Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 12 : O'oo Dia Dah Sampai ke Kolej ....

“Aku cukup tak sukalah kalau ada kelas malam. Kenapalah pensyarah bahasa Melayu kita tu part time aje. Kan bagus kalau dia full time,” rungut Zunika ketika mereka bersepuluh sedang berjalan di dalam kegelapan malam menuruni bukit kolej untuk menuju ke perhentian bas/tren laju sesudah tamat kelas pada malam itu.

“Tapi aku suka kalau ada kelas malam,” berlainan pula jawapan yang diberikan oleh Era Kasmiran. Empat pasang mata melorong ke arah Era Kasmiran bersama dengan kenyataannya itu.

“Kenapa kau suka jika ada kelas malam?” Aziham ingin tahu. Pelik betul dia dengan sikap Era Kasmiran. Entah apalah yang syoknya kelas malam, dia sendiri pun tidak tahu.

“Sebab, kalau ada kelas malam, bolehlah aku menikmati keindahan sang purnama ketika balik ke rumah. Aku suka sangat dongak ke langit waktu-waktu begini. Cantik hiasan dada malam dengan bintang bergemerlapan selain purnama yang menawan.” Era Kasmiran menjelaskan kepada mereka yang sedang memasang telinga dengan panjang lebar.

“Kalau kau orang tak percaya, cuba kau orang dongak ke atas. Lihat keindahan ciptaan Sang Penciptanya buat seketika. Kau orang akan rasa insaf dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Tapi ingat, jangan dongak dengan kaki berjalan. Nanti tak pasal-pasal terus tergolek ke bawah,” sempat lagi Era Kasmiran berpesan sesudah menyambung bicaranya.

Keempat-empat pasang mata kini mendongak ke dada langit untuk menghayati keindahan yang tercipta untuk mereka yang menghuni di bumi tumpangan-NYA. Manakala kaum Adam pula masih setia mengekori pasangan masing-masing dari belakang. Sesekali, bibir mereka tersungging dengan senyuman di kala tercetus gelagat yang lucu daripada buah hati masing-masing. Macam-macam kerenah.

Sedang asyik mendongak memandang bintang dan bulan, tiba-tiba nafas Nisrinah seakan-akan tersekat ketika matanya tertancap pada sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan mereka. Seluruh tubuh badan Nisrinah menggeletar sakan bagaikan berada di dalam kawasan salji sahaja lagaknya, sedangkan malam itu tidak dingin langsung. Air liur yang menuruni rongga rengkung Nisrinah bagaikan berbatu. Sukar sekali perjalanannya. Tangan Nisirinah kelihatan menggapai-gapai teman yang berada di sebelahnya. Namun apabila jari-jemarinya tidak memegang sebarang lengan temannya, suara Nisrinah mula mengendur dalam menyeru nama sahabatnya.

“Miran ...” Beberapa kali Nisrinah memanggil nama Era Kasmiran sehingga teman-teman yang lain memandang pelik pada perubahan perlakuan Nisrinah di saat ini.

“Hei, yang kau panggil aku macam tu kenapa? Menakutkan sajalah, Nisrin.” Era Kasmiran menjegilkan matanya pada Nisrinah.

“Miran .... ini kau punya pasal suruh dongak lagi ke atas. Kalau kita balik terus tadikan bagus,” nada suara Nisrinah masih tidak berubah. Lagaknya bagaikan hendak menangis sahaja.

“Sweetie, kenapa ni? Apa yang tak kena?” cuak betul Syed Dahuri mendengar pada nada suara buah hatinya.

Nisrinah memandang Syed Dahuri dengan wajah yang paling cuak pernah dilihatnya. Suaranya seakan-akan hendak membanjirkan air mata.

“Cuba cakap pada darl, kenapa ni?” pujuk Syed Dahuri.

“Terus-terang terang sajalah. Tak payah nak nangis-nangis macam ni.” Zunika mula hilang sabar.

“Kau orang tengok kat atas pokok depan kita tu ...” jari telunjuk Nisrinah sedikit menggeletar tatkala menuding ke arah sesuatu.

Era Kasmiran, Husnarisyam, Zunika, Aziham dan Syed Dahuri serentak meluruskan pandangan masing-masing ke arah atas pokok yang ditunjukkan oleh Nisrinah. Tiba-tiba sahaja mulut mereka melopong apabila melihat seraut wajah nenek tua semasa di perkhemahan tempoh hari kini berada di hadapan mata mereka. Gulp! Masing-masing menelan air liur. Mata mereka berlaga sesama sendiri sebelum laungan suara jeritan kedengaran dengan amat kuat sekali. Mereka terus membuka langkah seribu tanpa menunggu lebih lama lagi. Siapa yang mahu menunggu di situ dan menjadi habuan si nenek tua yang mengerikan itu.

Syed Dahuri sudah selamat mengekori acara pecutan yang dilakukan oleh kaum Hawa sebentar tadi dengan meninggalkan teman-temannya yang lain. Kaum Adam yang masih tidak tahu sebab musababnya, diserang dengan rasa kehairanan tahap yang cukup tinggi. Kenapa mereka menjerit dan berlari secara tiba-tiba? Apa yang mendorong mereka supaya berbuat begitu.

“Kenapa dengan dia orang tu? Dahuri pun ikut sekali? Ada apa-apa yang kita tak tahu ke?” Firdee Aqasha melencongkan pandangannya ke arah Syed Dahuri dan juga kaum Hawa yang masih belum mahu berhenti dari terus berlari.

“Entah. Aku pun tak tahu apa dah jadi dengan dia orang tu. Dia orang tengok ke arah langit, lepas tu ke pokok, lepas tu lari.” Zularman menerangkan mengikut firasat hatinya.

“Pokok?” terpacul satu patah perkataan dari celahan bibir Jhaznarul lalu kesemua mereka menghalakan mata ke arah pokok yang berada di hadapan mereka. Gulp! Kini mereka pula yang terlelan air liur. Wajah yang cukup familiaritu sedang merenungi ke arah mereka sambil tersengih sehingga menampakkan barisan gigi yang runcing hita,.

“Argh!” giliran kaum Adam yang tertinggal pula melantunkan suara untuk sesi ujian suara siapa yang paling kuat sekali. Mereka juga turut membuat acara pecutan siapa yang paling pantas sekali turun ke bawah.

Masing-masing mula menyusun aturkan pernafasan sendiri ketika melepaskan lelah. Kering tekak mereka dengan adegan itu. Apalah malang nasib mereka yang terserempak dengan nenek tua yang paling ingin mereka hindari.

“Siapa yang bawa kereta?” Aziham bertanya dalam nada yang masih kepenatan.

Kesemua mereka yang berada di situ saling bertelagah pandangan sesama sendiri. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang membawa kereta ke kolej. Apa punya miskinlah, sedangkan keluarga masing-masing punyalah kaya. Sebiji kereta pun tidak ada untuk diberikan kepada anak mereka. So bad.

“Lah, tak ada seorang pun ke yang bawa kereta? Nama saja anak orang kaya tapi sebiji kereta pun tak ada. Feel so bad,” cukup pedas Aziham menyindir mereka dengan perisa gula-gula cili padi.

“Cakap tu sopan-santun sikit ya? Yang kaya mak bapak kami, bukannya kami. Sebab itulah tak seorang pun daripada kami yang ada kereta. Kami ni lebih suka berdikari dan tak suka susahkan mak bapak kami. Ada faham?” Khirunizan yang rasa tercabar melenting secara tiba-tiba. Aziham mencebik. Masih berperisa cili padi. Bengkak sahaja hati Khirulnizan memandang pada cebikkan Aziham di kala itu. Ikutkan hati hendak sahaja dia tapekan mulut Aziham yang kadang-kadang celopar tahap tak ingat.

“Nak tumpang van ke?” tanya seseorang yang berada di dalam van itu sambil membuka pintu vannya agar mereka boleh masuk ke dalam.

“Alhamdulillah. Tak payah nak bertengkar lagi. Mak cik ni dah cukup murah hati bagi kita tumpang. Tunggu apa lagi? Masuklah.” Zunika menggesa mereka masuk ke dalam. Dia tidak mahu menunggu dengan lebih lama lagi di dalam kawasan kolej. Tengkuknya sudah mula terasa seram sejuk.

Kesemua mereka sekali gus masuk ke dalam van yang sudah terbuka luas pintunya. Tiba-tiba sahaja kesemua mereka keluar semula sambil berlari menuju ke luar kolej. Tidak sanggup berhadapan dengan apa yang sedang mengekori mereka. Mana tidaknya mereka keluar semula apabila yang memandu itu adalah nenek tua yang sentiasa menghantui mereka. Daripada menjadi mangsa, lebih baik mereka menyelamatkan diri masing-masing terlebih dahulu. Huu tidak sanggup untuk mengambil sebarang risiko.

“Cu ... jangan pergi cu ... Ha ha ha ...” Nenek tua yang masih berada di dalam van itu ketawa mengilai sehingga menetas keseraman pada diri masing-masing.

“Cepat lari. Jangan toleh ke belakang lagi,” arah Jhaznarul dengan semangat yang semakin luntur. Kesemua mereka terus memecutkan lagi langkah kaki masing-masing. Siapa yang berani memandang ke belakang. Buatnya dia terbang di atas kepala mereka, tidakkah naya sahaja.

Sebaik sahaja tiba di stesen limosin yang berada di luar kolej Imansyah, kesemua mereka melepaskan lelah buat seketika untuk sekali lagi. Masing-masing sudah tidak berdaya lagi hendak membuat maraton jika nenek tua itu masih mengekori mereka. Silap-silap hari bulan boleh pengsan dibuatnya. Kenapalah nenek tua itu tidak mahu berhenti dari terus mengekori mereka.

“Okey, sekarang ni kita berpecah naik limosin. Jhaz, Dahuri, aku, Nisrin dan Miran naik satu limosin dan yang lain-lain satu lagi limosin. Kita kena cepat beredar dari sini,” arahan sudah pun dikeluarkan oleh Husnarisyam.

“Kenapa kau orang pisahkan aku dengan Miran?” Firdee Aqasha ternyata tidak puas hati.

“Sebab aku tak percayakan kau. Sudah, jangan banyak songeh pula. Aku nak cepat balik ni. Kalau kau nak tinggal di sini dengan lebih lama, silakan.” Husnarisyam menolak tubuh teman-temannya untuk menaiki limosin yang telah pun bersedia menjalankan tugasnya. Sebelum menaiki limosin, Husnarisyam memandang terlebih dahulu kepada pemandunya. Dia tidak mahu peristiwa sebentar tadi berulang kembali. Boleh longgar lutut jadinya. Setelah yakin itu pemandu limosin yang sebenarnya, pantas sahaja dia mengarahkan agar pemandu itu menghantar mereka ke rumah sewa. Pemandu limosin itu menurut tanpa banyak bicara. Kasihan limosinnya sudah macam ikan sardin yang disumbatkan ke dalam tin. Apa hendak buat, keadaan sudah darurat, oleh itu mereka terpaksa mengambil tindakan yang pantas.

Walaupun tidak berpuas hati, Firdee Aqasha menuruti juga rancangan yang telah diaturkan oleh Husnarisyam. Apa hendak buat terpaksalah berpisah dengan buah hati pengarang jantung. Ceh, macam drama Korea pula lagaknya. Firdee Aqasha memang seorang pelakon yang hebat. Jika dia benar-benar menjadi pelakon, pasti penonton akan mengkagumi bakat lakonan yang dimilikinya. Limosin yang dinaiki oleh Firdee Aqasha pun sama seperti limosin Husnarisyam, sudah seperti sardin yang disumbat-sumbat ke dalam tin.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.