Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 15: Jhaznarul dibawa berjumpa Ustaz Shafiee

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Jhaznarul agak merosot akibat kerap diganggu oleh roh nenek tua itu dan sering meracau di dalam tidurnya. Kadang-kadang Zularman yang tidur di sebelah Jhaznarul pun kecut perut apabila jejaka ini bertindak di luar kawalan. Seringkali Zularman mengejutkan Jhaznarul dan memintanya untuk solat sunat dan melagukan ayat-ayat suci al-Quran. Tidur Jhaznarul hanya tenang dalam dakapan naskah al-Quran. Dirinya juga bisa lega apabila berada di dalam surau atau masjid. Namun, apabila dia bersendirian, pasti dirinya akan diganggu lagi.

Keadaan Jhaznarul ini cukup merunsingkan teman-temannya. Sudah berbuih mulut mereka menasihati diri Jhaznarul agar melupakan apa yang telah terjadi, namun nasihat mereka bagaikan mencurah air ke daun keladi. Jhaznarul hanya memasukkan nasihat mereka di telinga kanan dan mengeluarkannya selepas itu di telinga kiri.

Husnarisyam kelihatan risau dan resah melihat keadaan Jhaznarul yang sudah mula cengkung ketika mereka semua berbual di hadapan pintu pagar rumah kaum Adam pada malam itu. Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi memendam rasa.

“Aku tak sampai hatilah tengok Jhaz macam tu. Keadaannya benar-benar berubah. Sudah tak ceria, mukanya pula pucat macam zombi. Apa kata kalau kita bawa dia jumpa ustaz? Manalah tahu ustaz tu boleh ubatkan Jhaz kalau benar dia tersampuk.” Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan kekasihnya begitu. Dia rindukan keceriaan Jhaznarul yang dahulu. Dia rindukan panggilan manja Jhaznarul. Dia rindukan segala-galanya tentang Jhaznarul ketika jejaka itu sihat.

“Aku rasa betul juga apa yang Risyam cakap. Keadaan dia nampak teruk sekali. Mungkin dengan perubatan secara tradisional Islam dapat mengeluarkan Jhaz dari segala kemurungan.” Zunika bersetuju dengan cadangan Husnarisyam.

“Apa kata kau orang? Kita tak boleh biarkan Jhaz macam ni. Aku tak nak dia kantoi dalam peperiksaan tahun akhir. Aku nak kita semua grad sekali.” Era Kasmiran pula menyatakan pendapatnya.

“Nampaknya, kita kena bawa juga Jhaz untuk jumpa dengan ustaz. Apa kata kalau kita minta tolong Ustaz Shafiee di depan rumah tu. Aku rasa dia mungkin tak ada masalah untuk membantu kita.” Syed Dahuri tidak membantah apa yang dicadangkan oleh kaum Hawa.

“Kalau begitu, esok pagi lepas sarapan kita semua pergi jumpa Ustaz Shafiee sebelum kita bawa Jhaz.” Firdee Aqasha bersetuju kerana dia juga sudah tidak sanggup melihat keadaan sahabatnya begitu.

Teman-teman Jhaznarul mencuba sedaya yang mungkin untuk menyelesaikan masalah sahabat mereka itu tanpa melibatkan keluarga Jhaznarul. Di atas sebab itulah mereka berikhtiar sesama sendiri. Biarlah masalah ini mereka yang uruskan kerana mereka yang mencari pasal dan oleh itu mereka harus bertanggungjawab di atas segala-galanya.

Firdee Aqasha dan Syed Dahuri telah pergi ke rumah Ustaz Shafiee pada pagi itu. Setelah berbual seketika, Ustaz Shafiee menyuruh mereka membawa Jhaznarul waktu itu juga kerana perkara-perkara seperti ini jangan ditangguhkan lagi. Takut merebak pula penyakitnya.

Ustaz Shafiee meluruskan pandangannya pada Jhaznarul yang kelihatan agak lesu, pucat dan cengkung. Tumpah rasa kasihan pada Jhaznarul. Ustaz Shafiee yakin, sudah pastilah Jhaznarul mengalami penderitaan hasil daripada gangguan syaitan dalam situasi yang cukup teruk sekali. Jika tidak, tak mungkin keadaan Jhaznarul akan terjadi begini.

“Cuba ceritakan pada ustaz, apa sebenarnya yang telah terjadi pada kawan kamu ini? Ke mana kamu semua pergi sehingga dia mengalami gangguan seperti ini?” Ustaz Shafiee meminta salah seorang daripada teman-teman Jhaznarul menceritakan hal yang sebenarnya.

Mereka saling bertelagah pandangan seketika sebelum Firdee Aqasha mengambil keputusan untuk menceritakannya secara ringkas. Tidak perlu terlalu mendalam kerana Ustaz Shafiee harus tahu yang asas sahaja. Sebaik sahaja selepas bercerita, Ustaz Shafiee mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia menghadiahkan senyuman buat mereka sebelum menghuraikan apa yang bermain di kepalanya.

“Kemungkinan besar, kawan kamu ini telah mengejutkan roh yang telah lama bersemadi. Kemungkinan besar juga dia telah terkena badi roh tersebut. Ini hanyalah pendapat ustaz sahaja.” Ustaz Shafiee senyum lagi.

“Kadang-kadang syaitan ini sengaja ingin mengusik kita untuk menguji sejauh mana kita mentaati ALLAH. Syaitan telah berjanji pada ALLAH untuk menyesatkan kita anak cucu Adam. Jadi, kalau pembentengan diri kita ampuh, pasti dengan mudahnya syaitan ini menguasai diri kita,” sambung Ustaz Shafiee menerangkan tentang kehadiran syaitan di sisi kita.

“Ustaz, bagaimana untuk mengukuhkan pembentengan diri kita dari dikuasai atau dirasuki oleh syaitan?” tanya Zularman ingin menambahkan ilmu pengetahuannya.

“Bagi setiap pembentengan diri terdapat syarat-syarat yang tertentu, menjadikan seseorang yang ingin membentengi dirinya, keluarganya dan rumahnya untuk melawan dan menghindari musuh. Maksud benteng-benteng di sini ialah berasal dari al-Quran dan al-Sunnah,” terang Ustaz Shafiee.

“Yang pertama adalah keimanan yang matang. Kedua, amal soleh dan banyak mengerjakan ketaatan. Ketiga zikir dan bersuci dan keempat ikhlas. Benteng-benteng ini harus dilakukan secara teliti dan tertib insya-ALLAH kita akan selamat dari sebarang gangguan yang tak diingini,” sambung Ustaz Shafiee semula.

“Terima kasih ustaz kerana memberikan kami tips ini. “ Khirulnizan mengucapkan terima kasih pada Ustaz Shafiee kerana memberikan mereka sesuatu yang amat berguna untuk mereka amalkan.

“Sama-sama. Kawan kamu ini biar ustaz berubatkan dia. Mudah-mudahan urusan kita ini dipermudahkan ALLAH swt.” Ustaz Shafiee kelihatan tenang sekali.

Seketika kemudian, Ustaz Shafiee beredar ke tandas untuk mengambil wuduk. Kemudian, dia membawa sebaldi air, tujuh biji limau purut dan senaskah al-Quran. Bagi permulaan perubatan secara tradisional ini, mereka melihat Ustaz Shafiee membaca beberapa surah al-Quran dan menghembuskannya ke dalam segelas air dan menyuruh Jhaznarul meminumnya.

Jhaznarul hanya menuruti apa yang disuruh kerana dia sudah tidak berdaya ingin melancarkan sebarang perbalahan. Tubuh badannya yang lemah membuatkan dia reda. Mudah-mudahan dia mendapat sedikit semangat daripada perubatan itu.

Selepas Jhaznarul minum air yang telah dijampi, terlihat beberapa garis kedutan yang timbul di dahi Ustaz Shafiee. Tiada perubahan pada diri Jhaznarul. Dia tidak pengsan mahupun bertukar suara. Ustaz Shafiee begitu pelik dengan situasi sebegitu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Sekali lagi Ustaz Shafiee memberikan Jhaznarul minum air jampi yang telah dijampi buat kali yang kedua setelah pembacaan ayat-ayat suci al-Quran selesai berada di dalam air itu.

Keadaan Jhaznarul masih seperti biasa. Tiada sebarang perubahan. Ini bermakna Jhaznarul tidak dirasuk. Tiada juga benda yang menumpang dirinya. Namun, Ustaz Shafiee tidak menyerah kalah. Kali ini dia memegang pula sebilah keris yang bersaiz kecil yang disucikan dengan limau purut, dilayur di atas kemenyan dan dibaca beberapa potong ayat-ayat al-Quran. Kemudian, dia meletakkan keris itu di buku lali Jhaznarul. Tidak pula dia melihat Jhaznarul menjerit atau bertukar suara. Keadaan ini semakin pelik dirasakan oleh Ustaz Shafiee.

“Awak ada rasa apa-apa?” tanya Ustaz Shafiee pada Jhaznarul. Dia ingin melihat reaksi pemuda itu.

Jhaznarul menggelengkan kepalanya. “Saya tak rasa apa-apa pun,” jawab Jhaznarul tenang.

“Tak rasa sakit?” tanya Ustaz Shafiee lagi. Nampak seperti tidak puas hati.

Sakali lagi Jhaznarul menggelengkan kepalanya. “Tak rasa sakit langsung.”

Ustaz Shafiee menarik nafas panjang. “Nampaknya dia tidak terkena sebarang badi mahupun dirasuk. Dia sihat sebenarnya. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Tak apalah, ustaz akan bagi beberapa ayat al-Quran dan mandikan dia sebelum kamu semua balik.” Ustaz Shafiee membaca beberapa potong ayat al-Quran ke dalam baldi itu dan memerah limau purut sebanyak tujuh biji. Kemudian, Ustaz Shafiee meminta Jhaznarul untuk ke tandas kerana ustaz itu mahu memandikan dia. Jhaznarul hanya menurut tanpa banyak songeh.

Sebaik sahaja selepas dimandikan dengan air jampi, Ustaz Shafiee menyerahkan sebotol air jampi untuk diminum jika Jhaznarul berasa resah.

“Untuk membentengi diri kita dari segala sampukan atau unsur-unsur yang tidak sihat, pertama kita haruslah menjaga solat. Walau apa pun terjadi, jangan sesekali kita meninggalkan solat. Kedua, baca surah al-Waqi’ah sebelum keluar dari rumah setiap pagi. Ketiga, baca surah al-Mulk kerana surah ini banyak mengandungi pelbagai faedah yang luar biasa. Surah al-Mulk ustaz galakkan membacanya selepas mengerjakan solat Zohor. Keempat, baca surah Yasin kerana surah ini mengandungi pelbagai ayat yang jelas serta dapat mengusir syaitan dan penyakit was-was. Bacalah selepas solat Asar. Dan yang kelima, banyakkan membaca istighfar. Yakni dilakukan lepas solat Maghrib. Insya-ALLAH, ia akan dapat menjadi pembentengan diri yang kukuh,” panjang lebar Ustaz Shafiee memberikan petua kepada mereka berlima.

“Sebelum tidur ustaz, ada tak ayat-ayat pembentengan diri yang boleh diamalkan?” Khirulnizan pula ingin tahu. Jika boleh, dia ingin menjadikannya satu amalan agar dirinya terhindar dari segala hinggapan benda-benda yang tidak elok. Nauzubillah min zalik. Dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsa yang bakal diganggu. Hee ... menyeramkan. Tengok keadaan Jhaznarul sudah cukup. Merosot dari sehari ke sehari.

“Mudah saja ayat-ayatnya. Sebelum tidur, ambillah wuduk terlebih dahulu kerana wuduk adalah senjata orang yang beriman. Bacalah surah al-Fatihah kerana di dalam surah ini terdapat kepujian, sanjungan dan penyerahan diri kepada ALLAH. Bacalah ayat al-Kursi selepas itu kerana ayat ini merupakan pengetua ayat-ayat al-Quran al-Karim lainnya. Di dalam ayat ini terdapat keberkahan dan penyembuhan. Dan penutupnya, bacalah surah al-Baqarah sebagai benteng dan juga pengaman dari pelbagai gangguan pada waktu malam hari.” Ustaz Shafiee menyudahkannya dengan sebuah senyuman.

“Terima kasih ustaz kerana mengubati sahabat kami dan juga berikan kami tips-tips pembentengan diri. Kami minta diri dululah ya ustaz. Ini ada sumbangan sikit dari kami semua.” Syed Dahuri meminta diri dengan menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas dari mereka semua.

Ustaz Shafiee menyambut pemberian mereka dengan penuh kesyukuran. Jhaznarul pula kelihatan lebih bertenaga dari hari sebelumnya. Mudah-mudahan keadaan Jhaznarul akan kekal sebegini. Doa mereka di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.