Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 21 : Idea Gila Datang!

Ustaz Rahman telah memulakan pengajarannya di dalam Pendidikan Islam yang wajib diambil oleh setiap pelajarnya. Kesemua pelajar tekun mendengar apa yang disampaikan oleh Ustaz Rahman itu. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang mengelat dengan membuat kerja sendiri. Subjek pada hari itu cukup menarik minat mereka iaitu tentang alam roh.

“Untuk pengetahuan semua, kehidupan sehubungan dengan roh bagaikan sinar sehubungan dengan matahari. ALLAH swt telah menentukan satu kebiasaan di mana cahaya dan cuaca terang akan terjadi selama matahari terbit. Manakala ALLAH swt juga memberi kehidupan pada jasad selama roh masih ada,” terang Ustaz Rahman lagi menyambung kepada perbincangannya sebelum ini.

“Ustaz, bolehkah kita mengetahui tentang roh dengan mendalam lagi. Bagaimana kita hendak mempelajari tentang alam roh ini?” tanya salah seorang pelajar yang turut berada di dalam kelas itu.

“Sebenarnya roh itu urusan ALLAH. Kita tidak boleh mempelajari tentang roh dengan terlalu mendalam. Nabi Muhammad saw sendiri tidak terburu-buru untuk menyingkap tabir rahsia hakikat roh bagi mereka yang bertanya. ALLAH swt memerintah Nabi dan Rasul-Nya untuk menyampaikan kepada mereka, bahawa roh adalah rahsia urusan ALLAH swt, di mana ilmu dan kekuasaan roh itu hanya khusus bagi Zat-Nya. Sedangkan kita mengetahui tentang roh hanya sedikit sahaja.” Ustaz Rahman menjelaskan lagi soalan yang ditanya kepada dirinya.

“Ustaz, ada kemungkinankah terdapat roh-roh yang tidak tenteram?” tanya Zularman ingin tahu.

“Roh-roh yang tidak tenteram ini ada. Bukannya tidak ada. Kemungkinan besar, roh-roh yang tidak tenteram ini diakibatkan oleh sesuatu. Contohnya, mungkin suatu masa dulu sebelum dia meninggal dunia, dia ada berhutang tetapi tidak sempat untuk dilangsaikannya. Maka dengan itu, roh ini akan hadir semula ke bumi tetapi bukan niat untuk mengganggu cuma untuk memberitahu kepada warisnya agar hutang itu dapat dilaksanakan,” jelas Ustaz Rahman.

“Kalau mereka yang mati kemalangan atau terlibat dalam pembunuhan, adakah roh-roh ini juga tidak tenteram?” Zunika pula melayangkan soalan.

“Di dalam kes sebegini, roh-roh ini akan mengambil satu jangka masa untuk kembali kerana dia belum bersedia untuk meninggalkan jasadnya. Bagi mangsa pembunuhan, kemungkinan besar roh yang tidak tenteram ini akan kembali untuk mencari pembunuhnya. Dia hanya akan tenteram jika pembunuhnya menerima pembalasan yang setimpal. Mungkin juga bagi mangsa pembunuhan, dia tidak disemadikan dengan sempurna membuatkan terbangkitnya roh itu sehinggalah dia disemadikan dengan sempurna. Bagi yang terlibat di dalam kemalangan, kemungkinan besar dia masih belum bersedia meninggalkan jasadnya dan ingin kembali meneruskan kehidupannya yang sedia ada. Semuanya kemungkinan terjadi dengan izin ALLAH. Kita tidak tahu apa yang telah direncanakan ALLAH terhadap roh-roh yang tidak tenteram ini,” begitulah penjelasan Ustaz Rahman terhadap pertanyaan yang telah dikemukakan.

“Mungkinkah roh-roh yang tidak tenteram ini kembali ke bumi semula semata-mata untuk membalas dendam, andai kematiannya tidak direlai?” tanya Nisrinah pula.

“Mungkin. Siapa tahu? Mungkin dia ada motif yang tersendiri untuk memberitahu kita yang masih hidup. Mungkin ada sesuatu yang belum disempurnakan dan harus disempurnakan oleh warisnya. Semuanya berkemungkinan besar kerana kita tidak tahu kenapa mereka tidak tenteram di alam barzakh. Namun, mereka yang mempunyai perjanjian dengan syaitan, roh mereka tidak akan tenteram selagi perjanjian itu tidak terlerai. Jadi, jangan cuba bermain dengan api,” pesan Ustaz Rahman sebagai tanda peringatan buat para pelajarnya.

“Jadi ustaz, jika kita sering diganggu oleh roh yang kita sendiri tidak tahu asal-usulnya, berkemungkinan besarkah menandakan roh itu ingin kita membantunya untuk menyelesaikan sesuatu yang mungkin belum selesai?” tanya Syed Dahuri pula.

“Ya. Mungkin roh sesat itu ingin kita membantunya tetapi roh itu tidak tahu bagaimana caranya sehingga ia memunculkan dirinya di hadapan kita. Semuanya berkemungkinan dengan izin ALLAH swt kerana kita tidak akan tahu kenapa ALLAH mewujudkan mereka di bumi. Tapi yang nyata, roh tidak akan mengganggu manusia selain jin dan syaitan. Dua makhluk ALLAH inilah yang akan membuat kita percaya akan wujudnya hantu atau yang seangkatan dengannya.” Ustaz Rahman tidak pernah menghampakan para pelajarnya yang telah mengemukakan soalan. Walaupun seberat mana soalan itu, akan dicuba untuk menyelesaikannya.

Sesudah segala pertanyaan mereka telah dijawab oleh Ustaz Rahman, kumpulan Adam dan Hawa saling bertukar pandangan sesama sendiri. Mereka yakin mereka sudah mendapat jawapannya walaupun masih di dalam keadaan yang samar.

“Kau orang rasa roh nenek tua ini berada di dalam kumpulan yang mana?” tanya Husnarisyam secara rambang.

“Entah. Aku sendiri tak pasti. Tapi kalau ayat dia yang sering berulang, ‘cu, tolong nenek cu’, pastilah dia dari kalangan yang ingin kita menyempurnakan hajat yang belum sempurna.” Nisrinah seolah-olah sudah mendapat satu petunjuk.

“Tapi, apa hajat dia tu?” tanya Zularman pula.

“Itu yang kita perlu cari. Apakah hajat nenek tua itu sehingga rohnya terbangkit semula.” Nisrinah berkata dengan tegas sebelum menghantarkan dirinya ke alam pemikiran semula.

“Tapi ingat seperkara, jangan main sprit of the coin. Aku tetap tak setuju. Mungkin ada cara lain yang kita boleh bantu nenek tua ini.” Jhaznarul tetap tega dengan sesuatu yang tidak diredhai oleh hatinya sendiri.

Tersungging senyuman teman-teman yang lain mendengar pada amaran yang semakin tegas daripada Jhaznarul.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.