Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi OREN ITU CERIA - CINTA MESTI SETIA
OREN ITU CERIA - CINTA MESTI SETIA
2/6/2014 03:26:44
4,490
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Mak tok hanya menggeleng sebaik melihat aku menyarung baju kurung itu lagi. Dia tahu hari ini 10 haribulan untuk bulan yang baru. Tak payah nak belek kelendar. Tengok pada warna bajuku, dia sudah tahu. “Kamu nak ke stesyen bas lagi, Tehah?”

“Ya, mak tok!” jawabku dalam senyuman. Baju kurung di badan kubelek. Cantik! Macam dulu. Macam lima tahun dulu.

“Kamu tak jemu nak tunggu?” soal mak tok lagi. “Kamu sanggup cuti noreh nak tunggu si Ayun tu. Buat bazir masa kamu aje…”

Aku senyum. Jam berdenting lapan kali. “Janji kena pegang, mak tok! Biar sampai hujung nyawa…”

“Dalam drama tak apalah!” Mak tok mendengus. “Ini dunia betul. Kamu tengok Zizah! Dah jadi cikgu. Piya yang dulu liat ke sekolah pun dah jadi misi. Zizah dah beranak. Piya pulak tinggal tunggu hari bahagia. Kamu…”

“Mak tok!” cantasku. “Tehah pergi dulu. Bas lalu lima minit lagi. Dalam zuhur nanti, Tehah sampai. Tehah belikan apam balik dan cendol untuk mak tok ya.” Tak tunggu lama, aku terjun tanah. Tak mahu mak tok sakit hati kerana membebel banyak sangat. Tak mahu aku juga sakit hati mendengar bebelan mak tok.

TEPAT macam yang aku jangka. Bas putih dengan garis biru merah muncul. Lega. Dari jauh, aku tengok warnanya macam MH370 pulak! Apalah khabar beritanya sekarang…

“Hah! Naik! Naik!” jerit Abang Bidi. Tersengih lebar dia melihat aku. “Nak ke mana?”

Aku sekadar menghulurkan duit. Duit dari sebahagian kecil gaji yang Hajah Kalsom bayar semalam. Duit menoreh getah kat kebun dia.

“RM3.30…” gumam Abang Bidi sebaik membelek duit yang aku beri. “Stesyen?”

Aku angguk.

Tiket warna merah bertukar tangan. “Nak dating?” soal Abang Bidi.

Aku diam. Malas nak jawab. Bukan urusan dia walau kami saling kenal. Dia anak Haji Seman, tukang kebun sekolah. Budak kelas sebelah. Senior tua setahun. Tapi, aku pandai sikit dari dia! Sempat aku perasan. “Jumpa kawan…”

“Eh! Dah bertahun-tahun… Itu aje alasannya. Kahwin tak jugak!” ejek Abang Bidi.

Aku tersenyum. Betul! Apa yang Abang Bidi cakap memang betul. Mujur orang tak ramai. Bunyi enjin bas yang macam nak terbarai pun jadi penyelamat. Bising! Maka, perbualan aku dan Abang Bidi memang untuk telinga aku dan dia sahaja. Akhirnya aku menyandar dan pejam mata. Secara kebetulan, bas berhenti untuk mengambil penumpang, Abang Bidi kenalah buat tanggung jawabnya, kutip duit dan bagi tiket!

Lima tahun. Darab 12 bulan, dah jadi 60 bulan. Itu maknanya aku dah ke bandar dengan baju kurung oren ini 60 kali. Jauh! Tapi berbaloi. Hati aku senang mengenangkan janji yang aku tepati. Itu buat aku bersemangat nak mengadap pokok getah setiap pagi. Kerana aku tahu, RM10.00 dari wang gajiku adalah untuk ini. Untuk tunai janji!

AYUN! Nama sebenarnya Khairul Wafiy. Ayun adalah gelaran teman-temannya. Yang kemudian gelaran yang aku guna juga ketika memanggilnya. Dia bangga dengan namanya. Sebaik-baik setia, katanya. Aku anggukkan sahaja.

Kami bertemu di TIGS, Temenggung Ibrahim Girls School, Batu Pahat. Aku tidak bersekolah di situ. Aku bersekolah di kampung. Dia juga bukan pelajar di sekolah itu. Itu sekolah untuk perempuan sahaja. Tetapi, kami dipertemukan ketika mewakili sekolah masing-masing dalam sebuah pertandingan Perbahasan dan Pidato peringkat daerah. Ketika itu, kami di Tingkatan 5. Pasukanku menang perbahasan, dia pula juara pemidato. Kami sama-sama hebat.

Kami bertemu lagi ketika mewakili daerah ke peringkat negeri. Pertandingan dibuat di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Dia menang tetapi pasukanku kalah. Biar pun begitu, dia kata aku tetap memang. Menang untuk memiliki hatinya. Merah mukaku. Malu! Dan gayaku buat dia tertawa. Melihatnya ketawa, aku jadi marah. Dia ketawa lebih kuat lagi. Hidupnya bererti kerana ada perhubungan ini, katanya. Aku buat dia jadi ceria.

Kami berhubungan melalui surat. Aku anak kampung. Mak tok yang bela. Mak ayah tiada. Adik beradik pun juga. Sepupu sepapat tak wujud. Ini keturunan anak tunggal yang melahirkan anak tunggal. Tinggallah aku dan mak tok! Ayun anak cikgu. Duduk di bandar. Dia kata mak ayah dia garang. Ada telefon tapi untuk mak atau ayah aje yang guna. Telefon bimbit? Tiada keperluan untuk memiliki. Untuk membajai hubungan persahabatan kami, kami tulis surat. Poskan ke rumah kawannya. Kawannya akan menyerahkan padanya. Setahun lebih kami begitu.

APA yang menyebabkan aku menunggu Ayun? Kerana janji! Dia berjanji yang kami akan sehidup semati. Dia berjanji walau apa pun terjadi akulah suri. Dia keluar negara sebaik selepas SPM. Sempat dia menghadiahkan aku kain pasang berwarna oren. Oren itu ceria. Ceria seperti aku dan dia. Hadiah itu tanda cinta kami termetri. Pintanya, kain itu dibuat baju kurung. Aku mesti memakainya ketika kami bertemu kali pertama bila dia sudah tamat belajar nanti. Dia memilih jurusan kejuruteraan. Nun di Jerman dia melanjutkan pengajian.

Aku pula menyambung STPM. Demam denggi ketika minggu peperiksaan buat aku gagal semua kertas. Mak tok dah tak mampu. Sakit. Aku pula dah mampu menghadap buku. Akhirnya, aku memilih untuk menoreh getah. Aku perlukan duit. Mak tok perlu ubat. Kami perlu makan. Aku juga perlu menghantar surat kepada Ayun. Seminggu sekali paling kurang. Aku guna aerogram. 50 sen aje modalnya. Aku letak bedak talkum, biar wangi.

Ayun terima aku seadanya. Dia cuma mahu aku belajar agama, memasak dan menjahit sampai betul-betul pandai. Dia kata, aku akan jadi suri rumah. Semua pakaian kami dan anak-anak, perhiasan rumah seperti langsir cadar dan alas meja, harus aku yang membuatnya sendiri. Hidangan kami sekeluarga juga, aku yang harus sediakan. Setiap lepas solat, aku akan mengajar anak-anak mengaji dan solat. Itu rancangan rumah tangga kami. Ideal sekali.

Siapa yang tak teruja mendapat cinta seperti Ayun. Dia bijak tetapi tidak bangga diri. Dia sanggup bekerja sambilan untuk menghantar surat padaku. Di dalamnya akan terisi gambar dia di sana. Ada juga daun dan bunga kering untuk buat aku tahu itu bunga apa. Bunga yang tak ada di Malaysia. Dia kata, dia mengepit bunga dan daun itu di dalam buku kulit tebal. Khas buat aku!

Dia juga kerap mengingatkan aku tentang solat dan ibadat. Berpuasa isnin dan khamis, kami lakukan sama-sama. Biar aku di sini dan dia di sana. Terasa seperti dia berada di sisi. Cintanya jauh terperosok di hati.

Dan bila pengajiannya tamat, kami berjanji tempat dan masa untuk bertemu. Dan Ayun menulis di dalam surat kedua terakhirnya, “Tehah! Ayun janji, bila juga tarikhnya, kita akan datang ke tempat yang sama setiap bulan semata-mata untuk mengenang cinta. Enam tahun terpisah jauh itu lama, Tehah! Ayun setia, Tehah juga. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya. Kita akan duduk bersantai di tempat itu, biar pun ketika itu kita sudah beranak cucu!”

Dan bila surat terakhir aku terima, tarikh pertemuan yang Ayun pilih adalah 10 April. Tempatnya di stesyen bas Batu Pahat. Tarikh itu cukup seminggu setelah kepulangannya. Dia meminta masa untuk bersama keluarganya dahulu. Tentu sekali, aku bersetuju.

“Batu Pahat! Batu Pahat!” jerit Abang Bidi.

Terkejut aku dari lamunan. Stesyen bas sudah hampir sampai. Bandar ini tidaklah banyak beza. Sama sahaja. Tersenyum ketika aku memijakkan kaki di sana. Sengaja aku mencuci mata melihat sekitar. Bahagia! Biar baru menghirup udara sahaja, aku sudah rasa bahagia. Bahangnya mentari pagi tidak terasa. Jauh sekali debu dan tajamnya bauan diesel enjin kenderaan merata-rata.

“Tehah!” panggil Abang Bidi. “Sarapan dengan abanglah!” ajaknya.

Aku menggeleng. Ini masa aku menunggu cinta. Dan cintaku bukan dia. “Tehah nak jumpa kawan, bang! Tehah dah minum di rumah tadi…” dalihku. Sebenarnya aku membawa bekal. Ada dalam beg kain yang aku sangkut di bahu.

“Alah! Kat kedai depan tu aje…” pujuk Abang Bidi. “Dia datang nanti, Tehah boleh nampak. Kat simpang tu kan…” Ditunjukkan kedai yang dia maksudkan.

Aku geleng lagi. “Terima kasih, Abang Bidi.”

Abang Bidi buat muka.

“Tehah tunggu kat kerusi yang hujung sekali ya. Kat situ tak ramai orang. Tapi, tempatnya masih selamat…” Itu pesanan Ayun dalam surat yang terakhir. “Jangan lupa pakai baju oren!” Dengan sedikit senyuman, aku meninggalkan Abang Bidi yang terpinga. Aku segera membeli akhbar dan terus ke tempat yang Ayun maksudkan. Susunan kerusi sudah berubah. Warnanya juga. Yang sama cuma satu, penghuninya setiap 10 haribulan adalah aku.

Aku duduk lalu mengeluarkan botol minuman. Aku teguk perlahan. Tidak mahu habis sebelum waktu. Tidak juga sampai terpaksa ke tandas awam. Dua jam pertama, aku habiskan masa dengan membaca akhbar. Dari muka surat depan sampai belakang. Dari ayat pertama sampai yang terakhir.

Selesai membaca, aku menikmati bekalanku. Biasanya aku bawa nasi goreng. Ah! Itupun makanan yang sama setiap kali aku pergi menoreh. Sempat aku melihat diriku pada cermin di dinding kedai. Sudah banyak berubah! Aku memang sudah nampak dewasa. Sudah 29 tahun. Sudah layak untuk ke fasa seterusnya. Fasa berkeluarga. Memang patut mak tok bising. Usia seperti aku, mak tok sudah beranak tiga kali. Cuma anak sulung dan anak keduanya tak panjang umur. Akhirnya hanya tinggal ibuku. Itupun, ibu meninggal sebaik melahirkan aku.

“Eh! Awak?” tegur seseorang yang mengambil tempat di sebelah.

Aku menoleh sekilas. Dia lagi! Sudah tiga kali kami bertemu di sini. Aku buat pekak dan bisu. Itulah taktikku. Malas nak bercakap. Bekalan yang masih bersisa aku simpan semula. Mataku fokus ke kanan kiri. Mencari susuk tubuh Ayun. Harapanku sentiasa segar mengharapkan kami pasti bertemu.

Kecewa? Ya, aku pernah kecewa. Pada 10 April kali yang pertama dulu, memang aku kecewa. Dia sudah berjanji, dia juga yang memungkiri. Aku menangis sepanjang pulang ke rumah. Malamnya, aku menangis lagi mengenangkan janji yang sudah berubah. Berbagai kata jahat mula menguasai hati. Ayun mungkin sudah ada yang lain. Ibunya meminta dia bertunang dengan gadis pilihan keluarga. Ayun mungkin itu. Ayun mungkin ini. ‘Ayun, JANGAN LUPAKAN AKU!’ Itu jeritan hatiku.

Tetapi, esoknya ketika aku bangun, aku berasa sungguh luar biasa. Terasa bagai Ayun menantiku di satu tempat yang aku tak tahu. Segera aku menulis dua pucuk surat. Dua-dua buat Ayun. Satu sengaja kuhantar ke alamatnya di Jerman. Satu lagi, sengaja kuhantarkan ke alamat rumah temannya. Seminggu berlalu. Dua minggu terlepas. Tiga minggu tak berbalas. Hingga tiba 10 Mei, aku datang lagi ke sini. Menanti Ayun memenuhi janji. Begitu juga dengan 10 haribulan bulan-bulan yang seterusnya, namun Ayun tetap tiada.

“Stesyen bas ni tempat orang datang dan pergi…” kata lelaki di sebelah. “Tak mustahil ada cinta yang berikat mati di sini.”

Aku diam. Bukankah aku pekak?

“Tapi kalau jumpa orang yang sama, dengan baju yang sama…” Dia tertawa kecil. “Ada jodoh kot!”

Aku membelek kuku. Pendek! Mujur pendek. Kalau panjang, dah aku cakar mamat kat sebelah ni yang sibuk nak menganggu ketenteraman awam.

“Cantik baju awak. Oren. Ceria!” pujinya.

Aku getap gigi. Geram! Biar pun boleh dirasa yang dia seperti seronok mengusikku. Aku pula terasa nak beri siku! Lebih aku geram bila warna bajuku yang menjadi perhatiannya. Ceria? Ayun aje yang boleh memujiku begitu. Sebaik itu menjengah minda, aku terkaku!

Adakah lelaki di sebelah Ayunku? Ya ALLAH! Nak buat macamana ni? Kalau ya, tak apa. Aku bahagia. Kalau bukan, rugilah lakonan pekak bisuku sejak tiga bulan lepas. Aku toleh sekilas. Snap! Aku rakam wajahnya ke dalam kotak ingatan.

Perlahan-lahan aku membuka beg kainku. Sebuah kotak kasut BATA berisi surat dan gambar Ayun yang terkini, aku buka penuh hati-hati tanpa mengeluarkannya dari beg. Kutarik sekeping foto yang Ayun hantar. Foto terakhirnya. Bukan! Ayun berwajah bersih. Lelaki di sebelah berwajah serabut. Berjambang bagai. Berkaca mata hitam. Selekeh!

Sebaik terkenangkan semua foto yang Ayun pernah hantar, aku tersenyum senang. Bagiku, Ayun memang lelaki sejati. Tak perlu nak berkaca mata hitam untuk menunjuk macho.

“Bercakap tak nak tapi senyum nak…” sakat jiran sebelah.

Tuhan! Sabarkanlah hatiku. “Fatehah! Fokus benda lain,” gumamku sendirian.

“Alhamdulillah!” ucap lelaki di sisi. “Adik tak bisu…”

ALLAH! Salah sendiri. Aku keluarkan jurus kedua. Jurus muka beku. Ah! Ini bukan cabaran yang paling besar. Cabaran terbesar yang aku lalui adalah ketika aku memberanikan diri mencari rumah kawan Ayun. Habis RM20 untuk aku bayar duit teksi. Peliknya, kawasan perumahan itu banyak rumah baru. Besar-besar. Dah macam tempat orang kaya. Pak cik teksi pun dah tak mahu pusing lebih lama. Pak guard kawasan rumah tu dah ikut aje kami merata. Sudahnya, aku minta pak cik teksi hantarkan aku ke stesyen bas semula.

“Dik!” panggil lelaki di sebelah. “Andai bulan depan, kita jumpa lagi di sini. Abang janji abang hantar pinangan. Adik jadi isteri abang…”

Belum jauh dia melangkah, “Gila!” marahku perlahan. Namun, itu buat dia ketawa setelah menoleh seketika.

TEPAT jam 12.30 tengahari, aku menghela nafas panjang. Penantianku masih tiada penghasilan. Aku membacakan Al-Fatihah tiga kali, lalu kusedekahkan pada Ayun. Ayun yang menghuni hatiku sejak 12 tahun lalu.

“Bulan depan, Tehah janji, Tehah datang lagi…” ucapku sayu. Air mata menitik juga ke pipi. Sedih tentunya. Harapanku untuk bertemu dengannya terlalu tinggi.

Perlahan aku menapak ke gerai kuih untuk membelikan apam balik untuk mak tok. Cendol pula kubeli dari gerai sebelahnya. Terus sahaja aku berlari mengejar bas untuk ke Parit Sulung.

“Selamat tinggal, Batu Pahat!” ucapku. “Bulan depan jumpa lagi…”

ADA orang datang mintak Tehah tadi…” beritahu mak tok ketika aku baru menghidangkan juadah yang kubawa balik dari bandar.

Aku tersedak. “Mintak Tehah? Mintak apa?”

“Minang Tehah. Dia hantar cincin belah rotan. Dua minggu lagi …”

“Tehah tak setuju!” pangkahku selamba.

Mak tok mendengus. “Habis Tehah nak bujang sampai tua?” sergah mak tok.

Aku diam. Aku tahu mak tok masih menyimpan sisa keinginan untuk membebel pagi tadi. “Tehah nak tunggu Ayun…”

“Boleh tunggu! Minta izin dengan ‘suami’ kamu…” Pantas mak tok menjawab. Sinis kedengaran di telinga.

Aku kerut dahi.

“Dah tiga orang masuk meminang. Mak tok tak tahu nak letak muka kat mana kalau Tehah menolak. Sudahlah dia wakilkan tok imam untuk datang,” bebel mak tok. Sepotong apam balik selesai juga dikunyahnya. Memang ini makanan kegemaran dia sejak muda. Aku tahu, sebab itu aku beli. Buat pujuk hati dia kena tinggal setiap kali aku ke bandar. “Kamu tengok gambar dia atas gerobok tu. Boleh tahan segak budaknya.”

“Tehah tak nak orang segak! Tehah nak tunggu Ayun!”

“Sampai bila?” soal mak tok. “Sampai kamu dah tak larat yang menyembah pokok getah. Sampai Hajah Kalsom tebang semua getah, lepas tu gantikan pokok sawit. Ingat Tehah! Kamu dah nak masuk tiga puluh. Aku ni dah tua, boleh mati bila-bila. Kamu nak bertapa dalam rumah ni seorang?”

Aku diam.

“Lelaki tu duda. Ada anak…”

“Tehah tak nak!” tolakku lagi. Lebih berani.

“Kamu dahlah lambat kahwin. Ada anak ekspress seorang bukan ke bagus? Boleh ambil masa sikit berkenalan hati budi dengan laki, baru tambah anak untuk dia yang kedua… sampailah berapa pun yang laki kamu mahu. Apa payah benar?” bebel mak tok.

“Mak tok tak faham…” Lirihku.

“Apa yang aku tak faham?” soal mak tok. “Pasal cinta?”

Aku diam.

“Kalau nak cakap pasal cinta, mak tok kamu ni yang paling setia. Tok aki kamu mati masa mak kamu bayi. Mak tok tak kahwin lagi… Bukan tak ada orang nak. Tok imam yang jadi wakil pihak sana minang kamu pun pernah minang mak tok ni untuk jadi isteri dia sebelum dia kahwin dengan Nek Jenab kamu. Mak tok faham pasal cinta. Mak tok juga faham pasal setia. Tapi, itu untuk suami, Tehah…” Panjang lebar mak tok mengutarakan hujah.

Aku sudah berhujankan air mata.

“Bukan kekasih. Ini... kamu dan Ayun, bertunang pun tidak… Kain pasang sehelai… surat berpucuk-pucuk… tak ada maknanya kalau nak angkat akad kamu pun dia liat…” sambung mak tok lagi.

“Tehah percaya Ayun masih setia…”

“Dia lelaki, Tehah!” sergah mak tok. “Dia belajar sampai nun ha… jauh! Setakat nak cari kamu kat Kampung Lapis Darat ni, tak susah…”

“Sebab itu Tehah tunggu!”

“Dan tak susah juga dia nak cari yang lain…” sambung mak tok pada satu realiti yang aku pernah fikirkan.

“Dia mungkin sakit…” Aku masih ada alasan.

“Kamu nak laki sakit?”

“Mak tok! Kalau Ayun dah buta sekali pun, Tehah sanggup nak bela dia,” sahutku lantang.

“Suara kamu makin tinggi, Tehah!” tegur mak tok.

Aku menangis makin berat. Sedih di hati semakin sarat. “Maafkan Tehah, mak tok!” Tak sanggup berlama, aku bingkas bangkit dan berlari masuk ke dalam bilik.

NEK PEAH memandang wajahku. Aku pulak kerut dahi memandangnya. Dia duduk melunjur kaki di atas bangku di bawah bangsal. Getah sudah kami toreh. Sekejap lagi getah bekunya pulak kami nak kumpulkan. Kebun Hajah Kalsom ni luasnya seekar setengah. Aku dan Nek Peah yang menoreh dan kumpulkan getah beku. Haji Maarof pulak yang hantar getah beku ke pusat pengumpulan. Petang-petang dia juga meracun rumput biar tak panjang. Mujur proses tak macam dulu. Hajah Kalsom beli cuka getah jenama moden. Mudah nak urus, getah dah pandai beku dalam mangkuk. Tak payah tunggu berjam-jam.

‘Kenapa?’ soalku dalam hati. ‘Aku buat kerja ni ada yang tak betul ke?’ Gumpalan getah skrap aku kumpulkan dalam baldi. Baunya, aduh! Walau tak sebusuk dulu, tapi dah sebati dalam diri buat aku dan Nek Peah selamba sahaja.

“Kamu tak beritahu aku pun yang orang KL pinang kamu…” Nada rajuk Nek Peah menyapa telinga.

Orang KL? “Err… Tehah tak tahu pun dia orang KL…” Sebenarnya, aku pun pelik, dari mana Nek Peah tahu hal aku kena pinang.

“Kamu tak tahu, Tehah?” soal Nek Peah terkejut. “Mak tok kamu tak cakap?”

Aku menggeleng. Huh! Macamana nak cakap, kalau aku merajuk seharian dalam bilik semalam. Sanggup aku tahan lapar. Keluar ke bilik air pun bila aku tahu mak tok dalam bilik dia. Kasihan mak tok. ‘Haih! Cucu derhaka betullah aku ni…’ marah aku pada diri.

“Kamu ni peliklah, Tehah!” tegur Nek Peah. “Muka lawa. Orang minang kamu tolak. Ni dah masuk tiga kali ni… Muncung aje muka kamu…”

“Tehah tak berkenan…”

“Kenapa?” soal Nek Peah. “Nek Jenab kamu kata orangnya segak. Berduit. Keluarganya baik-baik. Itu anak sedara jauh dia tu…”

Ah! Nek Peah dapat tahu dari Nek Jenablah ni. ‘Haih! Isteri tok imam pun… mulut boleh tahan…’ marah hatiku lagi. Aku tahu, pinangan ini payah untukku tolak. Kenapa? Sebab tekanan pihak luar dan dalam. Mak tok dah risau umur aku yang meningkat. Sekumpulan orang kampung pulak dah mula memerhati kerana yang jadi wakil pihak lelaki adalah orang penting kampung, Tok Imam! Dulu, yang meminang aku, orang luar. Tiada siapa tahu, tiada siapa perasan. Sekarang? Aku memang sudah tersepit.

“Terima ajelah, Tehah!” ucap Nek Peah. “Kalau lelaki tak baik, tak adanya tok imam nak bagi kat untuk kamu. Kan dia yang mengajar kamu mengaji. Dia jugak yang ajar kamu fardhu ain. Dia sayang kat kamu macam cucu sendiri. Takkan dia nak kamu kahwin dengan lelaki tak senonoh. Mustahil!” Tergaru-garu Nek Peah sambil sesekali menepuk nyamuk yang datang menghinggap.

Payah nak cakap!

SENYAP. Rumah aku senyap sebaik aku sampai tengahari tu. Biasanya mak tok suka menghidupkan radio. TV dah rosak. Sengaja tak ganti. Bukan ada masa nak tengok pun. Petang dan malam, aku sibuk menjahit.

“Mak tok!” panggilku setelah salam yang kuberi tak berbalas. Kalut aku memanjat tangga. Bulat mataku melihat mak tok terbaring di tengah rumah. “Mak tok!!!” Aku menjerit.

TERGELENG-GELENG kepalaku mengingatkan apa yang terjadi. Aku bersyukur, aku balik tidak terlampau lewat. Aku bersyukur mak tok masih selamat. Tekanan darah rendah. Dia pitam kerana tak makan. Dia hilang selera kerana bergaduh dengan aku semalam. Tuhan! Sungguh aku menyesal.

“Makan, mak tok…” pujukku dengan semangkuk bubur di tangan. Berlaukkan ikan bilis dan bawang goreng.

Mak tok diam sahaja. Dia memang tak cakap apa-apa denganku sejak sedar tadi. Puas aku meraung dan merayu, mak tok tak ambil peduli.

“Tehah terima pinangan tu…” ucapku dengan bibir bergetar. “Asalkan mak tok nak kawan dengan Tehah lagi…” Aku tahu ini tindakan drastik. Masa di klinik, aku sempat menumpang solat hajat dan istikharah. Solat hajat untuk mak tok. Solat istikharah untuk pinangan ‘orang tu’. Inilah keputusannya.

Sebaik suapan pertamaku mak tok sudi menelan, aku ucap lagi, “Tehah minta maaf, mak tok…” Air mataku mengalir ke pipi. Aku takut. Aku cuma ada mak tok di dunia ini. Semua hal kami buat sama-sama. Hal Ayun aje yang selalu buat kami macam nak ‘perang’. Tapi tak pernah seserius semalam.

“Mak tok dah tua, Tehah!” Itu ucapan dia yang pertama sejak kami sampai ke rumah. Itu pun dengan suara yang lemah. Syukur tadi Cikgu Leman dah sampai dari sekolah. Dengan sekali jeritan dia muncul dan sudi membantu. Kami ke klinik dengan kereta PROTON Saganya.

“Tehah tak nak cakap pasal mak tok dah tua…” rajukku pula. “Kita mati sama-sama!”

Mak tok ketawa kecil. “Mak tok lagi sayang dengan tok aki kamu. Kami tak mati bersaing pun…”

“Itu dengan tok aki!” marahku. Marah-marah manja. “Ini Tehah. Your one and only grand daughter…”

Mak tok menceber bibir. “Cakap orang putih konon. Belajar tak nak tinggi-tinggi…” Daguku dicuitnya. “Terima pinangan Haikal ya. Kamu pindah KL…”

Haikal? Oh! Calon suami… “Kenapa dia pilih Tehah?” Aku dah tak boleh nak U-turn.

“Tok imam yang pilih Tehah…” jawab mak tok. “Haikal perlu isteri untuk dia dan ibu untuk anak dia. Tok imam kata Haikal budak baik. Kerja doktor. Ada klinik sendiri.”

“Hish!” Aku tergeleng-geleng. Doktor? “Tehah tak nak! Tak nak! Tehah fail STP… Dia pandai…” Tergoyang-goyang tanganku tanda tak setuju. Nak tarik balik persetujuan tadi. Sengaja nak cari alasan…

Mak tok ketawa lagi. Aku tahu dia lega dengan keputusanku.

“Tehah demam masa STP kan…” sahut mak tok. “Anak dia comel…”

“Comel?”

“Tengok gambar atas gerobok!” suruh mak tok.

Aku menggaru-garu tengkuk. Masih tak sanggup untuk memandang foto lelaki lain selain foto Ayun. Nampak sangat keputusan yang aku buat masih tak bulat. Masih teragak-agak. Hati pun belum redha sebenarnya. Mataku terpejam ingin menutup kekalutan perasaan. Tiba-tiba tangan mak tok menyentuh lututku.

“Pergilah tengok!” suruhnya. “Ada beberapa keping gambar. Yang besar tu gambar anak dia. Yang lain tu ada gambar dia seorang, ada juga gambar dia dengan anak dia. Tehah ambil gambar yang besar dulu…”

Aku tarik nafas panjang-panjang. Mangkuk bubur kuletakkan di atas tikar, tepi tilam kekabu tempat mak tok berbaring. Aku bangkit lalu menjingkitkan kaki mencapai kepingan gambar. Memang ada beberapa keping. Aku ambil yang paling besar. Aku tak terus tengok. Aku duduk dekat dengan mak tok dulu. Bila aku dah selesa, baru kubelek. “Comel…” pujiku.

“Hmm…” Angguk mak tok. “Ibu dia meninggal masa bersalinkan dia. Sama macam kamu. Baru enam bulan umur dia… Dina Zihani namanya. Ayah dia panggil dia Dina…”

“Dina…” panggilku pada bayi yang ceria tawanya. Putih dan mulus kulitnya. Nampak dia berjaga rapi. Pakaiannya serba putih ibarat bidadari yang turun dari syurga. Itu yang aku rasa.

Dan malam itu, aku menangis sebelum tidur. Kubelek semua surat yang Ayun pernah hantar. Penuh tiga buah kotak kasut BATA. Aku tak ada komputer. Jauh sekali internet. Semua suratku kepada Ayun bertulis tangan. Demi cinta, Ayun membalasnya juga dengan tulisan tangan. Cantik berseni. Tanda tangannya, tanda tangan orang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.

Peliknya, aku bermimpi memeluk Dina. Matanya yang bulat bagai melekat padaku. Kami ketawa bersama bagai saling mengenali. “Sayang!” panggil satu suara yang buat aku terjaga. Lebih pelik lagi, itu suara Ayun!

YA! Suara Ayunlah yang buat hatiku bertambah bolak-balik pada hari pertunangan. Aku sudah menyarung kurung biru. Itu pakaian hari raya yang baru lepas. Aku yang menjahitnya. Selendangnya aku pinjam selendang Piya. Tak sempat nak beli yang baru. Siapa sangka pihak lelaki mahu secepat ini. Sebaik mak tok menyatakan persetujuan pada tok imam, dua minggu selepas cincin belah rotan dihantar mereka terus mahu mengikat tali pertunangan. Nikah pun dua minggu lepas tu.

Melihat tujuh buah dulang hantaran di atas tikar, aku hembus nafas berat. Tak sempurna. Semuanya ala kadar. Nak buat macamana. Simpanan aku pun tak seberapa. Banyak kuih dan benda makan-makan. Barang keperluan pun aku cuma belikan sepasang kain pelikat dan lima helai sapu tangan. Kalau bersama Ayun, tentu kuberi lebih lagi. Sanggup kujahitkan sepasang baju Melayu. Biar bersengkang mata. Warna oren macam yang dia suka. Ceria, katanya

Kreek!

Terkejut aku bila pintu bilikku dibuka. Hilang terbang khayalanku tentang Ayun. Bercantum kening di dahi. Rombongan sana baru naik rumah, mereka dah nak sarung cincin?

Mak tok yang masuk dulu. “Tehah! Dina nak tumpang tidur bilik kamu…” kata mak tok. “Kat luar ramai sangat orang. Panas!”

Seorang wanita sebaya Hajah Kalsom masuk. Tersenyum dia memandangku. Aku anggukkan kepala. Tilam kutepuk tanda aku setuju Dina yang lena dibaringkan di situ. Di sebelah aku!

Tersenyum aku melihat wajah mulus Dina. Cantik dan comel di dalam gambar, cantik dan comel lagi di luar. ‘Bidadari!’ panggilku dalam hati. Dahinya yang berpeluh kulapkan dengan tisu. “Kasihan anak ibu!” Tanpa sedar aku mengucapkannya.

“Mak Su ni yang jaga Dina masa ayah dia kerja…” Tersenyum lebar mereka berdua. Mungkin kerana ucapanku yang aku sendiri tak sangka. Terus sahaja aku menghulur tangan menyalami Mak Su. Sebenarnya untuk menutup riak segan di muka. “Mak tok dan Mak Su keluar dulu…” ucap mak tok.

JIKA upacara pertunangan Zizah dan Piya yang dulu berjalan sempurna. Aku punya huru hara. Dina yang tiba-tiba terjaga, menangis minta perhatian. Kelam kabut Mak Su berlari ke dalam bilikku untuk memujuknya. Kelam kabut juga aku membantu Mak Su mengipaskan tubuh si anak yang memang berpeluh sakan. Gaun serba putihnya Mak Su lucutkan, tinggal pampers dan seluar sahaja. ‘Cute!’ Sempat aku memuji. Kulit putihnya menjadi kemerah-merahan sama merah dengan mukanya yang menjerit marah.

“Mak Su kena buat susu. Susu tadi dah habis rupanya…” beritahu Mak Su. Dina yang masih melalak diserahkan padaku.

“Bismillah!” ucapku perlahan. Tak tahu nak buat apa selain mendodoikan dalam dokongan sambil tangan sebelah lagi mengipas si anak. “Dina… anak ibu!” panggilku perlahan. Malu juga tapi nak buat macam mana. Mujur tak ada orang lain. “Tenang, sayang…” pujukku perlahan. Aku senyum padanya.

Tangisan tadi menjadi rengekan manja buat aku makin terpesona.

“Tenang! Dina ada ibu…” pujukku lagi. “Panas ya… Ibu kipas kuat sikit ya…”

Matanya yang berair bulat memandang padaku. Gaya meminta belas dan perhatian penuh manja.

Mak tok muncul lagi. Kali ini bersama seorang wanita yang aku dapat rasakan yang dia adalah bakal ibu mertuaku kerana pakaiannya pakaian orang ada-ada. Maklum, ibu kepada seorang doktor. “Dina dah pandai main dengan ibu ya…” ucap wanita itu dengan senyuman. “Macamana nenek nak sarung cincin ni?”

Aku hanya tersenyum segan.

AKU berulang-alik ke hulu-hilir dalam bilik berkali-kali. Telefon bimbit ada dalam genggaman tangan. Hadiah dari Haikal yang aku terima sebentar tadi melalui tok imam yang datang untuk menyerahkan wang belanja hangus dan memaklumkan tarikh pernikahan akan dipercepatkan dua hari dari tarikh asal.

“Saya tak setuju!” ucapku sebaik aku ditanya tentang hal ini. Dari 11 haribulan jadi 9 haribulan. Tentu aku tak mahu. Jika aku sudah menjadi isterinya, apa alasan untuk aku menunggu Ayun di stesyen bas? Itulah peluangku yang terakhir. Untuk menunggu dan mengucapkan salam perpisahan. Atau… Ajak Ayun kahwin lari? Erk!

“Abang minta maaf. Klinik abang tak boleh tutup. Doktor yang dah setuju nak gantikan abang tu pada tarikh tu, ada masalah. 10 haribulan malam, abang kena kerja dah…”

Abang? Dahiku aku ketuk beberapa kali dengan buku lima. Ini kali pertama aku berbicara dengan dia. Soalan ketiga yang dia tanya. Soalan pertama, apa khabar? Soalan kedua, dah makan? Soalan ketiga, tok long dah maklumkan pasal tarikh tu?

Jawapan pertama aku, sihat. Jawapan kedua, sudah. Jawapan ketiga, err… aku tanya dia balik, “Siapa tok long?”

Dia ketawa dan kata, “Tok long tu tok imam Tehah yang akan jadi tok long Tehah bila kita dah nikah nanti.” Dalam hati aku menjawab, ‘Tak kelakar!’

Kemudian, dia ulang semula soalan ketiga, dan inilah yang aku lakukan kini. Mengetuk dahi dengan buku lima sendiri. Mempertimbangkan keperluan dia dan keperluan aku. Tiba-tiba aku mendengar Dina menangis. “Dina!”

“Hmm…” jawab si dia di hujung talian. Kedengarannya dia seperti berkata sesuatu pada anak itu. “Payah nak pujuk bila menangis sekarang.”

“Kenapa?” Aku kalut. Sebab bila dah kahwin nanti, tentu aku yang kena jaga si kecil tu.

“Sejak jumpa ibu hari tu…” sahut si ayah. “Meragam aje…” Tertawa kecil dia bila menyebutnya. Jelas dia suka.

Tangan kiriku mula mencakar pintu almari pakaian. Geram!

“Boleh ya?” soalnya. Suara dia lembut. Bersahaja. Matang.

‘Mesti tak hensem!’ ejekku dalam hati. “Boleh apa?” soalku. Blur sebenarnya.

“Nikah awal?”

“Mana sempat nak uruskan macam-macam…” dalihku.

“Tok long kata sempat. Kawan tok long yang akan nikahkan kita…” sahutnya ceria seperti orang yang menang.

Aku tepuk dahi! “Boleh dengan syarat!” sahutku berani.

“Apa?”

Aku tarik nafas panjang-panjang. “Err… 10 haribulan pagi. Saya nak keluar ke bandar. Jangan tanya saya nak buat apa. Jangan tanya saya nak jumpa siapa. Saya pergi awal pagi, saya balik lebih kurang zuhur…”

“Kita nak bertolak balik KL 10 haribulan pagi. Malam tu, abang dah kena ada kat klinik, sayang…” beritahu si tuan doktor.

Tegak telingaku mendengarnya. Sayang? “Kita bertolak awal petang, sebaik saya sampai dari bandar.” Aku pula mengutarakan cadangan.

“Kalau Tehah keluar pagi. Siapa nak jaga Dina?” soalnya macam orang lurus.

“Awak!” jawabku pantas.

“Kasihan, Dina!” sahutnya perlahan. Suaranya suara orang minta simpati. “Lagi satu, abang tak suka bertolak lambat. Sampai lambat nanti... Ingat nak rehat sekejap sebelum ke klinik.”

Pleaselah! Sekali aje…” pintaku sedikit merayu.

Dia diam. “Boleh tapi dengan syarat…”

Mataku bulat. ‘Mamat ni memang nak kena!’ jerit hatiku marah.

“Abang nak Tehah berinai cantik-cantik. Berukir-ukir dari hujung kuku tangan sampai separuh lengan. Inai juga dari hujung kuku kaki sampai buku lali…”

Aku mengerutkan dahi. Mana dia tahu berinai di jari tak masuk agenda persiapan pernikahan kami. “Awak jangan melebih!” Sengaja aku tunjuk garang.

“Tak lebih! Abang dah kurangkan siap-siap apa…” sahutnya selamba. “Kalau boleh, abang nak Tehah berinai satu badan. Tapi, Tehah tu abang yang punya. Abang rela tukang inai tu buat sampai separuh lengan aje. Kat kaki pulak sampai buku lali. Kalau Tehah buat yang macam tu, 10 haribulan, kita bertolak awal petang, lepas Tehah balik dari bandar…” Klik!

Tuhan! Telefon bimbit aku baling ke atas tilam. Kembang kempis hidungku menahan amarah. Ini perbincangan kami yang pertama, tetapi nampak sangat semuanya aku kena ikut kata dia. Yang aku dapat pun ada syarat. Belum puas membebel sendiri, telefon berbunyi lagi.

“Satu abang terlupa nak tanya…” ucapnya riang di hujung talian.

“Apa?” Aku soal dengan suara malas.

“Tehah nak muka abang macamana nanti?”

“Macamana apa?” soalku tidak faham. Aku boleh minta muka dia jadi muka Ayun? Atau muka Remy Ishak? Atau Aaron Aziz? Paling bagus kalau dapat muka Leonardo Di Caprio. Baru aku sedar, aku belum sekalipun melihat gambar-gambarnya. Huh! Belum ada hati!

“Err… Masa nikah nanti, nak abang berjambang? Atau misai dan janggut sahaja? Misai sahaja atau janggut sahaja?” soalnya meleret macam lelaki manja.

“Eeee… Itu bukan urusan kitalah!” marahku lagi buat kali kedua. Apa aku peduli?

Peliknya dia tertawa besar sebelum talian sempat aku putuskan. Cerianya dia!

MEMAKAI persalinan putih memang aku tak mimpi. Itu untuk Ayun. Peliknya si dia memilih warna peach. Alasannya ini perkahwinannya kali yang kedua, aku ikut sahaja. Maka, hari ini, rumahku meriah lagi. Di dapur penuh orang. Di ruang tamu juga. Di atas tanah pun sama. Hari ini kami bernikah langsung kenduri. Bersanding? Aku tolak mentah-mentah.

Seperti hari pertunangan, Dina yang menemaniku. Cutenya dia! Gaunnya berwarna peach. Sama seperti warna persalinanku. Pandai si tuan doktor! Dia tahu anak dia comel, dia hantar dulu untuk bagi tenang hati aku.

Membelek wajah Dina buat aku tertanya, bagaimana rupa Haikal agaknya. Hish! Rugi pulak tak tengok gambar yang dia hantar. Tak gamak! Gambar tu ada atas gerobok kat ruang tamu. Kat luar dah ramai orang. Nak minta tolong siapa? Dari lubang di dinding bilik, aku perhatikan semua yang ada, aku tak kenal. Rombongan Haikallah ni… Ah! Nak buat macamana? Memang ini pun yang aku nak.

Kalau dia gemuk? Nasiblah! Kalau dia kurus cekeding? Padan muka. Kalau dia tak berapa nak tinggi. Amekkawww!

Sudahnya, aku belek Dina sambil kipaskan dia. Biar tak panas macam hari tu. Bilik ni dah sedikit berangin, aku dah beli kipas berdiri dua buah. Nak beli kipas siling, siling tak cukup tinggi. Borang nikah, aku dah sign. Aku duduk dalam bilik sahaja kerana Naib Kadhi guna mikrofon. Satu kampung boleh dengar khutbah nikah kami.

Kali pertama mendengar suara Haikal di luar telefon, aku terdetak hati. Suaranya meyakinkan bagai tiada keraguan untuk memiliki gadis kampung yang macam aku. Kenapa? Kami bukannya kenal. Kami juga tak pernah berbual mesra. Panggilan malam dulu tu, itulah sekali. Pelik!

Berjambang? Hish! Teringat aku apa yang dia kata. Teringat juga lelaki di stesyen bas tu. Tak mungkin, Haikal orang KL dan lelaki itu memang selekeh kerana kerjanya macam orang mengukur jalan.

SEJAK lepas majlis nikah dan kemudian terus makan berdamai tadi, bilik ni macam bilik aku dan Mak Su yang punya. Kalut nak berdua dengan Haikal, buat aku memaksa Dina bermain sahaja di dalam bilik ini. Sanggup semua dulang hantaran Haikal, aku minta diletakkan di bilik mak tok. Tak sangka, Dina memang buat aku ketawa. Dina juga menghindarkan aku dari ayahnya. Bila mak tok dah bising sebab aku asyik duduk dalam bilik, nak tak nak terpaksa juga aku keluar.

“Ingat nak menyorok sampai malam…” sempat Haikal memerli. Kot? Ke mengusik?

“Suami didahulukan, anak diutamakan!” Mak tok menyergah sebelum sempat kakiku mencecah tanah tadi.

Aku rasa nak tepek aje muka dengan bedak sejuk. Apa bezanya? Macam sama berat aje tugasnya. Pening! Dahlah aku kalut nak ingatkan Haikal tentang ‘date’ terakhir aku esok. Mengingatkan Ayun, aku jadi muram. Aku bimbang, saat ini Ayun muncul merayu aku kembali padanya. Manalah tahu! Ruginya aku… Ayun lelaki yang aku cinta… Haikal lelaki yang aku baru jumpa… Payah! Aku pusing tubuh. Tak ada mood nak salam dengan tetamu. Tiba-tiba tanganku diraih…

Bukan tangan mak tok. Mak tok ada kat atas rumah. Tangan itu aku dah sentuh pagi tadi. Tangan itu juga yang asyik menggenggam tanganku ketika kami makan berdamai tadi. Aku tahu. Rasanya sama. Maksud aku, rasa getar di dada ini sama setiap kali kami bercakap atau bersentuhan. Cuma kami belum pernah bertentangan mata. Itu sahaja. “Teman abang…” Sah! Memang dia. “Dina dah ada yang teman kat atas. Abang ni seorang-seorang aje. Tehah tak kesian ke?”

Aku tarik nafas panjang-panjang. Aku pusing tubuh. Aku pandang pada tetamu yang sibuk menikmati hidangan. Kendurinya tak lah besar mana. Tapi meriah. Mungkin sebab mak tok orang lama di Kampung Lapis Darat ni.

“Pandang abang!” Dia buat permintaan lagi.

Tuhan! Kenapa dengan Ayun dulu aku tak rasa macam ni? Tak sanggup! Masa sarung cincin pun aku tunduk aje. Memang belum sanggup. Aku dah tak kisah. Dia lebih tinggi dari aku yang tak berapa nak tinggi ni. Paras dada dia aje. Maka, anggota lain tu, aku anggap aje sempurna.

“Tehah!” panggilnya. “Berat sangat rantai yang abang beri pada Tehah ya… sampai asyik tunduk aje…” Sempat dia mengusik.

Meremang bulu roma mendengar ayat itu. Teringat masa dia nak menyarungkan rantai ke leher aku. Segan tak usah nak cakap. “Awak…” panggilku pula. Mampu juga aku bersuara akhirnya. “Jangan paksa saya boleh?”

“Abang tak paksa…”

“Err… Jangan mintak-mintak boleh?” pintaku lagi.

“Abang tak perlu mintak dah!” potong dia. “Tehah memang dah abang punya…” Jariku diraihnya lagi. Diramas perlahan.

Sungguh, aku rasa nak putus nyawa!

“Amin!” panggil ibu mertuaku yang muncul dari belakang.

Aku menoleh padanya. ‘Siapa Amin?’ soalku dalam hati.

“Ya, mama…” sahut Haikal.

Ketika itulah aku memandang wajahnya buat kali pertama. Haikal? Amin? Setahu aku namanya Haikal.

“Nama abang Haikal. Mama panggil abang Amin…” bisiknya. “Itu nama manja… Tehah nak panggil Abang Amin pun, abang suka…”

Bulat mataku memandang dia. Dalam pada masa yang sama aku merah muka.

“Jangan tenung abang macam tu…” usiknya.

Aku tundukkan kepala. Malunya!

“Tehah…” panggil ibu mertuaku pula. “Dengan Amin, kena tahan hati sikit. Dia suka menyakat orang…”

Haikal ketawa. Aku pula memandangnya lagi. Terpesona? Ya! Tiada apa yang kurangnya dia. Wajahnya bersih. Bercermin mata. Berjanggut nipis sejemput. Persis golongan agamawan. Aku? Aku bukan ‘ustazah pilihan’…

“Mama nak balik dah…” beritahu ibu mertuaku dalam senyuman.

Aku kerut dahi. “Sekarang? Baru pukul 4.30… Mama baliklah lambat sikit,” pintaku manja. Biar Haikal sibuk layan keluarga dia sebenarnya.

“Suami Sofea yang bawa kereta. Memang dia muda dari Tehah. Tapi, rabun teruk. Bila malam, susah nak agak kereta lain jauh atau dekat…” beritahu mama.

Sofea adalah adik Haikal. Mereka hanya berdua beradik. Ayahnya sudah meninggal.

“Mama tunggu Tehah di KL. Tak sabar nak duduk serumah…” beritahunya.

Entah mengapa hatiku sebak.

DINA meragam malam itu. Mak Su tertinggal selimut busuknya. Kalut aku membantu Haikal menidurkan anak. Rumah kampung seperti ini, dalam keadaan yang sunyi sepi, aku pasti, sampai selang tiga empat rumah mampu mendengar Dina menangis.

Puas didokong, dia tak mahu tidur juga.

“Kenapa tak bawa buai?” soalku hairan. Mak tok sebenarnya dah minta Cikgu Leman ketukkan paku kat alang siling untuk sangkut tali buai.

“Abang memang tak guna buai…” beritahu Haikal. “Selalunya abang dukung dan dodoi macam ni aje. 10 minit dia dah lena…” Memang dia lelaki luar biasa, anak menangis macam nak rak, dia tenang aje macam tak ada apa-apa.

“Saya dokong…” pintaku.

“Tak apa ke?” soal Haikal. Dia mungkin kerisauan. Dia tahu, aku bukannya ada pengalaman pun.

“Bismillah!” ucapku sebaik Dina aku dakap. “Anak ibu, tenang ya…” Kutepuk punggung Dina perlahan. “Ibu adakan…”

Tangisannya makin menjadi. Aku kerut dahi. Kubelek pehanya. Ada bintat besar. Aku belek lagi. Terjumpa makhluk ALLAH yang kecil tapi…

“Semut gigit dia…” kataku kegeraman. “Merah! Halus! Awak kibas katil tu…”

Haikal terus sahaja mengikut arahanku. Dia juga mencapai tiub krim lalu diserah padaku.

“Dah, Dina!” pujukku. “Dah! Sayang jangan nangis. Ayah dan ibu dah letak ubat. Dah buang semua semut juga…” Kutepuk punggungnya perlahan hingga dia diam dan selesa. Haikal mendekati lalu memeluk kami berdua. Aku segan namun aku tunduk sahaja. Sambil itu, dia mendodoi dengan suara rendah yang menenangkan. Ambil masa tetapi akhirnya anak kami lena.

INILAH ujian malam pertama,” ucap Haikal dalam suramnya cahaya malam. Sudah sejam Dina kubaringkan di atas katil dengan aku-aku sekali terus landing. Terus juga aku pejamkan mata cuma mataku tak mahu lena. Sekadar pura-pura tidur. Letih badan! Dua hari rehat tak cukup siapkan itu ini. Bagiku, Haikal patut bersyukur kerana aku beri kerjasama yang sepatutnya sebagai seorang ibu. Sebagai isteri? Aku tahu, hatiku berbolak balik lagi.

“Al-Fatihah!” sebut Haikal tiba-tiba.

Tanpa sedar dengan mata terpejam, mulutku terkumat kamit membaca ibu Al-Quran. “Amin…” ucapku perlahan.

“Ya, sayang!” sahutnya. “Abang Amin di sini…”

Nafasku terhenti. Lakonanku tak menjadi. Dia mengusik aku sebenarnya. Fatihah adalah namaku. Amin adalah nama manjanya. Aku buat muka kaku beku. Suasana diam buat aku lega. Dia mengalihkan pembaringan, tetapi aku tak tahu macamana gayanya. Aku tak sanggup nak buka mata.

“Comel!” puji Haikal.

Aku tetap diam membatu. Dia tentu memuji Dina. Maka, aku buat tak dengar. Tanganku tetap memeluk Dina yang menjadi sempadan antara kami. Wanginya bau anak ini. Tak mahu sedetik pun aku berpaling dari dia.

“Manja!” kata Haikal lagi.

Otakku mula menerawang ke kanan kiri. Bilalah dia nak tidur? Ikut cara dia hari itu, memandu dari Parit Sulong ke KL pun terpaksa berehat sebelum ke klinik. Mungkin memandu itu penat. Tetapi, bukan ke doktor yang duduk klinik tu banyak rileks? Hai… Entahlah!

“Nakal!” ucap Haikal lagi.

Hatiku mula hangat. Sudahlah ini malam pertama dia dan anaknya berkongsi bilik dengan aku. Takkan tak nak tidur. Aku pulak macam tak boleh lena. Terasa macam ada CCTV yang tak boleh nak aku padamkan. Sudahlah macam tu, macam ada komentar sukan pulak! Aku tahu, Dina memang comel. Dina memang manja. Dina juga ada gaya nakal. Walau kami belum 24 jam bersama, aku kenal Dinaku. Tak perlu sesiapa nak komen pada jam 1.30 pagi. Esok aku nak bangun awal, ada misi putuskan cinta untuk aku lebih bahagia. Aku tak mahu ada rasa ralat. Aku tak mahu ada rasa sesal. 12 tahun sebagai kekasih Ayun, aku mesti ucapkan perpisahan sepenuh hati sampai aku puas hati.

“Comel! Manja! Nakal!” puji Haikal berdas-das. “Ibu dengan anak sama aje…”

Mukaku merah. Dia maksudkan aku ke? Tuhan!

Sesaat kemudian dia ketawa. “Terima kasih sebab sudi terima abang dan Dina. Kami dapat rasakan yang Tehah akan membahagiakan hidup kami. Baru hari pertama pun, kami dah ceria! Tidur ya, sayang. Assalamualaikum!”

Mula-mula aku terharu mendengar ucapannya. Ceria? Itu pujian Ayun buatku, namun entah mengapa aku rasa rela mendengarnya dari dia. Kemudian aku terkedu sebaik dia mengusap lembut tanganku yang sejak tadi memeluk Dina erat sekali.

Bila aku boleh tidur ni?

PAGI itu aku kalut. Ada saudara jauh kami, Kak Noi dan keluarganya yang belum bertolak balik. Walhal, sarapan sudah kuhidang seawal mungkin. Dina juga sudah kumandi dan siapkan. Dia memang anak yang tak cerewet. Mandi air sejuk pun tak menangis. Bukanlah sejuk sangat pun!

Terpaksa pula menunggu Kak Noi menggosok baju untuk dia sekeluarga. Aku mula merasa stress. Menyesal kerana tidak menyiapkan baju orenku lebih awal.

“Mak tok tinggal seoranglah bila Tehah ikut suami dia balik KL?” soal Kak Noi.

“Ha’ah, Noi!” jawab mak tok. “Kamu jangan risau. Nek Jenab tu dah jadi sedara. Apa-apa hal aku panggil dia aje…”

Aku yang mendengar dari dalam bilik mula panjang muncung. “Kalau kerja dengan bercakap, bila nak selesai…” bebelku sambil menendang lembut pada pintu almari. Sekadar mahu melepaskan perasaan. Aku nak sterika baju. Baju oren tu, mesti disterika. Kalau tak, retak seribu.

“Kenapa sayang resah? Kenapa sayang tak siap lagi?” soal Haikal yang baru masuk ke bilik. Dia sudah bersiap. Kemas gayanya. Berslack dan kemeja lengan pendek.

Aku geleng kepala. Baju kurung dalam tangan aku ramas kuat tanda geram. Segan menunjukkan perangai yang entah apa-apa, aku duduk di birai katil memerhatikan Dina yang leka bermain sendirian. Aku tersenyum tawar pada anak itu.

Up!” ucap Haikal.

Aku panggung wajah. Tak faham.

“Berdiri!” suruhnya.

Aku akur dengan lemah. Terkejut aku sebaik dia memelukku erat. Puas kutolak tubuhnya tapi tak berdaya.

“Hanya suami yang mampu hilangkan resah isteri, insya-ALLAH!” ucap Haikal perlahan. Dia mendodoi seolah-olah aku ini Dina.

Mula-mula hatiku hendak memberontak, dalam sesaat aku lega. Dia faham keresahan hatiku. Andai dia tahu apa urusanku ke bandar, apa agaknya yang dia rasa? Adakah dia pula akan merasa resah sebagaimana yang aku rasa? Aku maklum, aku isteri. Mengucapkan selamat tinggal kepada kekasih lama? Bagaimana? Hatiku sebak hingga akhirnya aku menangis teresak-esak. Lebih-lebih lagi bila jam berdenting lapan kali. Aku tahu aku sudah terlewat.

“Tehah! Kak Noi dah siap guna sterika!” jerit Kak Noi dari luar.

“Abang ambilkan bawa masuk dalam bilik…” beritahu Haikal lantas mengucup dahiku. Sempat jarinya menyentuh air mata di pipi.

“Ya, ALLAH!” jeritku kuat sebaik sterika kuletakkan. Baju kurung orenku langsung hangus berlubang. Di bahagian pinggang pula tu. Mungkin Kak Noi menggunakan tahap kepanasan yang paling tinggi. Aku pula terlalu terburu-buru hendak mengejar masa.

“Sayang pilih baju lain. Abang ganti baju sayang nanti…” pujuk Haikal. Wajahnya menunjuk simpati.

Aku menggeleng. “Takkan sama…” tangisku. Kenapa ini yang terjadi? Pada pertemuan yang terakhir pula. Apa maknanya ini semua?

“Bajunya memang takkan sama,” ucap Haikal tiba-tiba. “Orangnya masih sama. Cintanya masih sama. Paling penting… setianya masih sama…”

Aku memandang padanya dengan kerut di dahi. Apa maksud kata-katanya?

“Cepat! Cari baju lain…” gesanya. Gelagatku tidak diendahkan. “Atau pakai aje baju yang abang bawa dari KL semalam…”

Lagi aku kerut dahi. Tak gamak! Itu baju dari dia, takkan aku pakai untuk Ayun?

Haikal membuka almari. Baju dikeluarkan dari dalam plastik. Dia yang memilihkan yang mana satu untuk kupakai.

Cantik! Aku akui. Aku sudah membeleknya semalam. Kain lembut yang aku tak tahu apa. Tanah putih berbunga halus warna oren.

“Tudungnya ini!” suruh Haikal lagi. Pandai dia memilih tudung sepadan.

“Awak…” ucapku serba salah. Apatah lagi sebaik kudengar bunyi bas yang sudah terlepas. Aku tahu aku perlu tunggu satu jam lagi. “Saya nak ke bandar untuk…”

“Cepat!” potong Haikal.

Aku geleng. Aku tak sampai hati. “Saya ke…”

“Abang tahu…” ucapnya perlahan dalam senyuman. “Abang tahu Tehah dah lambat. Abang akan hantarkan. Cepat siap! Nanti bertambah lambat…”

Aku geleng. Aku mahu dia dengar. Kedua lengannya aku genggam. “Saya tak sanggup pakai baju yang awak bagi sebab…”

“Abang tahu…” Dia potong lagi. “Abang tahu Tehah nak tunggu Ayun…”

Aku bulat mata. “Awak tahu pasal err… Ayun?” soalku. “Dari siapa?” Keluar tak keluar suaraku.

“Dari Ayun!” jawabnya perlahan.

“Dari Ayun?!” soalku ingin kepastian. “Awak kenal Ayun? Awak jumpa dia? Di mana?”

“K-City. Ayun pelajar degree kat sana kan?”

Aku angguk laju.

“Abang pelajar master di UK. Abang pernah buat penyelidikan kat sana lebih kurang tiga bulan. Abang buat medical tetapi abang perlu bantuan dia. Dia pakar dalam bidang system engineering. Tak padan dengan budak degree. Abang memang banyak jumpa dia dalam tempoh tu…”

Aku ternganga. Sesak dada mendengar berita ini. “Dia ada di mana sekarang?”

“Dia dah tak ada, Tehah…” beritahu Haikal. Perlahan suaranya. Tenang wajahnya. “Dia dah meninggal! Membawa bersama cinta Tehah dan kesetiaannya…”

“Meninggal?” soalku tak percaya. Air mata di pipi jatuh bagai dijemput.

“Kemalangan. Ada orang mabuk langgar dia…” beritahu Haikal. “Dua hari sebelum dia dijadualkan balik ke sini…”

“Lima tahun saya tunggu dia kat tempat yang kami janji…” Tersekat nafasku.

“Abang tahu!” Haikal memelukku erat. “Anggap ini salah abang. Maafkan abang ya…”

Aku sudah tak mampu dengar. Tubuhku longlai. Dunia jadi gelap gelita.

AKU mengerling pada lelaki di sebelah. Dia khusyuk membaca buku. Aku perhatikan pula Dina yang lena di pangkuan. Polos wajahnya buat aku semakin sayang. Kami di dalam perjalanan pulang ke KL. Pemandu Haikal bernama Adnan yang memandu. Rupanya dialah mamat ‘ukur jalan’ yang tiga bulan ini memerhatikan aku bagi pihak bosnya.

Masih kuingat wajah mak tok yang sedih ketika kutinggalkan. Dia tidak mahu mengikutku. Katanya, jiwanya sudah sebati dengan udara Kampung Lapis Darat. Dia mahu mati dekat dengan suami, lebih berkat, guraunya. Haikal pula berjanji padaku yang kami akan memujuk mak tok tinggal bersama kami di KL dari masa ke semasa. Aku ikutkan sahaja. Lagipun, kami mengejar masa.

Aku kerling lagi lelaki yang meminta maaf padaku awal pagi tadi. Untuk apa memberi kemaafan pada lelaki yang tidak bersalah pun sebenarnya. Malah, dialah yang menemankan aku duduk sebentar di kerusi ‘milikku’ di stesyen bas Batu Pahat tadi. Tanganku yang berinai hingga separuh lengan dipegang erat tanda dia memberi kekuatan padaku mengucapkan salam perpisahan. Perpisahan yang terlewat. Aku dan Khairul Wafiy sudah berpisah lima tahun dulu rupanya. Sungguh Haikal memang tidak bersalah.

Kenapa Haikal tidak bersalah? Dia tahu Ayun ada kekasih. Ayun pernah bercerita tentang janji datingnya denganku kepada Haikal. 10 haribulan setiap bulan. Cuma Haikal tidak tahu namaku siapa. Jumpa di mana. Pukul berapa. Entah mengapa, Ayun ada menulis surat buat Haikal. Meminta dia mencari aku andai apa-apa berlaku padanya kerana cinta kami cinta rahsia. Keluarga Ayun tidak tahu menahu langsung.

Sayangnya surat itu lambat sampainya. Empat tahun setengah mengambil masa untuk tiba ke tangan Haikal. TakdirNYA surat itu terselit di celah meja di pejabat pos kecil di mana surat itu Ayun poskan. Nampaknya, dalam kemajuan negara Eropah yang diagung-agungkan, human error tetap berlaku. Tentu sekali Haikal menerima surat itu dengan ribuan kemaafan dari ketua pejabat pos di sana.

Aku kerling lagi pada Haikal. Jika surat itu sampai mengikut tarikh sepatutnya, kami mungkin tidak akan bersama seperti sekarang. Haikal sudah ada kekasih, yang kemudian menjadi ibu yang melahirkan Dina. Syafiza namanya. Haikal mungkin muncul di Kampung Lapis Darat sekadar untuk memaklumkan kepada aku yang Ayun sudah tiada dan life must go on…

Haikal beritahu aku ketika surat itu sampai, dia merasa pelik. Permintaan Ayun luar biasa sifatnya untuk lelaki seperti dia. Mereka tidaklah terlalu rapat. Malah, mereka tidak saling berhubung sejak penyelidikan Haikal selesai. Kerana surat itu, Haikal cuba mencari Ayun tetapi gagal. Hingga dia terjumpa salah seorang rakan sekuliah Ayun. Ketika itu, dia ada seminar perubatan di Singapura. Barulah dia tahu yang Ayun sudah tiada dan dia harus menjalankan tanggungjawabnya iaitu mencari aku dan memaklumkan perpisahan ini.

Haikal juga tidak segan untuk mengakui waktu itu dia juga sedang buntu bersendirian dan kesepian. Anaknya masih kecil. Ibunya makin tua. Adiknya, Sofea sudah ada kehidupan sendiri. Dia memang perlukan isteri yang selayaknya untuk membantu dia menjaga semua tanggungjawab yang ada.

Aku katakan pada Haikal, pendidikanku setakat STPM sahaja. Aku bukan doktor seperti Syafiza. Jauh sekali pakar psikologi seperti mamanya. Aku penoreh getah yang hidupku menyembah pokok pada subuh buta mencari rezeki untuk keluarga.

Haikal memberitahuku, dalam surat Ayun ada tertulis, aku sudah dipersiapkan untuk menjadi isteri dan ibu. Ayun yang merencana, aku pula mengikut sahaja. Kerana itulah, Haikal memilih aku. Gadis biasa-biasa yang tiada apa-apa.

Aku bimbang Haikal menyesal. Sendirian aku keresahan memikirkan kemampuan diri. Ilmu agama? Panggil sahaja ustazah. Memasak? Lantik sahaja chef. Menjahit? Fashion designer ada merata-rata. Haikal mampu menggaji mereka semua.

“Setia!” ucap Haikal tiba-tiba buat aku mengangkat wajah lalu memandang padanya. “Jika Tehah mahu tahu nilai apa paling mahal pada Tehah yang buat abang jatuh cinta, Tehah setia! Abang nikahi Tehah dulu baru beritahu hal ini kerana abang cintakan Tehah, bukan kerana abang simpati. Abang juga minta tok long mengaku dia yang pilihkan Tehah untuk abang. Abang nak Tehah terima abang atas apa juga alasan. Abang kagum kerana Tehah setia tanpa sebarang ganjaran cinta. Dulu mungkin setia Tehah untuk Ayun. Sekarang dan selamanya, untuk abang… Insya-ALLAH!” Yakin pengucapannya. Mata kami bertentangan. Redup pandangannya padaku.

“Maafkan Tehah, abang!” ucapku perlahan. “Tehah mulakan hubungan kita sebegini…”

Haikal menyentuh jarinya ke bibirku. “Ceria Tehah untuk keluarga kita! Setia Tehah untuk abang…”

Aku setakat mampu mengalirkan air mata yang kemudian Haikal lapkan perlahan dengan saputangan yang aku hadiahkan. Aku meredhakan apa yang terjadi pada diri. Memandang ke hadapan dengan tenang bersama Haikal a.k.a ‘Amin’ yang mencintaiku dan Dina Zihani yang mendambakan kasih sayangku. Dan aku? Aku bertekad untuk memberikan segala yang aku ada pada mereka. Oren itu ceria! Cinta mesti setia!


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.