Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 19: Siapa Buat Sarapan Untuk Geng Cowok?

Jhaznarul sudah mampu bangun memandangkan keadaan dirinya semakin sihat dari semalam. Jhaznarul rasa bertenaga sekali. Begitulah keadaan dirinya setiap kali selepas diubati oleh pada ustaz yang hadir. Namun, keadaan diri Jhaznarul harus sentiasa diperhatikan kerana kesihatan pemuda ini bila-bila masa sahaja akan merosot secara mendadak. Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan keadaan diri Jhaznarul.

“Wei, bangun-bangun. Matahari dah meninggi ni. Tidur apa lagi? Nanti rezeki tak masuk. Aku tak apalah sebab dikecualikan.” Jhaznarul menyengih ketika mengejutkan rakan-rakannya dari terus diulit mimpi yang indah. Siang-siang pun masih nak bermimpi lagi. Teruk betul perangai masing-masing. Itulah akibat dari tidur lepas Subuh. Beginilah jadinya.

Teman-teman Jhaznarul mengeliat dan masih berada di atas katil sebelum mereka membawa tuala masing-masing menuju ke tandas. Hendak tergelak Jhaznarul melihat keadaan itu dan berasa sedikit pelik.

“Dia orang ni nak mandi secara berjemaah ke? Semua masuk tandas sekali? Entah-entah dia orang tak sedar lagi.” Jhaznarul masih berdiri di muka pintu biliknya sambil memerhatikan gelagat Firdee Aqasha, Syed Dahuri dan Khirulnizan. Nasib baiklah Zularman berkongsi bilik dengannya, jadi Zularman selamat dalam acara mandi secara berjemaah itu kerana tandas berada di dalam bilik mereka. Zularman menikmati mandian paginya dengan agak selesa. Seketika kemudian, Jhaznarul terdengar pekikan dari dalam tandas. Dia sudah agak mereka masih mamai dan masuk beramai-ramai. Syed Dahuri dan Khirulnizan keluar dari tandas itu memberi laluan kepada Firdee Aqasha menunaikan hajatnya terlebih dahulu. Jhaznarul melepaskan ketawanya di saat melihat batang tubuh Syed Dahuri dan Khirulnizan yang masih bertuala menutup di bahagian sulit.

“Suka kau ya Jhaz? Hampagas sungguh,” jegil Syed Dahuri pada Jhaznarul membuatkan tawa jejaka itu makin meledak.

“Tandas bilik kau dah kosong? Aku nak masuklah. Sakit perut ni.” Khirulnizan meminta izin pada Jhaznarul untuk menggunakan tandas yang berada di dalam biliknya.

“Pergilah masuk kalau Zular dah keluar.” Jhaznarul mengizinkannya sebelum mengatur langkah ke dapur bagi menyediakan sarapan buat dirinya dan juga teman-teman yang lain.

Namun, langkah kakinya terhenti ketika melihat apa yang terhidang di hadapan matanya. Tidak berkelip-kelip Jhaznarul memandang pada sarapan yang sudah molek disediakan untuk mereka berlima pada pagi itu. Di atas meja terdapat nasi lemak, sambal ikan bilis, telur goreng mata satu dan daging salai. Semakin menghairankan Jhaznarul ialah, bila masa pula teman-temannya yang lain menyediakan sarapan pagi sedangkan mereka semua baru sahaja bangun dari tidur. Dan bila masa pula mereka membeli daging salai yang agak mahal harganya itu. Bagi pelajar seperti mereka tidak mungkin dapat membeli daging salai selain lauk pauk yang biasa-biasa sahaja.

“Siapa yang menyediakan sarapan ni? Takkan dia orang nak kenakan aku lagi? Mustahil. Aku yang kejut mereka tadi,” persoalan demi persoalan menerjah ke tempurung akalnya menyebabkan Jhaznarul sedikit sesak.

“Wah, sarapan dah siaplah. Menyelerakan. Jom makan.” Syed Dahuri nampak teruja dengan hidangan yang cukup menyelerakan pada pagi itu dan terus sahaja menarik kerusinya. Begitu juga dengan Firdee Aqasha, Khirulnizan dan Zularman.

“Tapi siapa yang sediakan sarapan ni? Aku turun-turun dah ada.” Jhaznarul tidak bernafsu hendak menjamah sebarang hidangan yang terhampar di hadapan matanya selagi tidak tahu dari sumber mana sarapan itu diperolehi.

“Siapa kisah siapa yang sediakan sarapan. Janji dah di depan mata, kita ngap sajalah. Sedapnya sarapan ni macam nasi lemak kampung. Mesti orang lama yang menyediakan. Marilah Jhaz,” ajak Firdee Aqasha.

Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku macam tak ada selera nak makan selagi tak tahu siapa yang sediakan sarapan kita pagi ni. Takkan tiba-tiba sarapan ni terhidang dengan sendiri? Masih berasap pula tu. Mustahil. Siapa di antara kau orang sediakan sarapan ni? Tolonglah jangan kenakan aku lagi,” nada suara Jhaznarul semakin meninggi.

“Kita sama-sama baru bangun Jhaz. Takkanlah kami yang sediakan pula. Kau yang turun dulu, mungkin kau sedia dalam tak sedar kot.” Zularman berlelucon membuatkan Jhaznarul mencebik.

“Kau orang ingat aku main-main ya? Aku tak sediakanlah sarapan ni. Siapa sebenarnya yang sediakan sarapan ni?” Jhaznarul masih statik dengan satu pertanyaan yang sukar untuk dijawab oleh sesiapa pun.

“Sedap cu, sarapan yang nenek sediakan? Makanlah lagi. Banyak nenek masak untuk cucu semua.” Tiba-tiba kelihatan seorang nenek tua muncul dengan membawa sejag air kopi yang masih berasap.

Tersentak mereka memandang nenek tua yang muncul semula di hadapan mereka terutama sekali Jhaznarul. Sungguh mereka tidak menyangka kehadiran nenek tua itu di saat mereka hendak melupakan seraut wajahnya. Rupanya nenek tua itu bisa muncul pada bila-bila masa sahaja yang dia suka tidak mengira pagi mahupun malam.

“Makanlah lagi. Bukan selalu nenek dapat sediakan sarapan ni untuk cucu.” Melihat sahaja nenek tua itu menyeringai dengan menampakkan taring-taring giginya yang rentung, terhenti suapan mereka lalu pandangan masing-masing diluruskan pada Jhaznarul yang sudah pun terkaku.

Wajah Jhaznarul sudah berubah pucat lesi. Dan dia menutup mulutnya di saat memandang pada makanan yang sedang dijamah oleh teman-teman serumah. Roman wajahnya yang cukup menjengkilkan membuatkan teman-teman yang lain turut menghala pandangan ke pinggan masing-masing.

Tiba-tiba sahaja tekak mereka rasa meloya apabila melihat nasi yang sedang dijamah adalah ulat-ulat putih yang masih hidup. Daging salai itu pula sudah berbau busuk sehingga menusuk ke rongga hidung mereka. Sambal ikan bilis merupakan belalang yang telah digoreng dan telur mata satu pula merupakan telur busuk. Masing-masing tidak mampu menahan diri lagi lalu berlari keluar dari rumah itu sambil memuntahkan segala isi perut yang sudah terisi dengan juadah sarapan sebentar tadi.

“Cu ... tak sedap ke nenek masak? Ha ha ha ....” Telinga mereka masih dapat menangkap ketawa nenek tua itu mengilai-ilai.

Muntah mereka makin menjadi-jadi. Jhaznarul menarik nafas lega kerana dia tidak turut terjebak di dalam sarapan pagi yang disediakan oleh nenek tua itu.

Era Kasmiran yang sedang menyidai baju, berkerut dahinya melihat kaum Adam yang berlainan dari kebiasaan. “Eh, apa dah jadi tu? Baik aku bagi tahu yang lain.” Era Kasmiran meninggalkan baju yang sedang disidai lalu memberitahu teman-teman yang lain tentang buah hati masing-masing. Dengan pantas kesemua kaum Hawa keluar untuk menemui buah hati masing-masing yang masih memuntahkan makanan yang dijamah sebentar tadi. Entah apa pula yang berlaku pada mereka kali ini.

“Kenapa kau orang ni?” Era Kasmiran bertanya dengan perasaan cemas.

“Habib okey?” sempat pula Husnarisyam bertanya khabar pada kekasih hatinya.

“Habib dah sihat habibi. Jangan bimbang.” Jhaznarul kelihatan amat tenang sekali.

“Apa dah jadi pada mereka ni? Kenapa mereka muntah?” tanya Husnarisyam lagi kerana dia melihat kaum Adam pada pagi itu amat berlainan sekali.

“Roh nenek tua sediakan sarapan untuk mereka. Nasi lemak dari ulat putih yang hidup. Daging salai busuk, telur busuk dan sambal ikan bilis belalang. Sebab itulah mereka muntah. Nasib baik habib tak ikut makan.” Jhaznarul menunjukkan ekspresi geli geleman.

“Biar betul nenek tua tu masak untuk kau orang?” Era Kasmiran seakan-akan tidak mahu mempercayainya.

“Betul. Kalau tak percaya, pergilah tengok atas meja tu.” Firdee Aqasha memberitahu dengan bersungguh hati.

Era Kasmiran bersama-sama kaum hawa yang lain melangkah laju masuk ke dalam rumah kaum Adam untuk melihat sendiri sarapan yang disediakan oleh nenek tua itu. Namun, apa yang mereka dapati, tiada sebarang sarapan yang terhidang di atas meja. Pandangan kaum Hawa saling bertelagah sesama sendiri.

“Mereka ni biar betul? Entah-entah mereka pun berhalusinasi macam Jhaz juga. Jom.” Nisrinah mengajak teman-temannya keluar dari rumah kaum Adam.

“Ada sarapan yang kami makan tadi?” tanya Khirulnizan.

Pantas kesemua kaum Hawa menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak ada sebarang sarapan pun. Kau orang ni berhalusinasi ya?” tanya Zunika.

“Eh, takkanlah. Kami memang makan tadi.” Tegas Khirulnizan.

“Mana ada apa atas meja tu. Kosong aje.” Aziham juga menegaskan apa yang mereka lihat.

Pandangan kaum Adam bertelagah sesama sendiri lalu mereka bergegas masuk ke dalam rumah semula dan apa yang kaum Hawa katakan memang benar. Tiada sarapan di atas meja itu. Pelik mereka dengan kejadian yang berlaku hanya sesaat.

“Kami betul-betul makan sarapan nenek tua tu tadi. Buat apa kami nak menipu kau orang.” Firdee Aqasha menegaskan setelah mereka keluar semula. Takut pula mereka dikatakan penipu oleh kaum Hawa.

“Kalau begitu, perkara ni sudah tidak boleh pandang remeh lagi. Perkara ni semakin lama semakin rumit. Roh nenek tua tu dah mula mengganggu kau orang pula. Kita harus berbincang perkara ni.” Nisrinah menegaskan dan mendapat sokongan daripada teman-teman gadisnya yang lain.

“Baik. Jom kita bincang di luar.” Akhirnya kaum Adam terpaksa mengalah dengan apa yang sudah berlaku pada mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.