Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,198
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

SEPERTI malam semalam, hujan lebat turun lagi pada malam hari ini. Azyah merasakan dia bagai disindir langit tentang perasaannya hari ini. Secawan kopi di atas meja tidak terusik pun. Tiada selera untuk Azyah menghirup kopi itu. Ketika itu, wajah Azyah benar-benar suram. Ada sesuatu perkara yang terus bermain di fikirannya menyebabkan dia rasa tidak tenang.

Setelah apa yang disampaikan oleh detektif peribadinya pada siang tadi, hatinya berkecai seribu. Tidak disangka malah tak pernah terdetik dalam sesaat yang dia terfikir suaminya sanggup lakukan begini kepadanya. Selepas dia berkorban untuk rumah tangga ini, inikah balasannya?

Hampa. Azyah amat hampa dengan suaminya.

“Puan Azyah?”

Suara itu menyapa halus gegedang telinga Azyah lalu wajahnya diangkat memandang pemilik suara. Semakin hebat debaran di dada pada detik ini. Jantungnya mahu luruh tatkala matanya bertembung dengan pandangan si dia.

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada hamba untuk menempuh dugaan yang tak terduga ini.

“Ya… Saya.”

Dengan angkuh tanpa sebarang perasaan, Sarafina mengambil tempat duduk berhadapan dengan wanita itu. Tembelang sudah pecah, apa yang perlu digelabahkan? Sarafina buat selamba sajalah. Memandangkan rahsia ini sudah pun terbongkar, lagi senang kerja dia selepas ini.

Sarafina yakin, kemenangannya akan berpihak kepadanya tidak lama lagi. Dia perlu gunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Jadi, awaklah isteri kedua Fakrul… Yang saya tak pernah tahu sebelum ini?” tanya Azyah lemah, namun tajam pandangannya. Gerun juga Sarafina melihatnya. Cepat-cepat dia larikan pandangan.

“Betul itu. Saya adalah isteri kedua Abang Fakrul. Sebelum itu, saya nak minta maaf kalau akak mungkin terasa sebab perkahwinan ini berlaku di luar pengetahuan akak.”

“Terima kasih.”

“Terima kasih? Maksud akak?” Sarafina kurang mengerti.

“Terima kasih sebab sedar yang akak memang terasa tentang perkara ini. Cuma, untuk diceritakan secara lebih mendalam, apa yang akak rasa bukan hanya terasa, tetapi lebih daripada itu.”

Sarafina mengeluh bosan. Menyampah.

“Sebenarnya, macam inilah. Kalau dah jodoh antara saya untuk bersama dengan suami akak, apa yang saya boleh buat? Saya tak boleh menolak ketentuan Tuhan. Kalau saya sendiri pun tak boleh lakukannya, apa lagi akak. Jadi, kita kena sama-sama menerima dan reda dengan apa yang berlaku. Simple, right?”

Boleh tahan juga mulut perempuan ini, getus hati Azyah. Bertudung, tetapi mulut laser bukan main lagi. Tergumam dia sebentar.

“Dahlah akak. Kita mudahkan cerita, saya dah kahwin dengan Abang Fakrul dan dah sah jadi isteri dia. Kami saling cinta-mencintai dan saya tak akan lepaskan dia. Kalau akak rasa tak boleh terima perkahwinan ini, akak boleh ambil jalan untuk keluar.” Sarafina menyambung lagi.

“Betul, ke yang awak dah ada anak dengan Fakrul?”

Sarafina tersenyum sinis mendengar lontaran soalan tersebut. Dia mengeluarkan telefonnya dan mencari gambar anak kecilnya lalu ditunjukkan kepada Azyah. Azyah yang menatap gambar itu, terluka sekali lagi hatinya.

“Ini anak kami. Namanya Aqil. Usia dia empat tahun. Kehidupan kami makin bahagia dengan kehadiran si dia. Dia ini diibaratkan pelengkap hidup kami yang melengkapkan asas keluarga. Ibu, ayah dan… anak.” Sarafiana sengaja menekankan perkataan anak itu, agar dia dapat menyakitkan hati madunya itu.

Azyah terdiam seribu bahasa. Tidak mampu berdebat lagi. Dia jatuh tersungkur di pertarungan ini.

“Dahlah, kalau akak tak ada apa yang nak dikatakan… Saya rasa lebih baik saya minta diri. Saya tak suka masa saya terbazir macam itu aje. Dan… Saya minta maaf kalau perkahwinan antara saya dan suami akak ini buatkan hati akak terluka atau terasa or whatever. Lagipun, ini bukannya kemahuan saya. Ini takdir.”

Setelah itu, Sarafina terus beredar meninggalkan Azyah dengan luka yang amat dalam.

Azyah tak dapat menahan kepedihan luka hatinya. Air matanya akhirnya menitik jatuh, menggambarkan betapa sedihnya dia ketika ini. Tidak dapat dia fikirkan apa-apa… Hanya kemarahan yang menguasai emosinya bersama kesedihan.

Tangannya menggenggam kuat. Dan genggaman itu dia mahu lepaskan untuk melepaskan perasaannya.

HAMPIR pukul sebelas malam, Azyah baru muncul di rumah. Ketika dia sampai, keadaan di dalam rumah sudah terang-benderang. Kereta suaminya sudah sedia terparkir di ruangan parkir. Membawa maksud yang Fakrul sudah pulang ke rumah. Anehnya, dia tidak teruja dengan kepulangan ini. Tetapi, mengapa pula dia perlu rasa teruja dan gembira dengan semua ini setelah apa yang terjadi?

Katakan kepada Azyah, wanita mana yang tidak sakit hati bila cinta dan kesetiannya dikhianati?

Perlahan-lahan Azyah mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Ketika dia melewati ruang tamu, suaminya kelihatan sedang menonton televisyen. Apabila Fakrul perasan kepulangannya, lelaki itu tersenyum.

“Azyah dari mana tadi? Risau abang bila Azyah tak ada tadi.” Fakrul menghampiri isterinya yang dirindui sepanjang hari ini. Dapat juga dia lepaskan rasa rindu apabila telah melihat wajah insan tersayang.

“Kenapa ini? Tak sihat, ke?” Fakrul risau bila soalannya tidak terjawab. Mulut isterinya seperti terkunci untuk bersuara. Dia meletakkan belakang tapak tangan di dahi Azyah namun perbuatannya itu ditepis tangan Azyah sendiri.

“Azyah penat.”

“Penat, ke? Tak apalah macam itu… Azyah naik atas, salin pakaian dan terus tidur.”

“Abang fikir, kepenatan Azyah ini akan hilang dengan tidur semata-mata?”

“Dah itu? Kenapa Azyah nampak macam marah ini? Abang ada buat sesuatu yang Azyah tak suka?”

“Azyah penat dengan kepura-puraan abang selama ini.”

Fakrul terdiam. Matanya membulat. Dia agak terkejut mendengarnya.

“Kepura-puraan abang? Azyah nak cakap apa sebenarnya ini? Apa yang abang dah tipu?” Fakrul mula bimbang jika perkara yang tidak patut diketahui, telah Azyah ketahui.

“Tahniah atas perkahwinan abang dan perempuan itu. Belum terlambat, kan untuk Azyah ucap?”

“Azyah… Abang bukannya…” Fakrul cuba menjelaskan perkara itu. Cuma, bingung bagaimana mahu menjelaskannya dengan cara yang baik tanpa menambah lagi kepedihan di hati isterinya.

“Azyah mengandung.”

Akhirnya, berita kehamilan yang tersimpan lama ini terbongkar juga walaupun diungkapkan dalam keadaan yang tidak dijangka malah tidak diinginkan ini.

“Apa?” Fakrul terkedu mendengar pengumuman yang tidak disangka itu. Azyah mengandung? Dia benar-benar gembira jika itu adalah benar, tetapi perlukah dia tunjukkan reaksi gembira itu dalam situasi seperti ini.

“Abang…”

“Ya, Azyah?”

“Buat pilihan sekarang.”

“Pilihan apa?”

“Terus bersama dengan Azyah dan anak ini dan tinggalkan mereka atau teruskan kehidupan bersama mereka dan… tinggalkan Azyah dan anak ini.”

“Azyah! Apa yang Azyah cakapkan ini? Abang tak suka Azyah beri pilihan macam ini. Okey, abang minta maaf kalau abang dah buat salah yang memang terlalu besar. Tapi, tak bolehkah kita terus hidup seperti ini saja. Abang janji, abang akan berlaku adil terhadap semua orang. Abang akan pegang janji itu.”

“Maafkan Azyah, abang. Tetapi, abang terpaksa buat pilihan. Abang tak faham apa perasaan Azyah ketika ini. Abang boleh faham bagaimana perasaan seorang insan yang setia dan percaya kepada pasangannya, akan dikhianti pada penghujung kisahnya? Tak, abang tak akan faham, sebab abanglah pengkhianat di penghujung kisah itu.”

“Azyah, percayalah kepada abang. Ini bukan penghujung kisah kita. Abang masih sayangkan Azyah dan abang tak akan tinggalkan Azyah. Never!” tegas Fakrul akan pendiriannya.

“Kalau abang perlukan masa untuk buat keputusan, Azyah akan beri. Cuma, jangan terlalu lama. Sebab Azyah tak nak terlalu lama makan hati.” Tanpa menunggu lama, Azyah terus melangkah pergi. Tidak menoleh atau mengambil peduli lagi. Dia terus menangis dan menangis.

Dan buat pertama kalinya dalam hidup, Fakrul diberi pilihan yang amat sukar.


Previous: Bab 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.