Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,197
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

PERLAHAN-LAHAN Ryan mendekati Azyah dan berdiri di sebelah sambil menemani adiknya itu melihat pemandangan bintang yang terbentang indah di langit malam. Azyah yang perasan dengan kehadiran abangnya itu, tersenyum. Entah kenapa, raut wajah itu memberikan dia satu ketenangan. Setelah bertahun-tahun matanya tidak pernah bertentang dengan raut wajah itu, dia lega bila abangnya itu sudah membuat keputusan untuk pulang ke sini, rumah asalnya.

Azyah akui, kisah silam abangnya sangat perit untuk diungkit semula. Sangat memalukan dan mampu memberi tekanan yang boleh menyebabkan seseorang itu berfikir untuk mengakhiri hidupnya. Walaupun tidaklah seteruk itu, tapi kepergian lelaki itu untuk sementara waktu memberinya rasa kehilangan.

“Macam mana perasaan tinggal di negara orang? Seronok tak?” tanya Azyah. Dia tidak masuk forum bila abangnya bercerita pengalaman tinggal di negara orang. Lebih seronok kalau dia bersendirian dan melihat bintang yang bersinar. Sejak mengandung ini, pelik-pelik saja benda yang dia lakukan.

To be honest, not at all. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Apa-apa pun, pengalaman tersebut banyak mengajar abang untuk lebih matang dalam kehidupan.” Tenang Ryan menjawab soalan itu.

“Jadi sebelum ini, along tak matanglah? Budak-budak lagi?”

“Sebelum ini bukan tak matang, tapi belum cukup matang! Ayam tak rebus sampai masak lagi, macam itulah analoginya.”

Mereka berdua ketawa.

“Azyah rasa gembira sebab along dah balik ke sini. Dah lama along dekat sana. Semua orang dekat sini tertunggu-tunggu kepulangan along. Kami ingat along dah tak nak balik dan tukar kewarganegaraan terus. Mujurlah, Allah dah bukakan pintu hati along untuk balik.”

“Alhamdulillah. Along pun teringin nak balik ke sini, cuma along perlukan kekuatan. Along takut nak berdepan dengan orang ramai.”

“Kisah silam… Kita tak akan dapat lari daripadanya. Ia akan sentiasa mengejar kita walau sejauh mana pun kita berlari. Apa yang kita perlu lakukan, hadapinya dengan tenang seolah tiada apa yang berlaku. Dan kisah silam itu akan berhenti mengejar.”

Ryan tersenyum mendengar falsafah adiknya. “Banyak sangat baca novel ini… Novel mana Azyah baca ini?” tanya Ryan mengangkat kening.

“Tak perlu belajar daripada novel. Pengalaman hidup dan cukup mengajar kita sesuatu.”

“Wow! Meremang bulu roma along dengar Azyah cakap macam itu.” Ryan membuat-buat reaksi takut. Tangan Azyah terus menampar lengan abangnya yang nakal mengusiknya itu.

Hesy, along ini! Potong mood oranglah nak serius,” ujar Azyah geram.

“Mana boleh serius selalu. Kenalah selalu happy! Kalau selalu serius, muka tak ada ong maa…” balas Ryan, berseloroh. Sekali lagi lengannya ditampar tangan Azyah. Tergelak kecil Ryan bila melihat wajah sebal adiknya. Nampak comel sangat!

Dari jauh, Fakrul memerhati gelagat kedua-dua adik beradik itu. Sebenarnya, dia ingin mendekati Azyah tadi, tapi bila melihat abang iparnya tiba-tiba muncul, akhirnya dia membuat keputusan untuk hanya berdiri di situ, jauh dari mereka dan melihat sahaja.

Fakrul dapat simpulkan, hubungan Azyah dan abangnya sangat rapat. Malah, dia berasa gembira bila melihat isterinya itu tersenyum bahagia dengan kepulangan abangnya yang telah bertahun-tahun tidak pulang ke tanah air.

Perasaan ini, tidak dapat dia nafikan. Semakin hari mengenali Azyah, bagaikan dia mengenali erti cinta yang sebenar. Ada sahaja momen daripada wanita itu yang mampu mencuit hatinya untuk terus memekarkan lagi bunga-bunga kasih dalam hati. Sudah bertaman bunga cinta dalam hatinya kini. Sungguh, di matanya… Azyah kelihatan istimewa berbanding wanita-wanita lain.

Apa yang dia sesalkan, mengapa dia tidak melihat itu semua semasa di awal perkahwinan mereka? Kenapa dia terlalu bodoh untuk menilai wanita sebaik Azyah itu?

Fakrul benar-benar menyesal kini.

DARI luar jendela, matanya memandang panorama kota raya yang bercahaya di malam hari. Dia meneguk perlahan jus oren di dalam cawan yang dipegangnya. Habis jus itu, cawan diletakkan di atas meja. Langkahnya diatur ke ruang tamu selepas itu. Telefon dicapai dari meja kopi. Disemak telefon itu jika ada mesej baru yang masuk.

Hampa… Tiada balasan untuk mesejnya yang dihantar sejam lepas. Ini sudah masuk kali keenam dia menaip mesej kepada si dia namun tidak dibalas. Bila dilihat kali terakhir lelaki itu dalam talian, memberikan lagi kehampaan kepadanya kerana enam jam lepas lelaki itu ada dalam talian.

“Mama, Aqil lapar… Aqil nak makan.” Kanak-kanak lelaki muncul di hadapan wanita itu sambil mengadu kelaparan. Wanita itu terus mengusap rambut anaknya itu.

“Kita makan dululah. Rasanya papa tak boleh nak join kita makan malam. Kesian anak mama. Lapar, ya?” Sarafina berasa kasihan dengan wajah simpati anaknya.

“Papa tak balik, ke?” tanya Aqil tentang papanya.

“Mama dah mesej, tapi papa tak balas. Mama call pun tak berjawab. Papa busy, kut.” jawab Sarafina.

“Papa dah janji nak makan dengan Aqil malam ini. Papa tipu Aqil,” ujar Aqil berbaur nada kecewa. Sarafina kelu untuk membalas. Dia tidak tahu di mana suaminya dan apa yang suaminya sedang buat sekarang.

“Aqil, tak baik cakap papa tipu. Papa tak tipu. Mungkin, papa memang busy. Kalau tak, papa mesti dah balik. Aqil kena faham keadaan papa. Aqil anak yang baik, kan?” Sarafina cuba menenangkan anaknya. Aqil mengangguk.

Good boy! Tadi, Aqil cakap lapar, kan? Sekarang kita makan!”

“Yeay!” Si cilik itu terus berlari pergi ke meja makan. Sarafina tersenyum saja melihat gelagat anak kecilnya itu. Sewaktu dia baru sahaja mahu melangkah, satu panggilan masuk ke dalam telefonnya. Daripada suaminya. Cepat-cepat dia angkat.

“Abang ada dekat mana sekarang ini? Kenapa Sara telefon tak dapat? Mesej semua tak reply. Abang dah lupa jalan balik rumah, ke?” Sarafina mula meluahkan rasa geramnya.

“Maaflah… Abang off telefon tadi. Tak nak ganggu.”

“Tak nak ganggu? Ganggu apa ini? Abang dekat mana sekarang ini? Sara dan Aqil tengah tunggu abang balik untuk makan malam. Kesian Aqil. Dia lapar gara-gara menunggu abang balik lewat.”

“Kenapa tak makan lagi? Tak perlu tunggu abang. Sekarang ini, abang dekat rumah mertua abang. Rumah mak ayah Azyah. Ada makan malam dekat sini. Abang lupa nak beritahu pada Sara.”

“Apa? Abang buat apa dekat sana? Tak kesahlah… Sekarang ini, abang dah mungkir janji dengan Aqil. Dia kecewa sebab abang tak balik lagi. Dia nak makan dengan abang. Nasib Sara dapat pujuk dia.”

“Abang betul-betul minta maaf. Abang memang tak boleh balik malam ini. Lagipun, biarlah abang dengan Azyah malam ini. Esok abang balik sana.”

“Balik pun, macam tak balik. Kalau setakat balik sekejap macam itu, baik tak payah!” perli Sarafina. Hakikatnya, perkahwinan ini tak pernah memberikan dia kebahagiaan. Hanya sekadar perkahwinan untuk menyelamatkan maruahnya. Kalau balik pun, kemudian balik sana tak lama kemudian… Apa gunanya?

“Terserahlah Sara nak cakap apa. Abang dah bagi segalanya. Kalau rasa tak cukup, itu bukan masalah abang lagi. Itu masalah Sara sendiri?”

“Apa? Masalah Sara? How dare you!” Belum sempat Sarafina memulakan perang mulut, Fakrul sudah meletakkan panggilan. Lagilah membuatkan amarahnya berapi-api ketika ini. Seolah-olah, masalah ini berpunca daripada dia semuanya.

“Mama… Kenapa ini?” Aqil yang datang mendekati, bertanya.

“Tak ada apa. Dah, jom makan.” Sarafina tidak mahu lagi membebankan kepalanya dengan pergaduhan ringan tadi. Dia cuba membuang segala kekusutan di fikiran ketika ini.

Fakrul yang baru sahaja meletakkan panggilan pula, terkejut apabila ketika dia berpaling ke belakang, figura isterinya tegak berdiri di situ dengan wajah yang seperti meminta penjelasan daripadanya. Dia mula gugup. Dadanya berdebar kencang. Jawapan apakah yang perlu dia beri?

“Azyah! Kenapa ada dekat sini? Azyah nak apa-apa, ke?” Sehabis baik Fakrul cuba buat selamba, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Tadi Azyah cari abang. Nak ajak balik.”

“Oh! Nak balik sekarang, ke?”

Azyah mengangguk. “Siapa yang telefon abang tadi? Bunyi macam serius aje. Ada masalah, ke” tanya Azyah ragu-ragu.

“Itu… Kawan abang yang telefon. Maklumlah, dia nak minta tolong daripada abang. Tapi, abang tak boleh nak tolong. Masalah dia sulit sangat. Bukan kepakaran abang.”

“Ya ke? Apa-apalah. Jom balik. Azyah dah mengantuk ini.”

“Okey.” Fakrul menghela nafas lega bila Azyah tidak lagi bertanya selepas itu. Mungkin isterinya tidak dengar jelas perbualan tadi. Kelihatan isterinya seperti tidak berminat dengan itu. Maknanya, rahsia ini masih selamat.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.