Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,196
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

PAGI hari yang amat suram untuk dimulakan. Suasana meja makan menjadi sunyi dan janggal walaupun berpenghuni. Fakrul bingung bagaimana mahu memulihkan suasana yang sudah berantak kerana masalah yang dibawanya sendiri. Dia sedar masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Ada banyak perasaan yang perlu dia jaga.

Seperti biasa, Azyah melakukan rutinnya sebagai suri rumah pada waktu pagi dengan menyediakan sarapan buat suaminya. Sakit hati masih terasa namun dia pendamkan saja memikirkan dia masih punya tanggungjawab untuk dilakukan. Azyah tidaklah sekejam mana.

Jangan sebab pergaduhan, dia lupa siapa dirinya. Rasanya, kalau orang lain di tempatnya kini mahu gantung senduk berhari-hari. Bukan gantung senduk, siap kemas kain baju nak pulang ke rumah orang tua. Kalaulah ibu dan ayahnya tahu tentang perkara ini, entah apa reaksi mereka.

Supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan, dia sembunyikan perkara ini terlebih dahulu. Kalau boleh selesai secara diam, dia cuba usahakan. Kalau tidak, tiada apa yang dia dapat lakukan sekiranya perkara ini sampai ke telinga orang lain.

"Azyah tak nak makan sekali? Marilah temankan abang sarapan. Kita sarapan sama-sama," pelawa Fakrul lembut. Cuba berbaik-baik.

"Tak apa. Abang makanlah. Azyah boleh makan kejap lagi. Bukannya Azyah tak biasa makan seorang diri," perli Azyah dengan nada halus.

"Azyah... Sampai bila kita nak macam ini?"

"Sampai abang buat keputusan."

"Azyah..."

Selesai membasuh di sinki, Azyah beredar dari ruang dapur. Tidak menjeling pun matanya walau sesaat kepada Fakrul. Jelas benar bahawa Azyah masih kesal dengan apa yang telah terjadi. Semua ini membuatkan kepala Fakrul semakin kusut dan berserabut. Tiada jalan yang lebih baikkah daripada dia harus terpaksa meninggalkan salah seorang daripada mereka?

"APA? Kau tak jadi datang? Kau jangan buat onar, Azyah. Dah janji, kan?" Irina kecewa bila Azyah tiba-tiba membatalkan janjinya untuk pergi ke reunion rakan-rakan sekolah dulu.

"Maaf, tapi aku ada hal lain yang aku kena uruskan. Mustahak sangat."

"Babe, kau sebenarnya okay ke tak ini? Aku rasa lain macam aje ni."

"Aku okay. Kau jangan risau."

"Atau kau tak nak datang sebab dia ada?" teka Irina. Siapa tahu, di lubuh hati Azyah masih tidak dapat melupakannya?

"Macam aku cakap tadi, sebab aku ada urusan lain. Lagipun, aku dah tak peduli pasal dia. Entah-entah, dia pun tak peduli dekat aku."

"Kalau begitu, aku tak boleh nak buat apalah. Cuma nak cakapnya, rasa tak lengkaplah kalau kau tak ada di sana. Nak jumpa kawan lama ini bukan senang. Kawan sama ketawa sama gosip waktu sekolah dulu."

"Tak apalah, Irina. Ada jodoh, boleh jumpa," ujar Azyah bersikap positif.

"Okaylah. Aku ada kerja lain nak kena buat. Aku letak dulu."

Sejurus talian dimatikan, Azyah mengeluh sendiri. Dia memandang ke luar jendela dengan pelbagai masalah yang bermain di fikiran. Satu persatu masalah datang mengetuk pintu kehidupannya.

Tangannya mengusap perut dengan penuh rasa kasih. Ada nyawa yang sedang membesar di dalamnya. Maafkan ibu, nak... Ibu tak yakin hidup kita akan lengkap seperti keluarga bertuah yang lain. Ibu janji, sekiranya takdir tidak berpihak kepada kita... Ibu akan tantang kamu seperti minyak yang penuh tanpa kehadiran seorang ayah.

RYAN sudah mula mencari kerja setelah beberapa hari bercuti. Tak akanlah mahu menganggur untuk masa yang lama. Lambat-laun, dia perlu cari nafkah untuk menyara hidupnya juga. Dia sudah melalui beberapa temuduga di beberapa buah syarikat besar dan kecil. Diterima atau tidak, itu semua dia berserah.

Ada rezeki, adalah.

Sebelum pulang ke rumah, Ryan singgah ke kedai serbaneka di mana tempat adiknya bekerja. Alang-alang beli barang, jenguk adiknya sekali.

"Kira, dik." Ryan berlagak sebagai pembeli sewaktu Hidayah sedang sibuk menguruskan bahagian belakang kaunter. Bila Hidayah perasan kehadiran abangnya, terkejut habis dia.

"Eh, along! Along buat apa di sini? Skodeng adik kerja, eh?"

"Itu salah satu sebab. Tapi, singgah sini nak beli air aje. Rasa haus pula."

Hidayah senyum lalu dia mula mengira barang yang dibeli abangnya. Setelah selesai urusan pembayaran, Hidayah memandang abangnya semula. Sempatlah dia berborak kosong memandangkan tidak ramai orang.

"Macam mana hari ini? Mesti letih. Kesiannya." Hidayah tumpang simpati.

"Letih itu memang letih juga. Nak buat macam mana? Bukannya ayah kita ada syarikat yang boleh bagi abang masuk kerja terus. Macam drama Melayu itu."

"Ceh! Ada-ada ajelah. Abang ini memang suka merepek. Tak apa, nant Hidayah doa sunguh-sungguh supaya Allah berikan abang rezeki untuk bekerja. Biar kerja gaji besar-besar. Bolehlah tumpang senang."

Ryan pura-pura ketawa. "Boleh sangat."

"Abang ini pun satu juga. Gaji kerja dekat negara luar sana itu kan banyak tersimpan lagi. Dahlah duit itu kalau tukar dengan duit sini, boleh tahan besar juga nilainya. Memandangkan abang kerja bertahun-tahun di London, mesti banyak dah duit yang abang dapat! 1 Paun dah berapa..."

Juling mata Hidayah bila terfikirkannya.

"Haah la. Why not, abang buka bisnes aje? Duit simpanan itu bolehlah jadi modal bisnes."

Ryan menggeleng.

"Abang lebih enjoy kerja bawah orang. Kerja sendiri ini sakit kepala. Buat masa sekarang, taklah kut. Tengoklah nanti, kalau dah terbuka pintu hati abang ikut cadangan itu. Eh, abang nak balik. Lapar nak makan... Rasanya, ibu mesti masak yang sedap-sedap." Sengaja Ryan mengusik adiknya.

"Hesy... Saja nak buat orang sakit hati. Makanan di sini pun sedap jugalah!"

"Yalah itu. Bye bye, adik tersayang yang kena kerja."

Sabar, Hidayah. Itu abang kau. Kalau tak fikir abang, memang ada juga pokok yang kena tebang kasi hempuk dekat kepala itu. Cuma, bila dah ada orang cakap macam itu, kecur pula liur bila memikirkannya. Lapar weh!

Menangislah sendirian makan mi segera. Huwaaa!


Previous: Bab 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.