Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT: KEM REMAJA
KISAH SERAM MALAM JUMAAT: KEM REMAJA
Ebriza Aminnudin
13/10/2016 15:37:34
5,850
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“TAK nak! Tak nak! Tak nak! Ruddi tak nak ke kem remaja tu. Kenapa ayah dan mak nak hantar Ruddi ke sana? Ruddi tak sukalah pergi ke kem macam tu.” Nuruddin mengamuk sakan apabila ayahnya menyusul untuk dia ke kem remaja pada musim cuti sekolah selama dua minggu. Kem remaja itu akan mengajar Nuruddin membina siasah diri kerana sikap anak muda itu sudah melampaui batas. Sombong tidak bertempat. Mementingkan diri sendiri. Jadi, ayahnya memikirkan cara yang terbaik untuk memulihkan siasah diri anak remaja itu.

“Cubalah jangan ingkar cakap ayah kali ni. Selama ni apa saja yang Ruddi mahu, semua ayah turutkan. Takkan kali ni saja Ruddi tak nak tunaikan permintaan ayah? Kem remaja tu bagus untuk Ruddi membina siasah diri. Ayah tak nak Ruddi mementingkan diri sendiri dan sombong tak bertempat. Kekayaan yang kita miliki bukan milik kita selamanya. Ia hanya pinjaman sementara. Jadi, Ruddi tak perlulah terlalu berbangga dengan kekayaan ayah dan bukannya kekayaan Ruddi. Ayah tak kira, sama ada mahu atau tidak, suka atau tidak, Ruddi kena juga pergi ke kem remaja tu.” Encik Saifuddin tidak mahu mengalah dengan kedegilan satu-satunya anak lelaki mereka yang berusia 15 tahun itu. Baru setahun jagung sudah berlagak hebat sedangkan kekayaan yang mereka kecapi sekarang bukan miliknya. Tegang sahaja muka Encik Saifuddin memandang Nuruddin pada waktu itu.

Jika sebentar tadi wajah Nuruddin masam tetapi kali ini bertambah masam dengan keputusan tegas ayahnya. Dia tidak menyangka ayahnya begitu tegas kerana selama ini ayahnya terlalu memanjakan dirinya. Apa sahaja permintaannya pasti dituruti tetapi tidak kali ini. Dia sendiri tidak tahu apakah yang merasuki ayahnya sehingga begitu tegar ayahnya mahu menghantar dia ke kem remaja.

Kini pandangan Nuruddin beralih pula kepada Puan Hazura. Dia tahu kuasa seorang emak pasti tidak akan sampai hati untuk melihat hati anaknya merusuh. Dia mahu menggunakan rasa simpati itu untuk memancing reaksi Puan Hazura bagi memujuk Encik Saifuddin agar mengubah keputusan yang telah ditetapkan. Dia juga tahu, Encik Saifuddin tidak pernah menghampakan Puan Hazura. Jadi, dia menggunakan kelemahan Encik Saifuddin untuk membebaskan dirinya dari pergi ke kem remaja itu.

“Mak, Ruddi tak nak pergi ke kem remaja tu. Mak kan tahu, selama ni Ruddi mana pernah berjauhan dengan mak. Ruddi mana pernah buat kerja sendiri. Ruddi tak reti. Kalau Ruddi ke kem remaja tu, dah tentu semuanya Ruddi kena buat sendiri. Basuh baju, entah-entah masak pun sendiri. Ruddi mana pandai. Boleh tak mak pujuk ayah batalkan niatnya tu?” Nuruddin betul-betul menggunakan kuasa pembujukan ke atas Puan Hazura.

Puan Hazura berasa simpati pula dengan Nuruddin yang dipaksa untuk ke kem remaja itu. Dia memandang sekilas pada Encik Saifuddin tetapi lelaki itu buat-buat tidak nampak sambil meneguk kopi panas di tangannya serta menumpukan perhatian pada kaca televisyen. Jika begitu cara Encik Saifuddin, dia sudah tahu bahawa suaminya itu tidak mahu berbicara mahupun bertolak ansur dengan keputusan yang telah dibuat. Puan Hazura faham benar tingkah suaminya. Dia menarik nafas panjang-panjang sebelum menghela keluar. Kini bebola mata Puan Hazura kembali menatap semula pada Nuruddin.

“Ruddi, maafkan mak ya sayang. Mak tak rasa ayah Ruddi akan tukar keputusannya walaupun mak pujuk. Ayah Ruddi dah lama rancang untuk menghantar Ruddi ke kem remaja tu. Selalunya tak ada tempat kosong, sayang. Penuh saja. Itu bermakna kem remaja tu bagus. Bila ada kekosongan, ayah Ruddi cepat-cepat daftarkan nama Ruddi sebab dia tak nak ketinggalan untuk Ruddi menuntut ilmu di sana. Pergilah nak, ke kem tu. Bagus untuk Ruddi belajar berdikari. Sampai bila Ruddi nak harapkan kami lakukan kerja-kerja Ruddi? Sesekali Ruddi harus berdiri di atas kaki sendiri. Cubalah sekali ini jangan ingkar cakap ayah, ya sayang?” Penuh kelembutan Puan Hazura memujuk Nuruddin agar tidak membantah rancangan mereka untuk menghantar dirinya ke kem remaja yang sudah lama terpahat di minda.

Nuruddin tidak puas hati apabila pembujukkannya tidak menjadi, malah emaknya sendiri pula yang memujuknya untuk ke kem remaja itu. Dia sudah tiada cara lain lagi agar tidak ke kem remaja itu. Dia perlu lakukan sesuatu supaya mereka berdua mengubah keputusan yang sudah dibuat. Dia berharap mudah-mudahan dengan cara ini mereka akan membatalkan niat mencampakkan dirinya ke kem remaja itu. Siapa mahu berkampung di tengah-tengah hutan yang tidak ada internet mahupun televisyen. Malahan, telefon bimbit pun tidak dibenarkan guna. Itu syaratnya apabila berada di kem remaja itu. Atas sebab itulah Nuruddin tidak mahu dihantar ke sana. Dia tidak boleh hidup tanpa internet dan telefon bimbitnya. Malahan boleh menjadi gila. Dua minggu baginya sangat-sangat lama. Memang tak boleh tahan apabila dirinya sudah biasa disogok dengan kemewahan duniawi. Nuruddin tidak sanggup membayangkan semua kemudahan itu tiada di sisinya. Oh, tidak! Dia tidak mahu menjadi budak-budak zaman ortodoks. Dia mahukan kebebasan menggunakan kemudahan dan teknologi terkini. Beberapa kali Nuruddin meneguk air liurnya setiap kali memikirkan kem remaja yang serba kekurangan dari segala segi. Yang paling tidak seronok apabila bilik dan katil terpaksa dikongsi oleh ramai orang. Mana ada privasi untuk dirinya. Sudah pasti dia harus ikut jadual yang telah ditetapkan. Itu juga bermakna dia tidak boleh bangun lewat atau tidur lewat. Ah, bosannya hidup!

“Mak ni sama saja dengan ayah. Semua tak faham kehendak Ruddi. Bencilah. Benci sangat-sangat!” Nuruddin membentak lalu berlari naik ke atas dan menghempas pintu. Dia mengurung dirinya di dalam bilik dengan harapan agar emak dan ayahnya datang ke bilik dan memujuk dirinya. Yang paling dia hendak dengar adalah mereka membatalkan niat menghantar dirinya ke sana. Itu yang diharapkannya. Nuruddin yakin kali ini dia akan berjaya memujuk ayah dan emaknya.

Puan Hazura hanya memandang tingkah Nuruddin yang tampak sangat marah dengan keputusan mereka. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Makin lama Nuruddin makin degil. Dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi hendak membentuk keperibadian Nuruddin. Mungkin dia terlalu memanjakan Nuruddin. Maklumlah anak tunggal seorang. Dan itulah kesalahannya yang paling besar. Dia rasa menyesal kerana tidak pandai mendidik Nuruddin sehingga remaja itu menjadi sangat degil dan kurang ajar. Puan Hazura melirik ke arah suaminya semula. Bukan kehendak hati untuk memujuk tetapi dia hanya ingin berbincang.

“Anak kurang ajar. Tengoklah perangai dia tu. Langsung tak nak dengar cakap kita. Semua hanya nak ikut kepala dia saja. Dia ingat dengan cara tu abang akan batalkan niat abang? Jangan haraplah. Haz pun jangan bagi dia muka sangat. Dia dah terlalu manja dan terlalu degil. Selalunya kita ikut cakap dia, dia ingat kali ni pun kita akan ikut cakap dia. Sekali-sekala dia kena juga belajar berdikari. Takkan semuanya kita nak suap.” Encik Saifuddin membentak sebagaimana Nuruddin. Jika Nuruddin berdegil, dia lagi degil. Dia sudah bertekad walau apa pun yang berlaku dia tidak akan turuti kehendak anaknya itu. Sudah seringkali dia ikut cakap Nuruddin dan kali ini anak muda itu harus ikut cakapnya pula.

“Tapi bang, betul ke apa yang kita buat ni? Haz takut dia memberontak di sana pula dan menyusahkan semua orang. Macam mana kalau dia larikan diri dari kem remaja tu? Itu yang Haz bimbangkan. Sudahlah kem tu di tengah-tengah hutan. Ruddi tu mana pernah masuk hutan. Dia anak bandar.” Puan Hazura meluahkan rasa kebimbangannya. Dia takut Nuruddin tidak akan mampu bertahan selama dua minggu di kem remaja itu. Paling dia takut Nuruddin akan melarikan diri dari sana. Bagaimana kalau anaknya itu tersesat jalan? Bagaimana pula jika anaknya itu menjadi mangsa binatang buas di dalam hutan itu? Semuanya itu cukup membimbangkan sekeping hati seorang ibu.

“Insya-ALLAH apa yang kita buat ni betul, Haz. Kem remaja tu dikawal ketat dan abang tak rasa dia mampu melarikan diri dari sana. Haz jangan bimbang, walaupun di tengah-tengah hutan tapi tak ada binatang buas di sana. Sudah lama kem tu beroperasi dan keselamatan pesertanya terjamin. Selama ni abang tak pernah dengar sesuatu yang buruk berlaku di kem tu. Abang yakin, Ruddi akan berubah setelah pulang dari kem tu. Kita tak boleh terlalu manjakan dia. Dia kena bentuk sahsiah dirinya yang semakin menyimpang. Abang harap sangat Ruddi akan sedar tentang hakikat dirinya sendiri. Abang yakin semuanya akan berakhir di kem remaja tu.” Encik Saifuddin memujuk isterinya.

“Kalau begitu kata abang, Haz ikut saja. Haz pun berharap benda yang sama, bang.” Puan Hazura menguntum senyuman manis buat suaminya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“MAK, mak tak rindu Ruddi ke kalau Ruddi ke kem tu? Mak boleh ke hidup tanpa Ruddi? Ruddi sayang mak tau. Ruddi kalau boleh tak nak berjauhan dengan mak. Tak boleh ke mak pujuk ayah? Masih sempat lagi kalau nak batalkan pendaftaran Ruddi.” Nuruddin masih berusaha memujuk meraih simpati Puan Hazura walaupun ayahnya telah ke tempat pendaftaran untuk mengesahkan kehadiran Nuruddin di kem remaja itu.

“Mak akan sentiasa rindukan Ruddi. Ruddikan tahu macam mana mak sayangkan Ruddi. Tapi kali ni mak betul-betul tak dapat nak batalkan niat ayah Ruddi tu. Kem ni bagus untuk Ruddi. Ruddi kena juga belajar bergaul dengan mereka dari pelbagai golongan. Pergilah sayang. Tak lama pun, dua minggu saja.” Puan Hazura tidak endahkan cakap Nuruddin malah memujuk untuk menyertai kem remaja yang akan berlangsung pada bila-bila masa sebaik sahaja selepas tamat sesi pendaftaran.

“Kalau berlarutan sebulan macam mana mak? Mak sanggup tak jumpa Ruddi selama sebulan?” Nuruddin tidak puas hati dengan keputusan emaknya yang tidak langsung mahu bersimpati atau termakan dengan pujuk rayunya. Dia juga tidak tahu kenapa emaknya begitu degil untuk menuruti kehendak hatinya. Selalunya Puan Hazura tidak begini.

“Sekolahkan cuti selama sebulan? Jadi, takkan ada masalah buat Ruddi jika kem ni berlarutan selama sebulan. Mak akan tahan rasa rindu mak pada Ruddi sampai Ruddi pulang. Mak janji akan tunggu Ruddi. Mak sendiri akan jemput Ruddi sebaik saja sesi kem Ruddi tamat. Ya sayang?” Masih lembut bicara Puan Hazura walaupun ada nada tegas di dalamnya.

Nuruddin sudah putus asa untuk memujuk Puan Hazura lagi. Dia tahu walau apa pun dia cakap, Puan Hazura tidak akan menaruh simpati pada dirinya. Nuruddin mengeluh hampa. Nampaknya mahu atau tidak, suka atau tidak dia harus jalani sesi kem remaja ini sehingga bertemu ke waktu penamat. Dia amat berharap agar dia mampu bertahan selama dua minggu. Dia tidak tahu bagaimana perjalanan hidupnya di dalam kem ini. Mudah-mudahan dipermudahkan semuanya. Itulah doa Nuruddin di dalam hati.

“Ruddi, ayah dah selesai daftarkan nama Ruddi dalam kem ni. Pergilah jumpa komander Ruddi di sana. Ada taklimat akan diberikan kepada peserta kem. Nanti ayah dan mak akan jemput Rudi dua minggu lagi. Mudah-mudahan Ruddi dapat manfaat dengan segala pembelajaran di dalam kem ni nanti. Ayah amat berharap sangat agar Ruddi akan berubah. Belajarlah sesuatu yang tidak dapat di sekolah mahupun di rumah. Jangan degil sangat. Dengar cakap ketua Ruddi.” Encik Saifuddin menggosok-gosok kepala Nuruddin sebagai memberi semangat sebelum memeluk anak muda itu.

Nuruddin menarik muka ketika bersalaman dan berpelukkan dengan emak dan ayahnya. Dia memandang jauh ke kem remaja itu, entah apalah nasibnya ketika berada di sana. Mudah-mudahan dia dapat bergaul dengan mereka semua walaupun dia tidak suka bercampur dengan golongan bahawahan tetapi di kem remaja ini sudah pasti tidak mengira sama ada golongan atasan mahupun sebaliknya kerana mereka semua sama sahaja. Nuruddin memejam matanya seketika sebelum melangkah kaki ke sana. Hatinya dipukul ombak rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun, dia harus tempuhi juga walau apa pun berlaku.

“Selamat datang ke kem remaja 2016. Anda adalah remaja-remaja yang sangat bertuah kerana terpilih untuk menyertai kem remaja pada tahun ini. Bukan semua remaja yang mampu menyertai kem ini. Hanya mereka yang terpilih sahaja. Oleh itu, anda harus bersyukur kerana berada di sini pada hari ini.” Komander Muazzam memberi sedikit kata-kata aluan sebelum memasuki ke topik utama di dalam taklimat yang sedang berlangsung itu.

Yang terpilih saja? Jadi memang betullah kata mak dan ayah kem ni memang sentiasa penuh. Perlukah aku rasa bangga menghadiri kem ni atau sebaliknya? Mungkin aku boleh canang pada rakan-rakan sekolah nanti yang aku dah sertai kem ni berbanding mereka sama ada berpeluang atau tidak. Ha ha ha .... Terselit satu niat di dalam diri Nuruddin. Mahu juga rasa bangga selepas balik dari kem remaja itu nanti.

“Baiklah, mari kita lakukan sedikit sesi taaruf sebelum kita lakukan apa-apa aktiviti selepas ini. Nama saya Komander Muazzam yang akan menerajui kem remaja ini selama dua minggu. Inilah adalah barisan guru-guru yang akan bersama-sama saya dan kamu semua di dalam sesi kali ini,” lalu Komander Muazzam memperkenalkan barisan pendidik yang akan membimbing mereka sehingga ke akhir sesi.

“Kita akan ada banyak lagi aktiviti selepas ini. Saya tahu kamu semua baru sahaja sampai dan kami akan hantar kamu semua ke dorm masing-masing untuk berehat seketika menunaikan kewajipan kita pada Yang Maha Satu, kemudian kita akan turun makan dan terus ke dewan ini semula. Kita akan mulakan sesi yang sebenar. Kami akan memecahkan anda semua kepada beberapa kumpulan dan sesi memperkenalkan diri masing-masing akan dilakukan bersama-sama kumpulan. Kamu semua akan membentuk nama kumpulan, misi dan visi kumpulan serta akan lakukan apa-apa saja aktiviti bersama-sama kumpulan. Faham semua?” Komander Muazzam ingin mendengar balasan daripada mereka yang hadir ke kem remaja itu.

“Faham komander.” Laung mereka ramai-ramai.

Komander Muazzam mengukir senyuman kepuasan. Dia juga amat berharap agar mereka semua dapat mengikuti sesi latihan di dalam kem ini tanpa ada sebarang masalah. Selama dia mengendalikan kem remaja ini, tidak pernah ada lagi peserta yang membuat hal. Dia yakin, kali ini juga para pesertanya terdiri daripada mereka yang sangat bagus keperibadiannya.

Nuruddin yang duduk di bahagian tengah hanya mencebik melihat riak kepuasan yang terlukis di wajah Komander Muazzam. Di dalam hati terbetik satu niat untuk menghuru-harakan kem remaja itu sebagai menunjukkan tanda protes terhadap ibu bapanya. Sudah pasti apa yang akan dilakukannya menjadi lebih menarik. Mungkin dia boleh mencetuskan suasana huru-hara dengan menyamar sebagai hantu. Ha ha ha ... Nuruddin ketawa di dalam hati dengan niat yang dipasang. Sebenarnya dia hendak mengecewakan Encik Saifuddin yang telah mencampakkannya ke dalam kem ortodoks ini.

“Assalamualaikum. Awak ni nama apa? Saya Aqmal.”

Dalam keasyikkan memasang angan-angan, Nuruddin telah ditegur oleh seorang remaja yang duduk di sebelah kanannya. Remaja yang mengenalkan dirinya sebagai Aqmal telah menghulurkan tangan untuk berjabat sebagai tanda perkenalan.

Nuruddin serba-salah pada mulanya hendak menyambut huluran salam itu kerana dia ke sini bukan untuk bersahabat dengan siapa-siapa tetapi kalau dia tidak berjabat tangan dengan Aqmal, dia takut dia tidak mempunyai teman bicara langsung. Sekurangt-kurangnya Aqmal boleh membantu dirinya dalam melaksanakan suasana huru-hara. Nuruddin tersungging senyuman sinis.

“Nuruddin. Panggil Ruddi. Saya tak suka panggilan nama saya ditukar kepada panggilan nama lain.” Begitu sombongnya Nuruddin memperkenalkan dirinya.

Aqmal hanya mengangguk-angguk faham dan mereka saling berjabat tangan. Senyuman Aqmal tampak ikhlas tetapi bukan Nuruddin.

“Saya Sabbir. Panggil Sab.” Rakan yang duduk di sebelah kiri Nuruddin pula memperkenalkan dirinya.

Sekali lagi Nuruddin terpaksa menyambut huluran tangan itu. Dia akan belajar bersahabat dengan mereka yang tidak setaraf dengannya demi kepentingan dirinya selama berada di kem remaja ini. Sebaik sahaja keluar dari kem ini, dia akan melupakan mereka. Itu niatnya.

“Nuruddin. Panggil Ruddi.” Ringkas sahaja Nuruddin memperkenalkan dirinya dan Sabbir hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham sebagaimana Aqmal.

“Jom Ruddi, kita ke dorm. Kita pilih katil dekat-dekat ya? Baru seronok nak berbual.” Aqmal mengajak Nuruddin ke dormyang akan menjadi penginapan mereka selama dua minggu.

“Kalau Ruddi katil atas, Aqmal katil bawah, saya katil sebelah ya?” Sabbir tidak mahu ketinggalan.

“Hmm ...” hanya itu balasan daripada Nuruddin. Baginya mereka tidak layak langsung hendak tidur berdekatan dengannya tetapi apa boleh buat, di sini dia tiada pilihan. Dia terpaksa bertahan selama dua minggu. Dia berharap agar dua minggu itu akan cepat berakhir.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

NURUDDIN mengambil katil yang berdekatan dengan almari pakaian senang dia hendak memantau jika ada peserta yang ingin mendajalkannya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Aqmal dan Sabbir, mereka telah memilih katil di bawah dan di sebelahnya. Memandangkan katil itu dua tingkat, jadi Aqmal sekatil dengannya sedangkan Sabbir duduk di bahagian atas bertentangan wajah dengannya.

Nuruddin tidak membuang masa ketika sampai di dorm itu, terus dia memasukkan pakaiannya ke dalam almari dan mengemas dalam sekelip mata. Aqmal dan Sabbir juga melakukan perkara yang sama.

Sabbir memandang Nuruddin setelah pakaiannya sudah tersusun rapi di dalam almari. Nuruddin perasan dirinya diperhatikan lantas duduk bertentangan mata dengan Sabbir. Dia menumpang katil Aqmal. Manakala Sabbir pula menumpang di katil sebelah. Maklumlah katil mereka di bahagian atas, takkan hendak panjat naik semata-mata hendak berbual sedangkan Nuruddin hendak ke tandas untuk bersihkan dirinya sebelum turun ke sesi ceramah yang akan berlangsung.

“Ada apa hal kau tengok-tengok aku ni, Sab? Nak kata kau ada hutang dengan aku, kita baru saja kenal. Tak mungkinlahkan kau ada hutang dengan aku.” Nuruddin tersenyum sinis.

“Hesy kau ni. Bila masa pula aku hutang dengan kau. Aku nak beritahu kau sesuatu ni.” Mata Sabbir meliar sana-sini takut orang lain turut mendengarnya. Kalau boleh dia tak nak orang lain mendengar khabar yang ingin dia sampaikan pada Nuruddin.

“Hmm.. apa yang penting sangat kau nak beritahu aku ni? Cepat sikit. Aku tak ada masa nak layan kau. Aku nak mandi ni. Kejap lagi dah kena turun makan sebelum ke dewan semula.” Nuruddin berpeluk tubuh sambil menyangkut tuala mandi di bahunya.

“Aku dengar, kem remaja ni adalah kem remaja paling berhantu sekali. Kau tak takut ke duduk di dalam kem berhantu?” Sabbir memandang tepat ke arah Nuruddin.

Nuruddin mencebik seakan mempersendakan kata-kata Sabbir. Jauh di sudut hatinya, langsung tidak percaya akan kewujudan hantu. Zaman teknologi sekarang mana ada hantu lagi? Mungkin Sabbir terlalu percaya pada hantu-hantu di dalam filem-filem yang dia tengok sehingga terbawa-bawa ke alam nyata. Hantu itu semua bagi Nuruddin hanyalah khayalan semata-mata.

“Kenapa kau senyum-senyum ni? Aku cakap betullah. Kau tak percaya ke?” Sabbir seakan tidak puas hati melihat tingkah Nuruddin yang bersahaja.

“Kau ingat aku akan percaya dengan kata-kata kau ke, Sab? Sudahlah jangan takut-takutkan aku. Aku memang langsung tak percaya pada kewujudan hantu-hantu ni. Dalam filem adalah. Kalau zaman dulu mungkin aku percaya tapi bukan pada zaman sekarang. Tu aje ke yang kau nak beritahu aku?” Begitu bongkak sekali Nuruddin membalas kata-kata Sabbir sehingga terkedu remaja itu dibuatnya. Mulut Nuruddin terlalu lantang dalam melafaz ketidakpecayaan pada kewujudan makhluk halus.

“Jadi, kau memang tak percaya yang hantu tu wujud?” Sabbir menekan Nuruddin.

“Hantu tu tak wujud. Kalau betul wujud, aku nak tengok dia muncul di depan mata aku. Sudahlah jangan kolot sangat boleh tak? Asal datang saja ke kem tengah-tengah hutan macam ni cakaplah pasal hantu. Apalah.” Nuruddin terus-terusan menafikan akan kewujudan entiti atau makhluk halus ini. Susah benar hendak memecah tembok kepercayaannya yang mereka ini wujud.

Aqmal menepuk-nepuk bahu Nuruddin membuatkan anak muda itu sedikit terperanjat. Gelagat Nuruddin mengundang ketawa Aqmal dan juga Sabbir. Konon tak takut hantu, tapi bila dikejutkan sikit dah terperanjat mengalahkan perempuan.

“Hei, yang kau senyap-senyap datang belakang aku ni kenapa Aqmal? Sajalah tu nak bagi terkejut aku, konon-konon hantu yang buat ya?” Nuruddin tidak puas hati dengan gelagat sahabat barunya itu.

Aqmal terus sambung ketawa. “Kau kata tak takut hantu tapi kenapa kau terkejut macam nampak hantu?”

“Dah kau hantunya tentulah aku terkejut. Dalam aku tak sedia kau buat macam tu, mana aku tak terperanjat. Apalah kau ni.” Nuruddin menumbuk mesra bahu Aqmal.

“Hei, aku dengar kau memang tak percaya pada kewujudan hantu ya?” Aqmal pula mengambil giliran Sabbir menyoal Nuruddin.

“Ya, hantu memang tak wujud tapi kalau manusia jadi hantu, itu wujud macam kau buat kat aku tadi.” Sememangnya hati Nuruddin masih panas lagi dengan gurauan Aqmal sebentar tadi.

Aqmal ketawa geli hati dengan kemarahan yang dipamerkan oleh Nuruddin. “Penakut!” Aqmal mencebik.

“Hei, aku bukan penakutlah! Jangan gelarkan aku penakut!” Nuruddin menafikannya dengan rasa bongkak.

“Jadi, kau benar-benar yakinlah yang hantu tu tak wujud?” Aqmal memancing Nuruddin lagi. Dia ingin tahu pendirian remaja itu.

“Ya. Aku yakin seratus peratus yang hantu tu memang tak wujud.” Nuruddin tetap tegas dengan pendapatnya.

“Bagaimana kalau dia muncul di hadapan kau?” Sabbir mencelah.

“Silakan. Aku nak tengok juga macam mana rupa hantu tu. Adakah dia selawa Maya Karin atau seburuk-buruk makhluk TUHAN.” Kelancangan Nuruddin tidak dapat dibendung lagi dan terus-terusan menafikan akan kewujudan entiti yang tidak nampak dengan mata kasar kita.

“Kau jangan terlalu takbur sangat Ruddi. Karang dia muncul betul-betul di hadapan kau, baru kau lari tak cukup tanah. Benda-benda halus macam ni memang pantang dicabar maka akan muncullah dia.” Aqmal cuba meruntuhkan tembok keegoan Nuruddin.

Bertambah sinis cebikan yang dipamerkan oleh Nuruddin akan bicara yang terluah dari dua ulas bibir Aqmal.

“Sudahlah Aqmal, tak perlu kau meyakinkan aku yang hantu wujud. Rancangan-rancangan yang menyiasat akan kewujudan hantu tu semua pembohong. Saja aje mereka hendak pancing penonton agar menggemari rancangan mereka. Entah-entah yang kena rasuk tu, berlakon saja. Aku memang tak percayalah benda-benda macam ni semua. Bomoh-bomoh tu semua, kau orang ingat mereka telus ke dalam perubatan, tipulah. Semua nak cekau duit saja.” Nuruddin membentangkan pula hujah-hujahnya membuatkan Aqmal dan Sabbir terdiam seketika.

“Haa .. satu lagi, makhluk-makhluk halus ni takkan muncul dengan orang yang berani macam aku. Mereka hanya akan muncul pada orang yang lemah semangat dan penakut macam kau orang berdua ni. Sudahlah. Aku nak pergi mandi ni,” sambung Nuruddin menamatkan bicaranya. Dia tidak suka membincangkan tentang hal-hal yang tidak logik kerana dia berpaksikan pada sains dan teknologi, maka dengan itu baginya hantu-hantu ni semua memang tidak wujud. Manusia yang sengaja mengada-adakan cerita tentang kewujudan hantu hanya untuk menakut-nakutkan keadaan.

Aqmal memandang jauh ke hadapan. Begitu juga dengan Sabbir. Mata mereka bertentangan seakan berbicara sesama sendiri.

“Kau percaya pada kewujudan hantu?” mata Aqmal masih memandang jauh ke hadapan.

“Ya aku percaya pada pada kewujudan makhluk halus ni kerana dalam al-Quran sendiri menyatakan tentang kewujudan mereka dan juga jin.” Sabbir menjawab pertanyaan Aqmal.

“Ruddi harus kena sekali barulah dia akan percaya yang hantu tu wujud bukan hanya rekaan semata-mata. Tidak malam ni, esok atau lusa pasti dia akan kena juga. Dia terlalu takbur, ego dan sombong. Aku nak tengok juga bagaimana reaksi dia bila diri sudah terkena kelak.” Hiliran Aqmal pula tersenyum sinis.

“Ya. Kem ni sangat keras dan tak boleh cakap sembarangan. Kalau ada rezeki Ruddi, dia akan alami apa yang dia tidak percaya.” Sabbir mengangguk-anggukkan kepalanya sebelum menuju ke almari semula untuk mengambil tuala.

Nuruddin yang mengintai dua orang sahabatnya sedang berbicara masih tersenyum sinis.

“Suka hati kau oranglah nak percaya yang hantu tu wujud tapi aku tetap tak percaya.”

Nuruddim terus masuk ke dalam salah sebuah bilik mandi yang kosong.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

NURUDDIN sedang enak dibuai mimpi pada malam pertama dia berada di kem remaja. Walaupun katil yang disediakan tidak seempuk katil di rumahnya tetapi dia masih boleh lena kerana keletihan yang menyapa. Dengkuran halus Nuruddin kedengaran menghiasi suasana malam tetapi siapa pun tidak terganggu dengan dengkuran itu kerana masing-masing juga sangat letih.

Nuruddin tidak sedar diri sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal. Hendak berbual juga sudah tidak mampu apabila kelopak matanya terus sahaja terpejam. Dalam berbual ringkas dengan Sabbir, Nuruddin terus terlena. Mungkin dia tidak pernah menghadiri mana-mana kem seumpama ini membuatkan tubuh Nuruddin tidak dapat menampung pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Sedang enak lena, selimut Nuruddin ditarik perlahan-lahan sehingga terlurut dengan sendirinya. Nyamuk-nyamuk yang berkeliaran, apa lagi terus hinggap di betis Nuruddin dan menghirup darah anak muda itu sepuas-puasnya. Tidur Nuruddin terganggu dengan gigitan nyamuk yang semakin ganas.

Berdepuk. Berdepak. Nuruddin memukul nyamuk-nyamuk yang tidak diundang itu dan menggaru-garu kakinya. Dia bangun dalam keadaan mamai dan menarik selimutnya semula dan menyambung kembali tidur.

Baru beberapa minit sahaja, kain selimut Nuruddin terlurut semula membuatkan remaja itu menarik kembali selimutnya yang terlurut. Sebanyak mana Nuruddin menarik kembali selimutnya, begitu jugalah selimutnya akan terlurut kembali sehingga hati Nuruddin menjadi panas sepanas bahang. Dia sudah tidak boleh menahan lagi dengan gangguan seumpama itu. Lalu dia bangun dan duduk bersila di atas katilnya.

“Tak guna betul. Siapa yang main-main dengan aku ni? Kau orang ingat kelakar ke tarik-tarik selimut macam tu?” Suara garau Nuruddin memecah suasana hening di tengah-tengah malam.

Namun, tiada siapa pun di antara rakan-rakan dormnya yang sedar akan jeritan yang melantun dari rengkung Nuruddin. Nuruddin berasa pelik kerana mereka semua sedang lena tidak terusik. Nuruddin mengambil lampu suluh yang sentiasa ada dengannya lalu menyuluh di sekeliling. Semuanya sedang enak tidur dan tidak seorang pun yang bangun. Berkerut dahi Nuruddin dengan situasi itu.

“Kalau semuanya sedang tidur lena, siapa pula yang main tarik-tarik selimut aku? Adakah Sabbir atau Aqmal?” Nuruddin tidak puas hati lalu menyuluh di katil Sabbir, remaja itu sedang tidur tidak bergerak. Lampu suluh disuluh pula di bawah katilnya di mana terletaknya katil Aqmal. Dia juga sedang tidur lena. Jadi, siapakah yang main-main dengannya jika semua sedang tidur lena?

Nuruddin tidak mahu fikir lagi lalu dia kembali tidur. Mungkin mainan perasaannya sahaja. Nuruddin menyedapkan rasa hatinya yang bercelaru tadi. Dia kembali memejam matanya semula. Dia harus tidur kerana esok pagi-pagi dia kena bangun awal. Di sini amat berbeza dengan rumah kerana di sini tidak boleh bangun lewat.

“Perasaan aku saja. Tidurlah Ruddi.” Nuruddin kembali menarik selimutnya dan terus tidur.

Baru sahaja hendak terlena, kali ini selimut Nuruddin ditarik dengan kasar membuatkan remaja itu tersentak lalu terus bangun dan kembali duduk bersila. Kali ini hati Nuruddin benar-benar panas. Dia yakin rakan-rakannya yang sengaja ingin kenakannya kerana dia tidak percaya pada kewujudan hantu. Jadi, mereka ingat dengan cara ini, mereka dapat menakut-nakutkan Nuruddin tetapi mereka silap kerana Nuruddin bukan selemah yang disangka.

Meluap-luap api kemarahan yang datang bertandang di dalam hati Nuruddin, lalu dia menjerit sekuat-kuat hati. Dia tidak peduli jika terpaksa mengganggu lena orang lain. Mereka yang mulakan dahulu, jadi mereka harus menerima hamburan kemarahannya.

“Hoi! Sabbir! Aqmal! Kau orang ingat apa yang kau orang buat ni kelakar ke hah? Tak kelakar okey. Aku tetap tak takut. Tolonglah jangan takut-takutkan aku dengan cara kolot ni!” Nuruddin sudah tidak tahan lalu meledak amarahnya.

Terpisat-pisat semua yang ada di dalam dorm itu bangun termasuk Aqmal dan Sabbir. Sabbir menggosok-gosok matanya sambil memandang Nuruddin. Dia memberikan isyarat tubuh bertanya kenapa?

Sakit hati pula Nuruddin melihat dengan tingkah Sabbir yang buat-buat tidak tahu setelah dia buat cerita. Mencerlung Nuruddin memandang wajah polos Sabbir.

“Kau jangan buat-buat tak tahu pula Sab. Kau kan yang tarik selimut aku? Mengaku sajalah.” Nuruddin masih lagi marah dengan permainan yang diciptakan oleh Sabbir mahupun Aqmal.

“Apa yang kau merepek ni Ruddi? Bila masa pula aku main tarik-tarik selimut kau? Aku tengah tidur ni kan? Takkan kau buta tak nampak aku tengah buat apa? Dah tengah malam kot. Agak-agaklah esok nak bangun pagi kot.” Sabbir menafikan angkara dia yang mengenakan Nuruddin. Lalu dia kembali sambung tidur. Malas hendak layan kerenah Nuruddin yang berlagak tidak tentu tempat.

“Kalau bukan Sab yang buat mesti kau yang buatkan Aqmal?” Nuruddin terjun turun dari katil dan menuduh Aqmal pula yang melakukan angkara itu.

“Aku buat apa?” Aqmal yang masih mamai bertanya kepada Nuruddin.

“Tarik selimut aku. Dah banyak kali kot kau buat macam tu. Kau ingat aku takut ke dengan permainan yang kau ciptakan? Dah aku katakan yang aku tak takut pada hantu, kau reka permainan untuk aku percaya yang hantu wujud, kan?” marah benar Nuruddin dengan Aqmal.

“Kau tengah tuduh akulah ni yang tarik selimut kau?” Aqmal menggosok-gosok matanya. Masih cuba menghadam apa yang sedang diperkatakan oleh Nuruddin.

“Ya. Aku tahu kau saja buat macam tu supaya aku percaya yang hantu tu wujud.” Nuruddin mencekak pinggangnya sambil memandang tepat ke wajah Aqmal.

“Apa faedahnya aku buat macam tu? Kita sama-sama penat kot, Ruddi. Tak ada kerja aku nak bangun tengah-tengah malam tarik selimut kau. Aku tengah tidur kot ni. Entah-entah kau yang reka cerita untuk kenakan aku, kan? Sudahlah Rudi, pergi tidur. Esok nak bangun pagi.” Aqmal terus tarik selimut semula tanpa mempedulikan Nuruddin.

“Amboi, amboi. Sedapnya mereka tidur selepas kacau aku. Kau orang ingat aku akan percaya ke hah? Jangan harap. Aku akan buktikan yang kau orang punya angkara. Esok aku akan mengadu pada Komander Muazzam biar kau orang yang kena.” Nuruddin bertekad di dalam hati.

Lampu dorm ditutup semula dan Nuruddin kembali tidur. Dia sudah lelah hendak melayan kerenah mereka. Gara-gara dia seorang habis semua peserta kem remaja terjaga dari tidur. Nasib baiklah Komander Muazzam tidak datang menjengah. Kalau tidak, masak mereka didenda esok pagi. Nuruddin! Nuruddin!

Sedang enak dibuai mimpi, tiba-tiba tubuh Nuruddin ditolak dengan kasar sehingga jatuh dari katil atas sehingga katil bawah. Menjerit kesakitan Nuruddin diperlakukan sedemikian rupa. Sekali lagi amarahnya terjentik tetapi kali ini dia tidak boleh tahan dengan permainan kasar yang diciptakan mereka.

“Hoi! Apa main tolak-tolak aku ni? Ingat aku tak sakit ke tolak macam tu? Kalau kepala aku terkena bucu katil ni macam mana? Siapa yang nak bertanggungjawab?” Sekali lagi suara Nuruddin bergema di dalam dorm itu.

Terbeliak mata Nuruddin memandang sesuatu yang sedang menyeringai di hadapan wajahnya. Muka makhluk itu sangat hodoh dan berbulu bagaikan seekor haiwan. Giginya yang runcing tajam melelehkan air liur membuatkan Nuruddin terpana dalam kegelian.

“Si ... siapakah kau?” Tergagap-gagap Nuruddin cuba berbicara dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

“Kau tak percaya pada kewujudan aku kan? Sekarang aku muncul di hadapan kau. Apakah masih kau tak percaya? Aku pantang dicabar sebab itu aku datang pada kau.” Makhluk itu menyeringai lagi sebelum menarik kaki Nuruddin secara kasar dan dibawanya remaja itu ke tengah-tengah hutan.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Nuruddin terjerit-jerit tetapi peliknya tiada seorang pun di dalam dorm itu yang mendengar jeritan Nuruddin.

“Aku akan tunjukkan kau siapa sebenarnya aku supaya kau tidak celopar lagi. Aku sememangnya wujud. Orang yang bongkak macam kau saja yang tidak percaya pada kewujudan aku. Sekarang, kau takkan boleh lari dari cengkaman aku. Ha ha ha ....” Makhluk itu seakan mengejek Nuruddin yang sudah kepucatan.

Menyesal aku cabar dia. Mulut akulah ni yang macam longkang, kan dia dah muncul. Nuruddin mengutuk dirinya sendiri dengan keceloporan yang dia sendiri timbulkan. Sekarang dia akan menerima padah hasil dari mulutnya yang tiada insuran itu.

----------------------------------------------------------------------------------------

NURUDDIN bagaikan terpukau mengikut sahaja ke mana makhluk itu membawanya. Sebaik sahaja sampai di tengah-tengah hutan, tiba-tiba pegangan kakinya menjadi semakin longgar dan bebas dari cengkaman makhluk itu. Nuruddin segera bangun dan mengitari di sekelilingnya. Dia mencari makhluk yang membawanya ke tengah hutan tetapi makhluk itu sudah tiada. Dia sendiri tidak tahu ke mana makhluk itu pergi.

“Mana pula dia pergi ni? Takkan takut di tengah-tengah hutan? Pandainya, dahlah biarkan aku seorang-seorang kat sini dia terus lesap. Aku yakin makhluk tu bukan yang benar. Dia adalah ciptaan Sabbir dan Aqmal. Esok pagi aku akan buat perhitungan dengan mereka berdua. Suka hati betul memperdayakan aku. Hesy!” Nuruddin kembali berwajah cengil. Hati yang sakit semakin sakit mengenangkan kedua-dua orang sahabatnya itu.

“Baik aku pulang ke dorm semula. Aku tak nak ada yang menuduh aku merayap. Teruk karang aku didenda.” Nuruddin membuat keputusan untuk pulang semula ke dorm mereka tetapi telinganya menangkap sesuatu membuatkan kakinya terpasak di situ.

“Benarkah apa yang aku dengar ni?” Nuruddin seakan tidak percaya apa yang didengar. Dia terus memasang telinga.

“Hesy, siapa pula yang kawad tengah-tengah malam ni? Atau memang kami semua akan dikejutkan untuk berkawad? Aduh, ni yang aku tak suka datang kem macam ni. Masa nak tidurlah, mereka nak berkawad. Bingai betullah.” Nuruddin menghamburkan rasa tidak puas hati dengan aktiviti di tengah malam.

Walaupun demikian, Nuruddin masih tidak bergerak di mana dia sedang berdiri. Dia terus menanti akan kehadiran siapakah yang bakal ditemui. Dari kejauhan dia melihat sekumpulan orang sedang berkawad. Apa yang pelik di pandangan matanya ialah, mereka yang berkawad itu memakai pakaian lengkap askar Jepun. Berdegup jantung Nuruddin ketika mereka semakin menghampiri tempatnya. Siap ada parang dan juga senapang yang digalas bersama.

“Eh, dari mana pula datang askar Jepun ni? Takkan kami kena pakai pakaian Jepun untuk berkawad. Pelik sungguh. Atau mata aku yang menipu?” Nuruddin masih tidak bergerak. Dia mahu melihat dengan lebih dekat lagi akan sekumpulan askar Jepun itu.

“Tuan, ada orang di sana.” Kata salah seorang askar yang mengikuti latihan berkawad itu sambil menunjuk tepat ke arah Nuruddin.

“Alamak, mereka nampak aku ke? Macam mana ni? Nak lari dah tak boleh. Aku tunggu dulu. Apa-apa jadi baru aku cabut.” Nuruddin bertekad di dalam hati.

Ketua askar itu betul-betul berdiri di hadapan Nuruddin. Nuruddin berusaha menahan pernafasannya. Macamlah askar Jepun itu tidak melihat dirinya. Askar Jepun itu membelek dari atas sehinggalah ke bawah batang tubuh Nuruddin. Sudah pasti dia berasa hairan kerana pakaian Nuruddin itu sungguh luar biasa daripada mereka.

“Kamu daripada mana? Kenapa pakaian kamu sangat berbeza daripada kami semua?” ketua askar Jepun itu menepuk-nepuk bahu Nuruddin dengan senapangnya.

Okey, kali ni aku betul-betul takut. Mereka benar-benar nampak aku. Aku tidak berilusi atau berhalusinasi. Nuruddin mula berpeluh dan berperang dengan dirinya sendiri. Melihat senapang yang digalas mereka sahaja sudah mampu buat Nuruddin kecut perut. Hendak bernafas pun amat sukar baginya di kala itu.

“Saya dari sini. Saya adalah peserta kem remaja.” Nuruddin menjawab dengan jujur dan telus. Mudah-mudahan dia akan selamat daripada cengkaman mereka.

“Kem? Kem remaja? Apa itu kem?” tanya askar Jepun itu dalam loghat Jepun yang sangat pekat. Mereka tahu berbahasa Melayu sedikit-sedikit dan masih difahami oleh Nuruddin.

Alamak, mereka benar-benar askar Jepunlah. Daripada mana mereka ni semua datang? Siang tadi aku tak nampak pun mana-mana askar Jepun. Permainan apa pula Komander Muazzam lakukan? Nuruddin masih berbual dengan dirinya sendiri.

“Kem membina semangat pelajar-pelajar di sini untuk berjaya di dalam hidup.” Nuruddin masih berusaha menerangkan tentang kem remaja yang dihadirinya.

“Di sini tidak boleh merayau. Ikut aku.” Askar Jepun itu seakan tidak mahu melepaskan Nuruddin dan memaksa dia untuk mengikuti mereka.

“Tak mau! Aku takkan ikut kau orang. Aku nak balik.” Nuruddin bertindak melulu lalu melarikan diri dari terus menjadi tawanan askar Jepun yang entah dari mana datangnya mereka.

“Hei, jangan lari. Jangan ingkar dengan arahan aku. Berhenti!” Laung askar Jepun itu tetapi Nuruddin tetap dengan keputusannya untuk melarikan diri. Mereka tidak tahu betapa degilnya Nuruddin di kala itu.

“Kalau kamu lari aku tembak.” Askar Jepun itu mengugut Nuruddin tetapi tidak diendahkan oleh remaja itu.

Lalu askar Jepun itu menembak di kaki Nuruddin agar berhenti berlari. Mereka benar-benar kotakan apa yang mereka lafaz. Mereka tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa jua yang degil. Apa yang mereka atur hendaklah dituruti sama ada suka ataupun tidak.

“Aduh!” Nuruddin memandang pada betis kakinya yang sudah mula mengalir darah pekat. Hendak bangun pun amat sukar baginya.

“Tak guna punya askar Jepun. Boleh dia tembak aku. Aku akan melawan. Ingat aku ni apa, suka hati saja suruh aku ikut mereka?” Nuruddin merungut sambil memegang kakinya yang ditembak.

“Lain kali jangan degil. Aku suruh kamu ikut aku, kamu kena turuti. Aku tidak suka pada orang yang degil. Faham?” Tubuh Nuruddin ditujahnya dengan senapang.

Askar Jepun itu berbicara dengan rakan-rakannya di dalam bahasa Jepun yang tidak difahami oleh Nuruddin sambil memandang ke arah dirinya. Mereka mengangguk-angguk faham dengan kehendak ketua mereka itu.

“Degil. Pancung! Faham?” itu sahaja yang difahami oleh Nuruddin.

Menelan liur Nuruddin mendengar perkataan-perkataan itu termasuk perkataan ‘pancung’. Berdebar-debar hati Nuruddin saat memandang mereka yang berwajah cengil. Adakah dia akan dipancung? Tapi atas alasan apa dia harus menjalani hukuman itu? Dia tidak bersalah. Dia hanya tidak mahu ikut mereka.

“Kerana kedegilan kamu, ketua kami telah menjatuhkan hukuman pancung ke atas kamu. Ikut kami.” Kata salah seorang askar yang mengiringi ketua askar Jepun itu.

“Tak mau! Tak mau! Aku tak salah apa-apa. Jangan pancung aku. Tolong!” Nuruddin menjerit-jerit di tengah-tengah pekatan malam membuatkat telinga askar-askar Jepun itu bingit dengan jeritan Nuruddin.

“Diam! Diam! Jika kamu tidak mahu cedera sebelum hukuman pancung dijalankan ke atas kamu.” Pengikut askar Jepun itu mengugut Nuruddin.

“Lepaskan aku! Aku nak balik. Aku bukan mangsa kau orang!” Bertambah kuat Nurudin menjerit.

“Kamu ini memang terlalu degil. Lagi disuruh diam, lagi kamu menjerit ya. Kamu akan menerima hukuman sebelum kepala kamu dipancung.” Pengikut askar Jepun itu hendak menujah kepala Nuruddin dengan senapang yang dipegangnya.

“Arghhh!!!” Nuruddin menutup matanya sebelum senapang askar Jepun itu singgah di kepalanya.

Tiba-tiba sahaja Nuruddin terasa tubuhnya ditarik ke belakang dan dia mendengar jeritan kesakitan daripada askar-askar Jepun itu. Nuruddin cuba membuka matanya sedikit untuk melihat apakah yang sedang berlaku. Dia berasa hairan apabila melihat dirinya berada di tengah-tengah padang berhampiran dengan dormmereka. Segera Nuruddin mengalih pandangannya ke belakang untuk melihat siapakah yang mengheretnya dari tengah-tengah hutan itu. Apabila mata mereka bertentangan, Nuruddin menarik nafas lega kerana wajah yang menyapa matanya adalah seraut wajah yang amat dikenalinya.

“Komander Muazzam. Terima kasihlah kerana menyelamatkan saya dari askar-askar Jepun tu. Kalau komander tak datang tadi, saya sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada saya.” Nuruddin mula bangun. Elok sahaja dia bangun tanpa sebarang kesakitan.

Nuruddin baru perasan sesuatu lalu dia membelek betis kakinya yang ditembak sebentar tadi oleh askar Jepun. Apa yang menghairankan, dia langsung tidak melihat kesan ditembak. Puas dia membelek tetapi kesan tembakan itu memang tidak ada.

Pelik. Mana kesan tembakan tu? Asyik benar Nuruddin membelek kakinya sehingga terlupa bahawa Komander Muazzam masih berada di hadapannya.

“Apa yang kamu belek tu?” teguran daripada Komander Muazzam mengecutkan Nuruddin yang masih mencari kesan tembakan di kakinya.

“Saya cari kesan tembakan di kaki saya. Pelik betul sebab tiada sebarang kesan tembakan tadi. Tak ada juga sebarang kecederaan. Saya macam bermimpi saja.” Nuruddin membelek kakinya untuk kesekian kali sebelum memberi tumpuan penuh pada Komander Muazzam.

“Kenapa kamu keluar tengah-tengah malam dan pergi kat tengah hutan tu? Kamu kan tahu bahawa tiada seorang pun peserta kem ini yang dibenarkan merayau pada waktu malam. Bahaya.” Tajam pandangan Komander Muazzam memanah wajah Nuruddin.

Sekali lagi Nuruddin menelan liurnya. Haruskah dia berterus-terang dengan apa yang berlaku? Jika tidak berterus-terang dia pasti Komander Muazzam akan terus-terusan menyalahkan dirinya.

“Sebenarnya saya tak merayau komander.” Nuruddin cuba bersuara untuk mempertahankan dirinya.

“Kalau kamu tak merayau, jadi apa yang kamu buat di tengah-tengah hutan tu?” Masih tajam pandangan Komander Muazzam kepada Nuruddin.

“Saya telah diheret keluar dari dorm oleh makhluk berbulu. Dia tinggalkan saya di tengah-tengah hutan tu sebelum menghilang diri. Kemudian, saya dengar orang kawad dan ketika itulah askar-askar Jepun itu datang pada saya.” Jelas Nuruddin dalam takut-takut.

Komander Muazzam tidak lagi memandang tajam malah dia menghamburkan ketawa pula. Pelik sungguh Nuruddin melihat tingkah Komander Muazzam itu.

“Mana ada makhluk berbulu di sini atau askar-askar Jepun? Kamu mesti mengigau. Sudah, lain kali jangan merayau lagi kerana kamu tidak tahu apa yang ada di luar sana.” Pesan Komander Muazzam.

Berkerut dahi Nuruddin memandang Komander Muazzam. “Memang komander tak nampak ya askar-askar Jepun tu?” Nuruddin inginkan kepastian.

“Kenapa mereka nak bunuh saya sedangkan saya tak buat salah? Saya cuma nak balik ke dorm saya semula. Apakah tu menjadi kesalahan bagi mereka?” Nuruddin bersuara lagi memandangkan Komander Muazzam masih menguncikan suaranya.

“Pergi balik ke dorm kamu. Lain kali jangan merayap keluar dari dorm pada waktu-waktu macam ni kerana apa yang kamu lihat tidak semestinya benar. Faham?” Komander Muazzam senyum sinis memandang kepada Nuruddin tanpa mahu menjawab pertanyaan anak muda itu.

Nuruddin semakin keliru dengan kesamaran jawapan yang diberi tetapi dia tidak mahu beratkan kepalanya lalu dia berjalan masuk ke dorm semula.

-----------------------------------------------------------------------------------------

“SABBIR! Sini kejap. Ada benda aku nak tanya kau ni.” Nuruddin memanggil Sabbir sebelum remaja lelaki itu bergerak ke tandas untuk mandi.

Sabbir terus menghampiri Nuruddin. Tidak jadi hendak melangkah ke tandas. Sabbir duduk di hadapan Nuruddin sambil berdiri sedangkan Nuruddin duduk di tempat Aqmal.

“Ada apa kau panggil aku ni?” tanya Sabbir sambil mengangkat keningnya.

“Aku nak tanya kau sesuatu ni tapi kau kena jawab dengan jujur.” Serius wajah Nuruddin ketika memandang ke arah Sabbir.

“Okey. Apa yang kau nak tanya tu? Serius benar.” Sabbir tersenyum-senyum memandang Nuruddin.

“Aku tak main-mainlah.” Bengang pula Nuruddin apabila Sabbir seakan mempersendakan dirinya.

“Siapa cakap kau main-main? Aku pun tak kata apa pun.” Sabbir juga mempertahankan dirinya.

“Habis, yang kau tersengih-sengih tu kenapa?” tanya Nuruddin.

“Tak adalah. Gaya kau tu serius sangat. Kelakar pula aku tengok. Hah, apa yang kau nak tanya aku? Cepat sikit, aku nak mandi ni. Kita kena turun ke dewan lepas sarapan. Aku tak nak terlewat,” ujar Sabbir.

“Apa yang kau kata semalam tu betul ke?” Wajah Nuruddin sangat tegang pada waktu itu.

“Maksud kau apa?” tanya Sabbir kembali.

“Betul ke kem remaja ni berhantu?” Nuruddin tidak mahu bermain tarik tali lagi lalu dia berterus-terang bertanya tentang keadaan kem itu kepada Sabbir.

“Adakah kau percaya pada hantu?” tanya Sabbir kembali tidak mahu menjawab pertanyaan Nuruddin.

Nuruddin menarik nafasnya dengan agak panjang sebelum menghelanya kasar. Dia sendiri tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak tetapi apa yang berlaku semalam membuatkan kepercayaannya pada kewujudan entiti atau makhluk halus goyah.

“Ruddi, kau percaya tak pada hantu?” sekali lagi Sabbir bertanya setelah lama Nuruddin mendiamkan diri.

“Sememangnya aku tak percaya pada hantu tapi apa yang aku alami semalam buat aku hampir-hampir percaya. Aku sendiri tak pasti dengan kepercayaan aku sama ada hendak percaya ataupun tidak.” Nuruddin memandang tepat ke wajah Sabbir.

“Apa yang kau alami semalam?” Sabbir berminat ingin tahu. Sudah pasti apa yang terjadi pada Nuruddin sesuatu yang menarik. Jika tidak, remaja lelaki itu takkan mudah hendak percaya pada kewujudan hantu atau makhluk halus. Sukar benar hendak memecah tembok kepercayaannya.

“Aku tak tahu sama ada kau percaya atau tidak. Semalam aku ditarik oleh makhluk berbulu tapi bukan kau kan yang rancang kehadiran makhluk berbulu tu?” Pandangan Nuruddin memanah tepat ke wajah Sabbir.

“Maaf. Aku tak pernah dengar pula makhluk berbulu ada di sini. Pertama kali aku dengar. Yang pasti bukan aku perancang kehadiran makhluk berbulu tu. Aku ada juga dengar cerita yang makhluk berbulu tu akan muncul pada orang yang tidak percaya pada kewujudan mereka. Tak sangka cerita yang aku dengar bukan omongan kosong.” Sabbir membuka suatu cerita baru bisa menambat hati Nuruddin yang mendengarnya.

“Apa? Makhluk berbulu tu akan muncul pada orang yang tak percaya pada hantu?” Nuruddin inginkan kepastian.

Pantas Sabbir mengangguk. “Aku dah lama nak tengok makhluk berbulu tu tapi tak pernah ada peluang.” Sabbir tergelak-gelak ketika meluahkan keinginannya.

“Tak payah tengoklah bukan cantik pun. Satu lagi peristiwa yang aku alami. Masa makhluk berbulu tu heret aku ke tengah hutan, aku jumpa pula askar zaman Jepun dulu. Kau tahu tak, kepala aku hampir terpenggal. Nasib baiklah Komander Muazzam selamatkan aku. Kalau tak, pasti aku dah jadi arwah sekarang ni.” Cerita Nuruddin dengan bersungguh-sungguh.

“Tu sebabnya aku tanya kau betulkah kem ni benar-benar berhantu?” sambung Nuruddin apabila dia melihat wajah Sabbir berkerut seribu.

“Apa kau kata tadi? Komander Muazzam selamatkan kau?” tanya Sabbir kembali.

“Haah. Takkan kau dah lupa pada Komander Muazzam? Baru semalam kot dia beri taklimat pada kita?” Kali ini Nuruddin pula kehairanan dengan tingkah Sabbir itu.

“Kau biar betul? Macam mana pula Komander Muazzam boleh selamatkan kau sedangkan dia dah tak ada?” Sabbir memanah pandangan ke wajah Nuruddin.

Terbeliak mata Nuruddin mendengar kenyataan Sabbir. Sunguh terperanjat dibuatnya dengan sesuatu yang tidak diduga.

“Apa kau kata? Komander Muazzam tak ada? Dia pergi mana?” Nuruddin inginkan pencerahan daripada Sabbir.

“Kau tak tahu ke atau kau tak dengar pengumuman? Komander Muazzam kan dah meninggal dunia semalam selepas kita balik ke dorm akibat serangan jantung? Jadi, macam mana pula dia boleh selamatkan kau? Atau roh dia yang selamatkan kau semalam?” Serius Sabbir mengkhabarkan berita yang tidak disangka-sangka.

Terlopong mulut Nuruddin cuba menghadamkan cerita yang dibawa oleh Sabbir. Kalau benar Komander Muazzam sudah meninggal dunia, jadi siapa pula yang dia temui semalam? Adakah benar roh Komander Muazzam yang menyelamatkan dirinya. Patutlah Komander Muazzam kata padanya jangan percaya apa yang dilihat kerana yang dilihat itu tidak semestinya betul. Kenapa dia tak mendengar pengumuman yang dibuat tentang kematian Komander Muazzam? Minda Nuruddin benar-benar bercelaru kini.

“Kau tak tipu aku kan?” Sekali lagi Nuruddin mendapatkan kepastian daripada Sabbir. Sabbir menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Hei, Ruddi. Kau tak mandi lagi?” Aqmal yang baru pulang dari tandas terus menegur Nuruddin.

“Belum. Aku nak mandilah ni.” Nuruddin mula menggalas tualanya walaupun mata masih melihat pada Aqmal yang sedang menyidai tualanya di tepi katil.

“Kau cakap dengan siapa tu? Dari semalam aku tengok kau bercakap dengan seseorang.” Aqmal sudah tidak tahan lagi dengan gelagat Nuruddin lalu bertanya kepada tuan tubuh setelah mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.

“Lah, takkan kau tak nampak Sabbir kot? Dia kan ada dengan kita dalam dewan semalam? Dia kan tinggal atas katil atas bertentangan dengan aku?” Nuruddin semakin pelik dengan kejadian-kejadian yang menimpa dirinya di kem remaja itu.

“Sabbir? Kau jumpa dengan Sabbir?” Aqmal inginkan kepastian.

“Yalah. Kau pun ada cakap dengan Sabbir semalam, kan? Aku nampak kau berbual-bual dengan Sabbir.” Ni apa hal pula tiba-tiba tak nampak Sabbir? Gumam Nuruddin di dalam hati.

“Ruddi, aku rasa kau telah dipermainkan. Sabbir yang kau jumpa tu tak wujud. Sabbir dah lama meninggal dunia. Sabbir adalah peserta kem tahun lepas yang lemas di kolam ikan belakang dorm kita ni.” Terang Aqmal membuatkan mata Nuruddin terbeliak.

Kalau Sabbir dah meningal, dengan siapa pula yang selalu dia berbual? Mustahil dalam waktu yang singkat dia mengalami pelbagai perkara mistik. Dia sudah tidak dapat menerima lagi dengan permainan kem itu.

“Kalau Sabbir dah meninggal, kat depan kita ni siapa?” Nuruddin menghala bebola matanya menghadap Sabbir tetapi wajah Sabbir sudah tiada diganti dengan wajah yang tidak dikenalinya.

“Dari semalam aku yang layan kau. Tapi kau tak habis-habis panggil aku Sabbir sedangkan nama aku Iemran Iesmail. Dari semalam aku cuba beritahu kau tapi kau masih panggil aku Sabbir. Aku yang duduk bertentangan dengan kau bukannya Sabbir.” Iemran Iesmail barulah ada peluang berterus-terang dengan Nuruddin tentang namanya.

Beberapa kali Nuruddin meraup wajahnya. Dia juga melihat beberapa peserta kem memandang dirinya dengan pandangan pelik setiap kali lalu di hadapannya. Nuruddin tidak ambil peduli. Malas dia hendak layan mereka yang tidak dikenalinya. Bukannya rapat pun.

Apabila dia menoleh kembali ke arah Iemran Iesmail, dia terlihat wajah Sabbir yang sudah mempamerkan wajah sebenar-benarnya. Pucat tidak berdarah bagaikan sudah lama berada di dalam dasar kolam. Sabbir tersengih memandang ke arahnya. Nuruddin mengemam bibir berlagak berani berhadapan dengan Sabbir.

“Kenapa kau muncul di hadapan aku? Apa yang kau cuba buktikan?” tanya Nuruddin dengan lagak berani walaupun pada hakikatnya dia sudah kecut perut dengan tayangan perdana di hadapan matanya.

“Aku takkan muncul andai kau percaya pada kewujudan kami. Itu yang cuba aku buktikan pada kau.” Sabbir seakan ingin menghampiri Nuruddin tetapi dengan pantas Nuruddin menarik tangan Aqmal untuk berlari dari situ.

Nuruddin merempuh sesiapa sahaja yang berhampiran dengannya. Dia tidak mahu diganggu oleh roh Sabbir lagi. Ngeri melihat wajah pucat tidak berdarah itu.

“Hei, hei ... Nuruddin.” Panggil salah seorang peserta yang berhampiran dengannya. Dia juga salah seorang ahli di dalam kumpulan Nuruddin.

“Hah, ada apa Adam Haiqal? Aku tak boleh duduk dalam dorm ni lama-lama. Macam-macam perkara mistik aku alami.” Nuruddin ingin segera keluar dari terus berada di dalam dormitu.

“Kau lari dengan siapa tu?” Adam Haiqal bertanya serius pada Nuruddin yang masih memegang tangan seseoarang.

“Aqmal. Takkan kau tak nampak rakan sekumpulan kita kot?” Nuruddin terasa bengang dengan teguran Adam Haiqal macam dia berlari dengan hantu sahaja.

“Mana ada nama Aqmal dalam kumpulan kita. Dari semalam aku pandang kau ni pelik Ruddi. Suka benar kau panggil Sabbir dan Aqmal. Aqmal peserta batchyang lalu sebelum kita dah lama meninggal dunia akibat dibuli dengan budak-budak nakal. Batch sebelum kita ni memang semuanya jahat dan susah Komander Muazzam nak handle.” Jelas Adam Haiqal membuatkan Nuruddin menoleh ke arah Aqmal.

Ya, memang benar wajah Aqmal hancur sebelah akibat dipukul dan dicucuh dengan bara api. Segera Nuruddin melepaskan genggamannya dari terus melekat ke tangan Aqmal. Beberapa kali dia menelan liur yang menerjah ke rengkungnya.

“Kau pun? Kenapa kau orang permainkan aku macam ni?” Nuruddin sudah tidak boleh menerima dengan apa yang dilihatnya.

“Ini kerana kau terlalu takbur dan sombong. Kau kata kau tak takut dengan kami sebab itulah kami muncul dan berdampingan dengan kau supaya kau sedar yang kami juga wujud.” Aqmal tersengih memandang Nuruddin.

Nuruddin berkali-kali meraup wajahnya. Dia tidak menyangka bahawa dia telah dipermainkan dengan sebegitu teruk dengan roh tidak tenteram yang menetap di kem ini.

“Sudahlah Ruddi, jom kita ke dewan. Kita dah lewat ni.” Adam Haiqal mengajak Nuruddin untuk menjalankan aktiviti kem pada hari itu.

“Betul ke Komander Muazzam meninggal semalam?” Nuruddin inginkan kepastian.

“Ya. Meninggal akibat serangan jantung. Semua tahu kenapa kau saja yang tak tahu?” tanya Adam Haiqal membuatkan Nuruddin menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak percaya dengan apa yang dilihat kerana ia tidak benar-benar wujud. Nuruddin bagaikan lembu dicucuk hidung hanya mengikut langkah Adam Haiqal.

-------------------------------------------------------------------------------------

NURUDDIN bungkam. Dalam dua hari sahaja berada di kem remaja itu dia mengalami pelabagai perkara mistik yang dia sendiri tidak menduga. Selama dia hidup, dia sering mempersendakan kewujudan makhluk halus. Dia sering berkata bahawa makhluk halus itu hanya wujud dalam ilusi sahabat-sahabatnya tetapi apa yang menimpa dirinya di dalam kem itu membuatkan dia sukar hendak percaya. Entiti itu wujud terang-terangan di hadapannya dalam keadaan yang cukup sempurna sekali sebelum menonjolkan diri mereka dalam keadaan yang lain.

Nuruddin termenung jauh. Dia tidak tahu hendak percaya pada siapa lagi. Kadang-kadang yang dianggap kawan bukan kawannya yang sebenar. Kenapa hanya dia sahaja yang nampak mereka dari mula lagi sedangkan rakan-rakan yang lain tidak nampak apa yang dia nampak. Susah untuknya menilik yang mana satu benar dan yang mana satu tidak. Nuruddin melepaskan satu dengusan kasar. Sesekali dia menelan liur. Rengkungnya agak kering. Lalu dia mencapai sebotol air mineral dan meneguk rakus bagi membasah tekaknya.

“Jauh kau termenung? Fikirkan apa?” Adam Haiqal yang kini mengambil tempat Aqmal duduk di sebelahnya pada malam itu. Mereka baru sahaja selesai menjalani aktiviti secara berkumpulan di dalam dewan sebentar tadi dan kini tibalah masanya untuk mereka berehat pula.

“Hmm?” Nuruddin hanya memandang sekilas pada Adam Haiqal sebelum menghala bebola matanya ke lantai semula.

“Kau masih ingat kejadian tadi?” Tebak Adam Haiqal. Dia melihat Nuruddin tidak seperti mula-mula hadir di sini. Remaja itu seolah-olah hilang pegangan diri dan keegoannya terhakis sedikit demi sedikit. Dia tidak lagi berlagak mahupun meninggikan diri.

Perlahan-lahan Nuruddin mengangguk kepalanya. Apa lagi yang perlu dikatakan kerana sememangnya dia masih teringat kejadian sebentar tadi. Semua yang dianggap kawan adalah entiti yang berniat mengganggu dirinya hanya kerana dia tidak percayakan kewujudan mereka.

“Aku dah tak tahu hendak percaya pada siapa sekarang. Takut aku nak tegur orang sembarangan. Takut terkena lagi. Mereka boleh muncul di hadapan kita pada bila-bila masa sahaja tanpa kita tahu bahawa mereka bukan manusia biasa.” Luah Nuruddin dari hati ke hati.

Adam Haiqal menepuk-nepuk bahu Nuruddin untuk memberikannya semangat. Dia tahu hati Nuruddin agak rusuh sekarang ini. Dia perlu menjadi penyejuk kepada hati Nuruddin agar remaja itu bertenang dalam menghadapi situasi baru yang diciptakannya untuknya.

“Buka mata hati kau, aku yakin pasti kau dapat melihat yang mana satu benar dan yang mana satu palsu.” Adam Haiqal memberi nasihat kepada Nuruddin.

Nuruddin hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mindanya terlalu berat untuk memikirkan situasi-situasi yang tidak dijangka. Dia sangat penat dan letih. Pandangannya dihala ke arah Adam Haiqal dengan segaris senyuman tawar.

“Aku tidurlah ya Adam. Aku tak tahu kenapa aku penat sangat hari ni.” Nuruddin meminta diri dan Adam Haiqal hanya mengangguk kepala. Terus Nuruddin memanjat naik atas katilnya. Dalam beberapa saat sahaja kedengaranlah dengkuran Nuruddin. Memang dia penat sangat agaknya. Penat berfikir dan dia berharap agar hidupnya tidak diganggu lagi. Perlahan-lahan Nuruddin mula menerima kenyataan bahawa makhluk halus itu wujud dan dia tidak akan lagi mempersendakan akan kewujudan mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.