Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi MERAH HATI ITU CINTA
MERAH HATI ITU CINTA
12/4/2014 00:41:54
2,692
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

JANGAN!

Mengecil mata Faten melihat SMS yang baru diterimanya. 'Jangan apa?' bisik hatinya. Kepelikan dia. Nombor telefon bimbit itu tidak dikenalinya. Tertoleh-toleh dia ke belakang. Tiada sesiapa melainkan rakan sekuliah baharunya yang masih sibuk bertukar-tukar nombor telefon. Dia? Tak kisah... Dapat satu nombor pun dah cukup. Nombor telefon bimbit milik Azlina. Gadis itu nampaknya cukup aktif bertanya itu ini dengan pensyarah di hadapan kelas. Dapatlah Faten menumpang semangkuk apa juga maklumat.

Matanya memandang ke arah handouts yang tersusun kemas di meja paling hadapan. Sempat Mr. Awe berpesan agar diedarkan kepada semua sebelum take five diisytiharkan tadi. Namun, nampaknya, tiada siapa yang membuat tindakan. Mungkin teruja dengan sesi kelas yang pertama. Lebih-lebih lagi, Mr. Awe telah menjemput rakannya dari industri untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kejuruteraan robotik yang amat mencabar, pada sesi kuliah kali ini.

Tersenyum Faten mengenangkan panggilan 'manja' pensyarah kelahiran Bachok, Kelantan yang sedang membelek telefon bimbit juga. Jika di Kelantan, Awang dipanggil Awe. Tetapi di kampus ini, Mr. Awe itu bermaksud Mr. Awesome. Maklum, Dr. Fuad Zaini a.k.a Mr. Awe mempunyai DNA TF6P. TF6P? Tall! Fair! 6 packs? Lebih dari itu, dia passionate, patient, persistent, polite, powerful dan practical. 6P juga, kan?

Entah macamana, pandangan mata mereka bersabung. Faten serta merta menjadi gelabah. Terus sahaja dia tertunduk.

LUPAKAN!

Ada SMS lagi. Kali ini mata Faten membulat pula. 'Lupakan apa?' bentaknya sendirian. Geram pula dia pada si pemilik nombor. Hendak dihubungi semula, dia malas. Bukannya apa, dia tidak mahu Zazly cemburu. Walaupun Zazly mungkin tidak tahu apa yang berlaku, naluri cemburu tunangnya itu jangan berani diuji. Mahu terbalik dunia nanti.

Sesaat Faten memanggung wajah. Tanpa disangka, matanya dan mata Mr. Awe bersabung lagi. Melihat tangan lelaki itu masih menggenggam telefon bimbit sambil senyuman manis terukir di bibir, muka Faten memucat. 'Dia ke yang hantar? Dia suruh aku lupakan apa? TF6P? Dia tahu ke aku fikir tentang dia?' Entah mengapa berdas-das soalan yang menyerang kotak akalnya.

Mustahil? Tidak! Awal tadi setiap pelajar diminta menuliskan nama dan nombor telefon bimbit untuk simpanan encik pensyarah. Dan helaian berwarna kuning itu kini terbentang betul-betul di hadapan lelaki itu. Teringat status 'it's complicated' pada ruangan relationship di FB Mr. Awe yang dijengahnya malam tadi, berpeluh dingin tubuh Faten.

AKU!

'Tuhan... Dia hantar lagi...' SMS kali ini buat Faten hangat hati tiba-tiba. Pensyarah muda yang berkelakuan ibarat ulat beluncas seperti ini perlu diajar. Mata Faten memandang tajam pada Mr. Awe. Namun kali ini, senyuman lelaki itu melebar. Malah lelaki itu bangkit lalu berjalan penuh gaya ke arahnya. Dalam marah yang bertukar gelabah, Faten terkesima tiba-tiba.

Masakan tidak, pensyarah itu sekadar lalu di tepi mejanya lalu menegur seseorang yang mendatangi dari belakang. "Sampai juga you akhirnya. I takut you silap masuk lecture hall..."

Merah muka Faten. Mr. Awe tersenyum pada orang lain rupanya. Mendengar suara serak-serak basah menikam kalbu membalas teguran itu, Faten menggagahkan diri berpaling untuk memandang. Kali ini, merah mukanya semakin menyala.

Si pemilik suara memandang padanya sambil menggoyang-goyangkan telefon bimbit. "Faten, forget... me... not!"

Forget-me-not? Jangan lupakan aku? Dahi Faten berkerut berlapis-lapis, "Awak?!" Argh!

 

Nota izasafiya: Untuk tujuan 'mengusik' kedamaian alam kreativiti saya, saya berbesar hati sekiranya pembaca sudi mencadangkan, siapakah 'Awak' yang membuatkan dahi Faten berkerut berlapis-lapis. Andai ada, saya akan sambung naskah ini hingga penamatnya sebagaimana yang anda cadangkan. Pilihan yang paling banyak dan membina sahaja  yang saya akan ambilkira. Tulis di ruangan komen ya!  

 

Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.