Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 55

     “Bertuahlah kau Layla. Orang nak dapat sponsor pergi luar negeri pun susah. Engkau ni pulak dapat pergi dengan suami sekali. Ibu bersyukur sangat-sangat Layla. Ada orang jaga kau di sana. Kalau tak, risau hati ibu ni.” ujar ibu padanya. Layla hanya tersenyum. Bertuah ke kalau Faris pun ikut sama? Layla tidak rasa begitu. Hidupnya akan terkongkong seperti sekarang. Lagipun, ibu tidak tahu tentang perjanjian mereka dan perangai Faris yang sebenarnya. Tapi dia terharu dengan kata-kata ibunya itu.

Waktu itu Layla sedang membantu ibunya memasak di dapur untuk makan tengahari. Ibu sedang mengacau gulai masak lemak cili padi ikan keli manakala dia sedang menyiang pucuk ubi untuk dibuat urap. Walaupun dia baru sahaja sampai sekejap tadi, ibu paksa Layla memasak dengannya hari itu kerana dia mahu Layla pandai masak sebelum ke Boston katanya. Lagipun, menurut ibu, nanti di Boston bukannya ada orang gaji macam di mahligai itu jadi ibunya ingin pastikan yang anak gadisnya boleh memasak. Kalau tidak katanya malu dia dengan Faris. Seolah-olah dia tidak pernah mengajar Layla memasak langsung. Pada pandangan Mak Mah, seorang ibu perlu mengajar anaknya memasak sebaik-baiknya.

Di samping itu dapat juga Mak Mah berbual dengan anak gadisnya yang sangat dirinduinya itu. Dapatlah dia melepaskan rindu sedikit. Mahu tak rindu. Sejak kahwin itulah julung-julung kali Layla balik ke kampung walaupun Layla sering menelefon bertanya khabar. Bagi seorang ibu, mendengar suara tidak sama dengan bertemu muka.

     “ Nanti bolehlah masakkan lauk kegemaran Faris.” Ujar ibunya riang. Entahlah.! Laylapun bukan tahu nak masak apapun. Apatah lagi lauk kegemaran Faris. Selama Layla di sana dia bukan kisah sangat makanan kegemaran Faris sebab hanya Mak Neng saja yang masak setiap hari. Dia juga tidak teliti apa yang Faris suka makan. Yang dia tahu Faris memang suka sangat ceasar salad. Yang lain-lain itu kebanyakkannya makanan Western.

Layla telahpun membasuh pucuk ubi tersebut bersih-bersih kemudian dimasukkan ke dalam tapisan plastik dan seterusnya dicelur sedikit. Kemudian ibunya mengarah dia menyediakan rencah bahan untuk urap tersebut seperti bawang merah, bawang putih, cili, ikan bilis, belacan dan sedikit cekur. Semua itu di tumbuk halus-halus kemudian ditumis dengan sedikit minyak sebelum dimasukkan kelapa parut, sedikit air asam, garam dan gula. Selepas terbit minyak baru di masukkan pucuk ubi yang telah dicelur itu. Seterusnya dikacau-kacau seketika atas api yang kecil sehingga sedikit kering. Bau urap memenuhi suasana. Layla terasa lapar terus waktu itu. Terdetik hatinya, Faris makan ke urap seperti itu? Urap yang tak secanggih salad-salad kegemaran Faris? Kalau Layla, urap itu memang kegemarannya. Memanglah jauh beza dia dan Faris. Jenis makanan sahaja telah menunjukkan perbezaan mereka berdua.

     “ Err... Faris tu macamana orangnya Layla? Almaklumlah hari tu dia datang tidur sekejap aje kat sini. Ibu tak sempat pun nak kenal dia sangat.” Layla terpempan. Kacauannya penyudipnya di atas kuali berhenti seketika.Apa dia nak jawab ye? Tak kan nak keluarkan semua cerita negatif pasal lelaki itu. Nanti kalau ibu tahu risau pulaklah dia dapat menantu seperti itu.

      “ Ermmm okay je ibu. Sama macam suami orang lain.” Jawab Layla acuh tak acuh. Mak Mah sedikit sangsi. Ye ke?

      “ Apa yang dia suka makan? Baik tak dia dengan kau?. Ibu dulu risau kalau-kalau kamu berdua tak boleh terima satu sama lain. Yelah kahwin aturan keluarga. Kamu pulak dulu bukan suka pun dengan Faris tu.” Terang Mak Mah. Mak Mah mula bertanya soalan cepu emas nya. Layla tersengeh tak selesa. Aduh! Ibunya macam penyiasatlah pulak. Layla serba salah. Dia tak mahu menipu ibunya itu tetapi kalau ibunya tahu hal sebenar pasti akan menyakitkan hati ibunya pula. Bukan itu saja, malahan akan merisaukan ibunya pula. Dia tak mahu ayah dan ibunya risau tentang dia. Biarlah mereka fikir yang baik-baik saja mengenai dia dan Faris.

Sesungguhnya, memang Mak Mah risau sebaik sahaja Layla ke mahligai Bukhari. Dia tahu bukan senang untuk Layla terus diterima. Setiap hari dia berdoa selepas solat kepada Allah SWT supaya Layla diterima dan sentiasa gembira di rumah itu. Supaya Allah sentiasa menjaga Layla dengan sebaiknya. Mujurlah, Layla pun selalu menelefon dan semua yang dikhabarkannya setakat itu elok-elok sahaja maka hati Mak Mah lega sikit. Dia bersyukur Layla elok-elok saja di rumah itu.

     “ Dia baik… baik aje dengan saya ibu. Dia pun layan saya dengan baik. Kalau makan pulak tak memilih tak menyusahkan orang. Apa je pun dia sebat ibu. Memang senanglah.” Ujar Layla tidak mahu memburukkan Faris. Mujur dia boleh mengelak begitu. Kalau pecah rahsia dah risau pula orang tua itu. Biarlah dia sahaja yang tahu apa keburukan lelaki itu. Nanti kalau dia sebut sahaja yang buruk mengenai Faris sudah tentu ibunya terus risau. Dah jadi konflik pula. Dalam hal seperti itu setiap perkara perlu berhati-hati tambahan pula melibatkan dua keluarga.

     “ Baguslah macam tu. Tak cerewet namanya. Senanglah kamu nanti kalau nak masakkan dia apa-apa. Tapi kalau cerewet pun kamu boleh belajar apa yang dia suka. Itupun tak ada masalah juga. Seorang isteri kenalah belajar masakan kegemaran suaminya. Ibu dulupun belajar dengan arwah nenek kamu apa yang ayah suka makan. Seronok bila kita masak untuk suami ni menambah kasih sayang suami isteri. Layla tahu tak nak pikat suamini dari perutnya?” terang ibunya panjang lebar penuh nasihat. Dia tahu Layla masih mentah, sangat memerlukan nasihat untuk mewujudkan hubungan suami isteri yang bahagia dan harmoni.

      “ Ye ke ibu? Tapi kan, saya tak mahulah Faris gemuk ibu bila dia asyik makan sedap aje. Nanti dah tak handsome pulak, macamana bu?” Ujar Layla buat-buat main pula. Mesti kelakar wajah Faris di kala itu kalau dah gemuk dan buncit. Layla tergelak-gelak gelihati. Mak Mah buat muka. Orang serius dia main-main pula.

     “Hish kamu ni buat main-main pulak nasihat orang. Kamu jagalah supaya dia tak gemuk. Bawalah dia exercise dan jaga badan” nasihat ibunya.

     “ Tak apa ibu, Faris tu suka bersenam dan berenang. Mesti dia tak gemuk nanti kalau Layla masak sedap-sedap. Jadi tak payah risaulah. Dia akan maintain handsome dan macho aje. ” Ujar Layla dari celah tawanya.

    “ Ha baguslah. Kamu berenang sama tak dengan dia?” ibunya menduga. Ini soalan perangkap ke apa?

     “ Adalah jugak ibu… Faris yang upah cikgu renang untuk ajar Layla.” Jawab Layla tersengeh. Mak Mah ketawa kecil.

     “ Baguslah tu Layla. Nampaknya elok aje kamu berdua. Ibu syukur kamu berdua bahagia.” Layla tersengih sahaja. Bahagia? Entahlah ye? Banyak gaduh adalah. Kalau ibu tahu betapa dinamiknya perhubungan mereka suami isteri mesti ibu tak lena tidur. Sekejap baik sekejap gaduh. Ada masa Faris melayannya dengan baik ada masa kena marah pula. Entahlah, kadang-kadang dia keliru juga biarpun Faris ada mengatakan dia hanya mahukan Layla sahaja. Tapi caranya itu yang kadang-kadang suka menyindirnya dan menyakatnya membuatkan dia tidak berapa pasti dengan perasaan Faris terhadapnya.

Gulai masak lemak ikan keli, sayur urap, telur dadar daun kunyit dan ikan masin carik bulu ayam menjadi hidangan makan tengahari hari itu. Hidangan itu hidangan kampung yang ringkas.Tapi bila urap pucuk ubi yang pedas, dimakan dengan ikan keli masak lemak, ikan masin dan telur dadar dengan nasi panas-panas, mereka sekeluarga makan dengan berselera sekali. Laylapun apatah lagi, makan sehingga tak menoleh-noleh kiri kanan lagi. Lama sungguh dia tidak merasa masakan ibunya. Rindu sungguh. Bertambah-tambah nasi di pinggan, tambahan pula makan beramai-ramai dengan adik beradik dan ibu-bapanya lagilah berselera. Lagipun, di semasa di mahligai Bukhari, Mak Neng tak pernah masak ikan keli kerana tiada siapa sukakan ikan keli sedangkan dirumah Layla semua orang peminat ikan keli. Ibu bapanya sengaja beli ikan istimewa itu sempena kepulangannya. Justeru, Layla dapat merasakan curahan kasih sayang ibunya yang telah bersusah payah memasak semua lauk kegemarannya.

Bila berjauhan begitu, Layla dapat merasakan perhubungannya dengan ibunya menjadi bertambah baik. Sudah tentu ibunya juga rindukannya seperti dia rindukan wanita itu. Kalau tidak dulu pasti ada saja yang ibu tidak puas hati dengannya. Macam-macam komennya namun sejak dia berkahwin inilah baru dia dapat merasa kasih-sayang Mak Mah padanya.

    “ Ha, dah hilang rindu awak pada anak awak tu?“ usik ayahnya sewaktu mereka sedang menghadap makan tengahari itu. Ayahnya baru pulang dari restorannya. Ibu menjuihkan bibirnya geram pada kata-kata ayahnya itu. Layla gelak saja. Ibu macam biasa bukan mahu mengaku, tapi Layla rasa bahagia kerana dia tahu apabila ayahnya ada berkata begitu, bermaksud Mak Mah ada menyebutkan rindunya pada Layla dengan Pak Amir sewaktu mereka berdua. Kalau ibunya tak sebut pun tapi perlakuan ibunya sejak dia masuk ke rumah hinggalah sekarang telah menunjukkkan kerinduannya pada Layla. Itupun sudah cukup. Cukup untuk buat dirinya terasa begitu bahagia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.