Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 13 : Sakitnya Jiwa

“Alhamdulillah. Sampai juga kita di rumah dengan selamat. Syukur.” Zunika melafazkan rasa syukurnya pada Yang Maha Satu. Barulah rasa selamat tersemat di dalam diri masing-masing.

“Eh, kau orang nak ke mana tu?” Era Kasmiran pantas mengajukan soalan apabila dilihatnya kaum Adam sudah hendak masuk rumah.

“Nak baliklah. Berehat. Penat tadi masih melekat tau,” balas Firdee Aqasha.

“Oh, kau orang aje penat? Habis kami ni jalan dalam ais tadi? Ingat tak penat ke? Jom ke taman dulu. Ada hal sikit nak bincang.” Era Kasmiran telah membuat keputusan buat mereka semua. Antara mahu dengan tidak, terpaksalah mereka membuntuti langkah Era Kasmiran menuju ke taman permainan yang berada betul-betul di hadapan rumah sewa mereka. Rumah sewa mereka ini berbentuk bulatan mengelilingi taman permainan yang terbentang luas di hadapan mata. Unikkan?

“Apa yang sayang nak bincang sangat ni?” tanya Firdee Aqasha dengan rasa malas sekali. Rasa mengantuk sudah pun menyapa tubir mata masing-masing dan meminta mereka untuk terus melakukan aktiviti kuak lentang di atas katil sendiri.

Mata teman-teman yang lain juga terus melorong ke arah Era Kasmiran. Era Kasmiran menarik nafas panjang-panjang sebelum meluahkan sebarang kata. Hal ini akan membabitkan hati dan perasaan orang yang tersayang juga. Era Kasmiran memulakan lafaz bismillah di dalam hati serta menetas senyuman di pinggir bibir.

“Kau orang perasan tak? Setiap kali ada Jhaz dan Firdee, pasti nenek tua tu akan muncul di depan kita. Aku rasa kehadiran nenek tua tu ada kaitanlah dengan mereka berdua ni,” setelah mengumpul kekuatan begitu lama, barulah Era Kasmiran mempunyai keberanian untuk mengeluarkan fakta dan frasa.

“Aku memang dah lama perasan akan hal ni. Tapi aku malaslah nak cakap. Takut ada orang terasa hati pula,” sampuk Nisrinah dengan pantas tanpa sempat kaum Adam membuat pembelaan diri.

“Aku yakin, lepas ni pasti hidup kita akan diganggu oleh kehadiran nenek tua tu. Ini semua Firdee punya pasallah. Kenapa dia bawa nenek tua pada kita.” Zunika tidak melepaskan peluang untuk menuduh Firdee Aqasha yang punya angkara.

Berubah roman wajah Firdee Aqasha yang sedang meluruskan pandangan pada wajah-wajah yang berada di hadapannya. Sakit hati betul tatkala dituduh begitu.

“Apahal pula aku yang kena tuduh ni? Jangan salahkan aku sorang, salahkan Jhaz juga sebab dia yang bertanggungjawab membangkitkan roh nenek tua tu. Kalau tak dia yang merayau-rayau, pasti dia takkan terjumpa kubur sesat yang bernyawa dan pastilah juga dia takkan membangkitkan roh nenek tua yang telah lama bersemadi di dalamnya.” Amboi Firdee Aqasha, jika sudah mendapat peluang, pasti tidak akan disia-siakannya dalam melencong setiap patah perkataan yang merupakan tuduhan buat Jhaznarul.

Kali ini pandangan Jhaznarul pula menajam ke wajah Firdee Aqasha. Amboi, sedapnya mulut dia mengata aku. Walhal, kebangkitan roh nenek tua tu dia yang mula dulu.

“Sopannya mulut kau tuduh aku. Aku mengaku aku yang mula-mula terjumpa kubur sesat bernyawa tu tapi kau kena ingat Firdee, aku tak membawa dia pulang ke khemah kita. Aku tak seru dia untuk minta nombor ekor. Siapa yang seru dia sampai dia ikut kita pulang kalau bukan kau? Pandai-pandai kau nak letakkan semua kesalahan pada aku ya. Ingat tu,” giliran Jhaznarul pula melilit Firdee Aqasha dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

Terdiam Firdee Aqasha ketika menerima serangan balas daripada Jhaznarul. Di dalam hati, dia cukup menyesal melaksanakan niat serongnya. Kini bahana bukan dia seorang sahaja yang dapat tetapi semua teman-temannya turut merasai sama.

“Kalau Firdee semua dah maklumlah. Benda aneh apa yang dia tak pernah buat? Otak dia sentiasa serong. Niat tak betul lagi, macam manalah tak bangkitkan roh nenek tua tu.” Zunika menajam bebola matanya ke arah bebola mata Firdee Aqasha. Sakit betul hatinya kerana terpaksa menempuhi pengalaman seumpama itu. Kalau pengalaman menarik tidak apalah juga, ini pengalaman seram, siapa yang mahu mengalaminya, kan?

“Jangan salahkan aku sorang saja tau. Dahuri, Nizan dan Zular pun sertai aku juga sebab nak cepat kaya.” Firdee Aqasha masih membela dirinya.

“Eh, tolong sikit. Aku ikut kau orang sebab kau orang yang cabar aku. Untuk membuktikan yang aku bukan penakut, aku terpaksa bersetuju, walhal aku tak mahupun pada mulanya. Kan Jhaz?” Awal-awal lagi Zularman sudah membuat penafian sebagai benteng pembelaan diri. Jhaznarul menganggukkan kepalanya tanda mengiakan perbicaraan yang keluar dari pinggir bibir Zularman.

Bangga pula Aziham yang mendengar pengakuan Zularman. Dia sudah dapat mengagak, Zularman tidak mungkin akan mengikut mereka tanpa sebab. “Aku dah dapat agak pun yang Zular ikut kau orang pasti bersebab. Kalau tak, dia lebih suka ikut Jhaz. Kau memang tak gunalah Firdee membabitkan Zular sekali.” Riak tidak puas hati masih kukuh melekat pada wajah Aziham.

“Darl aku dan ‘bi’ kau, aku tahu mereka memang suka sesuatu yang baru sebagaimana Firdee. Ingat begitu mudah nak kaya dengan mengambil jalan pintas? Mudah mendapat bencana adalah.” Nisrinah menyeranah mereka bertiga.

“Lain kali, cuba cari kubur sesat di kawasan lain pula. Mana tau boleh jadi jutawan terus. Lepas tu, kau orang kena bela pula benda alah tu. Daripada tubuh badan sihat, jadi satu kerja pula kena bela pendamping malam,” selamba sahaja lorongan kata Zunika menuju tepat ke wajah Firdee Aqasha, Syed Dahuri dan Khirulnizan. Roman wajah Zunika ketika itu bagaikan antara hendak ketawa dan tidak telah membangkitkan rasa geram di dalam hati ketiga-tiga jejaka itu.

“Kalau kami jadi jutawan, kau orang juga yang senang. Nak apa pun mudah kami berikan.” Khirulnizan tidak mahu mengalah dengan mudah.

“Haah, lepas tu anak bini yang jadi mangsa pendamping-pendamping kau orang. Entah-entah anak yang bini kau orang kandungkan adalah anak pendamping kau orang, nak macam tu?” Tegak sahaja biji mata Zunika melurus dengan tajam menusuk ke mata Khirulnizan. Terdiam jejaka itu.

“Kenapa diam? Dah hilang kata-kata?” sindir Aziham.

“Sudah ... sudah. Memang kami mengaku kami salah dalam hal ni. Tapi kau orang janganlah terlalu menekan kami. Kami dah pun tertekan selama ni terutama sekali aku. Firdee yang seru, aku yang parah diganggu.” Jhaznarul terus mengangkat punggungnya untuk pulang ke rumah. Malas lagi dia hendak menadah telinga mendengar bebelan pada kaum Hawa.

“Kau nak ke mana tu?” tanya Zularman pantas.

“Nak balik. Aku mengantuk.” Jhaznarul terus laju menghayunkan langkah.

“Habib.” Panggil Husnarisyam pada kekasih hatinya. Langkah Jhaznarul terhenti dan kepalanya dilencongkan memandang pada Husnarisyam.

“Janganlah ambik hati pada kata-kata mereka tu. Kita semua tertekan sekarang. Insya-ALLAH, habibi akan cakap pada mereka agar tidak menyalahkan sesama sendiri. Ya?” pujuk Husnarisyam.

“Terima kasih habibi. Hanya habibi yang faham habib. Habib mengantuk ni. Habib masuk dulu ya. Habibi pun kena rehat juga tau. Jangan terlalu fikir sangat.” Jhaznarul melayangkan senyuman manisnya hanya untuk Husnarisyam. Husnarisyam membalas senyuman itu.

Tiba di hadapan pintu pagar rumah sewa kaum Adam, Husnarisyam tidak masuk, hanya menghantar langkah kaki Jhaznarul sehingga ke dalam rumah sebelum dia kembali menyertai teman-temannya yang lain.

“Assalamualaikum,” begitulah Jhaznarul yang sudah terbiasa gerak lidahnya akan memberi salam terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam rumah walaupun rumah itu tiada berpenghuni. Amalan yang diamalkan sejak dari kecil lagi. Memang sudah sebati dengan diri.

“Salam cu. Nenek datang. Tolong nenek cu.”

Tiba-tiba kaki Jhaznarul terpasung apabila dia melihat roh nenek tua yang mengekori mereka tadi kini berada di ruang tamu rumah sewanya. Molek sahaja duduk di atas sofa ihsan daripada pemilik rumah sewa itu sambil tersengih memandang dirinya. Gulp! Air liur Jhaznarul terasa kering untuk ditelan.

“Cu .... tolong nenek cu ...” tangan nenek tua itu memanjang memaut tubuh Jhaznarul membuatkan jejaka itu tersentak lalu terlolong keluar semula dari rumah sewa mereka.

Kesemua rakan-rakan Jhaznarul seakan-akan terkena renjatan elektrik sebaik sahaja kepala masing-masing melencong ke arah wajah Jhaznarul yang kelihatan pucat lesi dengan terpekik terlolong begitu.

“Kenapa dengan Jhaz tu?” Nisrinah yang terlebih dahulu bertanya.

“Manalah aku tahu,” balas Firdee Aqasha pula.

“Macam terkena sampuk aje?” Era Kasmiran pula diserang kehairanan dan ditambah sedikit rencah ketakutan.

“Nampak macam itulah. Tapi ...” Aziham mendiamkan diri. Dibiarkan sahaja ayat tergantung sebegitu.

“Tapi apa?” tanya Zularman dan teman-teman yang lain secara serentak.

Takkanlah nenek tu ... Aziham tidak sanggup untuk melafazkannya walaupun hanya bergema di dalam hati.

“Tapi apa Azi?” tekan Dahuri.

“Tak ada apa-apalah.” Aziham tidak mahu meneruskan perbualan mereka.

“Aku risaulah tengok habib tu. Wajah dia dah cengkung sekarang macam takutkan sesuatu,” emosi Husnarisyam diserang dengan rasa simpati yang menggebu.

“Kau ni kenapa Jhaz? Terpekik terlolong macam orang kena rasuk.” Era Kasmiran terlebih dahulu bertanya ketika Jhaznarul menghampiri mereka semua. Tidak sampai lima minit sahaja Jhaznarul pulang dan kini sudah keluar semula dari rumah sewa itu.

Muka Jhaznarul kelihatan terlalu pucat sekali. Aturan pernafasannya sudah berteraburan. Jhaznarul cuba menenangkan dirinya sebelum mengeluarkan sebarang bicara.

“Aku nampak nenek tua tu di ruang tamu kita. Dia pegang tubuh aku dengan tangannya yang memanjang. Aku terus larilah. Siapa yang nak tunggu lagi,” muka mereka semua berubah pucat dengan frasa yang baru dikeluarkan oleh Jhaznarul.

“Kau biar betul nenek tua tu ada di rumah kita? Kau jangan main-main Jhaz.” Syed Dahuri tidak senang mendengar apa yang Jhaznarul beritahu mereka.

“Kau gila perkara ni aku nak main-main. Kalau kau orang tak percaya, jom ikut aku masuk dalam.” Jhaznarul meminta mereka semua untuk mengikutnya.

Sama ada kaum Adam mahupun kaum Hawa, tiada siapa yang menangguhkan gerak langkah lagi, lalu mereka mengekori Jhaznarul ke rumah sewa kaum Adam itu. Apabila sampai di muka pintu pagar rumah sewa kaum Adam, pantas sahaja Syed Dahuri menahan kaum Hawa dari terus masuk ke dalam rumah.

“Kau orang nak ke mana?” tanya Syed Dahuri sambil mengangkat keningnya sebelah.

“Kami nak masuk ke dalamlah. Tengok ada ke tak nenek tua tu. Salah ke?” Era Kasmiran tidak berpuas hati apabila langkah mereka dihalang.

“Memang salah sebab kau orang nak masuk ke kawasan larangan kaum Adam. Kena tangkap nanti, tak pasal-pasal kahwin free. Habis impian nak pakai baju pengantin masa bernikah kelak,” tanpa secalit pun rasa bersalah Syed Dahuri mengeluarkan frasa.

Mencebik kaum Hawa yang mendengar. Alah, bukan nak masuk ke dalam pun. Setakat menjenguk apalah sangat. Berkira betul Dahuri ni. Itulah gamaknya yang bermain di minda kaum Hawa.

“Sekarang baik kau orang balik. Nanti kalau ada perkembangan, kami akan beritahu.” Syed Dahuri memujuk dengan nada yang cukup lembut.

Kaum Hawa terpaksa akur dengan kehendak Syed Dahuri. Lalu mereka mengatur langkah untuk pulang ke rumah sewa mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.