Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,193
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

SARAFINA duduk termenung. Memikirkan masalah yang sedang dihadapinya kini. Dia tidak tahu bagaimana nak selesaikan semua ini. Makin rumit masalahnya kini. Tidak tahu ke mana lagi dia mahu meminta tolong. Kepalanya sakit memikirkannya.

Selepas penjelasan yang diberikan doktor sebentar tadi, dia sudah buntu. Ibunya perlukan pemindahan jantung dengan kadar segera atau jika tidak, ibunya tidak dapat diselamatkan. Buat masa sekarang, mujurlah doktor sudah menemui penderma jantung yang sesuai dengan ibunya. Tapi, dia diuji dengan perkara lain pula bila tidak mampu membiayai kos pembedahan itu.

Tiba-tiba, sebuah buku akaun bank dihulurkan kepadanya. Terkedu Sarafina memandangnya lalu dia mengangkat muka. Wajah Yana tersembul di hadapannya.

"Apa ini, Yana?" tanya Sarafina kurang faham dengan pemberian ini.

"Yana mungkin tak ada banyak simpanan. Tapi, mungkin ini boleh tolong ringankan beban Kak Sara. Yana pun nak tolong umi juga."

Sarafina menolak pemberian itu lantas menggeleng. "Tak, ini tanggungjawab akak. Jadi, akak yang kena selesaikan masalah ini. Yana tak perlu susahkan diri."

"Tak, Yana buat semua ini untuk akak dan umi. Kak Sara dan umi dah banyak tolong Yana selama ini. Biarlah kali ini, Yana balas budi Kak Sara dan umi."

"Tapi, Yana... Duit ini Yana boleh guna untuk masa depan Yana. Nanti, kalau Yana nak guna duit nanti, Yana boleh pakai duit ini."

Yana tetap letakkan buku akaun banknya dalam genggaman tangan kakaknya. "Biarlah tentang itu. Pasal duit, Yana boleh cari juga nanti. Yang penting sekarang, kasih sayang seorang ibu. Kita kena fikirkan pasal ibu."

Mata Sarafina mula berair. Hatinya tersentuh dengan pemberian adiknya ini. Berat hatinya mahu menerima ini. Lantas, dia menarik tubuh adiknya ke dalam pelukan bersama tangisan dari mata.

"Terima kasih, Yana. Akak betul-betul hargainya."

Yana tersenyum. Dia gembira kerana sekurang-kurangnya dia dapat tolong kakak dan ibunya.

Pada masa yang sama, Sarafina tetap dalam dunia kerisauannya. Walaupun dengan pemberian ini, masih belum mencukupi untuk membiayai kos perubatan ibunya. Bagaimana dia harus lakukan lagi?

Sesuatu mula terlintas di fikirannya. Mungkin, ada yang boleh membantunya buat masa ini. Hanya dialah yang menjadi harapan Sarafina. Moga-moga, harapan ini akan menjadi kenyataan.


"ABANG nak pergi mana itu?" tanya Azyah bila melihat Fakrul yang lengkap berpakaian kemas seolah-olah mahu keluar ketika dia sedang sibuk dengan pembelian atas talian.

"Nak keluar kejap jumpa kawan."

"Abang cuba datang sini." Azyah memanggil suaminya datang. Kemudian, dia menunjukkan baju dress yang dijual atas talian kepada suaminya.

"Macam mana? Cantik tak?"

Fakrul mengangguk. "Kalau Azyah pakai, mesti nampak cantik. Abang memang suka style ini. Tapi, kenapa kena minta pendapat abang pula? Baju Azyah, pilih saja yang mana-mana."

"Mana boleh macam itu. Azyah kena pastikan baju ini cantik sebab Azyah nak pakai untuk hari istimewa kita."

"Hari istimewa kita? Hari apa?" Fakrul tidak tahu hari apa yang dimaksudkan isterinya. Azyah mula tarik muka. Pelupa betul encik suaminya ini.

"Tengoklah itu... Tak lama lagikan hari ulangtahun perkahwinan kita yang pertama. Abang ini... Geram betul," ujar Azyah dengan nada geram dan merajuk. Tersengih Fakrul bila tengok muka isterinya yang comel ketika merajuk.

"Sorry! Abang memang tak patut lupa. Jahatkan abang ini? Hari ulangtahun perkahwinan pun boleh lupa. Pukul abang, Azyah. Abang memang patut kena pukul pun. Abang tak patut lupa hari yang bersejarah untuk kita."

Hati Azyah tercuit dengan kata-kata suaminya. Main-main pula.

"Azyah pukul betul-betul, baru tahu," ugut Azyah main-main.

"Tapi, abang memang patut kena pukul. Tak sepatutnya abang lupakannya."

"Tak apalah. Asalkan bila tiba harinya, abang jangan lupa pula."

"Abang janji, abang tak akan lupa hari ulangtahun perkahwinan kita lagi. Abang akan pastikan, hari ulangtahun perkahwinan kita pada setiap tahun akan jadi hari yang terindah buat kita berdua."

"Amboi... Habis hari lain, biasa-biasa sajalah?"

"Tak juga. Hari luar biasa."

Tangan Azyah mencubit manja pipi suaminya. "Main-main pula dia."

"Dahlah, abang kena pergi dulu. Nanti terlambat pula." Bibir Fakrul pantas mencium pipi lembut isterinya sebelum melangkah pergi.

"Bawa kereta elok-elok."

Setelah Fakrul menghilang daripada pandangan mata, tangannya menyentuh pipi yang menjadi tempat bibir suaminya singgah sebentar tadi. Ciuman itu sekejap saja, tapi hangatnya terasa lama. Entah kenapa, semakin hari semakin dalam cinta ini buat Fakrul.

Mungkin benar orang kata, cinta selepas nikah itu lebih indah. Indahnya tidak terkata.


SARAFINA duduk menunggu di satu sudut kafe. Wajahnya jelas menunjukkan dia dalam kegelisahan. Peluk yang merecik di dahi dia lap. Tetap sahaja peluh keluar dari kulit wajahnya. Memang dia benar-benar gelisah.

"Dah lama tunggu?"

Sejurus mendengar suara itu, Sarafina mengangkat muka memandang pemilik suara. Hatinya separuh lega melihat insan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga.

"Tolong aku, Fakrul. Aku betul-betul perlukan pertolongan kau. Hanya kau sahaja yang boleh aku harap."

Bibir Fakrul menyungging senyuman sinis. Dia mengeluarkan buku cek dari poket kotnya.

"Berapa?" tanyanya selamba seakan tidak ada perasaan.

"Dua puluh ribu."

Terbeliak mata Fakrul memandang Sarafina bila mendengar jumlah tersebut. Dia tergelak sinis dan menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Seperti tidak percaya dengan apa yang dia katakan.

"Banyak betul duit kau nak pakai? Kau nak buat apa duit banyak-banyak ini? Nak belikan pakaian tidur yang seksi untuk aku tengok?" gurau Fakrul yang tidak kena pada tempatnya. Sarafina mahu saja tampar mulut lelaki itu, tetapi dia dalam keadaan yang benar-benar terdesak.

"Aku perlukan duit itu untuk umi. Umi masuk hospital. Aku perlukan duit itu biayai kos pembedahan ibu aku. Tolong aku, Fakrul... Kalau kau tak tolong aku, macam mana aku nak bayar kos hospital ibu aku?" rayu Sarafina terdesak.

Fakrul tersengih. Tiba-tiba, dia dapat satu idea yang sangat jahat. Mungkinkah ini waktunya dia mengambil kesempatan sekali lagi? Ini kelihatan seperti peluang keemasan.

"Setakat dua puluh ribu itu, tak ada hal untuk aku. Aku boleh aje bagi. Kau itu kan kekasih gelap aku."

Sarafina lega setelah mendengarnya.

"Tapi ada syaratnya."

"Apa syaratnya?" Mula rasa tidak sedap hati. Melihatkan wajah sinis Fakrul, Sarafina sudah rasa lain.

"Sleep with me for one night?"

Sarafina bingkas bangun dan curahkan air pada muka lelaki itu. Padan dengan mulut yang celupar itu. Apa lelaki itu fikir harga dirinya terlalu murah? Maruahnya terasa dipijak-pijak selepas mendengarnya. Mudahnya lelaki itu mengambil kesempatan atas kesusahannya.

Tanpa sedar, tindakan Sarafina itu diperhati beberapa orang dalam kafe itu. Mujurlah tidak ramai dan masing-masing mula tidak ambil endah lagi selepas itu.

"Kau dah gila, ke? Kau ingat aku ini apa?" kata Sarafina dengan penuh perasaan marah. Berapi-api amarahnya bila melihat Fakrul hanya tersenyum mengejek. Fakrul bangun lalu mendekati tubuh wanita itu.

"Kalau kau itu baik sangat, tak adalah kau kejar suami orang."

Sarafina cuba bawa bersabar. Dia akui, dia tidak dapat melawan kata-kata itu. Tetapi apakan daya, bukan mudah untuk dia lepaskan lelaki yang telah dia cintai bertahun-tahun begitu sahaja hanya demi sebuah pernikahan yang tidak terbina atas dasar percintaan.

Kalaulah takdir memihak kepadanya, cintanya bersama Fakrul pasti akan bersatu. Lalu, mengapa takdir tidak memihak untuknya? Sedangkan cinta dia kepada Fakrul terlalu besar melebihi cintanya kepada diri sendiri.

"Sebab aku cintakan kau. Kita dah lama bercinta. Dan cinta aku hanya untuk kau."

"Kau boleh aje lupakan kisah cinta kita dan cari lelaki lain. Aku pun dah ada isteri. Dan aku sayangkan dia. Dia pun sayangkan aku juga." Sengaja Fakrul menginjak perasaan wanita itu.

"Kau fikir mudah untuk lupakan semua ini? Aku terlalu cintakan kau. Walau apa yang terjadi, aku tak akan lepaskan kau. Lagi satu, kalau kau sayangkan isteri kau, kenapa kau duakan dia dan tetap berhubungan dengan aku?"

Fakrul tersengih. "It's my food. Dengan dia, hidangan sampingan. Dengan kau, hidangan utama. Special. Lagipun kau tahu, aku pun tak boleh lepaskan kau. I'm still love you."

Jauh di lubuh hati Sarafina, dia gembira mendengarnya. Bermakna dirinya masih berharga pada pandangan Fakrul. Hatinya jadi cair lagi.

"Dan kalau kau benar-benar cintakan aku, buktikan kepada aku. Selepas itu, barulah aku akan buktikan cinta aku juga kepada kau. Okey?" pujuk Fakrul supaya Sarafina bersetuju.

"Tak, aku tak boleh. Aku takut...." Sarafina cuba menolak. Dia tidak mahu melakukan perkara terkutuk itu. Dia juga kenal pahala dosa walaupun pengetahuan agamanya tidaklah sedalam mana.

"Kau tak sayangkan aku, ke? Selama ini, aku dah banyak berkorban untuk kau. Baik kau fikir betul-betul. Umi kau nak pakai duit. Bukan sikit, tetapi nilainya pun cecah puluh ribu."

"Aku betul-betul tak boleh... Ini semua tak betul. Kalau kita saling mencintai pun, ini tak sepatutnya berlaku. Niat tak menghalalkan cara."

Fakrul mendekati lagi tubuh wanita itu. Tangan memegang kedua-dua pipi wanita itu lalu diusap perlahan penuh kasih.

"Aku janji, tak akan ada perkara yang tak sepatutnya akan terjadi. Just one night..."

Perlahan-lahan, Sarafina mula termakan sedikit demi sedikit pujuk rayu lelaki itu. Namun dia cuba kebalkan hati daripada dirinya dikuasai nafsu.

"Kau kena ingat, lagi lama kau tangguh... Lagi tipis peluang kau nak tengok umi kau hidup."

Akhirnya, tiada lagi pilihan yang muncul di depan matanya selain pilihan keji ini. Demi uminya, dia terpaksa setuju. Dia tidak mahu kehilangan seorang ibu yang telah berjasa dalam hidupnya. Biarlah dirinya dikorbankan demi seorang ibu.


"ABANG nak pergi mana packing barang ini?" soal Azyah ingin tahu. Aneh juga dia kerana Fakrul tidak bawa banyak barang. Seperti mahu pergi sehari aje. Kalau tak, pasti suaminya isi pakaian dalam bagasi, bukan beg galas.

"Esok abang kena outstation. Ada urgent meeting."

"Nampak macam tak lama aje abang nak pergi? Abang nak balik bila?"

"Lusa abang baliklah"

"Cepatnya..."

"Mestilah abang nak balik cepat. Mana boleh tingga isteri abang ini seorang diri lama-lama. Nanti kemaruk rindu pula."

Azyah hanya tersenyum mendengarnya. Dia mengikuti suaminya melangkah sehingga ke muka pintu untuk menghantar suaminya pergi.

"Jaga diri baik-baik. Bila masa untuk makan, jangan tak makan pula."

"Habis itu, kalau masa untuk rindu, kena merindulah?"

Macam mana Azyah boleh tak jatuh hati? Ayat stok drama Melayu pukul 7 encik suami bagi. Cair meleleh hati.

"Bergurau pula."

"Mana ada gurau. Abang cakap benda betullah."

"Apa-apa ajelah."

Azyah menyalami tangan suaminya. Kemudian, Fakrul mencium kedua-dua belah pipi isterinya. Entah mengapa, ketika ini hati Fakrul terasa lain. Setelah dia melihat wajah wanita yang bergelar menjadi isterinya kini, terasa ada perasaan aneh di dalam hatinya.

Seolah dia berasa bersalah melakukan semua ini terhadap Azyah. Perempuan itu tidak sepatutnya dapatkan dia. Fakrul merasakan perempuan itu lebih layak untuk lelaki yang lebih baik, bukan seperti dia.

Ah, lantaklah! Salah mak dan abah juga! Kahwinkan dia dengan perempuan mana-mana entah... Atas sebab persahabatan, anak-anak jadi mangsa. Dia tak perlu kesahkan sangat tentang Azyah. Pandailah isterinya buat kerja. Yang penting, dia sudah jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.

Setelah dia memandu jauh dari kawasan perumahannya, tangannya terus mencapai telefon dan menghubungi seseorang.

"Are you ready for it?" tanyanya setelah talian disambungkan.

"Dah."

"Good girl. That's why I love you so much. Kau memang pandai tahu ambil hati aku. Jangan risau, apa yang kau nak selepas ini aku akan bagi."

Senyap. Tiada balasan. Lantas, panggilan dimatikan tiba-tiba. Fakrul tidak peduli pun kerana yang penting, dia sudah dapat apa yang dia mahukan.

Pada masa yang sama, Azyah yang sudah terbaring di atas katil mula memikirkan sesuatu. Siapa sangka, perkahwinan ini akan membawa erti bahagia buatnya yang tidak pernah dia fikirkan sebelum ini.

Tetapi, dalam nikmat kebahagiaan yang dia rasakan kini, masih ada sesuatu yang menjadi kerisauan buatnya pada setiap hari yang membelenggu dirinya.

Adakah kebahagiaan perkahwinan ini dapat bertahan sehingga ke akhirnya?

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.