Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,208
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

HUJAN turun dengan lebat membasahi lantai bumi. Di satu sudut meja makan, Azyah duduk termenung memikirkan sesuatu. Fikirannya kusut. Berat kepalanya untuk memikirkan masalah rumah tangga ini. Bagaikan ada beban yang berat sedang ditanggungnya membuatkan dia hampir jatuh tersungkur dalam situasi ini. Dadanya sentiasa berdebar setiap saat. Gemuruh jiwanya tidak dapat disembunyikan.

Walau sejauh manapun dia cuba untuk bawa bertenang dan berfikir secara positif, entah kenapa seperti ada sesuatu yang mencucuknya untuk bertindak sebaliknya. Hanya Tuhan yang memahami bagaimana peritnya perasaan ini. Tidak mampu dia luahkannya kepada sesiapa.

Keluaranya tidak boleh tahu tentang masalah ini. Semuanya masih belum jelas. Azyah bimbang seandainya ahli keluarganya mudah membuat spekulasi yang bukan-bukan. Dia harus berhati-hati dengan tutur bicaranya. Biarlah masa yang sesuai tiba, barulah dia akan katakan.

Yang penting, dia harus tahu kebenarannya terlebih dahulu.

Namun, sanggupkah dia menerima kebenarannya jika terlalu pahit untuk ditelan? Cuba katakan, wanita mana yang suka bila diduakan sang kekasih? Wanita mana yang boleh bertahan dan bersabar bila kasih sayang seorang suami tidak lagi hanya untuk dia sahaja?

Azyah juga hanya manusia biasa. Tidak mampu menjadi sempurna. Punya perasaan yang dia ingin untuk dijaga.

Bunyi enjin kereta dalam kelebatan hujan ditangkap oleh telinganya. Fakrul sudah pulang daripada kerja seawal ini? Macam tak percaya. Azyah menilik jam di dinding. Jarum pendek baru menunjukkan angka enam.

Tidak lama itu, bunyi hentakkan kaki kedengaran menghampirinya dalam sayup-sayup. Tiba-tiba, Azyah dipeluk dari belakang. Erat pelukan itu. Azyah terkejut dengan perlakuan suaminya. Aneh… Hatinya bagaikan tidak merasa apa-apa dengan pelukan ini. Kebiasaanya, dia amat sukakan kejutan seperti ini? Atau mungkin dia melebih-lebih?

“Azyah buat apa di sini seorang diri? Tengah fikirkan apa?”

Hanya senyuman menjadi balasan untuk soalan itu. Tiada jawapan yang spesifik diberikan. Tidak ada mood. Lalu, Fakrul mengambil tempat duduk di sebelah isteri tercintanya itu. Dia merenung pemilik mata redup yang cantik itu. Semakin dalam renungannya pada anak mata isterinya, semakin jatuh cinta dibuatnya.

“Awal abang balik hari ini. Selalunya balik lambat.”

“Perli abang, ke? Alaaa… Tak salah pun abang nak balik awal. Rindu nak tengok muka isteri abang ini. Dari tadi asyik terbayang aje.” Fakrul tertawa kecil. Matanya masih tidak lepas daripada memandang wajah isterinya. Bagaikan magnet perhatiannya ditarik ke wajah itu.

“Taklah. Cuma, Azyah rasa hairan. Abang bukannya biasa balik awal.” Azyah cuba sehabis mungkin untuk memaniskan mukanya walaupun terpaksa. Tidak mahu suaminya tahu apa yang bermain di hatinya pada ketika ini.

Diam seketika antara mereka.

“Azyah, apa kata kalau hari Ahad ini kita keluar jalan-jalan. Nak tak?”

“Nak pergi mana?”

“Azyah ingat tak dulu date pertama kita di Taman Botani Putrajaya. Apa kata kalau kita pergi ke sana nanti? Bolehlah imbau balik kenangan dulu-dulu.” Fakrul memberi cadangan.

Hati Azyah terusik. Kenangan lama mengimbau semula. Satu persatu momen yang tercipta dimainkan di layar fikirannya. Persoalannya, mampukah dia dapat kembalikan detik-detik bahagia itu ke masa kini? Di mana ketika itu mereka baru sahaja mahu mengenali hati budi masing-masing dan perasaan cinta itu baru berputik dalam hati.

“Azyah tak kesah.”

“Okey! Confirm hujung minggu ini, ya? Rasa macam tak sabar pula nak menunggu hujung minggu ini. Bolehlah spend time dengan isteri abang. Lama rasanya tak spend time sama-sama.” Fakrum tersenyum lebar dengan hanya membayangkannya sahaja.

Azyah memandang wajah lelaki yang bergelar suaminya itu. Sudah lima tahun mereka membina mahligai ini bersama-sama. Perkahwinan yang bukan berdasarkan cinta ini pada mulanya, adakah sehingga kini tiada cinta juga? Atau hanya dia seorang yang menaburkan rasa cinta dalam mahligai ini?

Sejujurnya, dia ingin tahu apa perasaan sebenar Fakrul terhadap dirinya?

Adakah perasaan itu… cinta? Atau, sebaliknya?

SEMENJAK tadi Ryan berpusing-pusing menemani adiknya mencari barang mainan untuk dihadiahkan kepada anak kawan adiknya itu. Dia ingatkan, tak ambil masa lama tapi silap besar. Pilih mainan macam pilih baju! Dia sendiri pilih baju pun tak selama itu.

“Lambat lagi, ke? Susah-susah sangat, beli teruslah satu kedai ini. Nampak macam susah sangat nak pilih barang,” rungut Ryan dengan wajah mencebik. Hidayah buat tak tahu dengan rungutan abangnya.

Dari tadi dia mahu mencari mainan yang sesuai untuk dimain oleh kanak-kanak lelaki untuk anak kawannya. Tapi, nampak macam susah nak pilih. Memang mainan lelaki ini kebanyakannya kereta dan pistol sajakah? Kenapalah budak lelaki tak main anak patung? Boleh dia belikan Barbie terus. Haha.

Sebenarnya, banyak saja mainan yang boleh dia beli. Tapi, cerewetnya… Ya Allah, tak terkata!

“Abang long rasa, antara kereta ini dengan yang ini, mana lagi cantik?” Hidayah menunjukkan dua buah model kereta mainan kawalan jauh yang berbeza corak kepada abangnya untuk dipilih. Ryan pandang malas ke arah kedua-dua mainan itu. Dia tunjuk kiri.

“Tapi, kanan pun cantik, kan?”

Ryan membulatkan matanya sebesar mungkin. Pandangannya macam nak telan orang. Hidayah ketawa dengan muka serius abangnya itu. Nampak sangat dah bosan temankan dia.

“Abang long ini pun… Bukan selalu dapat keluar dengan abang long. Berkorbanlah sikit demi adikmu ini.”

“Kalau ya pun, tak perlulah lama sangat memilihnya. Barang mainan aje pun. Ambil saja mana-mana. Tak susah pun,” ujar Ryan separuh geram.

Fine… Hidayah ambil mainan ini.” Hidayah mengikut keputusan abangnya dengan mengambil kereta mainan kawalan jauh berwarna merah itu.

“Dah. Jom bayar.”

“Kejap.” Hidayah mencari sesuatu di dalam begnya. Ryan menunggu buat seketika lagi. Kemudian, wajah Hidayah tiba-tiba berubah menjadi cuak. Macam hilang anak. Ryan mula risau dengan perubahan wajah adiknya itu.

“Ini dah kenapa muka hodoh sangat itu?”

“Hidayah tertinggal baucar diskaun dalam kereta. Lupa nak masukkan balik dalam beg lepas tengok dalam kereta tadi.”

“Oh, kertas itu baucar, ke?” Ryan baru perasan. Dia ada nampak kertas biru yang dipegang adiknya tadi dalam kereta. Asyik membelek aje kerjanya.

“Tak apalah. Kita bayar teruslah.” kata Ryan.

“Mana boleh. Rugilah. Hidayah dapat baucar itu dari kawan. Ada potongan sampai tiga puluh peratus. Abang tunggu kejap, Hidayah pergi ambil baucar itu. Bagi kunci kereta kejap.”

Setelah kunci kereta dihulurkan kepada Hidayah, Ryan menunggu sendirian di kedai mainan itu. Dia mula berjalan dari satu bahagian ke satu bahagian dalam kedai itu. Sehinggalah langkahnya terhenti di depan kotak model Transformers yang menarik perhatiannya.

“Pak cik pun minat Transformers?”

Dan-dan saja ada suara yang menyapa Ryan. Ryan pusing kiri dan kanan, namun tidak nampak sesiapa sebelum pandangannya ke bawah. Ada kanak-kanak lelaki yang dalam lingkungan usia lebih kurang empat atau lima tahun macam itu di sisinya.

Dia tersenyum dan duduk mencangkung di hadapan kanak-kanak lelaki itu.

“Mestilah pak cik minat. Adik minat tak?”

“Minat. Tapi, ibu tak bagi Amir beli patung Transformers.”

“Kenapa ibu tak belikan?”

“Ibu tak ada duit nak belikan. Harga patung itu mahal. Lagipun, gaji ibu tak besar. Cukup-cukup aje untuk pakai dan makan.”

Jiwa Ryan tersentuh mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Dia jatuh simpati mendengarnya.

“Ibu adik dekat mana?”

“Umi hantar barang niaga untuk kawan dia di sini.”

“Amir!” Muncul seorang wanita muda menghampiri Ryan dan kanak-kanak lelaki itu. Ryan berdiri dan memandang wanita itu. Adakah dia ibu kepada kanak-kanak lelaki itu?

“Puas umi cari kamu. Mana kamu pergi? Jangan buat ibu risau, boleh tak?” Wanita muda itu memeluk si Amir erat. Jelas sekali nampak risau pada raut wajah si uminya.

“Ini anak awak, ke?” Ryan meminta kepastian. Dia takut kalau tersilap orang. Zaman sekarang, bahayanya tidak dijangka. Macam-macam boleh jadi.

“Ya, saya ibunya. Maaflah kalau dia menganggu encik.”

“Taklah menganggu mana.”

“Lain kali, kamu janganlah pergi mana-mana tanpa umi. Bahaya, tau!”

“Amir cuma nak tengok patung ini aje.” Amir tunjuk wajah sedih. Wanita muda itu kelihatan serba-salah pula bila nampak macam ada drama yang dimainkan di hadapan lelaki tidak dikenalinya itu.

“Dahlah. Kita balik sekarang. Oh ya, encik… Terima kasih ya sebab jagakan anak saya ini sekejap. Nasib baiklah encik ini berhati mulia,” ucap wanita muda itu sekali lagi. Ryan tersenyum, tidak membalas apa-apa.

Setelah kedua-dua anak-beranak itu pergi menjauhinya, matanya memandang patung Transformers yang diinginkan kanak-kanak lelaki itu tadi. Melihatnya, bagaikan ada sesuatu yang perlu dia lakukan ketika ini


Previous: BAB 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.