Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,206
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5
BADANrasa tidak sedap membuatkan Azyah berehat seketika setelah selesai mengemas rumah. Kepalanya terasa pening. Lantas dia berbaring berbantalkan kusyen sofa. Walaupun matanya terpejam, masih ada banyak perkara yang bermain di fikiran. Ketika itu, barulah yang dia teringat ibunya ada suruh dia dan Fakrul datang ke rumah.

Telefon di atas meja kopi kaca itu dicapai lalu nombor suaminya didail. Agak lama juga dia menunggu Fakrul menjawab panggilannya.

“Kenapa telefon abang ini? Ada apa-apa, ke?” tanya Fakrul sejurus menjawab panggilan.

“Azyah nak tanya abang balik awal tak hari ini? Tadi ibu telefon, dia ada suruh kita datang rumah malam ini.”

“Abang tak tahu lagilah sama ada hari ini abang balik awal atau lewat. Belakangan ini banyak sangat abang kena kerja buat di pejabat.”

“Kalau abang balik lewat, tak akanlah Azyah kena pergi seorang diri pula. Nanti apa kata ibu dan ayah kalau abang tak ada? Azyah tahu, kerja abang itu penting bagi abang tapi kerap sangat abang balik lambat ini.”

“Cuba Azyah faham keadaan abang. Abang bukan sengaja tak nak balik lambat, cuma abang tak boleh nak biarkan kerja-kerja abang tergendala. Azyah ingat abang suka-suka bagi alasan?”

Azyah tersentap. Salahkan dia memberitahu fakta yang suaminya selalu pulang lewat? Tidak pula dia memaki hamun suaminya. Mengapa Fakrul sedemikian rupa rasa marah kepadanya?

“Abang marah, ke?’

“Azyah… Abang bukan marah. Cuma abang minta tolong… Faham keadaan abang.”

“Azyah faham. Tapi, Azyah pun nak abang faham… Tolong faham perasaan Azyah juga. Perkahwinan ini bukan hanya ada abang seorang sahaja.” Azyah terus matikan talian tanpa sempat Fakrul balas apa-apa. Kecewanya tidak dapat dikatakan lagi ketika mendengar kata-kata suaminya.

Seolah-olah, selama ini dialah yang tidak memahami Fakrul. Dia pula yang cuba dijadikan watak jahat dalam kisah ini. Hakikatnya, dia sendiri terasa terpinggir dan disisihkan. Sudahlah… Apa gunanya makan hati dengan benda macam ini. Mungkin kerana dia hamil, jadi hatinya sedikit sensitif. Padahal, sebelum ini dia sudah biasa dengan perkara ini.

Supaya tidak rasa stres lagi, Azyah bersiap-siap untuk keluar.

“NAK buat macam mana, Azyah. Nasib kita lebih kurang serupa. Ada suami, tapi sibuk dengan kerja dua puluh empat jam. Celik aje mata, dah terburu-buru cari sesuap nasi untuk keluarga. Balik rumah dengan muka yang keletihan. Tapi bezanya, suami aku itu tahulah cari masa bersama dengan keluarga. Tak adalah gila kerja sangat,” Irina meluahkan masalahnya juga.

“Nak buat macam mana. Inilah kehidupan yang sebenarnya. Tak payah expect cerita kita ini macam cerita dalam drama Melayu petang-petang itu. Sweet-sweet bagai.” Uiyana turut mengeluh.

Mendengar keluhan kedua-dua sahabatnya, membuatkan Azyah tersengih. Mungkin, dia yang terlalu sensitif sehingga hampir membelakangkan suaminya. Benarlah kata orang, di saat kita terasa kita susah, ternyata ada orang lain lebih susah.

“Aku ingatkan, bila dah kahwin ini bolehlah dilayan bagai permaisuri. Rupanya, hampeh… Lagilah bila dah ada anak ini. Jadi orang gaji pula. Eh silap, orang tak bergaji,” rungut Irina lagi.

“Mujurlah gajinya dibalas dengan kasih sayang.” Irina menyambung dengan kata-kata yang positif. Yang lain mengangguk setuju. Duit mungkin mampu memberi kebahagiaan, tetapi tidak kasih sayang. Bahagia kita rasa, tetapi kasih sayang lahir dari hati.

Kasih sayang boleh jadi bahagia. Tapi, bahagia tak semestinya boleh jadi kasih sayang.

“Azyah… Aku bukanlah berniat nak jadi minah kepochi atau apa, cuma ini nak masuk lima tahun dah kau kahwin. Tak akan sampai sekarang…” Serba-salah Uiyana untuk mengakhiri soalannya.

“Haah, Azyah. Kalau kau ada masalah, jangan risau. Aku ada kenal bidan ini. Kira bidan paling famous jugalah dekat kampung aku. Ramai orang kampung aku yang kahwin tapi tak beranak-anak, bila dah urut dengan dia terus boleh mengandung. Kau tak nak, cuba?” Irina menawarkan pertolongan.

“Maksud aku, bukannya aku nak kutuk atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Tapi, kita kenalah ikhtiar juga. Aku mungkin tak berada di tempat kau, tapi kalaulah aku menempuh benda yang sama macam kau sempuh, aku faham apa yang kau rasa,” jelas Irina agar kawannya tidak salah faham.

Azyah hanya mampu tersenyum. Dia sungguh senang bila ada kawan-kawan yang prihatin seperti mereka. Cuma, bila lihat mereka terlebih prihatin ini rasa nak gelak pula. Sebabnya, dia dah pun mengandung. Kalau mereka tahu ini, mahu bising dalam cafe ini. Haha.

“Tak apalah, guys. Mungkin akan datang. Rezeki Allah, kita tak tahu bila. Aku percaya, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah mungkin nak aku bersabar supaya suatu hari nanti, bila Dia tengok aku boleh tempuh ujian ini, Dia nak kurniakan aku sepasang anak kembar, ke? Best, kan?”

Sudahnya, Azyah terus berahsia dengan mereka. Biarlah dulu berita kehamilannya tiada siapa tahu. Bila dah jadi mak buyong nanti, barulah mereka terkejut. Nak juga tengok reaksi mereka ketika itu. Pasti seronok.

Irina dan Uiyana kelihatan akur dengan kata-kata sahabat mereka. Mereka hanya mampu mendoakan sahaja kebahagiaan rumah tangga Azyah. Yang lain-lain, mereka tidak ada hak untuk masuk campur lebih-lebih. Melanggar hak asasi rumahtangga orang.

“Okeylah. Aku nak pergi restroom kejap. Nanti aku datang balik.” Azyah meminta diri untuk beredar.

Usai melepaskan hajat, Azyah berdiri di hadapan sinki dan membelek wajahnya di sebalik cermin itu. Sedar tidak sedar, usianya kini sudah mencecah usia 30-an. Dia tetap bersyukur walaupun Allah mengurniakan rezeki anaknya selewat ini. Biarlah lambat pun, dia tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Ketika dia sedang membasuh tangan, seorang wanita muncul dan berdiri di sebelahnya. Wanita itu kelihatan sibuk membelek muka di sebalik cermin pada dinding. Azyah sempat menjeling wanita itu. Dia perasan, wanita itu ada tersenyum kepadanya.

Azyah juga membalas. Tanpa ambil peduli lagi, dia beredar dari situ.

DENGAN mood yang sangat down, Azyah bersiap juga untuk pergi ke rumah ibu bapanya. Dia tidak mahu menghampakan ibunya setelah dikatakan ada tetamu istimewa yang akan hadir. Tak tahulah siapa pula tetamu istimewa itu. Macam istimewa sangat sampai ibunya memaksa dia datang.

Nak bermekap pun dia rasa malas. Pelembap bibir diletakkan semula atas meja. Biarlah nampak ringkas pun. Bukannya keperluan pun. Sekadar nak menutup wajah pucat sahaja. Sewaktu dia mahu mengambil tas tangan, bunyi enjin kereta memasuk perkarangan rumahnya menangkap perhatiannya.

Segera langkahnya ke jendela dan memerhati ke luar rumah. Bagai tidak percaya, kereta Fakrul ada di perkarangan rumah. Lepas kena marah, baru nak insaf? Azyah terus mendapatkan suaminya.

“Awal abang balik hari ini?” Azyah terus menyalami tangan suaminya.

“Mestilah abang balik awal. Lagipun, family come first, kan? Kalau Azyah boleh faham keadaan abang, kenapa abang tak boleh faham keadaan Azyah pula?” Fakrul mengukir senyuman yang manis untuk isterinya. Suka Azyah melihatnya.

“Sekarang ini abang pergi bersiap. Azyah tunggu abang dekat sini.”

“Okey.” Fakrul terus berlari anak meninggalkan Azyah.

“Cepat sikit! Azyah tak nak kita lambat!”

Serta-merta, mood Azyah terus jadi lebih gembira.

SEWAKTU tiba di rumah ibu bapa Azyah, kelihatan banyak hidangan yang terhidang di meja makan. Azyah dan Fakrul yang duduk sebelah-menyebelah, terpegun antara satu sama lain. Dah macam jemput anak raja datang makan.

“Ibu, sebenarnya siapa yang nak datang ini? Bukan main banyak makanan ada atas meja ini. Memang istimewa sangat, ke tetamu kita ini?” Hidayah membuka mulut bertanya. Puan Hamidah hanya tersenyum.

“Haih, selera orang ini mesti besar. Jangan-jangan, dia itu gemuk.” Sesedap mulut aje Hidayah mengutuk.

“Apa kamu cakap macam itu? Tak baik,” tegur Puan Hamidah. Terus saja mulut Hidayah ditarik muncung.

“Sebenarnya, siapa yang nak datang ini?” tanya Azyah kepada kedua-dua orang tuanya. Seperti biasa, mereka tersenyum dengan soalan itu.

“Cuba kamu tengok lauk-pauk ini… Agak-agak boleh terbayang seseorang, tak?” Encik Haikal cuba memberi petunjuk melalui makanan. Azyah menurut kata ayahnya dan memerhati satu persatu hidangan di atas meja.

Ada ayam percik, ikan siakap tiga rasa, daging masak kicap, gulai kawah, telur bungkus, sotong goreng tepung dan tom yam seafood. Ini semua starter kit untuk masuk hospital. Hanya ada seorang saja yang boleh habiskan semua ini iaitu… Teringatkan orang itu, mata Azyah membulat memandang ibu dan ayahnya.

Tak mungkin, setelah bertahun-tahun… Dia sudah kembali ke sini?

“Ibu… Ayah… Jangan cakap yang… Abang Ryan dah balik?”

Hidayah dan Fakrul terkejut mendengar jawapan Azyah. Manakala, Puan Hamidah dan Encik Haikal tersenyum sahaja bila petunjuk yang mereka berikan telah membawa Azyah menemui jawapannya.

“Assalamualaikum!” ucap seseorang dari luar ruang makan.

“Waalaikumusalam.” Semua yang di meja makan itu menjawab. Bila pemilik suara yang memberi salam memunculkan diri di hadapan semua orang, suasana menjadi sepi ketika. Masih belum pulih lagi dengan kejutan ini. Seperti percaya dan tidak percaya.

“Apa khabar, Sarjan Ryan? Prebet Hidayah melaporkan diri!” tabik Hidayah dengan gaya askar kepada abangnya.

“Khabar baik, Prebet Hidayah!” Dengan spontan, Ryan membalas tabik hormat adiknya. Suasana sepi tadi bertukar ceria dengan gelak tawa di meja makan. Terhibur dengan sketsa ringkas mereka berdua tadi.

“Bila abang long balik? Kenapa Dayah tak tahu ini? Abang ini, sengaja nak buat suprise macam ini. Dayah tak sukalah!” kata Dayah yang masih tidak percaya kehadiran abangnya yang sekian lama dirinduinya setelah sudah bertahun-tahun tidak pulang.

“Biarlah. Bukan selalu abang long nak buat suprise macam ini.” Pandangan Ryan teralih kepada adiknya yang lagi satu pula. Azyah tersengih melihat abangnya itu.

What’s up, my little sister? How are you? Fine? Nice to meet you!” sapa Ryan kepada Azyah dengan gaya rapper pula. Macam budak-budak pula abangnya ini.

“Dah gila, ke apa? Baru berapa tahun tinggal negara orang, dah mula jadi gila.”

“Alaaa… Sekali-sekala nak menggila dengan adik sendiri. Apa salahnya, yo!”

“Biarlah, Azyah… Dulu dia buat peragai gila, kita boleh aje bawa bersabar. Betul tak, bang?” Puan Hamidah memerli anak sulungnya. Encik Haikal mampu ketawa saja di saat ini. Tak tahulah dia nak bagi reaksi apa.

I’m sorry, the old Ryan can’t come at this moment right now. Why? Oh, ‘cause he dead!” Ryan berparodi di hadapan ahli keluarganya. Masing-masing mula tergelak lucu dengan parodi Ryan itu.

“Dahlah, apa lagi… Marilah kita makan. Lepas makan ini, bolehlah tetamu istimewa kita ini ceritakan apa pengalaman dia sepanjang merantau di negara orang. Bukan senang kita nak dapat dengar itu.” Encik Haikal mempelawa ahli keluarganya untuk makan malam.

“Entah… Dayah rindu sangat dekat abang long. Nak juga tahu cerita abang long. Manalah tahu, ada bonus… Terselit sekali cerita cinta.”

Lagi sekali, gelak ketawa menghiasi ruang makan pada malam itu. Malam yang menjadi permulaan semula buat sebuah keluarga kembali lengkap seperti dahulu.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.