Home Novel Cinta JANGAN LUPAKAN AKU
JANGAN LUPAKAN AKU
9/4/2014 12:03:48
16,581
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

ELZA ZAHARAH duduk di kerusi di kepala meja bersama adik-adiknya. Mereka sedang bermesyuarat. Dia mengumpul semua maklumat berkenaan bil-bil yang perlu dibayar. Maklumat tersebut terus dimasukkan ke dalamcashflow yang dibuatnya di dalam perisian Excel. Mana yang boleh dibayar di atas talian, bilnya akan diambil dan dibawa balik ke KL. Mana yang tidak, dia akan meninggalkan duit pada nek su untuk diserahkan pada Abang Budin, pembersih masjid yang ke pekan Parit Sulong setiap hari.

Kemudian, dia mula mengumpul maklumat aktiviti seperti keperluan tok su dan nek su untuk ke hospital, hari terbuka sekolah, kenduri atau apa juga aktiviti terutama yang berkaitan dengan saudara atau kenalan tok su dan nek su. Dari maklumat tersebut, Elza Zaharah akan membuat keputusan pada minggu yang manakah dia akan pulang ke kampung untuk menghantar barang keperluan, duit belanja dan menyelesaikan urusan keluarganya.

Selepas itu. dia akan mengumpul maklumat tentang logistik rumah tersebut seperti peralatan elektrik dan perabot yang rosak dan sebagainya. Ini memudahkannya membuatbudget untuk membeli apa yang perlu.

Akhir sekali, dia menyerahkan duit belanja sekolah kepada adik-adiknya untuk sepanjang bulan tersebut. Sengaja dibuat begitu agar adik-adiknya pandai mengurus kewangan mereka. Dia juga menyerahkan kepada nek su duit untuk dibayar pada Abang Zaki, pemilik kedai runcit yang menghantar barang kering, Pak Abu yang menghantar barang basah, Abang Ali yang membantu tok su memotong rumput keliling rumah, Abang Budin yang menumpangkan tok su ke masjid pada setiap waktu solat dan Kak Timah yang membantu nek su mengemas seluruh rumah serta mencuci selimut, cadar dan tuala seminggu sekali.

Puas hati dengan semua perancangan, dia bertanyakan tentang prestasi sekolah adik-adiknya. Apabila masing-masing melaporkan padanya dengan sebaik mungkin, dia memberi kata-kata perangsang dan motivasi agar adik-adiknya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 pagi. Tepat jam 12.30 tengah hari mereka mula menghidang makanan. Haikal membentang tikar mengkuang. Hadi mengangkat lauk pauk untuk disusunkan di tengah tikar mengkuang yang terbentang. Luqman pula mengangkat pinggan dan cawan. Mereka mula makan bersama di dapur. Tok su yang membaca doa makan.

Elza Zaharah memandang tok su yang semakin uzur. Dia kerap baring di dalam bilik dan hanya keluar untuk makan, ke bilik air atau ke masjid. Laporan doktor dari Hospital Batu Pahat menunjukkan tiada perkara yang perlu dibimbangkan kerana ia perkara biasa buat orang tua yang berusia hampir 80 tahun.

Sebaik azan zuhur berkumandang, Elza Zaharah dan adik-adiknya akan ke masjid. Kali ini mereka berjalan kaki sahaja.

Sepanjang jalan pulang ke rumah, Elza Zaharah membuka mulut. “Luqman, kakak tahu Luqman penat tunggu bas sekolah, sebab itu Luqman nak beli motor. Kak Zara tak ada masalah untuk beli motor. Tapi, jika kita bawa motor tanpa lesen dan berlaku apa-apa, itu sama seperti mati katak. Macam orang membunuh diri. Faham tak?” Dia ingin memujuk adiknya supaya tidak terlalu kecewa.

“Abang Luqman nak mengorat Kak Soraya sebenarnya.” Hadi memecahkan rahsia.

“Mana ada!” bidas Luqman sepantas kilat. Marah bercampur malu. Tajam matanya melihat Hadi.

“Kalau orang dah suka, kita jalan kaki pun orang tetap suka. Itu namanya cinta sejati,” nasihat Elza Zaharah. Dia maklum Luqman sudah remaja dan tidak mustahil ada keinginan untuk cuba bercinta. “Jika kita nampak orang yang kita suka, kita bacakan AL-FATIHAH dan doa dengan ALLAH. Semoga ada jodoh...”

“Kalau orang putih, macam mana?” tanya Haiqal.

"‘Orang putih’? Haikal suka pada siapa?” soal Hadi kepelikan. Yang dia tahu Haikal minat Upin Ipin. Tak pernah menyebut nama mana-mana pelakon Minah Saleh.

“Kak Zaralah. Izack...” kata Haikal bagai agen pencari jodoh tak berlesen.

“Hisy! Haikal... Izack tu pelanggan Kak Zara. Macam bos. Kalau dia tak bayar kerja yang Kak Zara buat, kita tak makan tau,” tegur Elza Zaharah membetulkan pemikiran Haikal.

“Kak Zara dah kahwinlah. Dengan Abang Iqbal.” Hadi mengingatkan adiknya.

“Tapi, Abang Iqbal dah tak ada. Kak Zara mesti kahwin lagi. Kan nek su dah suruh banyak kali,” kata Haikal.

Please... urusan itu, biar Kak Zara fikir," kata Elza Zaharah dengan suara yang sengaja diceriakan. "You young men... one... two... three...” Jari telunjuknya ditunjukkan pada adik-adiknya seorang demi seorang. “Fokus pada sekolah masing-masing. Siapa dapat nombor satu, kita akan pergi Bandar Batu Pahat untuk makan Piza...”

“Yahoo!” jerit Haikal dan Hadi lantas berlari sambil terlompat-lompat. Rumah mereka sudah sangat hampir. Tawaran itu juga membuatkan mereka melupakan persoalan tentang ‘orang putih’.

Luqman yang masih berjalan beriringan dengan Elza Zaharah mencuri pandang pada kakak iparnya. Hati lelakinya, walaupun masih hijau, mencium bau kesedihan jauh di lubuk hati wanita muda itu. ‘Orang putih’? Mana sesuai. Kak Zara cukup suka ubi kayu rebus dan kopi O panas. Macam orang kampung...

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.