Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,034
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

ANAK kecil mereka diperhati penuh simpati. Si kecil yang riang dan petah berkata itu hari ini senyap dan muram. Hanya tidur sahaja bertemankan kain tuala basah di dahi. Sesekali, Shahira mengelap tubuh anaknya dengan kain basah tersebut. Biar suhu badan anaknya turun. Dia mahu lihat anaknya cepat sembuh.

Qayyum mengusap tangan kecil anaknya dengan sayu. Beberapa hari lepas sebelum dia berangkat pergi, anaknya menghantar dia dengan senyuman. Sangkanya, kepulangannya akan disambut dengan senyuman itu.

“Budak-budak, kalau demam itu biasalah. Nak membesarlah katakan. Jangan dirisaukan sangat. Yang penting, beri makan ubat pada waktunya. Nanti sembuhlah Amila itu. Budak ini nak sembuh lebih cepat dari kita orang tua,” ujar Puan Zaleha, ibu Shahira dan ibu mentua Qayyum.

“Ira risau sebab Amila ini budaknya jarang jatuh sakit,” luah Shahira penuh gelisah.

“Orang yang makan garam lebih ini dia tahulah. Percaya cakap ibu. Amila itu tak ada apa-apa. Jangan sebab terlalu risaukan Ira, kamu pula yang jatuh sakit,” pesan Puan Zaleha.

Shahira mengangguk, akur dengan nasihat ibunya.

“Dahlah itu. Ira, Qayuum, mari kita makan.”

“Tak apalah. Ibu dan abang pergi makan dulu. Ira tak ada selera.” Shahira menolak.

“Tengok itu. Ira… Kan ibu dah cakap tadi. Kalau Ira jatuh sakit, bila Amila sembuh, dia mesti sedih tengok ibu dia jatuh sakit pula.”

Shahira menarik nafas dalam lalu hembuskannya. Dia bangun juga dengan lemah dan meninggalkan anaknya.

Sewaktu makan, banyak perkara yang mereka bualkan. Yang paling banyak bercakap, Puan Zaleha dan Qayyum. Pelbagai topik menjadi bahan bualan. Hanya Shahira yang terdiam sepi. Ada juga dia bercakap, tapi patah perkataannya boleh dikira dengan jari.

Usai makan, Shahira menerima panggilan dari tempat kerjanya.

“Ya ke? Maknanya saya kena pergi sana?” Shahira meluahkan rasa kesal. Puan Zaleha dan Qayyum memerhati sahaja wajah gelisah Shahira.

Setelah meletakkan panggilan, Shahira memandang mereka.

“Ibu, abang… Ira kena keluar pergi pejabat. Ada hal kejap.”

“Kamu ini, Ira. Suami kamu baru balik, dah keluar pergi kerja.”

Sorry, tapi hal ini urgent. Kalau Ira siapkan semua ini awal, Ira akan balik awal.”

Shahira segera berlalu pergi meninggalkan mereka. Qayyum dapat menghantar pergi isterinya itu dengan pandangan mata. Alahai, sibuknya isteri dia. Sudahlah bimbangkan anak, kerja juga perlu diambil berat. Bukan mudah menjadi ibu bekerja.

PUAN HAMIDAH tidak berhenti-henti mengalirkan air mata sejak dikhabarkan anaknya dimasukkan ke hospital kerana kemalangan. Teresak-esak dia menangis. Hidayah juga sama, turut berduka cita. Cepat-cepat dia minta izin daripada majikannya untuk pulang awal. Mujurlah dapat.

Encik Haikal sejak tadi hanya mendiamkan diri. Tak mampu berbuat apa-apa. Dia tak mampu untuk bersuara. Hati seorang ayah mana yang tidak sedih walaupun air mata tak mengalir bila keadaan anak jadi begini?

Tidak lama itu, kelibat Ryan muncul di hadapan mereka. Tergesa-gesa dia berlari ke arah ahli keluarganya berkumpul.

“Ayah, apa dah jadi? Macam mana boleh jadi ini?” Ryan masih bingung dengan apa yang terjadi. Dia tidak dapat menerima hakikat adiknya dimasukkan ke hospital. Kini, dia rasa bimbang dengan apa yang bakal terjadi.

“Entahlah, long. Benda dah jadi, tak boleh nak buat apa.” Kedengaran kesal suara Encik Haikal ketika itu.

Ryan duduk di sebelah ayahnya. Tatkala dia mendapat khabar ini, cepat-cepat dia datang ke sini. Habis semua temuduga kerja dia tinggalkan. Kalau pergi pun, hatinya tidak akan tenang kerana memikirkan adiknya. Jatuh simpatinya kepada Azyah.

Apabila pandangannya ke kiri dan ke kanan, dia perasan ada seseorang yang tidak bersama mereka. Difikirkan semula, di mana adik iparnya itu?

“Mana Fakrul, ayah?” tanya Ryan.

“Dia kata ada mesyuarat. Dah habis nanti dia datang.”

Apa? Ryan tercengang. Tak boleh langsungkah tinggalkan mesyuarat itu? Masih mahu terus bermesyuarat di kala isteri sedang berperang nyawa dalam bilik pembedahan? Dia benar-benar tidak faham. Hatinya mula rasa panas.

“Penting sangatlah agaknya mesyuarat itu. Sampai langsung tak boleh nak tinggal. Isteri di sini, buat tak peduli.” Lancang mulut Ryan bercakap. Pak cik bawang punya style.

“Jangan difikirkan bukan-bukan. Kita tak tahu perasaan dia macam mana. Dia sebagai suami, mesti lebih sedih.” Encik Haikal cuba berfikir positif. Menepis semua fikiran negatif.

Ryan mencebik mulutnya. Maklumlah, Fakrul itu menantu kesayangan ayahnya. Menantu pilihan, menantu terbaik dan segala yang baik-baiklah tentang menantu. Itu semua Fakrul. Bukannya cemburu, tapi celah mana datang baiknya?

Walaupun dia tidaklah kenal sedalam mana adik iparnya itu, tetapi dari pemerhatiannya… Ada sesuatu yang tidak kena. Naluri seorang lelakilah katakan. Ceh… Naluri konon.

Tidak lama setelah itu, kelibat doktor mula muncul di sebalik pintu bilik bedah. Masing-masing bangun dan memandang wajah doktor itu. Menunggu keputusan yang mereka dapat menerimanya atau tidak.

“Macam mana anak saya, doktor?” Puan Hamidah bertanya dengan suara serak-serak basah.

“Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Anak puan berjaya diselamatkan. Cuma…”

“Cuma apa, doktor? Ada apa-apa, ke?”

“Kami minta maaf kerana kandungannya tidak dapat diselamatkan.”

Puan Hamidah terduduk di kerusi dan air mata mengalir lagi.

Yang lain, terpempan.

FAKRUL mencari-cari ahli keluarga mentuanya. Setelah menjumpai, dia segera mendekati mereka. Wajah mereka semua sugul. Tidak bermaya.

“Ayah, ibu… Macam mana keadaan Azyah?” soal Fakrul sewaktu sampai.

Ryan menjeling wajah Fakrul dengan tidak puas hati. Bencinya semakin meluak-luak. Tak tahulah kenapa.

“Abang Fakrul tahu yang Kak Azyah mengandung?” Hidayah cuba mendapatkan jawapan persoalannya.

Tiba-tiba, dia rasa tidak sedap hati. Kenapa dia ditanya begitu?

“Ya, abang tahu. Kenapa? Ada apa-apa dah jadi?”

“Kamu jangan risau. Azyah selamat tapi doktor kata… Kandungannya tidak dapat diselamatkan.”

Riak wajah Fakrul jelas menunjukkan betapa terkejutnya dia dengan berita ini. Tangannya meraup muka beberapa kali. Rasa serba-salah menyelubungi dirinya. Seolah semua sebab perkara ini terjadi adalah dirinya. Semua jari menunding ke arahnya.

Dia duduk dengan keserabutan di fikiran. Semakin hari, semakin bertambah masalah dalam hidupnya. Selepas satu, muncul pula lagi satu.

Ujian ini terlalu berat untuknya. Bagaimana dia mahu laluinya? Dia tak dapat bayangkan hari-hari yang akan datang? Ya Allah… Bantulah hamba-Mu ini mencari jalan keluar dari semua masalah ini.

SELESAI bermesyuarat, Shahira bersiap-siap untuk pulang. Rasa penat betul bila berada dalam mesyuarat yang memakan masa. Mujurlah, semuanya berjalan dengan lancar. Jika ada kekurangan, itu bukan atas sebab sengaja. Benda last minute, bukan semua boleh prepare dalam masa yang singkat.

Nak mengeluh pun, dia di situ makan gaji juga walaupun ada pangkat. Tak apalah, benda dah lepas. Usah difikirkan lagi. Buat sakit hati pula. Sewaktu mahu melangkah pulang, telefonnya menerima panggilan. Daripada suami tersayang.

“Kenapa abang telefon ini? Ira dah nak balik ini.”

“Ira… Abang di hospital ini.”

“Kenapa pula?” Shahira mula naik risau.

“Amila kena tahan wad.”

Ya Allah, anak aku!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.