Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi JANGAN LUPAKAN AKU - EDISI KHAS 2014
JANGAN LUPAKAN AKU - EDISI KHAS 2014
10/4/2014 23:13:42
4,350
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

JANGAN LUPAKAN AKU

Kerana Cinta Aku Berpegang Pada Janji, Kerana Janji Aku Setia Menanti Cinta

1st Anniversary

February 2014

Special Entry

Ilham Zackry berjalan mundar mandir di pejabatnya. Berkerut dahinya memikirkan sesuatu. Lusa adalah hari meraikan ulang tahun perkahwinannya yang pertama. Bahagia! Tentu itu yang dia rasa. Sayangnya, saat itu dia terasa nak putus nyawa. Hanya kerana ada satu sebab sahaja…

“Bos, semua orang dah ada,” beritahu Elyana, si setiausaha memecah sunyi. Dia memandang serius wajah bosnya yang serius dua kali ganda. Dia juga dapat mengesan tanda soal yang besar tertera pada wajah-wajah insan sebelah menyebelah. Masing-masing tertanya-tanya, apa yang tak kena?

Tentu pelik! Awal pagi buta lagi Ilham Zackry menghantar pesanan, satu mesyuarat tergempar akan diadakan. Yang peliknya, lima orang yang selama ini tidak pernah terlibat mesyuarat secara rasmi di pejabat CEO Quarter Gold dipanggil sebagai ahli korum. Mereka ialah Elias, Kak Siah, Sumi, Nita dan Nanny Julia. Siap ada ‘p/s’ lagi dalam pesanan itu, jangan maklumkan pertemuan mereka pada sesiapa termasuk pada Elza Zaharah, isterinya. Wanita itu ada mesyuarat penting di Dreams Design.

Elyana pandang lagi pada bosnya. Dalam diam dia cuba meneka, untuk apa Ilham Zackry memanggil driver, para pembantu rumah dan nanny anak-anaknya pada hari ini. Penting sangatkah hingga kedua-dua orang setiausaha turut dipanggil? Elyana pandang pula pada Mimi, setiausaha Ilham Zackry di Global Ventures. Dia pasti, Mimi juga kehairanan.

“I am really need your help!” ucap Ilham Zackry kepada setiap orang yang ada. Sebaik bos membuka mulut, semua orang memasang telinga.

“Dua hari lagi belated celebrationuntuk hari ulang tahun perkahwinan saya dan Zara. Err… Saya pasti you all dah tahu apa yang saya dah rancangkan…” sambungnya lagi.

Semua yang ada terangguk-angguk. Di dalam kepala masing-masing sudah maklum apa nak buat. Siapa yang perlu memasak? Apa yang nak dimasak? Siapa yang perlu menjaga anak-anak bos terutamanya Sarah yang sedang meligat? Siapa yang perlu menempah apa yang patut?

“Saya nak you all pastikan semua persiapan berjalan lancar…” Serius suaranya. Tiada kegagalan! Itu sudah semestinya. Melihat para pekerjanya yang setia mengangguk lagi, Ilham Zackry membuka mulut, “Elyana, props di kolam renang, macamana?”

Confirmed, bos! Kontraktor datang jam 2.00 petang esok,” jawab Elyana.

Dinner setting for two?” soal si bos.

Giliran Mimi pula mengangguk. “Settled! Bunga, lampu LED dan belon dah confirmed. Designer datang jam 4.00 petang untuk set-up.”

Musician?”

Done! Pukul 7.45 malam, mereka stand-by,” jawab Elyana lagi.

Appointment Zara di spa dan salun?”

“Puan Azalea akan escort dia…” jawab Mimi. Dia yang mengatur temujanji buat Elza Zaharah dan Azalea, kakak sulong bosnya.

“Long dress and new suit?”

“LV dah hantar,” maklum Elyana teruja. Dia sudah membelek dress yang bakal tersarung di tubuh Elza Zaharah. Memang vast!

“Timing and route planning?”

“Dah, bos!” jawab Elias tenang. “Laluan dah ready. Dalam jam 8.15 malam, mem akan sampai kat check point!

“Food and drinks?”

Elyana memandang pada Kak Siah. Tersenyum dia melihat betapa pantasnya Kak Siah mengangguk. Namun, senyuman Elyana mati sebaik dia memandang pada bosnya semula. Lelaki itu sedang mengetuk-ngetuk kepalanya dengan Blackberry di tangan. Apa dah jadi?

“Encik Izack…” panggil Elyana lembut. “Semua dah ready. Kan bos yang minta saya dan Mimi yang pantau projek ni?” Berjeda seketika dia. “Err… Maaf saya tanya, apa yang tak kena?”

Gelagat bosnya amat berbeza dari biasa. Ilham Zackry sangat tenang orangnya. Seorang yang sangat outstanding dalam membuat perancangan, mengatur strategi dan mengurus pelaksanaan. Tetapi pada saat ini, lelaki itu nampak tidak keruan. Kalut semacam…

Ilham Zackry melepaskan nafas berat. “Saya memang ada masalah besar…” beritahunya perlahan.

“Apa dia, bos?” soal Elias. Dia tentu sudi untuk menolong.

“Err… Saya dah terhilangkan hadiah untuk Zara…” jawab Ilham Zackry perlahan. Wajah pekerjanya diperhatikan seorang demi seorang dengan perasaan serba salah. Mana taknya, baru tadi dia membuat semakan untuk semua tugasan yang diarahkan pada orang lain. Namun, kelihatannya, dia sendiri yang mungkin menggagalkan rancangan itu.

“Hah!” “ALLAH!” “Innalillah!” Elyana, Mimi dan Elias menjerit bersaing. Mereka yang paling terkejut. Bulat mata mereka.

“Err… bos letak kat mana? Saya dah serah pada bos, kan?” soal Elyana. Panik dia. Dia yang menguruskan penempahan casing hadiah yang sangat istimewa itu. Seingatnya, dia memang sudah menyerahkannya kepada Ilham Zackry.

“Sudah, Elyana,” jawab Ilham Zackry pantas. “Masalahnya sekarang tinggal casing sahaja. Isinya dah tak ada…”

“Bila hilangnya?” soal Elyana lagi.

“Mungkin dua hari lepas,” jawab Ilham Zackry.

“Bos dah cuba cari kat tempat bos mungkin letak?” soal Elias pula. Kerisauan dia.

Ilham Zackry mengangguk. Tiada di meja kerjanya atau di dalam peti besinya. Baik di rumah atau di pejabat. “Err… Saya tak jumpa, Elias…”

“Encik Izack dah checked safe deposit box kat bank?” Mimi pula menyoal. Pantas.

Ilham Zackry menggeleng. “Saya tak ada ke sana dalam bulan ini…”

Menyaksikan sesi bersoal jawab buat Kak Siah, Sumi dan Nita turut dapat merasa suasana panik yang berlaku. Biar mereka tidak tahu, hadiah apa yang bos mereka beli dan kemudian telah terhilang.

“Saya nak you all tolong saya cari. Benda tu cuma ada satu dalam dunia ni…” pinta Ilham Zackry.

“Apa dia bendanya, Encik Izack?” soal Kak Siah ingin tahu.

Elyana segera menyentuh iPadnya beberapa kali. Satu paparan ditunjukkan buat Nita dan Sumi ternganga. Kak Siah pula bulat mata. “Eh! Itu cincin antik mama Encik Izack!” Dia terjerit kecil. Bertambah panik dia.

Elyana mengangguk. “Ya, Ini cincin berlian antik Puan Sri Halimah…” Dia yang ditugaskan Ilham Zackry untuk menghantar barang kemas tersebut ke kedai emas bagi tujuan pembersihan.

“Encik Izack letak kat mana agaknya?” soal Kak Siah. Biar dia hanya pembantu rumah, bosnya itu sudah dianggap keluarga. Dia tahu betapa pentingnya apa yang dirancang Ilham Zackry. Lebih penting lagi, cincin itu adalah cincin pusaka keluarga Tan Sri Rushdi, papa Ilham Zackry. Dia tahu kisah cincin itu. Hanya diserah kepada menantu perempuan yang pertama berjaya melahirkan anak lelaki. Puan Sri Halimah menerimanya sebaik Ilham Zackry dilahirkan. Dan kini, ia sudah patut berada di mana-mana satu jari di tangan Elza Zaharah.

“Saya tak ingat. Puas saya cari…” Berpeluh tubuh si bos. Penghawa dingin nampaknya tidak membantu. Riak muka semua pekerjanya buat dia bertambah cuak. “Sebab itu, saya nak you alltolong saya. Kak Siah, Sumi dan Nita! Awak cari di rumah. Fokus pada bilik kerja saya, ruang tamu, dapur, surau dan bilik tayangan.

Nanny Julia! Tolong saya cari di bilik Sarah dan Adam. Elias! Awak cari di dalam semua kereta saya. Elyana, awak cari di pejabat kat sini. Mimi, awak cari di Global Ventures.” Tiada nama yang tertinggal!

“Bos, siapa nak cari dalam bilik tidur bos?” soal Kak Siah. Ini misi penting. Elza Zaharah tak patut tahu.

“Err… saya cari sendiri.” Jawab Ilham Zackry. Dia tiada pilihan lain. Bilik tidurnya jarang dimasuki para pembantu. Elza Zaharah lebih suka menguruskan kamar peribadi mereka sendiri.

“Bos! Semalam dan semalam lagi, bos ada main golf di Bukit Jalil…” ucap Elias mengingatkan.

“Ya ALLAH!” Ilham Zackry menepuk dahi.

“Siapa nak cari kat padang golf?!” soal Kak Siah. Kuat suaranya buat semua mata memandang.

Lapisan di dahi Ilham Zackry bertambah lagi. Peluh di belakang tubuh pula tak mahu berhenti!

 

SEBENARNYA, sejak sebulan lalu Ilham Zackry sudah memikir-mikir apa hadiah yang terbaik buat Elza Zaharah. Isterinya itu baru lima bulan melahirkan anak pertama mereka, Adam Zackry. Tentu sahaja dia ingin memberikan sesuatu yang istimewa. Biar pun ulang tahun perkahwinan itu disambut lewat dari tarikh yang sepatutnya, Ilham Zackry tetap mengambil serius setiap perincian perancangannya.

Selain meraikan ulang tahun perkahwinan, Ilham Zackry juga mahu membalas pengorbanan Elza Zaharah yang sanggup bertarung nyawa melahirkan Baby Adam. Memilih untuk bersalin secara normal buat Elza Zaharah menahan sakit selama tujuh jam di bilik bersalin. Sebaik melihat wajah mulus Baby Adam buat kali yang pertama, Ilham Zackry merasa satu perasaan halus yang dia tidak pernah rasai sebelum itu. Perasaan penuh syukur dan bangga menjadi seorang ayah. Dia kini memiliki anak dari darah dagingnya sendiri.

Lebih menarik lagi, dalam bulan yang sama, urusan pengambilan Sarah sebagai anak angkat mereka telah selesai. Ayah Sarah seorang tentera bantuan yang terkorban di Afrika. Ibunya pula meninggal akibat kemalangan jalanraya. Anak yang tiada bersaudara itu asalnya ditempatkan di Rumah Ar-Raudhah, rumah anak yatim yang dipengerusikan oleh Puan Sri Halimah. Maka, bulan itu, mereka terasa seperti dikurniakan dua orang anak iaitu Sarah dan Baby Adam.

“Nak beri hadiah apa ya?” soal Ilham Zackry sendirian. Membawa Elza Zaharah makan malam di restoren berprestij dan kemudian menonton teater berdua adalah antara cadangan yang pernah difikirkannya. Di mana? La Scala, Milan? The Royal Opera House, London? Atau di The Bolshoi, Moscow.

‘Ah! Opera House kat London tu aku dah bawa dia…’ Sendirian Ilham Zackry berfikir. Mana mungkin dia lupa saat bulan madu mereka yang cukup indah. Tersenyum dia mengenangkan si isteri yang lebih rela leka menikmati hiasan dalaman dewan teater yang gah itu, berbanding menyaksikan teater yang sedang dipersembahkan di atas pentas. Interior designer,memang begitu!

Happy tak Zara kalau aku bawa ke La Scala?” soal hati Ilham Zackry lagi. ‘Aku tak kisah, kalau mata dia sibuk tengok lantai, tengok siling, tengok lampu… Asal dia duduk sebelah aku, pegang tangan aku...” Berkerut dahinya seketika. “Tapi, Zara mesti tak mahu tinggalkan Adam lebih tiga jam.’ Isterinya menyusukan Adam. Biar susu boleh diperah dan disimpan, Elza Zaharah tidak mahu begitu. Jika perlu bermesyuarat di Dreams Design, isterinya itu memilih untuk membawa Adam bersama.

“Aku bawak aje Zara ke ladang bunga. Mencuci mata dengan keindahan alam. Duduk berdua memandang bulan dan mengira bintang… Romantiknya!” Tersenyum Ilham Zackry menyebutnya. Terkenang perkelahan mereka ketika berbulan madu. ‘Tapi, nak pergi ladang bunga apa?’ soalnya tiba-tiba.

Bunga sakura kat Jepun? Sekarang bukan musimnya. Lavender di utara Perancis? Menarik juga. Atau ladang bunga matahari di US? ‘Berdebu tak agaknya? Takut Sarah dan Baby Adam kena asma pulak nanti. Manalah tahu!’ ucap Ilham Zackry sendirian. Menerawang fikirannya ke sana sini. Sambil itu jarinya tak henti menyentuh skrin iPad. Sudah banyak laman sesawang diterokai.

“Aha! Aku bawak Zara ke Taj Mahal…” Itu sudah cadangan yang entah ke berapa. Lebar senyuman Ilham Zackry. Jika Taj Mahal adalah istana yang Shah Jahan bina untuk meraikan kenangan cintanya bersama Mumtaz Mahal, Istana Izack pula tempat bunga cinta Ilham Zackry dan Elza Zaharah mekar dan mewangi hingga harumnya mampu dihidu ke seantero alam.

Berkerut dahi Ilham Zackry sebaik melihat isu terkini di negara Mahatma Ghandi itu. Kes penculikan pelancong warganegara asing semakin meningkat. ‘Batal! Cari tempat lain…’ bisik hatinya tegas.

“Daddy…” panggil Sarah yang dari tadi duduk bermain di penjuru pejabat ayahnya. Manja dan lembut suara si anak. Mengikut gaya mummynya.

“Kenapa, sayang?” soal Ilham Zackry.

“Yah nak koko kunch,” sebut Sarah pelat.

“Hmm…” Tersenyum si ayah. Pantas dia bangun lalu mendokong anak itu. Sudah dua tahun enam bulan usianya. Sudah pandai bercakap banyak perkataan mudah biarpun sedikit pelat. Setiap hari bekerja, jika Ilham Zackry tiada temujanji di luar pada waktu petang, Sarah akan menemankannya.

Waktu pagi, anak itu sudah ada jadual ‘belajar’nya sendiri bersama Nanny Julia. Waktu petang, Sarah akan di hantar ke Quarter Gold untuk bersama daddy. Sengaja itu yang Ilham Zackry amalkan. Dia mahu sentiasa dekat dengan permata hatinya. Jika Baby Adam sudah sebaya Sarah, tiba giliran Baby Adam pula nanti.

Sambil menemankan Sarah makan, Ilham Zackry duduk berfikir lagi. Diketuk-ketuk jemarinya di lengan sofa. “Sarah…” panggilnya pada anak yang bergaun putih. Sudah comot gaun itu dengan tompokan Koko Krunch yang terjatuh merata-rata. Dia biarkan sahaja. “Anniversary daddy dan mummy dah nak dekat. Sarah nak suruh daddy beri hadiah apa pada mummy?”

Sarah mengangkat muka memandang daddynya. “Daddy! Yah nak bear…” Itu pula yang dipinta si anak.

Tertawa kecil Ilham Zackry. Lain ditanya lain dijawab. “Sarah nak daddy beri bear pada mummy?” soalnya. Sengaja dilayankan sahaja. “Mummy tu tak payah dapat bear. Mummy dah ada dua bear comel, siapa lagi kalau bukan Sarah dan Adik Adam…”

Bear yah…” Si anak menunjukkan jari ke arah anak patung beruangnya yang terbaring di atas permaidani di dalam kawasan permainannya.

“Oh! Sarah nak bear Sarah ya…” Baru dia faham. Terus sahaja dia mengambilkan teddy bear yang dimaksudkan lalu didudukkan di sisi Sarah.

Tersenyum Ilham Zackry memandang teddy bear merah jambu. Amat cute gayanya dengan t-shirt merah yang ada poket di hadapan. Mana mungkin dia lupa keterujaan Elza Zaharah membeli belah pakaian dan permainan Sarah pada Aidilfitri yang lepas. Teddy bear merah jambu itu adalah salah satu daripadanya. Ketika itu, Ilham Zackry masih mengalami kecelaruan ingatan. Elza Zaharah, biar pun tidak dilayan mesra masih mampu tersenyum setiap masa. Tak sanggup nak membayangkan keparahan jiwa si isteri saat itu.

‘Ya ALLAH! Jadikanlah aku suami soleh buat Elza Zaharah dan daddy yang soleh buat Sarah dan Adam,’ doa Ilham Zackry bersungguh di dalam hati.

Blackberrynya berbunyi tiba-tiba.

Salam sayang. Kami dah hampir sampai. 5 minit lagi! Luv

Sedang SMS dibaca, Elyana pula yang muncul di pintu pejabat Ilham Zackry yang serba putih. “Bos, mem dah nak sampai,” ucapnya tenang dengan senyuman.

“Awak tolong saya angkat beg Sarah,” arah Ilham Zackry. Gaun Sarah dibersihkannya dengan tisu. Bibir dan pipi putih mulus anaknya juga begitu.

“Baik, bos…”

“Sarah, kita jumpa mummy dan balik rumah ya…” beritahu Ilham Zackry. Bekas plastik berisi Koko Krunch ditutup lalu diserahkan pada Elyana untuk dimasukkan ke dalam beg si kecil. “Petang ni kita swimming nak tak?”

“Yah fish?” soal si anak.

Tersenyum Ilham Zackry. “Ya, sayang. Sarah berenang macam fish ya…”

“SAYANG!” ucap Ilham Zackry sebaik masuk ke dalam Audi A8L hitam berkilat. Perlahan suaranya kerana Adam Zackry pulas lena di pangkuan Elza Zaharah. Pantas ciuman di pipi diberikan buat isteri tersayang.

“Sarah okey hari ni? Sarah kacau daddy tak?” soal Elza Zaharah. Gembira dia kerana mereka sekeluarga sudah berkumpul dan sedang dalam perjalanan pulang ke Istana Izack.

“Yah good!” ucap Sarah. Sarah baik!

“Alhamdulillah!” ucap Elza Zaharah. “Daddy? Daddy okey tak? Daddy kacau Sarah tak?” soalnya pada Ilham Zackry.

“Daddy good!” lapor Ilham Zackry pula. Sengaja dia meniru gaya Sarah. “Kerja Zara macamana? Adam okey?” soalnya.

“Semuanya okey. Alhamdulillah!” jawab si isteri dengan senyuman. “Cuma Zara nak minta kebenaran abang. Zara nak keluar dengan Reen esok, boleh?”

“Nak ke mana?” soal Ilham Zackry. Berkerut dahinya.

“Zara nak ke Pavilion. Err… nak beli barang sikit.”

“Zara nak beli hadiah abang untuk anniversary kita ya?” soal si suami meneka. “Jangan susah-susah. Zara dah beri abang hadiah paling best dalam dunia…” Sengaja dia buat muka nakal.

Elza Zaharah memandang tajam pada suaminya dengan muka yang memerah. Malu dia jika Elias mendengar. Biar mata si driver tunak memandang ke jalanraya di hadapan, telinganya masih bisa mendengar perbualan mereka suami isteri. 

“Apa?” soal Ilham Zackry perlahan. Pura-pura tunjuk muka tak faham.

Elza Zaharah mengerdipkan mata. Tak puas hati. Lebih-lebih lagi lelaki itu tidak segan silu mencium tangannya berulang kali. Malah, menyandarkan kepala di bahunya.

“Abang maksudkan Adam…” kata lelaki yang kemas berpakaian pejabat. “Abang hargai susah payah Zara lahirkan Baby Adam. Tujuh jam dalam labour room. Tak sanggup abang nak tengok!”

“Memang abang tak tengok. Abang dah pitam dulu…” balas Elza Zaharah pantas. “Belum sempat apa-apa pun…” Perlahan suaranya namun gayanya nakal. Sama sepadanlah dia dan Ilham Zackry sebenarnya.

“Ooo… dah pandai sekarang…” sahut si suami tidak puas hati kerana terkena. Maklum, dalam kebanyakan waktu, Elza Zaharah sahaja yang asyik kena sakat. “Adam… Tengok mummy Adam ni!” Nak mengadu pula dia.

Baby Adam yang sedang lena mengangkat kening tiba-tiba. Perlahan dia menguap. Setelah beberapa ketika, kelopak matanya terbuka. Sebaik dia melihat wajah Ilham Zackry yang tersenyum lebar memerhatikannya, bibir si anak terus sahaja menguntum senyum.

“Assalamualaikum, Adam daddy!” ucap Ilham Zackry perlahan. Suara daddy yang penuh kasih sayang jelas kedengaran.

Mengeliat pula anak itu.

“Yaaam…” panggil Sarah pada adiknya. Pelat beberapa huruf buat namanya disebut ‘yah’ dan Adam menjadi ‘yam’. Peliknya, panggilan daddy boleh pula disebut tepat.

Jika Elza Zaharah tersenyum sambil perlahan membetulkan sebutan Sarah, Ilham Zackry pula terhinggut-hinggut menahan tawa. Mana tidaknya ‘Adam’ menjadi ‘Ayam’!

“Adam…” sebut Elza Zaharah. Jelas dan terang.

“Yam…” sahut Sarah dengan nada yang sama.

Tertawa lagi si daddy. Malah, driver daddy yang serius memandu pun sudah hilang stres mengharungi jalan yang sesak di mana-mana.


 

“ZARA! Abang memang tak nak Zara beli apa-apa hadiah untuk anniversary kita. Sungguh!” ucap Ilham Zackry beria-ia. Sejak petang tadi, itulah isu yang dia mahu tegaskan. Tiada hadiah untuk anniversary! Ketika itu, Elza Zaharah sedang menyusukan Baby Adam di bilik anak mereka. Entah berapa kali dia sudah mengingatkan isterinya tentang hal ini.

Elza Zaharah mengerutkan dahi. “Siapa cakap Zara nak belikan hadiah untuk abang?” Serius suaranya. Selamba gayanya. “Zara tak lupa pesan abang kat Zara. Zara pun tak tahu nak beli apa…”

Ilham Zackry tersenyum. Lega dia Elza Zaharah tidak bersusah payah untuknya.

“Tapi, esok Zara nak keluar juga dengan Reen ya,” pinta si isteri. “Zara bawa Baby Adam dan Sarah sekali.”

“Eh! Biarlah abang yang jaga Sarah. Esok petang meeting abang kat ofis aje. Dengan team ZM Developer jam 3.00.”

“Betul Sarah tak ganggu mesyuarat abang?” soal Elza Zaharah. Kebimbangan dia kerana Sarah ligat orangnya. Bukan dia tak tahu. Tiga bulan duduk di rumah sepenuh masa setelah melahirkan Baby Adam buat Elza Zaharah kenal benar dengan telatah anak itu.

Ilham Zackry tersenyum. “Dia baik, Zara,” beritahunya bersungguh. “Sarah leka dengan mainan dia aje. Paling lebih Sarah tengok Teletubbies kat iPad dia. Bila haus, Sarah minta susu…” Apa yang Ilham Zackry tidak beritahu adalah terkadang Sarah duduk di pangkuannya ketika dia mendengar pembentangan laporan projek di dalam mesyuarat yang dipengerusikannya. Sarah juga pernah terlena di pangkuan daddy yang sibuk berbincang tentang projek baru. Belum lagi Sarah menjadi escort daddy minum petang dengan rakan niaga sebaik habis mesyuarat. Entah mengapa, Sarah tidak ligat di pejabat. Dia pandai menunjuk manja dalam menarik perhatian Ilham Zackry. Keletahnya acapkali menceriakan suasana mesyuarat yang penuh ketegangan dan tekanan.

“Sarah ikut Zara ya…” pujuk si isteri lagi. “Reen teringin nak bawa Sarah jalan-jalan.”

“Hmm…” Nafas berat yang Ilham Zackry lepaskan. Sengaja nak tunjuk tidak puas hati. Sengaja juga nak manja-manja. Adam Zackry yang berada di pangkuan isteri di cuit pipinya. “Nak shopping berapa jam?”

“Tiga jam aje…” pinta Elza Zaharah.

“Lama tu...” sahut si suami tunjuk rasa tak puas hati. Sengaja lagi.

“Sayang! Sejak lepas pantang, mana Zara ada masa nak lunch dengan Reen macam dulu,” adu Elza Zaharah. Benar itu yang berlaku. Dia berehat sambil melayani anak-anak sepanjang tempoh berpantang. Sebaik berakhir, dia sibuk pula memantau perkembangan Dreams Design. Itu pun hanya dua hari dalam seminggu.

“Okey!” jawab si suami. Rela tak rela nadanya. “Elias akan hantar sayang abang ke sana… Suruh Reen datang sini dulu baru ke Pavilion sama-sama.” Itu arahan Encik Suami.

Elza Zaharah tersenyum. Kebenaran sudah diberi, ikutkan sahaja. “Tapi, tempoh tiga jam tu kita kira bila Zara dah pijak entrance Pavilion tau. Bukan kira dari waktu bertolak…” Melirik matanya kerana mahu menggoda untuk mendapat lebih masa.

Ilham Zackry pula sudah bulat mata!


ESOKNYA, pada jam yang dijanjikan, di Pavilionlah Elza Zaharah dan Zarina berada. Lega! Setelah mengharungi sesaknya Kuala Lumpur di mana-mana, sampai juga akhirnya mereka. Zarina menolak double stroller. Baby Adam tidur lena. Sarah pula sudah teruja semacam.

“Seronok tolak stroller...” ucap Zarina. Dia cukup santai dengan blaus berbunga dan berseluar palazzo. Ada riak muram di wajahnya tiba-tiba.

“Sabar, Reen. Jangan sedih! Reen baru aje kahwin. Tak sampai setahun pun. Banyak masa lagi boleh usaha…” nasihat Elza Zaharah yang berjalan seiring dengannya.

Sebenarnya Zarina menghubungi Elza Zaharah semalam. Dia merasa sedikit tertekan. Masih belum ada lagi tanda-tanda yang dia berbadan dua. Maminya di kampung sudah bising. Tak mahu lambat-lambat dapat cucu. Ibu mertuanya juga begitu. “Macamana nak sabar? Setiap kali mami call, cucu! Cucu! Cucu! Bila mak mertua Reen called lagi pressure.”

“Kenapa nak pressure?” soal Elza Zaharah. Dia kenal mak mertua Zarina, Hajah Maryam. Baik dan lemah lembut orangnya.

“Cuba Zara fikir, berkotak-kotak ubat herba, madu dan entah apa yang mak pos dari kampung. Sampai tak tahu nak makan yang mana,” jawab Zarina. Buntu dia.

“Patut pergi bercuti, Reen pergilah…” suruh Elza Zaharah. “Ajak Azmi pergi Bali. Macam yang Reen rancang mula-mula dulu…” Dia tidak lupa, Zarina dan Azmi mengubah perancangan bulan madu mereka kerana menerima pelawaan Ilham Zackry bercuti seminggu di atas kapal layar Sophia Fantastic.

Zarina tarik muka. “Reen merajuk dengan Azmi dah tiga hari…” Perlahan dia memecah rahsia rumah tangga.

“Reen! Reen dan Azmi tak bertegur sapa? Dah tiga hari?” soal Elza Zaharah serius. Isu ini tidak boleh dibuat main.

“Tegur tu tegurlah… SMS aje… Dia kat dapur, Reen masuk bilik. Dia masuk bilik, Reen pergi ruang tamu.”

“Astaghfirullah!” sebut Elza Zaharah. “Sebab isu anak?”

“Ada sebab lain. Dia asyik balik lambat…” jawab si teman. “Dahlah balik lambat, buat muka poyo pulak tu. Reen marahlah…”

“Reen…” panggil Elza Zaharah. Menarik nafas panjang dia. “Sabar... Dengan suami kena banyak fikir hal positif.”

“Entahlah! Cuti hujung minggu ni, Reen kena balik KT, mak nak buat kenduri. Zara boleh bayangkan tak kalau saudara mara Azmi kumpul ramai-ramai? Apa agaknya topik yang mereka tembak kat Reen?” Seram sejuk tubuhnya nak menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu kali ini.

“Saudara mara yang bertanya tu ambil berat kat Reen dan Azmi. Mintak aje dia orang doakan… Jangan lupa, bincang baik-baik dengan Azmi. Azmi sayang pada Reen. Tentu dia ada jalan nak buat macamana…”

“Dia pun macam Zara juga… Sabar… Sabar… Sabar…”

Elza Zaharah memandang teman baiknya. Perasaan Zarina memang mudah ditelah. Rasa gembira, sedih, teruja atau apa-apa sahaja akan terpancar jelas di wajah Zarina yang hitam manis. Maklum anak mami dari pulau mutiara. “Cukuplah! Kita lupakan sekejap hal itu. Jom kita happykan diri…”

“Nak buat apa?” soal Zarina.

Elza Zaharah tersenyum. “Zara nak cari hadiah anniversary untuk Abang Adam.” Adam adalah nama nostalgia Ilham Zackry di hati Elza Zaharah. Dengan menjadi Adam yang bekerja di SYABAS, Ilham Zackry berjaya mencuri hati wanita bernama Elza Zaharah yang amat jual mahal. Sebagai kenangan, anak lelaki mereka dinamakan Adam Zackry.

“Bukan anniversary awak dah lepas ke?” soal Zarina serius.

Elza Zaharah mengangguk. “Betul! Tapi masa tu kan tok su sakit, kami decide untuk tak celebrate. Sengaja kami cabut undi untuk pilih tarikh baru. Dapat tarikh bulan depan,” terangnya serius. Biar kisah itu sedikit menyedihkan, namun, dia kelegaan, tok su sudah sihat semula seperti sediakala.

“Awak dan Adam memang macam-macam, kan?” soal Zarina. “So, Zara nak beli apa?” Selain Elza Zaharah, hanya orang tertentu sahaja yang memanggil Ilham Zackry dengan nama ‘Adam’. Mereka adalah Zarina dan suaminya, Azmi, serta keluarga Elza Zaharah yang tinggal di Kampung Api-Api, Pagoh.

“Zara tak pasti lagi,” jawab Elza Zaharah dengan senyuman manis. Matanya memandang-mandang ke kiri kanan. Lot-lot kedai dan butik berjenama dipandangnya sekilas. “Abang Adam tak bagi Zara beli hadiah. Tapi, takkan Zara tak bagi… Dahlah first anniversary.”

“Payah juga awak nak cari hadiah untuk Adam,” ucap Zarina. Dia tahu siapa Ilham Zackry. Lelaki itu mampu memiliki hampir segala. “Kalau saya, saya tak ada idea…”

Elza Zaharah tertawa pula kali ini. “Err… kita cari Tutti Frutti lah dulu…”

“Tak muak lagi ke?” soal Zarina sedikit mengejek. “Dari dulu asyik itu aje yang awak telan…”

“Hei! Saya pantang Tutti Frutti sejak bersalin tau…” sahut Elza Zaharah pantas. Dah lima bulan dia tak menyentuh makanan kegemarannya itu.

“Mama Adam tak bagi makan ya?” soal Zarina meneka.

Elza Zaharah mengangguk. “Mama kata sejuk. Tak elok untuk urat perempuan yang baru lepas bersalin. Zara ikut aje…”

“Mak-mak mertua memang semuanya banyak pantang larang, kan?” soal Zarina. Ada nada tidak puas hati di situ.

Elza Zaharah tertawa. “Tak adalah banyak… Mana yang mak mertua tegur, kita ikut ajelah! Kan mak mertua kita tu ibaratnya ibu kita. Lagipun, kalau mami Reen tegur, Reen ikut ke?” Sempat dia mengusik. Bukan dia tak tahu macamana perhubungan Zarina dan maminya yang sentiasa ‘hangat’.

Zarina tertawa. Riak nakal ditunjukkannya.

“Tahu pun! Jangan fikir serong pada mak Azmi tak tentu pasal. Berdosa!” tegur Elza Zaharah.

“Letih nak ikut petua dia…”

“Biasalah! Orang tua. 25 tahun lagi kitalah orang tua tu, Reen… Reen tak takut ke dapat menantu yang suka kutuk Reen kat belakang?” soal Elza Zaharah serius.

Zarina terdiam.

“Dah! Jom, Zara belanja Tutti Frutti. Bagi lapangkan otak, sejukkan hati…”


“APA?” soal Zarina serius. Ajakan Elza Zaharah tadi buat dia terkejut. Ini kali yang pertama sepanjang persahabatan mereka.

“Betul! Zara perlukan baju baru untuk anniversary. Reen pulak boleh guna untuk pujuk Azmi…” Selamba Elza Zaharah menyebut sambil menyuap Tutti Frutti ke mulutnya. Kemudian, sesudu pula disuap buat Sarah.

Tersenyum lebar si anak. Terpejam-pejam matanya menikmati makanan sejuk dan masam rasanya. “Agi!” Ah! Dia minta lagi. Segera si mummy suapkan lagi.

“Hish! Apa mimpi awak ni?” soal Zarina tidak puas hati.

Elza Zaharah tergelak.

“Tadi kata nak cari hadiah Adam. Apasal sekarang nak beli baju Zara pulak?” Tak faham dia.

“Masa Reen pilih Tutti Frutti Reen tadi, Zara dapat SMS dari Kak Sya. Ada jemputan untuk Majlis Lelong Amal Rumah Ar-Raudhah. Zara nak beli hadiah Abang Adam kat situ aje,” jawab Elza Zaharah. Kak Sya adalah panggilan untuk Aisyah, kakak kedua Ilham Zackry.

“Tak surpriselah nanti!” sahut Zarina pantas. “Adam tentu nampak apa yang awak beli.”

“Jangan risau! Abang Adam ke Melbourne masa tu. Zara akan ke majlis tu dengan Kak Sya.” Dia dan Aisyah kerap pergi ke majlis rasmi bersama terutama jika suami masing-masing ke luar negara. Suami Aisyah, Fikri seorang juruterbang.

“Okey… Reen teman Zara beli baju tu,” balas Zarina. Dia tiada pilihan. Bukan mudah pun nak mengajak Elza Zaharah keluar ke mana-mana sekarang. Asyik sibuk dengan suami dan anak-anak. “Tapi, Reen tak nak beli apa-apa.”

“Reen kena beli!” paksa Elza Zaharah. “Reen patut beli yang warna merah. Yang ada renda kat dada. Kain satin yang kembang kat bawah. Lembut beralun aje nanti… Sepasang pun jadilah. Jangan sayang duit sangat... Beli untuk Azmi, Reen dapat pahala. Hilanglah merajuk dia nanti…”

Zarina menggeleng. “Zara ni teruklah! Zara segan nak beli benda tu seorang-seorang, Zara perangkap Reen dengan nasihat yang menyentap perasaan…”

“Jomlah…” pujuk Elza Zaharah lagi. “I need you, please…” Ditarik tangan temannya sambil melangkah masuk ke sebuah butik pakaian peribadi wanita yang sangat terkenal. Tersenyum bibirnya melihat logo VS di mana-mana.


JIKA si isteri sibuk di Pavilion. Lain pula cerita si suami. Dua puluh minit sahaja Ilham Zackry berada di dalam bilik mesyuarat. Mana agenda yang kurang penting diserahkan kepada Zaini, COO Quarter Gold untuk membuat keputusan. Dia mahu keluar untuk dua perkara yang perlu diberi lebih keutamaan.

Setengah jam kemudian dia sudah muncul di Kinrara Heights. Mamanya, Puan Sri Halimah sudah menunggu. “Maaf, mama terpaksa minta Izack datang.”

“Tak apa, ma! Meeting Izack dengan staf dah settled,” jawab si anak. “Mama okey?”

“Alhamdulillah!” jawab Puan Sri Halimah.

“Ada apa yang urgent tu, ma? Papa tak sihat ke?” soal Ilham Zackry tidak sabar. Mamanya mengeluarkan arahan agar dia datang ke sini tanpa alasan selain perkataan ‘urgent’ yang dilafazkan. Sebaik sampai, mamanya hanya menunggu di bilik studi papanya. Bukan di ruang tamu seperti selalu.

“Zara shopping kat mana? Dia nak balik pukul berapa?” tanya Puan Sri Halimah. Soalan anaknya sengaja tidak dijawab.

“Zara ke Pavilion dengan Reen dan anak-anak. Pukul enam nanti sampailah rumah…” jawab Ilham Zackry. Tersenyum dia ketika menyebut nama isteri. Bahagia rasa di hati sebaik terbayang wajah anak-anak.

“Mama nak serah sesuatu pada Izack,” ucap si ibu. Serius. “Tapi, jangan beritahu pada Zara dulu sampai tiba masanya.”

Berkerut dahi Ilham Zackry. “Apa dia, ma?”

Puan Sri Halimah mencapai tangan kanan anaknya, satu uncang kecil diletakkan di atas tapak tangan. “Tengoklah…”

Ilham Zackry mengerutkan dahi. Isi uncang dikeluarkan. “Cincin mama?!”

Puan Sri Halimah menggeleng. “Ini cincin pusaka keluarga papa. Mama pun tak tahu dah berapa keturunan baru sampai ke tangan nenek Izack. Dia beri pada mama bila Izack lahir. Sekarang mama kena beri pada Zara pulak…”

“Kenapa?” soal Ilham Zackry.

“Sebab Zara dah lahirkan anak lelaki untuk Izack…”

Terangguk-angguk kepala si anak. Dia sendiri sudah lupa hal cincin pusaka itu. “Kenapa mama tak beri sendiri pada Zara?”

“Dulu nenek Izack serah pada papa untuk sarungkan di jari mama. Mama fikir, itulah yang mama patut lakukan. Mama serah pada Izack untuk Izack sarung ke jari Zara sebagai hadiah anniversary…”

Si anak mengangguk.

Anniversary Izack nanti, papa nak buat kenduri. Kat rumah sini. Semua uncle dan aunty Izack, mama dah jemput. Kak Sya dan Kak Lea pun dah jemput all your cousins. Pastikan Zara datang pakai cincin ni. Biar semua saudara mara tahu, mama dah laksanakan tanggungjawab mama untuk keluarga kita…”

“Insya-ALLAH, ma!” jawab Ilham Zackry akur.



DI PAVILION, Elza Zaharah memerhatikan sahaja Zarina yang ralit memilih. Tersenyum dia melihat mimik muka Zarina. Temannya itu akan berkerut dahi jika dia tidak berkenan dengan apa yang dibelek. Dia akan memuncungkan bibir jika pakaian itu dia mungkin berkenan tetapi ada satu dua ciri yang dia tidak boleh terima. Dia terus sahaja menggeleng jika fesyen pakaian itu di dalam kategori disaster.

Apa sahaja reaksi Zarina, Elza Zaharah biarkan sahaja. Sengaja dia memberi lebih masa buat Zarina dengan harapan temannya itu dapat menenangkan fikiran. Sambil itu, Elza Zaharah melayan Sarah membelek buku ceritanya. Baby Adam masih lena tidur.

“Zara dah bayar?” soal Zarina yang muncul tiba-tiba.

Elza Zaharah mengangguk. “Reen beli berapa pasang?”

Zarina menunjukkan pilihan yang dibuatnya. “Reen rasa Reen nak pilih beberapa helai lagi.”

“Baguslah! Semoga Azmi tersenyum lebar,” ucap Elza Zaharah. Keningnya diangkat tinggi.

Zarina tersenyum segan. “Kalau dia buat tak tahu, Reen bakar aje baju ni…” Sengaja tunjuk marah.

“Garangnya…” tegur Elza Zaharah sebelum tergelak. Zarina memang semberono sejak dulu lagi!


SEJAM selepas itu, tiada siapa yang mampu menduga apa yang berlaku. Bulat mata Elza Zaharah. Bulat lagi mata Zarina. Terkejut mereka sebaik melihat dua orang ‘jejaka’ yang tersenyum lebar memerhatikan mereka tidak jauh dari pintu utama Butik VS. Yang berambut kerinting memegang sejambak bunga, yang berambut lurus pula memegang belon berbagai warna.

“Zara!” panggil Zarina serius. Matanya tajam memerhatikan si rambut kerinting. “Zara yang ajak dia orang datang sini?”

Elza Zaharah menggeleng. “Buat apa nak ajak dia orang? Habislah surprise kita…” Kalut dia. Mana dia nak sorok beg kertas dengan isi yang macam-macam. Lelaki berambut lurus itu pasti boleh mengagak apa yang dibelinya.

“Daddy!” jerit Sarah teruja.

Ilham Zackry dan Azmi segera melangkah mendekati isteri masing-masing.

“Reen… Ini bunga untuk Reen,” ucap Azmi. Sejambak bunga ros diserah pada isteri yang terkulat-kulat di depan mata. “Abang nak minta maaf sebab balik lambat tiga hari lepas…”

Zarina sengaja menjeling manja. Namun, jambangan bunga diambilnya juga.

“Belon tu untuk siapa, bang?” soal Elza Zaharah pula. Sopan dia menyalami tangan suami. Kekalutan di hati kini ditutup rapi. Berani pula dia tersenyum menunggu reaksi lelaki itu. Jika bunga di tangan Azmi untuk Zarina, tentulah belon di tangan Ilham Zackry untuk dia.

“Err…” Ilham Zackry teragak-agak.

“Bang!” panggil si isteri mengharap.

“Err… belon ni untuk Sarah dan Baby Adam.” Ilham Zackry terpaksa berterus terang.

Elza Zaharah mengerutkan dahi. “Habis tu, Zara dapat apa?” soalnya ingin tahu.

“Err… tak ada apa-apa…” jawab Ilham Zackry. “Zara nak bunga juga? Abang rasa, tak payah kot… Reen dapat bunga sebab dia merajuk. Azmi kenalah pujuk dia. Zara tak merajuk, kan?”

Elza Zaharah menggelengkan kepala menutup rasa geram. Dibiarkan sahaja Ilham Zackry yang sibuk mengikatkan tali belon di pemegang double stroller. Dua buat Sarah. Dua buat Baby Adam.

“Okey… Jom, semua! Kita pergi makan,” ajak Ilham Zackry. Selamba sahaja wajahnya. Namun, riang suaranya. Double stroller ditolak perlahan.

Elza Zaharah hanya menurut perintah di dalam diam. Apa pilihan yang dia ada? Sekurang-kurangnya dia lega, Zarina dan Azmi sudah mula berbicara semula.

Setelah beberapa langkah, Ilham Zackry berhenti.

“Kenapa?” soal Elza Zaharah kehairanan. “Ada barang yang tertinggal?”

Ilham Zackry memusingkan tubuh. Dia berjalan ke belakang beberapa langkah. Sebelum itu, sempat dia berkata, “Ya, Zara tak senyum. Abang nak cari senyuman Zara. Mungkin tertinggal kat butik yang best tu tadi…”

Elza Zaharah tertawa manja. Bukan sahaja kerana gelagat suaminya, namun, kerana setangkai bunga ros merah yang terselit di belakang tubuh lelaki itu. Tentu itu untuk dia. Bahagia!


TAPI itu sebulan dulu. Sekarang, lain ceritanya. Semua perancangan telah diaturkan dan bakal berjalan sebaiknya. Sayangnya, ini pula yang terjadi. Ilham Zackry bertambah kalut. Jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Sudah lebih sejam dia bertapa di dalam kamar tidurnya. Puas digeledah. Puas dibelek. Tak ada! Ya, apa yang dicarinya tidak ada. Cincin itu tiada di bilik tidur mereka.

“Sayang!”

Ilham Zackry mengerutkan dahi. Itu suara Elza Zaharah. Awal isterinya pulang! Melihat cadar di atas katil berselerak kerana tidak sempat dikemas semula, Ilham Zackry tiada pilihan lain. Segera dia melompat ke atas katil, berbaring lalu berselimut. Matanya ditutup rapat-rapat. Itu sahaja caranya untuk menutup rahsia.

Elza Zaharah membuka pintu. Terkejut dia melihat si suami yang sedang terlena. Lewat petang begini Ilham Zackry tidur? ‘Demam kot?’ Segera dia duduk di birai katil. Pantas sahaja dahi suami disentuh. Tak panas! Sempat dia memerhatikan sekeliling. Entah mengapa dia merasakan susunan barang-barang peribadi mereka sudah tidak seperti biasa. Pelik dia…

“Sayang…” panggil Elza Zaharah perlahan. Tangan Ilham Zackry diusapnya lembut. “Sayang… bangun! Dah lepas Asar, tak baik tidur!” Selimut di tubuh Ilham Zackry diselaknya. Berkerut dahinya melihat lelaki itu lengkap berpakaian pejabat. Bukan setakat berkemeja dan berseluar, malah masih bertali leher.

Ilham Zackry berpusing tubuh. Berbaring mengiring pula sambil memeluk peha Elza Zaharah. Nafasnya ditarik dan dilepaskan panjang-panjang. Dia pura-pura menguap. Matanya pula digenyeh-genyehkan. Kemudian, dia mengeliat. Sengaja semua aksi itu dibuat perlahan-lahan kerana dia tahu, dia dalam perhatian.

Elza Zaharah yang melihat sekadar tertawa kecil. “Macam Baby Adam…” tegur si isteri perlahan. Belakang tubuh Ilham Zackry diusap beberapa kali. “Sayang, bangun!” pujuknya. Ciuman lembut di pipi segera diberi.

Ilham Zackry membuka mata. Sengaja direnung wajah isteri.

“Kenapa?” soal Elza Zaharah.

Ilham Zackry menggeleng. Takkan dia nak cakap yang hadiah buat Elza Zaharah dah hilang.

“Mama ada call Zara tadi. Mama ingatkan Zara tentang kenduri anniversary kita,” beritahu Elza Zaharah. Bimbang terlupa.

Mendengar ayat yang sebaris itu, buat Ilham Zackry merasa semakin sesak dada. Laporan dari Elyana melalui SMS sudah diterima, ‘barang kes’ tidak dijumpai di pejabat Quarter Gold. Mimi juga sudah memaklumkan laporan yang sama. Nanny Julia juga. Kak Siah, Nita dan Sumi turut telah menghantar isyarat mata dan kepala tadi sebaik dia sampai dari pejabat. Cincin pusaka tiada di Istana Izack!

“Sayang… Kenapa ni?” soal Elza Zaharah. Suaminya tidak pernah begini.

“Err… Tak ada apa-apa…” Ilham Zackry keresahan. Kini, hanya Elias yang menjadi harapan.

“Pelik! Sayang baring atas katil, berselimut. Kenapa tak buka baju pejabat dulu?” soal si isteri. Selimut diselak hingga ke hujung kaki. Bulat matanya. “Stoking pun tak lucut lagi?”

Ilham Zackry mengerutkan dahi. “Zara tolong lucutkan, boleh tak?” Sengaja dia guna suara manja.

“Boleh!” jawab Elza Zaharah. “Nak manja-manja ya… Macam dulu… Maaf ya, sejak ada Baby Adam, Zara sibuk sikit. Mana layanan yang terlepas pandang tu, Zara minta maaf siap-siap. Memang tak sengaja!” Terus sahaja stoking di kaki suaminya dilucutkan perlahan-lahan.

Tiba-tiba, Blackberry Ilham Zackry berbunyi.


Bos, cincin tu tak ada kat semua kereta bos!Kita nak buat macamana ni?


Wajah Ilham Zackry pucat.

“Sayang, kenapa?” soal Elza Zaharah lagi. Lain benar gelagat Ilham Zackry petang ini.

“Abang… Err… abang kena ke padang golf!” Segera dia bingkas bangun dari pembaringan.

“Dinnerkita?” soal Elza Zaharah. Sudah menjadi rutin mereka makan malam bersama sekeluarga jika tiada urusan rasmi. Setahunya, si suami lapang malam ini.

Ilham Zackry mengerut dahi. “Err… Peter Young dari Singapura nak jumpa abang. Ada hal penting katanya…” Terpaksa dia berdalih.

“Okey…” jawab si isteri. “Jangan lupa solat Maghrib nanti…”

Lelaki itu terus keluar sebaik memberikan sebuah pelukan dan ciuman yang hebat buat isteri tersayang.


AZMI merenung wajah Ilham Zackry sambil mengacau teh ais laicinya perlahan-lahan. Elias juga hanya diam sambil mengelap dahinya yang basah dengan peluh. Biar malam itu nyaman, hati ketiga-tiga mereka kegalauan.

“Bos! Hadiah Puan Zara yang baru, saya dah tempahkan. Esok dalam jam 4.00 petang, hadiah tu akan sampai.” Suara Elyana jelas dan terang didengari ketiga-tiga lelaki yang benar-benar nampak lelah. Dia dan Ilham Zackry sedang bertele-sidang ketika itu. “Kita doa sungguh-sungguh, semoga kita terjumpa semula cincin Puan Sri Halimah tu.”

Ilham Zackry melepaskan nafas berat. “Masalahnya, mama saya buat kenduri keluarga minggu ni. Zara patutnya dah pakai cincin tu. Apa saya nak cakap dengan mama saya?”

“Bos!” panggil Elias pula. “Saya cadangkan, lepas makan malam esok, bos berterus terang dengan Puan Zara. Masa kenduri tu nanti, bos dan Puan Zara berterus terang pulak pada Puan Sri Halimah. Puan Zara kan menantu kesayangan mama bos. Insya-ALLAH! Tentu mama bos okey…”

Kali ini si bos menggelengkan kepala. “Saya tetap susah hati! Itu baru mama saya. Papa saya pulak, macamana? Itu cincin pusaka keluarga papa…”

“Adam!” Giliran Azmi pula membuka mulut. “Saya percaya, papa awak akan faham… Kita dah puas belek rumput kat padang golf ni. Belum rezeki kita nak jumpa… Kita balik dan solat hajat. Semoga ALLAH izinkan kita dapat balik cincin tu.” Perlahan dia memujuk. “Payah-payah, esok awal pagi, kita datang ke sini lagi…”

“Bos jangan tak tidur malam pulak ni!” Elyana menasihatkan di hujung talian bergambar. “Esok Puan Zara cantik kebaboom, mata bos pulak yang macam panda… Photographer dah ready nak shoot event esok. Bos kena senyum aje tahu!” Sempat dia mengusik untuk mencipta suasana ceria.


CERIA? “Memang daddy nak ceria, Adam!” adu Ilham Zackry kepada anaknya yang pulas tidur. “Tapi, macamana daddy nak ceria? Daddy dah hilangkan benda paling penting untuk mummy. Daddy mesti kena soal siasat dengan nenek dan atuk Adam nanti…”

Sejak pulang dari padang golf tadi, dia terus mandi, bersolat Isya’ dan Sunat Hajat. Terlalu besar harapannya untuk berjumpa kembali hadiah buat isteri yang sekarang hilang entah ke mana. Jemari kecil Baby Adam disentuhnya perlahan. “Daddy dah solat dan dah doa banyak-banyak. Semoga ALLAH makbulkan doa daddy. Adam pun doakan ya…”

Hujung kening Baby Adam sedikit terangkat tiba-tiba. Tersenyum si daddy. Terasa seperti si anak mendengar bicaranya tadi. “Esok, mummy Adam akan mekap cantik-cantik, pakai baju yang daddy sendiri pilih. Kami akan makan berdua kat tempat special. Ada bunga, belon… lampu. Ada orang main muzik… Kami makan, kami ketawa… happy-happy… Adam nak ikut ya?” soal Ilham Zackry perlahan.

Tertawa dia sebelum menjawab sendiri. “Adam baby lagi. Daddy tak naklah Adam berembun. Takut demam. So, lain kali ya…” Selimut anaknya dibetulkan. “Adam tanya daddy? Adam patut buat apa?” Tertawa lagi Ilham Zackry. Berangankan si anak sudah pandai bercakap nampaknya. “Kalau daddy minta Adam tidur, sampai pagi… tak kacau mummy dan daddy, boleh tak?”

Baby Adam yang tidur, menguntumkan senyum tiba-tiba. Entah apalah yang si anak mimpi. Melihat itu, si daddy terus berbicara lagi. “Adam setuju? Alhamdulillah… Dah lima bulan, daddy tidur tak lena tau. Asal terjaga malam aje, mummy mesti tak ada. Bila daddy cari mummy, mesti dia tengah belek Adam. Adam nak susulah. Tukar diaperslah. Itu belum lagi kira Kak Sarah!

So, esok… Daddy nak Adam beri kerjasama 200% untuk daddy. Adam juga kena beritahu Kak Sarah pesanan daddy ni… Esok malam, minum susu puas-puas, lepas tu terus tidur. Bangun bila dah dengar azan Subuh aje ya…”

Setelah menghadiahkan ciuman penuh kasih sayang buat anaknya, Ilham Zackry terus sahaja keluar diiringi dengan harapan dan doa. Semoga esok, cincin itu dapat ditemuinya dan semua yang diatur berjalan lancar.


“ZARA, abang nak beritahu Zara tentang sesuatu…” sebut Ilham Zackry ketika membelek potongan rambutnya di hadapan cermin di ruang tamu rumahnya. Dia yang sudah lengkap bersut hitam siap dengan bow tiedi leher, kelihatannya amat bergaya sekali. Biarpun begitu, debaran di hati tidak dapat dipadam. Dia keresahan hanya kerana isu yang satu itu.

Adakah Elza Zaharah akan memaafkannya? Adakah Elza Zaharah akan membantunya memujuk mamanya? Adakah mama dan papanya akan kecil hati dengan kecuaiannya? “Betul, sayang! Abang betul-betul tak perasan bila cincin itu hilang…” Sendirian Ilham Zackry membayangkan antara bait kata yang bakal dilafazkannya kepada Elza Zaharah. Isterinya itu sudah di dalam perjalanan dari salun di Damansara Astraea ke Damansara Sapphire, di mana rumah mereka berada. Ikut jangkaan, perjalanan hanya mengambil masa 15 minit. Sekejap! Tetapi, minit-minit sekejap yang berlalu itu menjadi penderitaan buat Ilham Zackry.

Ilham Zackry mengusap pangkal leher demi mengurangkan tekanan perasaan. “Abang nak beritahu yang abang dah...”

“Encik Izack! Mem dah sampai…” maklum Elyana memotong lamunan Ilham Zackry. Dia baru menerima signal dari Elias yang memandu.

Ilham Zackry menarik nafas panjang. Sudah tiada masa untuk memikirkan apa lagi. “Bismillah!” Itulah yang sebaiknya. Dia melangkahkan kaki keluar setelah menyarung kasut kulit hitam berkilat. Sorotan lampu MPV mewah yang masuk ke perkarangan Istana Izack buat dia tersenyum. Wajah isterinya yang nampak teruja buat dia teruja sama.

“Sayang…” panggil Ilham Zackry yang membukakan pintu MPV buat Elza Zaharah. Itulah kenderaan yang membawa Elza Zaharah ke mana-mana sekarang. Maklum, di mana ada Elza Zaharah, di situ ada Baby Adam. Di mana ada Baby Adam, di situ ada Nanny Julia. Malah dalam kebanyakan masa, Sarah pun ada juga. Kenari hitam Elza Zaharah sudah tidak cukup untuk memuatkan semua ahli rombongannya.

“Kita nak ke mana?” soal Elza Zaharah yang bergaun chiffon merah jambu dengan tudung berlapis yang sepadan. Tangan suami diraih lalu diciumnya penuh kemesraan. Jangkaannya, Ilham Zackry mahu membawanya keluar. Tetapi ke mana?

“Adalah…” balas Ilham Zackry. Tertawa kecil dia. Dia tahu Elza Zaharah tertanya-tanya tentang banyak perkara. Namun, sengaja dibiarkan sahaja. “Adam dah tidur?”

Elza Zaharah mengangguk. “Sengaja Zara minta Nanny Julia ajak dia banyak main. So, lepas Maghrib tadi, dia terus tidur…” Tersenyum dia memerhatikan Nanny Julia mengangkat Baby Adam masuk ke dalam rumah. Elias turut sama membantu mengangkat barangan si kecil yang bukannya sedikit.

“Alhamdulillah!” ucap si suami gembira. Sekurang-kurangnya 20% rancangannya telah berjaya.

“Sarah okey tak?” soal si isteri pula.

“Sarah sporting…” jawab Ilham Zackry ringkas. “Daddy suruh tidur, dia terus tidur.” Tangan Elza Zaharah ditarik perlahan menuju ke kolam renang di sisi banglo mereka yang gelap tidak bercahaya. Sebaik sampai di situ, sekumpulan ahli muzik memainkan lagu kegemaran isterinya.

“Subhanallah! Apa abang buat ni?” soal Elza Zaharah terkejut.

Ilham Zackry hanya tersenyum. Terangkat keningnya sebaik lampu-lampu LED bersaiz kecil menerangi pepohon rendang di sebelah dalam pagar rumah mereka.

“Abang!” tegur Elza Zaharah. “Kenapa susah-susah ni?”

Ilham Zackry tertawa kecil. “Nothing!” balasnya selamba. “Just a simple thing to celebrate our moment… only me and you, Zara!”

Tersenyum Elza Zaharah. Matanya memandang setiap apa yang ada. “Simple These are your definitions of simple, abang!” Sempat lagi dia menunjuk muka geram.

“Jom kita dinner…” ajak si suami. Bersama mereka melangkah ke atas titian terapung yang dibina di atas kolam renang yang dipenuhi dengan beratus-ratus biji belon. “Hari tu ada orang merajuk sebab tak dapat belon. Hari ini, semua belon ni memang untuk Zara…”

Elza Zaharah tertawa. Gembira hatinya. Namun, sebaik melihat apa yang terhidang di atas meja, Elza Zaharah mengerutkan dahi. Pelik benar rupa menu mereka malam ini.

“Untuk abang, Kak Siah masak sambal lobster. Makan dengan salad dan spegeti…” beritahu Ilham Zackry. “Untuk Zara, Kak Siah masak mee lobster.”

Mee lobster? Sambal lobster? Terletus lagi ketawa Elza Zaharah. Rupanya itu menu kegemarannya dan suami. Menu biasa yang dihias dengan penuh gaya oleh Kak Siah, tukang masak kegemaran mereka. “Pandainya Kak Siah!” pujinya. Mee udang kegemarannya sudah naik taraf menjadi mee lobster. Sambal udang galah kesukaan suaminya juga mengalami nasib yang sama.

Ilham Zackry tersenyum senang dengan reaksi bahagia dari Elza Zaharah. Semoga isterinya tenang sebaik dia memaklumkan berita ‘Zara, abang dah hilangkan cincin pusaka yang mama beri pada Zara!’. Sebaik teringat hal itu, Ilham Zakry tidak keruan semula.

“Maaf, Zara tak dapat masakkan sambal udang galah untuk abang malam ni…” ucap si isteri. Biasanya menu sambal udang galah, memang dia yang menyediakan buat suami.

“Err… Tak apa!” jawab Ilham Zackry ringkas. “Kalau Zara yang masak, Kak Siah yang kena pergi spa dan salun tadi…” Sempat dia membuat lawak untuk menutup kecanggungan fikiran.

“Untunglah Kak Siah sebab dapat pakai gaun ni…” sambung si isteri dengan senang hati. Gelihati dia, malam anniversary mereka, Kak Siah yang menjadi topik perbincangan. Bukannya cinta, bulan atau bintang sebagaimana biasa yang orang lain lakukan.

Ah! Memang perkahwinan mereka tidak sama dengan orang lain. Dia dipertemukan dengan Ilham Zackry ketika dia terlampau serius dalam kehidupannya. Jika tidak kerana kesungguhan lelaki di hadapannya, dia mungkin masih sibuk membelek design, menyemak laporan kewangan dan entah apa-apa lagi kerja yang tidak pernah surut di syarikat hiasan dalamannya.

Kesungguhan Ilham Zackry diindahkan lagi dengan doa dan restu keluarga, buat Elza Zaharah tidak takut untuk mencari bahagia. Dulu, dia hanya ada tok su, nek su, Luqman, Hadi dan Haikal di Kampung Api-Api. Dan kini, dengan adanya Sarah dan lahirnya Adam Zackry hidup mereka semakin sempurna. Dan kesempurnaan itu turut membahagiakan papa dan mama mertuanya, tempat Elza Zaharah menumpang kasih. Lantaran dia sebenarnya sebatang kara!

“Abang dah tanya pada mama, apa agenda kenduri malam esok?” soal Elza Zaharah tiba-tiba.

Terbatuk Ilham Zackry. Sebaik nama mamanya meniti di bibir si isteri, ada hutang yang perlu dilunasi. Segera dia mencapai gelas berkaki tinggi, air buah-buahan diteguk sekali buat melegakan tekak. “Zara tak tanya Kak Lea?” Itu pula yang disoalnya.

Elza Zaharah mengangguk. Memang dia ada lebih setengah hari bersama Azalea hari ini. “Zara tanya, tapi, Kak Lea kata surprise…”

Ilham Zackry senyum terpaksa. “Kalau macam tu, surpriselah…”

“Abang dah tahu ya?” tembak Elza Zaharah.

Ilham Zackry menggeleng. ‘Aduhai! Yang aku tahu, aku dah hilangkan cincin mama tu… Macamanalah aku nak cakap dengan Zara?’ Dia menyoal dirinya sendiri di dalam hati.

“Tak apalah! Kita tunggu aje esok, apa yang mama rancang untuk kita…” ucap Elza Zaharah riang.

Melihat Elza Zaharah sudah selesai menikmati hidangan utama, “dessert?” soal Ilham Zackry.

Elza Zaharah mengangguk. Setiap kali makan, inilah saat yang sering dinanti. Tersenyum dia melihat kek keju kegemarannya terhidang di hadapan mata. “Caramel Cheese Cake?”

“Yes! From Secret Recipes as you like it…”ucap Ilham Zackry. “Abang punya, puding coklat, versi Kak Siah!” Kak Siah lagi…

Elza Zaharah tertawa senang. “Tutti Frutti?” Itu juga yang dia cari…

“Ada… Itu untuk event yang paling special punya…” sahut si suami. Sempat panahan nakal dilepaskan.

Si isteri tertawa lagi. “Terima kasih sebab buat ini semua untuk Zara…”

“Sama-sama kasih, sayang! Terima kasih sebab sudi jadi isteri abang,” ucap Ilham Zackry dengan senyuman.

“Abang ni cakap… macam kita baru nikah semalam…” Melirik mata si isteri menahan malu.

“Eh! Bukan memang baru nikah semalam ke?” Sengaja dia mengaru-garukan kepalanya. “Puan Zara, satu kampung dah tidur…” Dialog malam keindahan mereka sengaja diulangnya dengan suaranya yang dalam semacam.

Merah muka si isteri.

Terima kasih sebab sudi lahirkan anak buat abang…” ucap si suami lagi. Rasanya seperti nak ucap macam-macam. Namun, sebaik melihat si isteri malu-malu, dia merangka-rangka untuk masuk ke agenda seterusnya tanpa menunggu lama.

“Alhamdulillah! Semuanya selamat. Kita usaha dan doa agar kita menjadi mummy dan daddy yang baik untuk anak-anak kita. Moga, mereka pun menjadi anak-anak yang baik buat kita. Semoga, keluarga kita jadi keluarga yang fantastik dengan rahmat ALLAH!”

“Aaminn…”

Sesudu kek keju disuap ke mulut suami setelah beberapa ketika. “Abang… mama ada cakap nak suruh kita tidur kat Kinrara Heights malam esok. Abang okey tak?” soal Elza Zaharah lagi. Permintaan itu disampaikan padanya oleh Azalea.

Peluh Ilham Zackry merenik semula. Hal mama lagi… ‘Aduh!’ rintih hatinya.

Tiba-tiba guruh berbunyi. Berulang kali. Bayu malam yang nyaman bertukar sedikit kasar membawa rintik-rintik hujan.

“ALLAH! Hujan…” ucap Ilham Zackry. Dia bingkas bangun, kot hitam dibukanya pantas lalu kepala Elza Zaharah diteduhkan. “Jom masuk! abang tak mahu Zara kena hujan…”

Cheese cake Zara?” soal isteri yang masih mengharap untuk terus menikmatinya.

“Ada banyak lagi kat dapur!” jawab Ilham Zackry pantas. “Elyana!” sempat dia menjerit memanggil setiausahanya. “Time off!”

“Abang! Jom kita main hujan…” ajak Elza Zaharah. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Kumpulan muzik yang kelam kabut berkemas tidak menarik perhatian mereka.

“No way,sayang! Abang tak nak Zara demam. Zara susukan baby kita…”

Please…” pinta si isteri. Lengan suami dikejapnya kuat. “Buat pertama kali, dalam hujan…”

Ilham Zackry terkaku. Tidak terjangka dia dengan permintaan isterinya. Akhirnya, hujan yang melebat mereka biarkan sahaja.

“Zara nak abang beritahu Zara, apa yang tak kena?” soal Elza Zaharah tiba-tiba. “Abang cuba ceria. Abang cuba untuk romantik. Abang cuba untuk happy. Tapi, Zara dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena? Apa dia?” Kedua tangannya menyentuh pipi si suami.

Ilham Zackry melepaskan kot jatuh ke kaki. Berhujan? Biarkan. Isteri yang dia cinta sepenuh jiwa nampaknya tahu apa yang tersembunyi di lubuk hati. Tangan Elza Zaharah diraih, lalu dikucup penuh syahdu. Memang ini isteri yang dia mahu.

“Abang…” panggil Elza Zaharah. “Katakan… Apa sahaja…” Tangan suami digenggam erat.

“Mama amanahkan cincin pusaka untuk abang serahkan pada Zara,” ucap Ilham Zackry dengan sekali nafas. “Abang dah hilangkan. Ia patut jadi hadiah yang istimewa untuk malam ni. Esok, masa kenduri kat rumah mama, cincin tu patut dah ada di jari Zara!” Tangan kanan isterinya diangkat. Jari manis Elza Zaharah diperhatikan. Namun, bulat matanya…

“Ini cincin yang abang maksudkan?” soal Elza Zaharah perlahan.

Kalut Ilham Zackry membelek. Antara rintik hujan dan lampu LED yang menerangi malam yang kelam. “Err… mana Zara dapat?”

“Special assistant to special personal assistantabang yang beri pada Zara?”

“Hah?!” Ilham Zackry kabur. Dia tahu special personal assistantnya adalah isterinya sendiri. Ketika itu, dia masih mengalami kecelaruan ingatan. Tetapi, siapa special assistant Elza Zaharah?

Elza Zaharah tertawa kecil. “Sarah! Dia yang beri pada Zara. Untuk mummy, katanya…”

“Bila?”

“Pagi tadi, masa abang main golf…” jawab si isteri dengan senyuman. “Sebelum Zara ke spa dengan Kak Lea…”

“Subhanallah! Alhamdulillah! Zara! Zara tahu tak betapa kalutnya ahli rumah kita mencari benda ni?” soal Ilham Zackry. Rasa bersyukur dan teruja bercampur baur hingga nampak kalut gayanya.

Elza Zaharah mengerutkan dahi. Perlahan kepalanya menggeleng.

“Zara! Dua kali abang, Azmi dan Elias cari di padang golf. Kak Siah, Sumi, Nita dan Nanny Julia cari kat rumah ni. Elyana dan Mimi cari di pejabat. Elias pun kena cari juga dalam kereta…”

Elza Zaharah tertawa. Gelihati melihat gaya Ilham Zackry bercerita.

“Zara ketawa?!” soal si suami geram.

“Sarah ambil ni dalam poket t-shirt teddy bear dia…”

Teddy bear pink?” soal Ilham Zackry semakin tidak puas hati. Teddy bear merah jambu itu sentiasa ada di sisi Sarah 24 jam sehari. Aduh…

“Hmm…” Si isteri mengangguk.

“Ya, ALLAH!” ucap Ilham Zackry. Segera dia meraup tangan ke wajah beberapa kali. Bersyukur dengan apa yang berlaku.

“Maaf, jika Zara buat havoc!” ucap Elza Zaharah merasa bersalah kerana tidak sedar apa yang berlaku di dalam rumah sendiri. “Zara nak tanya abang tentang cincin ni tapi tak sempat…”

Ilham Zackry tersenyum. Dahinya disentuhkan ke dahi isteri. “It’s okay…Sarah yang buat havoc!” Tangan Elza Zaharah diraih. “Tapi, mummy dia yang kena denda…” Segera si isteri ditarik masuk ke rumah dengan senyuman penuh lega.


“ADAM dah tidur?” soal Ilham Zackry berbisik di telinga Elza Zaharah. Dia yang baru lepas menjenguk Sarah nampak segar dengan t-shirt dan seluar pijama serba putih. Perlahan-lahan dia duduk bersandar di sisi si isteri di sofa yang terletak di dalam bilik Adam Zackry.

Tiga puluh minit tadi, sebaik sampai di bilik tidur mereka, bunyi rengekan manja Baby Adam jelas kedengaran. Elza Zaharah yang basah lokos akibat mandi hujan segera bersiap untuk menyusukan anak yang sedang kehausan.

Mendengar soalan suami, Elza Zaharah sekadar meletak jari telunjuk di bibir. Si daddy faham, Baby Adam memang sukar lena. Setengah jam selepas puas menyusu, masih mahu didakap mummynya hingga benar-benar nyenyak.

Tersenyum Ilham Zackry melihat wajah mulus anaknya. Pautan tangannya di bahu Elza Zaharah dikuatkan. “Maaf, anak abang susahkan Zara…” Dia bisik lagi.

Tiada jawapan yang kedengaran melainkan jelingan manja.

Dan apabila Baby Adam telah benar-benar lena, Elza Zaharah membaringkannya ke dalam baby cot. Ilham Zackry hanya tenang memerhati. “Adam manja macam daddy juga…” Itu pengakuan rasmi si daddy yang entah ke berapa kali. Selimut si anak diserahkan kepada isteri.

Elza Zaharah tersenyum. “Tahu pun!”

“Sebab itu, daddy Adam nak hadiahkan ni…” Sebuah bungkusan yang berbalut cantik diberikannya pada Elza Zaharah.

“Apa ni?”

“Bukalah…”

Elza Zaharah mengerutkan dahi. “Novel?” soalnya tidak mengerti. Dia bukan penggemar novel. Membelek naskah kulit keras di depan mata buat dia tertanya-tanya. Itu novel cinta! Sejak bila suaminya sukakan novel cinta? Benar, mereka berdua memang suka membaca. Tetapi, novel cinta?

“Penulis ni kawan kepada kawan Azmi. Abang minta dia tuliskan kisah kita dan bukukan. Untuk hardcover macam ni, cuma ada sebuah sahaja, specially printed for you…”

Elza Zaharah terdiam. Dia tahu Azmi bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Sebegitu sekali Ilham Zackry beria meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. Dibeleknya novel berwarna hijau pastel dengan ilustrasi Tutti Frutti. Kepalanya tergeleng-geleng. Tentu sahaja dia tidak percaya. “Dia tuliskan kisah kita?”

Ilham Zackry mengangguk. “Sebagai tanda ingatan abang pada rintihan Zara suatu waktu dahulu, ketika abang kecelaruan ingatan, tentunya Zara berharap, abang takkan lupakan Zara.” Wajah isterinya dipandang penuh kasih sayang. “Dan kini, ke mana pun abang pergi, abang tak mampu dan tak mahu nak lupakan Zara, Sarah dan Adam. Zara dan anak-anak menyempurnakan hidup abang…”

“Alhamdulillah!” ucap Elza Zaharah. Air matanya mula bergenangan. “Zara bahagia dengan apa yang kita ada, abang…” Tubuh suaminya segera dipeluk. Sungguh! Ingatan terhadap peristiwa yang satu itu amat memeritkan. Namun, ALLAH beri hikmahNYA. Dia kini merasa bahagia, tahap bahagia yang dia tidak pernah menjangka. Dan tentu, lelaki di dalam pelukannya kini yang menjadi antara asbab utama. Lelaki inilah kini yang memudahkan semua kesedihan di hati dikuis ke tepi.

Sekilas melihat tajuk novel yang tergenggam kemas di tangan, Elza Zaharah berkata, “jangan lupakan cinta kita, abang… Kita tetap bercinta walau apapun yang terjadi, walau siapa pun kita nanti.”

Ilham Zackry merasa bahagia meresap ke dalam jiwa. Mana mungkin dia melupakan ikrar cinta mereka yang semakin padu dan padat pengertian dan harapannya. Dalam terbuai didakap si isteri, matanya tertancap pada sebuah lukisan abstrak yang tergantung di dinding. Itu lukisan baru. “Err… Zara, Zara beli lukisan tu?” soalnya.

Si isteri mengangkat wajah. Tersenyum dia lalu mengangguk. “Hadiah anniversary Zara untuk abang… Zara beli di majlis lelong Ar-Raudhah.” Perlahan dia berjalan ke arah bingkai gambar yang hanya menggunakan tona serba biru. “Tajuk lukisan ini Blue Itu Biru…”

“Hmm… Apa dah jadi dengan persetujuan yang Zara takkan beli hadiah untuk abang?” soal Ilham Zackry dengan kening terangkat. Melihat si isteri hanya tertawa manja, dia menyoal lagi. “Apa yang menarik tentang lukisan ini?” Ingin juga dia tahu apa penilaian Elza Zaharah tentang lukisan itu.

“Pelukisnya seorang yang istimewa. Hani Mariya namanya. Ini lukisan dia yang kedua selepas dua tahun tidak melukis setelah keluarganya ditimpa kemalangan, abang… Dia kehilangan anaknya dan suaminya mengalami brain death.”

“Innalillah…”

“Zara teringat kisah kita dulu, abang. Zara keguguran dan abang pulak ditimpa kemalangan. Abang lupakan Zara waktu itu… Nasib kami hampir sama… Tapi, Zara lebih beruntung. Zara kini ada Sarah dan Baby Adam. Ingatan abang pun dah kembali. Tapi, Hani Mariya hilang semuanya, abang. Anak dia meninggal, suami dia pulak memang takkan sedar sampai bila-bila.” Keruh wajah Elza Zaharah ketika bercerita.

“Kita patut sentiasa lebih bersyukur, Zara…”

Elza Zaharah mengangguk. “Lukisan ini menggambarkan kerinduannya pada anak dia. Macam Zara rindu pada baby kita yang pertama. Macam mama abang rindu pada abang selama abang di US dulu…”

“Sebab itu, Zara letakkan gambar ni di sini?” soal Ilham Zackry.

Elza Zaharah mengangguk. “Zara nak lukisan ni dekat dengan Baby Adam…”

“Dan anak-anak kita yang lain…” jawab Ilham Zackry dalam senyuman. Sempat dia mengerdipkan matanya. “Err… Baby cot sebelah dah kosong…” Ditunjukkan pula baby cot tempat tidur Sarah sebelum berpindah ke biliknya sendiri di tingkat atas. Itu memang cara mereka, anak-anak akan diasingkan tempat tidur lelaki dan perempuan sebaik berusia dua tahun.

So?” soal Elza Zaharah pura-pura tidak mengerti.

“Ikut perjanjian, kita dah kena refill ni…” jawab si suami nakal.

“Eee…” jerit Elza Zaharah. Jari runcingnya sudah mencari lengan suami untuk dicubit.

Ilham Zackry segera mengelak. Sempat lagi tangan isteri ditarik keluar. Melihat Elza Zaharah menurut sahaja, ‘inilah part yang paling fantastik!’ hatinya berbisik bahagia.


96 JAM SEBELUM ITU…

Sarah bermain di atas meja kerja daddynya di pejabat. Tersenyum dia melihat pelbagai benda yang tersusun kemas. Ada macam-macam! Seronoknya… Pemberat kertas berbentuk bintang buat dia tersenyum riang. Bingkai gambar berisi gambarnya, daddy, mummy dan Adik Adam buat dia tertawa senang. Kotak kecil dengan ukiran berbunga kilat buat dia teruja. Perlahan tangannya mencapai bekas kecil itu. Jari mungilnya pula cukup kuat untuk cuba membuka. Ops! Tercampak keluar ‘benda’ yang entah apa.

Daddy yang sibuk berbincang di sofa dijelingnya manja. Kotak berukir ditutup semula. Disusun elok-elok atas meja macam yang daddy suka. ‘Benda’ pelik bercahaya direnung penuh pesona. ‘Mmm… Macam cantik aje… Bagi kat Pinkylah!’ fikir akalnya. ‘Benda’ itu dicapainya lalu dimasukkan ke dalam poket si teddy bear merah jambu.

“Sarah…” panggil daddynya lembut bersuara. “Kita balik ya… Mummy dan Adik Adam dah tunggu kat kereta…”

Sarah angkat muka. Senyum. Sarah happy!

TITIK MULA KISAH IZACK & ZARA BOLEH DIHAYATI DI DALAM NOVEL JANGAN LUPAKAN AKU, TERBITAN ALAF 21. IA BOLEH DIBELI DI KEDAI BUKU BERDEKATAN ATAU DI KARANGKRAF MALL ATAU SECARA ATAS TALIAN MELALUI LINK DI BAWAH:

http://www.alaf21.com.my/prodDetails.asp?idpr=910

http://www.facebook.com/KarangkrafMall
http://www.facebook.com/Alaf21
http://www.alaf21.com.my


TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN KALIAN.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

 

 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.