Home Novel Cinta JANGAN LUPAKAN AKU
JANGAN LUPAKAN AKU
9/4/2014 12:03:48
42,950
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

“FANTASTIK!” Itu ucapan pertama Haikal yang menyuap ubi kayu rebus cicah sambal tumis ikan bilis. Hadi yang duduk di sebelah hanya ketawa gembira. Haikal, berusia lima tahun adalah anak bongsu arwah Haji A. Rahim dan arwah Hajah Samsiah.

Arwah Haji A. Rahim adalah anak tunggal Kiyai Ali. Haji A. Rahim memiliki empat orang anak lelaki iaitu Khairul Iqbal, Muhammad Luqman, Muhammad Hadi dan Muhammad Haikal. Luqman kini berada di tingkatan tiga dan Hadi pula di dalam darjah lima.

“Kak Zara, Haikal nak ikut akak ke Kuala Lumpur, boleh?”

“Sekolah belum cuti, kan?” kata Elza Zaharah. Dia yang memang gemarkan ubi kayu rebus dan sambal tumis ikan bilis menikmati hidangan itu tanpa memandang Haikal yang berbicara dengannya.

“Belum tapi Haikal nakbooking dulu. Cuma Haikal aje. Boleh tak?” pinta Haikal lagi.

“Kalau nak ikut, kena ikut sebulan. Kena ikut Kak Zara ke pejabat, tengoksiteproject. Sanggup ke? Botol susu kena tinggal di rumah. Sanggup?” usik Elza Zaharah.

“Sanggup! Asal Kak Zara bawa Haikal ke Zoo Negara...”

Kata-kata itu membuatkan Elza Zaharah memandang Haikal sambil berkerut dahi. “Oh! Dahlah Kak Zara kena heret Haikal sebulan ke sana sini, kena bawa lagi ke Zoo Negara...” bebel Elza Zaharah tidak puas hati dengan cara Haikal berunding. Berat sebelah!

“Bolehlah...” pujuk Haikal manja.

“Tak janji, insya-ALLAH... Kak Zara sibuk sikit sekarang, tapi Kak Zara cuba usahakan. Boleh sabar tak?” soal Elza Zaharah pada si kecil.

“Boleh...” balas Haikal terangguk-angguk.

Nek su tersenyum melihat manjanya Haikal pada Elza Zaharah. Macam-macam yang berani dimintanya. Orang tua itu bersyukur, dia merasakan, jika dia dan Kiyai Ali pergi dulu, Elza Zaharah layak untuk menjaga cucu-cucunya.

Elza Zaharah seorang yang penyayang tetapi tegas. Dia memang memanjakan adik-adik iparnya, namun, jika dia tidak bersetuju tentang sesuatu, dia pasti tidak teragak-agak untuk menyatakannya. Contohnya pagi tadi, di hadapan nek su, Elza Zaharah serius menolak permintaan Luqman yang inginkan sebuah motosikal.

“Luqman belum cukup umur untuk ambil lesen. Kak Zara boleh belikan motor dengan syarat PMR dapat 6A dan ada lesen. Jika tidak, kumpul duit sendiri dan beli sendiri!” tegas Elza Zaharah bersuara.

Luqman yang membuka mulut menyatakan hasrat hati hanya terdiam. Dia dapat meneka Elza Zaharah tahu yang dia inginkan motor itu untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Ingin jadi hero di kalangan pelajar Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman, Parit Sulong. Apatah lagi, baru-baru ini gadis pujaan hatinya, Soraya, yang juga teman baiknya, dalam diam sudah pandai menghantar nota ringkas pada rakan di kelas sebelah, Hafiz yang mula menunggang motor ke sekolah. Itu buat hati mudanya bercelaru dan lari dari fokus.

6A dalam PMR? Itu bagaikan sebuah permintaan berganda. Selama ini pencapaiannya hanyalah 3A sahaja. Yang lain biasanya C dan D.

Dia tahu, bukan sedikit masa, tenaga dan wang yang disumbangkan oleh wanita muda di hadapannya. Malahan, terkadang Luqman sudah pandai membandingkan bilangan kerut di dahi Elza Zaharah dan Cikgu Dhani, guru kelas yang sebaya dengan kakak iparnya. Ternyata wajah gurunya lebih tenang tanpa kerutan.

“Kak Zara, terima kasih sebab belikan Hadi basikal,” kata Hadi memecah suasana.

“Basikal buruk Abang Hadi bagi pada Haikal ya,” pinta Haikal sambil tersenyum. Giginya sudah banyak yang rongak kerana suka curi-curi makan gula-gula.

“Boleh, tapi tak boleh bawa laju-laju.Handle basikal tu dah longgar. Dah baiki banyak kali tapi tak boleh betullah,” balas Hadi.

“Luqman boleh baikihandle basikal tu tak?” tanya Elza Zaharah.

“Tak...” jawab Luqman dengan wajah murung yang ditunjukkan sejak balik dari sekolah.

Dari reaksi itu, Elza Zaharah tahu yang adiknya itu masih tidak berpuas hati dengan keputusannya awal pagi tadi. Namun, dia tenang sahaja, tidak mahu merumitkan keadaan. Luqman sudah berusia 15 tahun. Walaupun baru awal remaja, Elza Zaharah mahu melatihnya menjadi dewasa kerana tok su dan nek su semakin tua. Dia perlu belajar erti tanggungjawab lebih cepat.

Sesudah makan, semua adik-adik membantu mengemas.

Dari atas rumah, Elza Zaharah tersenyum memerhatikan adik-adiknya bermain di halaman rumah. Terhibur dia melihat keletah Haikal yang sering disakat Hadi tak kira masa. Demi masa, dia terus melangkah perlahan ke dapur. Ada kerja lagi yang masih belum siap.

“Maghrib ini, nek su nak ke masjid. Zara nak ikut?” soal nek su pada wanita muda yang sedang menyusun barangan dapur yang dibelinya di Mydin Subang.

“Insya-ALLAH, nek,” jawab Elza Zaharah tenang.

“Kalau terjumpa Mak Cik Misah kamu, macam mana? Nanti dia serang kamu lagi,” soal nek su kegusaran. Bukan dia tidak tahu Elza Zaharah sering menjadi topik perbincangan mesyuarat tingkap Mak Misah tidak kira di mana. Mengapa? Kerana untuk bernikah dengan Elza Zaharah, Khairul Iqbal terlebih dahulu menghantar tok su dan nek su memutuskan pertunangannya dengan Siti, anak Mak Misah.

Siti adalah ibarat anak dara idaman yang menjadi rebutan seluruh kampung. Ketika Mak Misah menerima pinangan Khairul Iqbal, bukan Mak Misah berkenan sangat dengan anak muda itu, tetapi kerana Siti yang sudah tergila-gilakannya. Hingga Siti berkeras menolak peminangan orang lain termasuk bakal doktor dan bakal guru.

Walaupun kisah itu sudah lama berlalu, Mak Misah tetap berdendam kerana Siti sudah terlepas semua calon pilihannya. Oleh kerana Khairul Iqbal tidak kembali, Elza Zaharahlah yang menjadi sasaran perasaan tidak puas hati Mak Misah.

“Zara senyum sahaja, nek. Apa lagi yang mampu Zara buat. Jika Zara lawan, jadi dosa kerana dia orang tua. Lagipun, apa yang diperkatakannya itu benar. Zara terima takdir-NYA,” jawab Elza Zaharah tenang.

Selepas pulang dari masjid, Elza Zaharah mula menghidupkan MacBooknya. Dia memerhatikan gambar-gambar yang telah dihantar oleh Rizal. Satu per satu diperhatikannya berulang-ulang kali, ingin mencerna idea. IZACK... nama itu dicontengnya beberapa kali bagai ingin memanggil semangat lelaki itu datang padanya.

“Kak Zara buat apa?Design projek lagi ya,” tegur Haikal sambil tersenyum.

Elza Zaharah mengangguk. Adiknya yang kurus kering itu diangkat untuk didudukkan di pangkuannya. Sambil itu, dia menekan-nekanbutton ‘next’ untuk meneliti gambar-gambar itu.

“Macam mana nak sebut ni? Eeee Zak?” tanya Haikal pada nama Izack yang Elza Zaharah tuliskan di buku notanya.

“Ai... zek...” Elza Zaharah membetulkan sebutan Haikal.

“Macam orang putih,” kata Haikal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Elza Zaharah ketawa. “Memang orang putih...” Sengaja mempermainkan adiknya.

“Wah! Kak Zara cakap orang putih ya?” tanya Haikal.

“Ya! Sebab itu Kak Zara nak adik-adik Kak Zara belajar bahasa Inggeris betul-betul,” nasihat Elza Zaharah.

Haikal mengangguk. “Nak lukis dengan Kak Zara!” pintanya.

“Pergi ambil buku lukisan yang Kak Zara belikan,” arah Elza Zaharah.

Adiknya terjun dari pangkuan dan mengambil buku lukisan yang dimaksudkan di kabinet buku tidak jauh dari meja makan yang menjadi tempat mereka membaca dan menyiapkan kerja sekolah setiap malam. Dia datang semula dengan buku lukisannya dan sekotak pensil warna yang besar.

“Kak Zara, Haikal nak bawa pensil warna yang besar ni ke sekolah. Tapi, Abang Hadi kata tak boleh, takut orang ambil,” adu Haikal.

Hadi yang mendengar namanya disebut, bangun dan datang merapati mereka. Mungkin seronok dengan peralatan Elza Zaharah yang pelbagai atau tiada cerita menarik di TV, menyebabkan dia mengambil beg sekolah dan mengeluarkan buku sekolahnya. Dia duduk dan mula menulis untuk menyiapkan kerja sekolah.

Elza Zaharah menulis sesuatu di buku notanya. Idea bilik kerja Izack dilakar ringkas. Entah mengapa dia bermula dari bilik itu. Bukannya ruang tamu seperti rekaan buat pelanggan lain. Ah! Izack kan berbeza…

Satu demi satu ruang Elza Zaharah cuba untuk lakarkan. Kedudukan perabot dan warna yang ingin dicadangkan. Sistem pencahayaan dan pengudaraan. Dari siling hingga ke lantai. Dari dalam hingga ke luar. Dari depan hingga ke belakang. Semuanya diambil kira. Semuanya diteliti. Sehingga dia berpuas hati!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.