Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT : MIMPI
KISAH SERAM MALAM JUMAAT : MIMPI
Ebriza Aminnudin
28/4/2016 20:47:22
4,052
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Benda apa tu? Aku hanya tegak berdiri sambil melihat satu makhluk yang melompat dari satu bangunan ke satu bangunan dengan wajah yang bengis. Aku terus memerhati dengan penuh minat. Di dalam seumur hidup, aku tidak pernah melihat makluk sebegini di kotaraya Kuala Lumpur. Tiba-tiba matanya bertentangan mata dengan aku membuatkan hati ini berdegup kencang. Bagaikan hendak pecah jantungku apabila dia menyeringai dan tidak mengalihkan pandangannya dari menghala ke arah aku.

ALLAHUAKHBAR! Aku sudah tidak keruan. Bagai ada yang tidak kena membuatkan air liur yang menuruni rengkungku seolah-olah berpaku. Dalam tidak aku sedari, makhluk itu mengganas dengan meranapkan salah sebuah bangunan yang ada di situ. Tidak terkelip-kelip mata aku memandang ke arahnya. Dalam sekelip mata sahaja dia sudah berada di hadapan aku. Bertambah berdegup jantung aku saat itu apabila wajahnya berhadapan dengan wajah aku dengan air liur meleleh-leleh keluar dari mulutnya. Matanya cukup tajam membuatkan kaki aku seakan terpaku.

Woarghh!!! Ngauman itu merenggut tangkai hati aku lalu tanpa membuang masa aku berlari dengan sekuat hati tanpa menoleh ke belakang lagi. Namun, ketika aku sedang belari tiba-tiba sahaja aku terasa tubuhku tidak memijak pada tanah seakan dilambung ke udara.

Woarghh!!! Sekali lagi aku mendengar ngauman itu membuatkan tekak aku benar-benar kering. Apakah aku berada diambang maut? Aku tidak tahu bagaimana aku tergantung di salah satu bangunan. Makhluk itu semakin mengganas apabila kukunya yang runcing tajam menembusi dada aku seakan ingin mengeluarkan jantung aku yang masih berdenyut.

Baru sahaja kukunya semakin menekan ke dalam jantung aku, tiba-tiba sahaja benda tajam yang menggantungkan aku di tembok bangunan itu tercabut dan aku jatuh dari bangunan yang sangat tinggi.

ALLAH! Mata aku terbuka luas dan aku memandang di sekeliling. Degup jantung aku ini masih tidak mahu surut. Aku mengucapkan syukur apabila hayat aku masih panjang dan aku hanya terjatuh dari katil sahaja tetapi mimpi aku itu seakan benar. Aku bangun dan duduk semula di atas katil untuk meleraikan rasa gerun yang bertandang di hati ini. Aku membuka lampu bilik tidur aku kemudiannya dan melihat sendiri ke arah jantung aku yang dibenam dengan kuku tajam dan runcing makhluk itu. Mata aku tidak berkelip-kelip memandang ke arahnya dengan mulut sedikit terbuka. Ada kesan tusukan di bahagian jantung aku. Baru kini aku terasa pedihnya.

Tidak! Tidak! Itu sekadar mimpi dan tidak mungkin ia menjadi kenyataan. Aku cuba menafikannya. Sepanjang malam itu, aku langsung tidak dapat tidur. Aku takut jika makhluk itu muncul kembali di dalam mimpi aku. Tidak sanggup rasanya untuk terus berlari atau menjadi mangsa pada makhluk yang sangat ganas dan mungkin juga makhluk pemangsa.

Aku tersengguk-sengguk ketika tiba di pejabat. Sungguh apa yang aku mimpi semalam membuatkan aku sangat fobia untuk kembali sambung tidur dan hasilnya pagi ini, aku langsung tidak larat hendak membuka mata.

“Hei Sofuan, kau ni kenapa? Tak tidur ke semalam?” tanya rakan sekerja aku yang bernama Nor Afif.

“Kau ke mana semalam Sofuan sampai mengantuk macam ni?” seorang lagi rakan sekerja aku yang bernama Azmil melontarkan pertanyaan. Seakan ada nada sinis di dalam bicaranya. Sudah tentu terpahat di dalam fikirannya perkara yang negatif sahaja. Hesy, bukannya aku tidak tahu perangai si Azmil itu.

“Kau orang jangan salah sangka ya. Aku tak ke mana-mana pun semalam cuma aku takut nak tidur.” Aku terpaksa jujur berterus-terang dengan mereka.

Nor Afif dan Azmil berpandangan sesama sendiri. Mungkin pelik mendengar kenyataan aku. Iyalah, siapa yang tidak mahu tidurkan? Tapi aku takut pula hendak tidur.

“Cuba kau ceritakan pada aku kenapa kau takut nak tidur?” Nor Afif sudah pun mengambil kerusinya dan duduk berhadapan dengan aku. Itu bermakna dia hendak mendengar cerita aku yang mungkin sensasi baginya. Begitu juga dengan Azmil yang turut sama mengikut perlakuan Nor Afif.

“Aku ada mimpi satu makhluk ganas semalam yang makan jantung manusia. Mimpi aku macam betul. Kau tengok ni, kesan tusukkan kukunya yang runcing masih berbekas di bahagian jantung aku.” Aku menunjukkan kesannya. Nor Afif mahu mempercayai tetapi cerita aku dipersendakan oleh Azmil. Dia boleh ketawa mengekek mendengar cerita aku. Haish, sakit pula hati aku melihatnya.

“Mungkin kau tusuk dengan kuku kau sendiri dalam keadaan kau tak sedar, siapa tahukan? Sudahlah. Mimpi tu permainan tidur. Kejap lagi, kau orang temankan aku ke kedai buku ya. Aku nak beli buku baru karya Saidee Nor Azam yang berjudul Margasatwa II. Aku baru tamat pembacaan Margasatwa ni. Kerana cinta diri menjadi tunggangan iblis.” Azmil mengajak kami berdua menemaninya ke kedai buku. Di antara kami bertiga, Azmil memang seorang yang gilakan novel. Semua novel seram dari kumpulan Seramlicious Buku Prima semuanya dia ada. Koleksi katanya.

Aku tertarik pula melihat novel Margasatwa yang berada di tangannya lalu aku rakus mengambil dan membaca sambil lalu. Tiba-tiba sahaja dahi aku berpeluh dan air liur aku bagaikan tidak menuruni di rengkung. Makhluk inilah yang aku mimpikan semalam. Aku memandang ke arah Nor Afif dan Azmil sambil menunjukkan naskah ini. Kedua-dua mereka berada di dalam keterpingaan dengan sikap pelik aku.

“Kau ni kenapa pula macam takut saja tengok kulit novel Margasatwa?” tanya Azmil.

“Makhluk ni yang muncul dalam mimpi aku semalam. Serius aku tak tipu kau orang. Makhluk ni seakan-akan nak ratah jantung aku. Macam mana aku boleh mimpi makluk ni sedangkan aku tak baca naskah dia?” Aku semakin cemas dan cukup takut sekali.

Nor Afif dan Azmil terdiam seketika dengan gelagat aku. Ya, aku benar-benar ketakutan seakan mimpi aku menjadi kenyataan. Nasib baiklah aku sempat terjaga semalam, kalau tidak pasti pagi ini aku sudah menjadi arwah.

“Kau jangan ambil serius sangat. Tu hanya mimpi. Dahlah. Abaikan apa yang kau mimpi.” Nasihat Nor Afif sebelum pulang ke tempatnya kerana waktu sudah menunjukkan ke angka sembilan pagi.

Aku berbaring di atas katil sambil memandang siling. Mata aku sangat mengantuk ketika itu tetapi aku takut hendak tidur. Takut mimpi ngeri datang bertandang lagi. Sebolehnya aku terus bersengkang mata selagi mampu. Tidak sanggup rasanya hendak mengalami situasi ngeri berulang kali. Dalam berkira-kira hendak tidur ataupun tidak, tiba-tiba aku terdengar seakan-akan ada sesuatu yang sedang berlaku di bahagian bawah rumahku. Pantas aku bangun dari perbaringan dan terus mengatur langkah ke bawah. Hati aku rasa tidak sedap sama sekali. Menyesal pula aku tak tidur di rumah kedua orang tuaku pada malam ini. Sudahlah badanku terasa hendak demam sahaja lagaknya.

Sebaik sahaja kaki aku berada di tengah-tengah rumah, mulut aku sedikit ternganga. Apa dah jadi di dinding rumahku? Daun-daun gergasi tumbuh meliar seakan-akan hidup. Ia menjalar dari segenap dinding sehinga semua dinding dipenuhi oleh tumbuhan itu. Bukan setakat dinding, malah bumbung rumahku juga sudah dihuninya. Aku bagaikan berada di dalam hutan dan bukannya di dalam rumah sendiri. Aku menelan air liur yang bagaikan berbatu.

“Tidak! Tidak! Semuanya ini hanya mimpi. Tak mungkin realiti.” Aku menjerit lantang. Kebingitan suara aku itu membuatkan daun-daun gergasi yang sedang menjalar perlahan menjadi sedikit ganas apabila ia melilit tubuhku dan aku terikat di dinding rumah sendiri.

“Lepaskan! Lepaskan! Aku bukan mangsa kau!” Aku terus menjerit dan menjerit. Dapat aku rasakan seolah-olah daun-daun gergasi itu menjerut leher aku sehingga aku tidak boleh bernafas. Kaki aku menendang-nendang akar yang datang bersama daun-daun gergasi itu dan cuba melepaskan diri. Aku tidak boleh mengalah. Aku harus terlepas dari cengkaman mautnya. Aku terus menguatkan tenaga dan meronta-ronta. Daun-daun gergasi itu seakan marah dengan aku lalu mencampak aku ke bawah semula. Aku terbatuk-batuk sambil memegang leher aku yang sangat perit.

Saat aku membuka mata, molek sahaja aku berada di bilik tidurku. Aku tidak tahu bagaimana ia terjadi. Aku tidak tidur tetapi bagaimana pula aku boleh berada di dalam mimpi ngeri sekali lagi? Aku tidak mengerti dengan apa yang terjadi pada diriku. Aku menggeleng-geleng kepala lalu dengan perlahan aku membuka pintu bilik tidurku dan mengatur langkah ke bawah. Aku takut apa yang aku mimpikan akan menjadi kenyataan. Mata aku meliar ke sana sini dan aku menarik nafas lega apabila semua yang terjadi itu hanya di alam mimpi.

ALLAH! Bagaimana aku boleh terjebak sekali lagi di alam mimpi? Aku sendiri tidak mengerti. Walaupun aku terselamat tetapi leher aku masih sakit lalu aku ke tandas dan melihat leher sendiri. Sekali lagi mata aku terbeliak apabila sepanjang leher aku terdapat kesan lilitan daun-daun gergasi itu. Aku terduduk di atas jamban seketika mengenangkan apa yang dimimpi seolah menjadi kenyataan. Tubuh aku menggeletar sebelum aku kembali ke katil. Mata aku memang langsung tidak dapat pejam setelah mengalami mimpi ngeri sebentar tadi.

Mata aku sudah menjadi mata panda apabila tiba di pejabat. Langsung tidak dapat tidur semalaman sesudah terjaga pada pukul 3.30 pagi. Entah apa hendak jadi pada aku.

“Kau tak dapat tidur lagi ya semalam?” Nor Afif seakan perasan akan perubahan pada wajah aku. Aku kelihatan sedikit lesu.

“Ya. Aku tak dapat tidur lagi. Mimpi ngeri tu datang secara tiba-tiba. Dan sekali lagi ia adalah benar dan bukannya sekadar mimpi. Aku takut, Afif. Kau tengok leher aku.” Aku memandang wajah Nor Afif minta simpati sambil menunjukkan kesan lilitan daun-daun gergasi pada leher aku setelah aku menceritakan keadaan mimpi aku kepadanya.

“Aku pun hairan macam mana mimpi ngeri kau menjadi kenyatan. Tak pernah terjadi pada mana-mana manusia sebelum ini.” Nor Afif menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu sahabatnya itu.

“Hei, aku baru beli novel baru. Antologi Permainan Maut. Aku tengok cerita Pena ni pelik tau. Daun-daun gergasi boleh melingkari dinding-dinding rumahnya dan menjadi ganas. Daun-daun gergasi itu seolah-olah hidup.” Azmil memberi sedikit ringkasan cerita yang ada di dalam antologi Permainan Maut.

Aku tidak menunggu lama terus mengambil novel itu dari tangan Azmil dan membacanya sepintas lalu. “Hei, daun-daun gergasi inilah yang aku mimpi semalam. Ia seakan-akan benar.” Aku terus baca helaian demi helaian cerita di dalam Pena. Sebiji sebagaimana aku mimpikan.

Terlopong mulut Azmil dan Nor Afif mendengarnya.

“Hei, aku perasan setiap kali kau dapat mimpi pasti ia dari novel yang aku beli. Kau tak rasa pelik ke, Afif?” Azmil memandang Nor Afif.

“Aku baru nak cakap benda yang sama. Bagaimana mimpi kau sama sebagaimana yang tercatat dalam karya penulis-penulis seram Buku Prima?” Nor Afif juga tidak mendapat jawapannya.

Aku hanya mengangkat bahu. “Aku harap takkan ada lagi karya seram dari penulis-penulis Buku Prima. Ia benar-benar menghantui aku walaupun aku tak baca lagi. Aku sendiri pelik dengan apa yang aku alami.” Aku tersandar memikirkannya seketika. Aku sendiri tidak tahu bagaimana ia terjadi. Lainlah kalau aku membacanya sampai terbawa-bawa ke alam mimpi. Ini, aku sendiri tidak tahu akan kewujudan novel-novel dari penulis seramlicious ini.

Aku memakirkan kereta sesudah pintu pagar automatik rumah aku terbuka. Baru sahaja aku hendak melangkah masuk, aku terdengar satu suara terketar-ketar memanggil aku. Aku berpaling ke belakang dan melihat seorang atuk sedang berdiri di belakang aku. Terkejut aku melihat batang tubuh atuk itu. Bagaimana dia masuk ke dalam rumah aku sedangkan tadi aku tidak nampak pun bayangannya.

“Bagaimana atuk masuk ke dalam rumah saya?” tanya aku penuh sopan.

“Temankan atuk nak ...” atuk itu terus mengheret aku masuk ke dalam rumah sendiri lalu dia membaringkan aku di atas sofa dengan peralatan pembedahan di tangan.

“Atuk, jangan atuk. Saya tak sakit atuk.” Aku meronta-ronta ingin melepaskan diri dari pengangan atuk-atuk yang tidak tahu daripada mana munculnya.

“Tak sakit nak. Atuk nak menamatkan penderitaan anak. Jangan risau ya, nak.” Atuk itu terus membenamkan pisau pembedahan ke jantung aku.

“Atuk, saya tak menderita!” Aku menjerit lantang sebelum atuk itu membenamkan pisau pembedahan ke pinggang aku pula.

Mata aku terbeliak apabila jantung aku dikeluarkan dan diletak di atas meja. Begitu juga dengan buah pinggang aku. Yang hairannya, mata aku masih terbuka dan aku masih bernyawa ketika menyaksikan organ-organ dalaman aku dikeluarkan satu persatu.

“Atuk, hentikan!” Aku cuba merayu pada atuk-atuk itu tetapi rayuan aku tidak didengari mereka.

Dalam keredupan mata aku sebelum terpejam, aku dapat melihat seorang wanita jelita berada di samping atuk-atuk itu sedang tersengih memandang aku. Dia bagaikan seorang ratu tetapi aku tidak mampu mengeluarkan sebarang suara apabila mata aku semakin lama semakin redup dan akhirnya padam dengan sendiri.

“Azmil, kenapa Sofuan tak datang lagi? Aku dah telefon handphone dia tapi tak berangkat. Aku risaulah. Sofuan tak pernah lewat datang kerja walaupun dia tak tidur semalaman. Jom teman aku ke rumah dia.” Nor Afif benar-benar tidak sedap hati. Ini bukan perangai Sofuan. Jika dia tak datang kerja, pasti dia akan mesej Nor Afif untuk beritahu. Ini dia senyap sahaja.

“Kau rasa dia alami mimpi ngeri tu lagi ke?” tanya Azmil mula cuak.

“Aku tak tahu. Kita mesti pergi ke rumah dia. Jom.” Ajak Nor Afif sesudah memaklumkan kepada bos mereka.

Sebaik sahaja mereka tiba di rumah Sofuan, kedua sahabat itu saling berpandangan apabila melihat pintu utama rumah Sofuan ternganga luas Bertambah tidak sedap hati mereka berdua.

“Rumah dia dimasuki pencuri ke?” tanya Nor Afif tanpa tujuan.

“Manalah aku tahu. Aku bukannya ada di sini semalam,” bengang juga Azmil dengan sikap Nor Afif.

Beberapa kali mereka memanggil Sofuan tetapi tiada sahutan dari dalam membuatkan mereka memanjat pagar lelaki itu dan masuk ke dalam rumah. Alangkah terkejutnya mereka ketika kaki masing-masing berada di ruang tamu rumah Sofuan.

“ALLAH! Apa dah jadi ni?” Nor Afif menekup mulutnya. Manakala Azmil terus menghubungi pihak polis tanpa mahu menyentuh keadaan mangsa.

Bagaimana mereka tidak terkejut ketika memandang keadaan Sofuan yang dikeluarkan jantung dan buah pinggangnya diletakkan di atas meja. Biji matanya juga dikeluarkan dan terletak elok di atas meja. Di sisinya terdapat novel yang berjudul Atuk.

“Nampaknya apa saja yang dia mimpi semua terdapat di dalam novel walaupun dia tak membaca novel tu.” Azmil memandang Nor Afif.

“Maksud kau, cerita ngeri di dalam novel menjadi kenyataan padanya?” Nor Afif inginkan kepastian.

Azmil mengangguk. “Keadaan dia ni sebenarnya terdapat di dalam novel Atuk. Memang ngeri kematian atuk-atuk itu. Aku rasa dia telah menyeru Ratu Mimpi kerana dia langsung tak percaya pada mimpi.” Azmil mengesyaki sesuatu tentang mimpi ngeri Sofuan.

“Apa? Ratu mimpi? Dia menyeru Ratu Mimpi? Masaklah. Patutlah dia mengalami mimpi aneh yang lain dari orang lain. Astagfirullahalazim.” Nor Afif menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Jika Ratu Mimpi hadir maka mimpinya akan menjadi kenyataan dan dia tak mungkin dapat hidup kerana Ratu Mimpi bernafas dengan kematian mangsa di dalam mimpinya. Ratu Mimpi menjadi kuat dengan mangsa yang tidak percaya kewujudannya.” Terang Azmil lagi.

“Sofuan ... Sofuan ... kenapalah kau tegar memanggil ratu mimpi? Kau tak tahu apa natijahnya jika dia datang ke dalam mimpi kau. Kenapalah aku tak perasan semua ni? Kalau tak, pasti aku masih dapat selamatkan kau.” Nor Afif rasa menyesal kerana menyedarinya agak terlewat.

“Semuanya dah takdir. Ia bukan sekadar mimpi.” Azmil memandang tajam ke arah Nor Afif sebelum singgah pada mayat Sofuan yang cukup mengerikan.

T A M A T

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.