Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 33

Minggu hadapannya Layla mula belajar memandu. Tan Sri Omar telahpun mengupah seorang jurulatih untuk datang mengajar Layla memandu. Jurulatih tersebut datang seminggu tiga kali mengambil Layla dari rumah ke kelas memandu dan tempat latihan. 

Rupa-rupanya jurulatih itu ialah Rafi yang dia pernah jumpa bersama ibunya semasa di Pavilion. Rafi pelajar UIA dalam tahun akhir. Dia jadi pelatih buat sementara sahaja dan juga untuk dapatkan duit poket lebih setiap bulan. Pada mulanya ada pelatih lain yang akan mengajar Layla tapi entah macamana pelatih itu balik kampung kerana masalah keluarga jadi Rafilah yang menggantikannya. Tambahan pula ada caj ekstra untuk ambil dan jemput dari rumah jadi Rafi seronok sangat bila majikannya mencadangkan dia melatih gadis itu. Lagipun dia pernah ke mahligai itu. 

Bila Layla masuk sahaja ke dalam kereta latihan pemanduan itu dia terkejut sedikit. Ya Allah jumpa lagi pemuda itu. Rafi tersengeh suka. “ Nampaknya saya ada jodoh dengan Layla sebab kita jumpa kali kedua.” Kata pemuda itu buat Layla resah bila perkataan jodoh disebut. Lama Layla terdiam. Rafi yang menyedari itu tidak berkata apa-apa lagi tentang itu. Dia terus memulakan pengajarannya. Dia tidak mahu Layla rasa tidak selesa pula.

Sejak hari itu hampir setiap hari Rafi datang mengambil Layla untuk pergi ke tapak latihan atau membawa Layla memandu ke beberapa jalan sebagai latihan. Makin lama makin rapat juga Layla dengan Rafi sebab Rafi suka berbual dengannya seperti seorang kawan. Tapi, tanpa Layla sedar sebenarnya Rafi menganggap Layla lebih dari seorang kawan. Sangka Rafi, Layla anak kandung Tan Sri. Lagipun gadis bermata galak dan berwajah lembut itu nampak begitu muda mungkin gadis itu masih belasan tahun lagi. Sangkanya Layla yang tidak banyak bercakap itu kerana malu tetapi sebenarnya Layla tidak mahu melebih kerana dia sedar dia ada ikatan dengan Faris.

Namun, niat Rafi ikhlas. Gadis macam Layla sesuai dijadikan isteri jadi Rafi ada memasang angan-angan untuk menyunting Layla. Rafi adalah berkias-kias pada Layla tapi biasalah Layla buat-buat tidak tahu. Dia tahu walaupun hubungannya dengan Faris tidak baik dan Faris tidak sukakan dia, tapi niat untuk “curang” tidak ada pula dalam hatinya. Kalau tak pun kerana Faris tapi kerana Tok Zauyah dan Tan Sri. Nanti kalau apa-apa berlaku dia tidak mahu memalukan mereka.

Beberapa kali Rafi mengajak Layla minum dan makan bersamanya selepas latihan tapi Layla menolak dengan baik. Ingin juga dia memberitahu siapa dia tapi selalu tak kesampaian. Lagipun dia malu juga sebab umurnya yang muda tapi dahpun jadi isteri orang. Rafi pula macam setia sahaja mengambil Layla dan menghantar pulang. Semua itu berlangsung selama beberapa minggu sehinggalah pada latihan yang terakhir sebelum Layla mengambil ujian memandu keesokan harinya.

Seperti biasa Rafi melatih Layla di Pusat latihan memandu kemudian dia suruh Layla bawa ke jalan-jalan yang akan diuji dalam ujian keesokkan harinya. Sampai di satu tempat, Rafi suruh Layla masuk ke satu jalan yang sunyi. Layla rasa cuak dengan arahan Rafi itu tapi Rafi hanya tersengeh. Gelihati juga melihat wajah gadis itu yang nampak cuak.

    “ Kenapa? Takutke? “ tanya lelaki itu tiba-tiba memandang tepat ke wajah gadis itu.

     “Rafi, saya rasa baik awak hantar saya balik.” Ujar Layla cemas dan tidak selesa.

     “ Nanti dulu. Jangan takut. Saya sebenarnya nak beritahu awak sesuatu. Awak jangan jawab apa-apa. Cuba dengar saja. Dan jangan risau, saya tak akan apa-apakan awak.” Rafi menarik nafas. Macam berat sangat perkara yang hendak disampaikannya.

     “ Sebenarnya, sejak saya jumpa Layla, saya dah terpikat tau. Saya tahu saya ni orang biasa. Harta pun tak ada. Graduate pun belum tapi saya pasti saya boleh bahagiakan Layla kalau Layla sudi lah. Saya ikhlas nak ambil Layla sebagai isteri saya”. Layla terkedu. Alamak! Apa yang berlaku ini? Rafi melamar diakah? Mana boleh dia jadi isteri Rafi sedangkan dia isteri orang? Wajah Layla yang berubah itu disalaherti oleh Rafi. Layla ingin berkata sesuatu tapi tidak sempat.

      “ Layla jangan jawab dulu. Nanti kalau Layla dah sedia Layla beritahu saya. Dan esok saya harap Layla akan berjaya dalam ujian tu. Lepas ujian nanti saya akan belanja Layla.” Ujar Rafi.

         “ Tapi...”

         “ Layla fikir dulu ye. Jangan cepat sangat bagi jawapan. Tak apa saya akan bersabar. Walau apa pun jawapan Layla.Yang penting Layla fokus dengan ujian esok.” Layla terdiam. Dia pun tak tahu untuk jawab apa. Rafi tak kurang apa pun. Orangnya kacak juga. Matanya sedikit sepet kerana dia ada darah cina di sebelah ibu. Mahasiswa UIA jurusan kejuruteraan. Orangnya tinggi dan berkulit cerah. Tinggi juga walaupun tidak setinggi Faris. Rafi lebih lembut orangnya. Lebih sopan. Lebih berhemah. Agaknya kalau dia tidak berkahwin dengan Faris sudah tentu dia jatuh cinta agaknya sebab Rafi ada ciri-ciri lelaki idamannya. Rafi satu pakej yang lengkap tapi apa boleh buat dia sudahpun milik orang lain. Layla terkedu. Jatuh cintakah dia pada Rafi? Berdosakah dia pada Faris yang tidak pernah menganggapnya seorang isteri? Layla bimbang sendiri dengan perasaannya.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.