Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 11

    Itulah kali pertama dia ke rumah majikan ayahnya yang tersergam indah itu.Bukan dia mahu ikut ayah sangat. Ibunya yang menelefon ayah. Katanya Layla tak balik-balik seperti yang dijanjikan. Pak Amir baru saja selesai membawa kereta Audi Faris itu dari ‘car wash’ berdekatan. Jenuh Pak Amir itu mencari anak gadisnya itu. Menelefon Layla berkali-kali. Marah sungguh ayahnya bila tahu dia sebenarnya di Kuala Lumpur. Lebih marah bila sangkanya Layla keluar dengan Asyraf pula berdua kerana sewaktu ayah nampak dia cuma dia dan Asyraf sahaja manakala Asha ke bilik air. Apa lagi mendidih darah ayah. Ayah tarik tangannya bawa pulang. Asyraf tak terkata apa waktu itu untuk menyelamatkan keadaan. Dia takutkan wajah ayah yang menyinga.

    Sepanjang perjalanan Pak Amir tidak berkata-kata apa-apa dengan anaknya itu. Macam hampa pun ada. Tapi ayahnya itu tak mahu dengar penjelasan Layla walaupun Layla cuba. Mungkin sekarang ayahpun sudah tak percayakan dia macam ibu juga. Dia benar-benar kecewa. Tapi cara ayah diperlakukan oleh anak lelaki Omar Bukhary yang entah siapa namanya tadi memang dia tidak boleh terima. Sudahlah begitu dia pun kena tolak sehingga terjatuh. Macam hina sangat dia di mata anak Tan Sri itu.

    Namun sebelum sempat mereka berlalu dari rumah agam itu seorang wanita tua berjubah hitam bersequin memanggil.

     “ Amir, masuklah dulu.” Ujar wanita itu mesra. Layla teragak-agak mencapai tangan wanita itu untuk bersalaman. Dia memang telah diajar untuk menghormati orang tua tetapi selepas peristiwa tadi dia berbelah bagi juga untuk berbuat demikian. Manalah tahu kalau dia dihina lagi. Wanita itu tersenyum manis menyambut tangan gadis itu dengan mesra. Lega sedikit hati Layla sekurang-kurangnya wanita ini tidak sombong seperti anak Omar Bukhary itu.

     “ Tak mengapalah Datin, saya tak boleh lambat.” Balas Pak Amir menolak.

     “ Eh masuklah dulu. Lama kita tak berbual-bual. Ini anak kamu ni?Yang nombor berapa?” Tanya Tok Zauyah. Tok Zauyah masih memegang tangannya. Memimpin dia masuk ke rumah yang indah macam istana itu. Terkedu dia melihat ruang dalaman rumah itu yang sangat sempurna. Besar dan indah tersergam. Macamana manusia boleh duduk dalam rumah seindah itu?. Nak duduk pun dia rasa kekok takut kehadirannya mencacatkan kesempurnaan ruang itu.

     “ Nombor tiga Datin. Tengah tunggu SPM. Yang nombor dua dan yang sulung di university lagi” balas Pak Amir.

“ Bagusnya... anak-anak kamu semuanya pandai-pandai!” ujar wanita itu memuji. Dia sudahpun duduk di sofa mewah di ruang tamu. Layla di suruh duduk di sofa sebelahnya manakala Pak Amir di hadapannya. Sofa itu agak besar dan dengan tubuh kecil wanita itu Layla dapat lihat kaki wanita itu terjuntai sahaja.

    “ Kamu siapa nama? “ Tanya Tok Zauyah padanya sambil tersenyum manis. Layla turut membalas senyuman itu.

    “ Saya Layla, Datin” jawab Layla sopan turut memanggil Datin kepada orang tua itu .

    “ Panggil saya Tok. Cucu-cucu saya semua panggil Tok “ katanya tersenyum mesra. Dia kelihatan berfikir seketika. Kemudian tersenyum lagi. Memandang gadis itu ke atas ke bawah. Buat Layla rasa tidak senang pula.

    “ Dah lewat ni Datin. Saya balik dulu lah.” Sela Pak Amir tiba-tiba. Dia juga kurang selesa. Jarang dia masuk ke rumah itu.

    “ Jangan Amir. Awak dan Layla sembahyang Isyak di sini sahaja. Layla boleh pinjam telekung Tok aje. Tok ada banyak telekung lebih.” Ujar wanita itu bersungguh. “ Duduk dulu, berbual dengan Tok” ajaknya lagi. Ayah memandang Layla. Seolah meminta persetujuan. Layla hanya mengangguk. Majikan ayahnya itu nampak beria sangat mengajak mereka. Kasihan pula dia.

     “ Tok ni hanya ada seorang je cucu perempuan tapi dia selalu tak ada. Di Ireland. Kalau dia balik pun sibuk ke hulu ke hilir. Tok ni asyik tinggal kat rumah sorang diri. “ Layla melihat sekeliling. Kalau diapun sunyi juga. Rumah macam mahligai tapi tak ada orang. Orang gaji mungkin lebih ramai dari tuan rumah melihatkan keadaan rumah yang kemas, bersih dan tersusun semuanya. Kasihan juga bila dia mendengar cerita Tok Zauyah itu.

    Pak Amir dan Layla bersembahyang Isyak di rumah itu. Entah kenapa Tok Zauyah minta Pak Amir pula imamkan solat Isyak di ruang solat mahligai itu. Selepas bersalaman Tok Zauyah minta Layla baca satu muka surat ayat Al-Quran bersama-sama dengannya. Katanya selalu selepas solat dia akan membaca Al-Quran. Layla turutkan sahaja. Kemudian Tok Zauyah mengajak mereka makan malam pula. Rupanya orang tua itu belum makan malam.

    “ Ish Datin, tak payahlah” kata Pak Amir macam malu. Layla pun malu juga dan dia juga menolak pelawaan wanita tua itu. Tapi Tok Zauyah sangat memaksa. Katanya dia tak lalu makan seorang diri. Tangan Layla ditarik-tarik ke ruang makan. Lalu mereka pun terpaksa turutkan kerana kasihan. Semasa makan terjawab persoalan Layla apabila melihat pinggan yang dihidangkan. Sah tiada satupun pinggan emas di meja makan hanyalah pinggan-pinggan bergaris emas sahaja. Layla tersenyum sendiri bila teringat persoalan itu yang sering bermain dibenaknya apabila memikirkan keluarga Omar Bukhari majikan ayahnya itu.

L    ayla juga lega melihat Tok Zauyah makan dengan tangan jadi taklah kekok Layla dan bapanya. Takut juga kalau orang kaya macam Tok Zauyah makan dengan sudu garpu. Mahu terbang ayam masak merah yang dihidangkan itu kalau mereka berdua bersudu garpu.

    Semasa makan Tok Zauyah banyak bertanya tentang Layla. Jarang ada orang yang mahu tahu tentangnya lebih dari Kak Nura. Selama ini dia dibayangi oleh Kak Nura. Kak Nura yang lebih cantik dan pandai dan juga lebih menarik. Jadi bila Tok Zauyah begitu dia rasa seronok bercerita tentang dirinya. Contohnya tentang kegemarannya masa lapang dan pandangannya dalam banyak perkara.

    Dia seronok kerana dengan Tok Zauyah dia jadi diri sendiri. Dia tidak perlu berselindung tentang siapa dia sebenarnya. Berbual dengan Tok Zauyah buat dia rasa selesa. Seolah-olah seperti nenek yang dia tidak pernah ada. Neneknya meninggal sebelum sempat dia dilahirkan. Oleh itu, dia memang tidak mengenal kasih seorang nenek. Yang dia paling seronok bila Tok Zauyah bercerita pasal masakan dan cara membuat kek. Tok Zauyah mula menunjuk buku resepinya pula. Dari makan malam sudah berlarut ke bakar kek pula. Teruja dia. Dia memang suka membuat kek tapi tidak pernah suka memasak nasi dan lauk pauk. Tapi bagi ibunya kalau dia tidak pandai memasak nasi dan lauk pauk dia masih belum sempurna menjadi seorang gadis. Tapi dengan Tok Zauyah dia rasa lebih hidup. Dalam hatinya terdetik mengapakah orang seperti Tok Zauyah yang baru dia kenali boleh membuatkan dirinya rasa begitu sedangkan ibu yang dia kenal sepanjang hayat tidak pernah buat dia rasa selesa? Apakah yang tidak kena dengan hubungannya dengan ibu?

    Ayah Layla mengeleng-ngeleng kehairanan. Dia hairan apa yang dah berlaku pada Tok Zauyah hari itu. Tak pernah Tok Zauyah berkeadaan begitu. Dengan cucunya Nabila pun ayah Layla tak nampak Tok Zauyah layan begitu mesra.Tak alih-alih dengan Layla, Tok Zauyah bukan main baik. Layla tidak melihat wajah ayahnya yang sedikit sangsi. Pak Amir sudah faham mainan orang kaya macam Tok Zauyah. Cuma Pak Amir masih tak faham apa motif Tok Zauyah melayan Layla begitu.

   Namun Layla memang sangat naïf. Dia terpesona dengan kebaikan Tok Zauyah. Lupa pada layanan anak lelaki Omar Bukhary sekejap tadi. Dia seronok dapat perhatian dari Tok Zauyah sehingga terlupa kenyataan itu. Pukul 11 malam baru mereka bergerak keluar dari perkarangan mahligai Bukhari itu menaiki kereta Toyota lama Pak Amir. Walaupun lewat begitu seorang pun cucu Tok Zauyah tak kelihatan. Layla sungguh bersimpati dengan nasib Tok Zauyah. Dalam usia tua terpaksa mengharungi hidup kesunyian. Dia sungguh-sungguh kasihan!

   Justeru itu dalam hati dia menanam azam. Sekiranya dia kaya nanti dia mahu pastikan hidupnya tidak begitu. Biar hidup ramai-ramai. Biar keluarganya berkumpul semua. Apa erti kekayaan kalau ia tidak membawa kebahagiaan bersama-sama hanya membawa lebih kesunyian. Tapi agaknya dalam hidup ini kadang-kadang kita tidak boleh dapatkan kesemuanya. Banyak harta melimpah ruah boleh beli apa sahaja tapi tentu ada perkara yang terpaksa dikorbankan. Harta tidak boleh membeli kasih sayang. Layla tahu itu meskipun dia masih budak mentah.

   Layla menarik nafas. Dia tahu malam masih lagi belum berakhir untuknya sebaik sahaja kereta ayahnya itu telahpun membelok ke jalan utama kampung mereka. Dia pasti kena bersoal jawab dengan ibu balik nanti. Entah apa khabar Asha dan Asyraf agaknya. Mungkin ibu bapa masing-masing sudah bising juga. Mungkin ibu dah beritahu mereka di mana anak mereka. Habislah mereka bertiga.

  Tapi sebenarnya tiada apa yang berlaku. Mereka hanya berjalan-jalan sahaja di KLCC selepas menonton wayang. Mereka lambat sebab Asha yang tak habis-habis mencuba pakaian. Lama sungguh dia. Sampaikan dah hampir pukul enam. Lepas itu sudah petang pula, Asyraf ajak makan malam di Laksa Shack dulu sebelum balik. Asha setuju sedangkan dia berat hati. Dia macam terasa-rasa ayahnya sedang cari dia. Macam ada rasa-rasa ibu sedang berkata tentangnya. Waktu itulah dia tak lalu makan. Laksa terasa sedikit loya ditekaknya. Kemudian bila nak pulang Asha pulak nak ke bilik air. Sakit perut. Ada-ada saja gadis itu. Dia tak pasti sama ada lakonan atau kebetulan. Telefon tangannya berbunyi banyak kali dari ayahnya. Terpaksalah dia nyatakan di mana dia. Nada ayahnya yang tegas membuatkan dia tak tentu seketika. Ayahnya berhasrat untuk datang mengambilnya. Waktu itu sudahpun pukul 7. Tadi dia janji untuk pulang pukul 4. Tapi sudah menjajar ke pukul 7. Waktu Asyraf sedang berbual dengannya menunggu Asha itulah ayahnya datang. Pucat muka Asyraf. Pucat lagi muka dia. Terasa terbang semua semangat dalam dirinya. Dalam otak nya habislah dia kalau dirotan ayah. Mungkin juga dirotan ibu. Sudah lama dia tidak merasa rotan ayah atau ibu. Paling akhir sekali 5 tahun lepas itupun sewaktu di sekolah rendah. Ayahnya memang salah sangka. Tapi belum sempat dia menjelaskan ada panggilan pula dari bos ayahnya tadi.

   Memang bila dia balik sahaja malam itu ibunya mengamuk.

    “ Belum apa-apa dah gatal ye? Memalukan betul kamu ni! Kamu dah nak kahwin sangat?” jerkah ibu bila dia sampai.

    “ Layla tak buat apa-apa ibu. Asha ada sama cuma waktu ayah sampai dia ke bilik air” Jelas Layla. Air matanya menitik. Dia sesal kerana mungkir janji dengan ibunya.

    “ Dah pandai menipu ye. Kamu saja gunakan nama Asha supaya kamu boleh berdating dengan Asyraf tu kan? Kenapalah kau gatal sangat? Malu aku dengan orang kampung kalau mereka tahu yang anak aku menggatal dengan anak ketua kampung. Sedarlah Layla kita ni orang miskin tapi kita bukan miskin harga diri dan maruah. Anak dara kena jaga maruah. Kalau dah hilang maruahnya apa lagi yang tinggal. Aduhai!! Apa nak jadi dengan kau ni.” Marah ibunya lagi. Layla makin teresak-esak rasa bersalah. Tadi bukan main lagi nak melawan dengan mengikut kata-kata Asha untuk ke Kuala Lumpur. Sekarang bila berhadapan dengan ibunya semuanya luluh. Waktu ini dia rasa lemah kerana dia benar-benar menyesal dengan tindakannya. Sempit terasa di dalam dadanya. Orang berdosa memang akan rasa begitu. Ya Allah ampuni aku kerana menipu ibu, keluh hati Layla.

      “Maafkan Layla ibu. Layla janji tak buat lagi.” Rayu Layla bersungguh. Dia tahu syurga di bawah tapak kaki ibu yang melahirkannya bersusah payah. Terasa mahu dirangkul tubuh ibunya. Tapi Layla ragu bagaimana penerimaan ibunya.

    “ Kamu ni memang patutku kahwinkan… kalau macam ni perangai kamu. Lepas ni ibu tak akan benarkan kamu ke mana-mana lagi. Kalau nak pergi kena pergi dengan kami berdua.” Kata ibu macam kecewa. Layla hanya mengangguk. Sejak hari itu dia memang tidak dibenarkan ke mana-mana lagi. Hanya boleh ke kedai di kampung itu sahaja untuk membeli barang keperluan ataupun sekitarnya sahaja. Walau apa pun dia rela. Dia tidak mahu jadi anak derhaka.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.