tahun lalu. Mahu saja dia kejar gadis itu dan memberitahunya tapi dia rasa tidak berbaloi. Hanya untuk melepaskan perasaan marahnya sahaja. Lagipun dia budak kecil. Mungkin tak habis sekolah pun agaknya! Faris meraup muka. Apa dah jadi dengan dia ni? Something must be wrong with me. Getusnya dalam hati. Adakah patut dia bergaduh dengan budak remaja? Demam ke apa aku ni? Bisiknya lagi dalam hati.

    Asha hanya memerhatikan sahaja dari jauh. Hairan dia melihat perangai Layla yang jelas tiba-tiba sahaja begitu berani bertelagah dengan seorang lelaki yang tinggi, kacak dan berpakaian kemas. Lelaki yang bergaduh dengan Layla itu memanglah kacak dengan tingginya seperti seorang model, berbadan tegap, hidung mancung, berambut agak perang. Wajahnya pulak unik kerana ada rupa melayu, inggeris dan Arab. Ini mesti anak kacukan ni. Bestnya kalau dia yang bergaduh sekarang dan bukan Layla. Tapi wajah lelaki itu seperti pernah dilihat. Asha bermonlog sendiri. Oh! Asha menutup mulutnya yang terlopong. Itulah lelaki yang mengambil parking mereka tadi!.

   Asha macam nak menjerit memberitahu Layla tapi dia cepat mengawal diri. Inikan kedai buku! Dia mengingatkan dirinya dan mendapatkan Layla segera. Asyraf yang baru balik dari bilik air termangu-mangu bila melihat wajah Layla yang masam. Apa yang sudah berlaku? Dia memandang Asha menantikan penjelasan. Tapi Asha hanya diam sahaja tapi jelas pada Asyraf mood Layla yang tiba-tiba berubah. Apa yang dah berlaku semasa dia ke bilik air tadi?

Sejam mereka di situ perut yang tadi kenyang dengan popcorn mula terasa lapar. Setelah memilih buku dan membayarnya mereka bertiga ke food court pula untuk makan. Sekali lagi Asyraf menghulurkan wang membelanja mereka spaghetti Bolognese pula. Hati Layla jadi ralat sudah banyak Asyraf menabur budi pada mereka. Dia jadi risau kerana budi Asyraf yang mungkin tidak akan terbalas. Kasihan pun ada pada pemuda itu. Kenapalah dia baik sangat sedangkan dia tiada hati pada Asyraf?

       “ Layla, mengapalah kau ganas sangat dengan lelaki tadi tu? Kau tak nampak dia handsome ke? Uhhh handsomenyaaaa!“ Tanya Asha bila Asyraf pergi memesan makanan dan tinggal mereka berdua sahaja menunggu di meja .

        “ Handsome? Entah aku tak nampak pun. Aku geram pada dia sebab perangai dia yang kurang ajar. Dahlah dia curi parking kita tadi, lepas tu bila aku terpijak kaki dia bukan main kurang ajar lagi dia. Kalau ikut hati rasa nak ketuk-ketuk saja kepala dia.”

     “ Amboiiii ganasnya! Tapi yelah dia yang ambik parking kita kan memang patut kau marah dia. Patut kau pijak lagi kaki dia tu laju-laju. Tapi kan badan dia dua kali dari badan kau. Ada hati kau nak ketuk kepala dia? Boleh sampai ke? Eh…. tapi kan dia memang handsome. Aku rasa dia pan Asian la…”

       “ Handsome macam apa? Pan asian? Huh sudahlah macam pancake adalah….pancake tak masak.” sela Layla bergurau sambil ketawa. Asha pun ketawa geli hati. Layla tahu Asha memang mudah cair dengan lelaki yang kacak. Entahlah tadi dia tidak terfikirkan perkara itu kerana bagi dia paras rupa tidak penting tapi hati mesti baik. Bagi Layla seorang lelaki yang ideal ialah lelaki yang baik dan soleh tidak seperti lelaki tadi yang kurang ajar seperti itu. Memanglah dia akui lelaki itu kacak tapi apalah gunanya kalau kacak tapi hati busuk macam tin kosong yang hanya cantik di luar sahaja. Handsome tapi tiada sahsiah buat apa? Perbualan mereka berhenti setakat itu apabila Asyraf datang dengan sedulang makanan. Asyraf pun lebih baik lagi tapi malangnya tiada chemistry pula. Ye, lelaki idealnya mesti ada sahsiah dan juga ada chemistry dengannya. Layla hanya tersenyum kosong pada Asyraf yang tersengeh lebar memandangnya dengan penuh harapan.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.