Home Novel Cinta TATKALA CINTA TERUJI
TATKALA CINTA TERUJI
Pena Putera
12/12/2017 19:41:25
58,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

Lima tahun kemudian...

"TAHNIAH Puan Azyah. Berdasarkan hasil keputusan ujian tadi, Puan Azyah positif hamil dan kandungan Puan Azyah kini berusia dua bulan," ujar doktor yang bertugas merawat Azyah. Tatkala mendengar jawapan untuk persoalannya, senyuman Azyah mula terukir gembira. Matanya jadi berkaca, mahu menangis bahagia mendengar khabar gembira itu.

Penantiannya selama lima tahun akhirnya telah membuahkan hasil. Kesabaran yang dia pegang selama ini tidak sia-sia. Walaupun lama untuk dia peroleh berita gembira ini, tetapi dia cukup bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doanya.

"Nampaknya puan terlalu gembira mendengar berita ini." Doktor itu meneka bila dia melihat ada air mata yang keluar dari mata Azyah. Azyah yang baru sedar, lekas menyeka air matanya yang bergenang. Ini bukanlah air mata kesedihan, tetapi inilah air mata kegembiraannya.

"Saya betul-betul gembira doktor. Saya rasa bersyukur sangat. Dah lama saya nantikannya dan alhamdulillah, Allah dah makbulkan doa saya."

"Alhamdulillah. Saya pun tumpang gembira. Lagi satu, puan jangan lupa selalu datang check-up."

"Baik doktor."

Selesai urusan di klinik, Azyah menapak keluar lantas menuju ke keretanya. Cepat-cepat dia hidupkan enjin kereta dan memandu ke pasar raya. Hajatnya, dia mahu membeli beberapa barang masakan. Malam ini, dia ada plan. Sempena meraikan berita gembira ini.

Dalam kepala, sudah terbayang adegan-adegan romantik seperti yang biasa dimainkan dalam drama romantik terlebih manis tahap potong gula di televisyen itu. Haih... Kuat pengaruh drama betul.

Setibanya di pasar raya, dia mula mengambil troli dan memulakan ekspedisinya. Cadangnya, dia ingin masak sesuatu yang western. Seperti spaghetti atau paling-paling pun, lamb chop? Tapi, dia batalkan niatnya bila teringin nak cuba masakan pantai timur.

Akhirnya, dia membuat keputusan untuk masak nasi kerabu. Tapi... Tapi lagi. Haha. Inikan romantic dinner. Macam tak kena saja letak nasi kerabu? Tak kesahlah. Dia peduli apa? Setiap momen romantik yang tercipta itu bukannya datang dari makanan, tetapi kisahnya. Ewah! Layak sangat jadi doktor cinta ini.

PUAN HAMIDAH tekun menjahit sapu tangan di wakaf laman rumahnya. Memang itulah yang menjadi hobinya di waktu lapang sebegini. Maklumlah, apa sangatlah yang boleh dilakukan pada usia senja ini? Nak buat kerja berat-berat pun dah mula terasa letihnya dalam masa yang singkat.

Dia memandang ke arah pintu pagar rumah yang terbuka apabila ada sebuah kereta Perodua Myvi memasuki halaman rumah. Kemudian, dia melihat anak bongsunya muncul di sebalik kereta itu dengan muka yang masam. Apa kena dengan anaknya yang ini?

"Ibu!" Hidayah berlari menuju ke arah ibunya dan terus memeluk tubuh ibunya erat. Air matanya mula berjuraian keluar dan dia meraung semahunya. Puan Hamidah menolak tubuh anaknya itu daripada dakapan. Terkejut dia melihat air mata anak bongsunya itu.

"Apa dah jadi pula ini? Sampai menangis bagai. Cuba cerita dekat ibu."

"Yasin, ibu... Dia..."

"Kenapa dengan dia?"

"Dia minta putus dengan Dayah. Huwaaa!" Makin menjadi-jadi tangisan Hidayah. Sangka Puan Hamidah, besar sangatlah masalah anaknya itu. Masalah putus cinta rupanya. Memang padan dengan muka. Dia malas ambil peduli dalam hal ini.

"Ibu, pujuklah Dayah. Dayah sedih ini. Simpatilah dekat anak ibu ini yang baru putus cinta." Hidayah mula meletakkan kepala di atas paha ibunya, mahu bermanja-manja supaya dapat melupakan segala masalahnya tadi.

"Yang dia minta putus itu, kenapa?" soal Puan Hamidah.

"Dia kata, kalau Dayah tak nak tidur dengan dia... Dia nak tamatkan hubungan kami dan kata cinta Dayah kepada dia bukan cinta yang sejati."

Terbeliak mata Puan Hamidah mendengar jawapan itu. Dia angkat kepala anaknya dan renung tajam mata Hidayah. Gerun Hidayah melihat pandangan ibunya ketika itu. Seperti marah benar dengan jawapan jujurnya itu.

"Kamu tak bagi dia buat macam itu, kan?" Puan Hamidah meminta kepastian.

"Mestilah tak. Hidayah tahu jaga diri. Tak akanlah maruah Hidayah tergadai disebabkan cinta bodoh macam ini. Cuma, Hidayah kesal... Lelaki yang Hidayah cintai separuh mati sebelum ini sanggup buat macam ini dekat Hidayah."

"Itulah kamu. Lain kali, jangan syok sangat couple. Kamu tak dengar ke sekarang ini banyak kes anak luar nikah kena buang? Ibu takut anak-anak ibu ada terlibat dalam kes macam itu. Sebab itu, Allah dah kata couple itu haram. Tengoklah apa dah jadi sekarang ini. Hampir aje kamu terlibat dalam maksiat zina. Mujur Allah itu masih sayangkan kamu, jadi dia buka pintu hati kamu itu supaya kamu tahu, itu perbuatan yang salah."

Hidayah hanya mengangguk sahaja mendengar bebelan ibunya. Terasa pedas jugalah dengan nasihat ibunya. Mujurlah dia tidak diperbodohkan dengan 'cinta' yang kononnya cinta, tetapi nafsu semata-mata. Kalaulah dia tersilap langkah tadi, mungkin dia akan melangkah ke jalan yang salah.

"Eh... Yang kamu balik tengah hari ini, kamu tak kerja ke?"

Alamak! Kantoi dengan ibu... Hidayah cuba cari alasan untuk selamatkan dirinya.

"Sebenarnya... Dayah..."

"Kamu ponteng kerja nak jumpa jantan itu tadi, kan?"

Hidayah terus larikan diri. Berdesup menghilangnya. Bersabar sajalah Puan Hamidah. Dijumpanya lagi budak itu, memang tak berhenti membebel dia. Inilah yang orang kata cinta itu membutakan. Memang membutakan. Sehingga tidak terlihat jalan yang betul dan terus terpesong.

Cinta zaman sekarang ini makin berbahaya. Sebab banyak sangat cinta yang berlandaskan nafsu. Mungkin, inilah amaran Allah kepadanya supaya dia perlu lebih berhati-hati selepas ini dan sentiasa memantau aktiviti anak-anaknya.

Satu mesej masuk ke dalam telefonnya. Dia buka dan baca mesej daripada anaknya, Azyah. Apalah yang lagi seorang ini mahu?

Ibu, boleh datang rumah tak? Tolong Azyah masak nasi kerabu. Azyah teringin nak makan, tetapi tak larat nak masak seorang diri. Pleaseee...

Dah kenapa dengan anaknya yang seorang ini tiba-tiba nak makan nasi kerabu pula sampai suruh dia datang rumah dan tolong masakkan? Lepas satu, satu yang datang. Memang manja-manja betul anak-anaknya ini.

Yang Puan Hamidah tak tahu, ada hint di sebalik mesej Azyah itu.

"APA dia? Kamu mengandung, Azyah?" Terkejut Puan Hamidah setelah mendengar pengumuman Azyah yang tiba-tiba itu. Tiada perasaan lain yang boleh digambarkan sebagai perasaannya kini iaitu gembira. Dia menarik tubuh Azyah ke dalam dakapan. Erat dan terasa hangat pelukan itu.

"Bila kamu tahu ini? Dah check dengan doktor?"

"Pagi tadi baru tahu. Sebenarnya, Azyah ingat Azyah cuma demam biasa-biasa aje. Rupa-rupanya, ada sebab lain. Azyah rasa bersyukur sangat bila dapat tahu berita ini."

"Alhamdulillah. Allah dah pun makbulkan doa kita. Ibu percaya, mungkin di sebalik apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Apa-apapun, Fakrul dah tahu belum berita ini? Kalau dia tahu mesti dia gembira betul."

"Sebab itulah Azyah minta ibu datang sini untuk tolong Azyah. Azyah ingat nak beritahu dia dengan cara paling romantik sekali."

"Cara paling romantik? Macam mana pula itu?" Puan Hamidah bingung sendirian.

"Macam dinner la. Cuma, yang ini istimewa sikit. Romantic dinner."

Puan Hamidah tersengih lebar. Macam-macam betul idea dalam kepala anak tengahnya itu. "Mesti banyak sangat belajar dari drama di televisyen itu, kan? Sampai terbawa-bawa ke hidup sendiri."

"Bukannya selalu. Benda macam ini, nak juga Azyah buat suprise."

"Yalah... Ibu ikut ajelah. Jadi, sekarang ini kita nak masak nasi kerabu ini kena tahu juga bila suami kamu balik. Boleh ibu bajet masa untuk masak semua ini. Nanti, tengah sedap memasak, suami kamu balik pula. Tak suprise la macam itu."

"Jangan risaulah. Azyah dah tanya dia tadi. Dia kata dia balik lambat hari ini. Ada mensyuarat penting dengan klien."

"Klise sangat alasan itu. Kamu percaya, ke dia memang betul-betul mesyuarat? Jangan-jangan..."

"Hesy, ibu ini! Mulalah merepek. Biasalah, orang buisness. Apa lagi dalam kepala mereka kalau tak meeting, project, itu, ini... Tak adalah klise sangat. Biasa aje."

"Terserahlah... Ibu bimbang aje."

Selepas itu, air muka Azyah mula berubah. Ada kesan yang tertinggal di dalam hatinya setelah mendengar kata ibunya. Tak mungkinlah. Dia cuba menafi segala kemungkinan yang bukan-bukan. Sebagai seorang isteri, dia perlu percayai suaminya.

Tapi, adakah kepercayaannya ini berbaloi?

MATANYA mahu terlelap gara-gara terlalu lama menunggu. Azyah mengerling ke arah jam di dinding. Sudah masuk pukul sepuluh malam. Dia menyemak telefonnya, tetapi tiada sebarang mesej atau panggilan daripadanya. Azyah hampa. Puas cuba bawa bersabar, akhirnya marah Azyah mula meletus.

Mundar-mandir Azyah di ruang tamu. Sesekali, dia menjeling ke tingkap memerhati luar rumah, sekiranya ada terlihat kereta Fakrul. Dia mula geram. Mana pula suaminya pergi ini? Tak akanlah banyak lagi kerja dekat pejabat?

Dia cuba menelefon Fakrul tetapi tidak diangkat. Mesejnya tidak berbalas walaupun sudah berkali-kali dia menghantar mesej. Akhirnya, malas ambil tahu dia terus buka televisyen. Siapa tahu, ada rancangan yang boleh buat dia rasa lebih tenang ketika ini.

Entah kenapa, cerita yang disiarkan malam ini aneh-aneh belaka. Tak menepati cita rasanya. Dia tutup semula televisyen. Hanya mampu terbaring di atas sofa sambil menutup mata. Dia rasa penat dan mengantuk sangat. Rasanya, dia mahu saja tidur ketika ini.

Jangan, Azyah! Kalau Fakrul balik nanti, macam mana? Bangun, Azyah! Kuatkan diri!

Untuk menghilangkan kebosanan, Azyah menuju ke kamar tidurnya. Dia mencari album-album gambar di rak. Album gambar perkahwinan menjadi pilihannya. Dibuka album itu dan setiap gambar dipandang satu persatu. Semua membawa dia ke memori masa lepas.

Dalam mengenang semula kisah lalu, ada satu gambar yang membuatkan dia rasa terkedu. Gambar dia dan Fakrul di atas pelamin bersama keluarga sebelah Fakrul. Dalam ramai-ramai wajah ahli keluarga dan saudara-mara Fakrul yang berkumpul, ada satu wajah yang menarik perhatiannya.

Entah apa khabar ibu mentuanya sekarang ini? Sudah lama dia tidak mendengarnya. Dengar cerita, mereka telah berpindah ke Sabah setahun yang lalu.

Alasannya, ibu Datin Kalsum jatuh sakit. Tapi, setelah ibu Datin Kalsum meninggal dunia, Datin Kalsum tidak pulang lagi ke Kuala Lumpur. Entah apa sebabnya, disembunyikan daripada pengetahuannya. Azyah tidak pasti, jika Fakrul tahu sebabnya atau tidak.

Mungkin juga tidak sebab dia tahu, hubungan Fakrul dan maknya tidak berapa baik semenjak Fakrul menikahinya. Kadang-kala, dia berasa bersalah kerana pernikahan ini telah menyebabkan hubungan Fakrul dan Datin Kalsum menjadi renggang.

Dia tidak tahu apa sebab sebenarnya. Cerita yang dia tahu, Datin Kalsum sudah ada calon lain tetapi ayah mentuanya tidak setuju dengan pilihan Datin Kalsum. Maka, Datin Kalsum marah dengan Azyah kerana Azyah bukan menantu pilihannya.

Sebaliknya, Azyah merasakan itu bukan sebab Datin Kalsum membenci dirinya. Setiap kali dia melihat mata ibu mentuanya, seperti ada sinar dendam di sebalik mata itu. Dia bukanlah pakar untuk menilik kisah seseorang, tapi nalurinya mengatakan begitu.

Boleh jadi juga naluri itu salah. Hurm... Entahlah.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.