Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 18: Jhaznarul pergi mana tu?

Limosin yang dinaiki Jhaznarul menuju ke arah highway tetapi nasib baiklah limosin yang dinaiki Syed Dahuri dan Khirulnizan berjaya menghalangnya. Entah ke mana pula Jhaznarul mengarahkan pemandu limosin itu membawanya. Setelah limosin kedua-dua berhenti di pinggir jalan, Syed Dahuri dan Khirulnizan segera mendapatkan Jhaznarul.

“Kau nak ke mana Jhaz?” tanya Syed Dahuri yang membuka pintu kereta limosin itu disebelah pemandu, manakala Khirulnizan pula mengawal pintu limosin sebelah lagi. Risau mereka kalau-kalau Jhaznarul berlari keluar ke arah pintu limosin yang kosong.

“Aku nak ke Hutan Simpanan Kaffi. Aku nak jumpa dengan Mamu Arries. Aku nak tanya pasal apa dia selalu ganggu aku.” Jhaznarul tidak menyembunyikan keinginannya akibat sudah tidak tahan diganggu.

“Kau jangan buat gila. Jom ikut kami balik. Mamu Arries tak kenal kita. Aku tak nampak apa motif Mamu Arries untuk mengganggu kau.” Syed Dahuri mencengkam pergelangan tangan Jhaznarul dienjakkan ke tengah dan mengarah Khirulnizan untuk masuk juga ke dalam limosin itu. Syed Dahuri membayar tambang limosin yang dinaiki mereka sebentar tadi dan mengarahkan pemandu limosin yang dinaiki oleh Jhaznarul membawa mereka untuk pulang ke rumah sewa. Pemandu limosin itu dan Jhaznarul terpaksa akur dengan kehendak Syed Dahuri dan Khirulnizan. Jhaznarul hanya membatukan dirinya tanpa berminat untuk berbual ataupun mengeluarkan sebarang suara. Begitu juga dengan Syed Dahuri dan Khirulnizan yang melayani fikiran masing-masing. Masalah yang tercetus cukup membuat mereka tertekan. Kalaulah diberi pilihan dan masa boleh berputar semula, pasti Hutan Simpanan Kaffi tidak akan dijadikan destinasi mereka untuk perkhemahan. Namun, mana mungkin waktu dienjakkan semula ke belakang. Mahu atau tidak, mereka harus reda menerima apa yang telah ditetapkan ALLAH swt.

Pada malam itu, teman-teman Jhaznarul telah memanggil Ustaz Shafiee dan beberapa orang ustaz yang mengajar di Kolej Imansyah untuk majlis membaca Yaasin secara beramai-ramai dan mengubati semula Jhaznarul jika benar ada yang singgah di dalam diri jejaka itu. Penduduk yang berjiran dengan mereka juga dijemput sekali termasuklah kaum Hawa yang merupakan kekasih masing-masing.

Selesai upacara solat Isyak, mereka membuat solat hajat pula secara berjemaah dan kemudian barulah pembacaan Yaasin dilagukan di dalam rumah sewa itu. Sebanyak tiga kali pembacaan Yaasin meniti dari bibir masing-masing sebelum Jhaznarul diubati semula.

Perubatan tradisional dilakukan oleh beberapa orang ustaz yang hadir dan hasilnya tetap sama iaitu tubuh badan Jhaznarul sihat dari sebarang singgahan roh. Tidak ada roh sesat atau makhluk halus yang menumpang membuatkan teman-teman Jhaznarul sedikit pelik dengan situasi itu. Jika benar tiada roh yang menumpang di badan Jhaznarul, tetapi kenapa sahabat mereka itu sering meracau melihat yang bukan-bukan? Apa sebabnya Jhaznarul berkelakuan begitu? Sehingga sekarang mereka masih belum dapat menemui motifnya.

Namun, Jhaznarul tetap dimandikan oleh mereka dengan bacaan ayat-ayat jampi dari surah-surah al-Quran. Air minuman juga tetap diberikan pada Jhaznarul untuk menenangkan pemuda itu. Jhaznarul berbungkus di dalam selimut dengan tubuh yang menggeletar sesudah selesai sesi perubatan daripada ustaz-ustaz yang boleh tahan hebatnya.

“Bagaimana ustaz? Masih tiada roh sesat yang menumpang tubuh kawan kami tu?” Zularman ingin sekali tahu.

Ustaz-ustaz itu menggelengkan kepala masing-masing.

“Apa yang kami lihat, tubuh badannya memang bebas dari sebarang gangguan. Tiada langsung roh sesat mahupun makhluk halus yang menumpang di dalam dirinya. Tapi kemungkinan besar, kawan kamu tu hanya berhalusinasi apabila emosinya terganggu. Gangguan emosi juga merupakan salah satu gangguan syaitan untuk mengelirukan umat manusia. Sebab itulah dia mampu nampak apa yang kamu semua tidak nampak. Mungkin kamu patut membawanya jumpa pakar perubatan dan bukannya kami. Kita berikhtiar, insya-ALLAH kawan kamu itu akan pulih seperti sedia kala,” cadang salah seorang ustaz yang hadir bernama Idrus.

“Saya rasa, ada benarnya apa yang Ustaz Idrus katakan. Jika secara tradisional tidak boleh mengubatinya, kamu harus mencuba cara perubatan moden. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu emosinya yang kamu tidak tahu sehingga dia mampu membayangkan sesuatu yang menakutkan dirinya,” sokong Ustaz Shafiee pula setelah mereka berusaha sedaya yang mungkin mengubati Jhaznarul.

Teman-teman Jhaznarul serta kaum Hawa berpandangan sesama sendiri. Sesekali pandangan mereka bertelagah cuba menyampaikan maksud yang tersirat dalam bahasa tubuh. Namun tidak dicernakan dari bibir masing-masing. Hanya ulasan-ulasan senyuman sahaja yang kelihatan di pinggir bibir mereka.

“Kami balik dululah jika tak ada apa-apa lagi. Pertimbangkanlah apa yang kami usulkan sebentar tadi.” Ustaz Idrus meminta diri setelah tugasnya selesai dan setelah perut mereka semua dijamu oleh nasi bungkus yang dibeli dari Restoran Kapitan. Kaum Adam bersalaman dengan ustaz-ustaz itu sebelum diajak oleh kaum Hawa berbual di hadapan rumah kaum Adam barang seketika.

“Jhaz dah tidur?” Husnarisyam bertanya. Dia tidak mahu apa yang bakal mereka bualkan nanti didengar oleh Jhaznarul. Justeru itu, Jhaznarul pasti akan berkecil hati dengan keputusan yang akan diambil oleh mereka semua, walaupun keputusan ini adalah untuk kebaikan diri Jhaznarul sendiri.

“Dah. Aku baru turun dari bilik. Kasihan aku tengok dia. Menggeletar seluruh badan. Dahi pula berpeluh-peluh.” Zularman mencurahkan simpati pada Jhaznarul dengan apa yang dialaminya oleh jejaka itu. Bukan Zularman sahaja, malah teman-teman yang lain juga turut bersimpati dengan keadaan Jhaznarul.

“Kau orang rasa, Jhaz gila ke?” Husnarisyam tidak dapat menerima kenyataan itu bahawa kekasih hatinya mereng. Dia terlalu menyayangi Jhaznarul. Dia tidak mahu apa-apa yang terjadi pada jejaka itu kerana dia mahu menghabiskan saki baki hidupnya bersama Jhaznarul. Suara Husnarisyam juga sudah dilanda sebak yang terlampau.

“Aku tak yakinlah Jhaz tu gila sebab sebelum ni di okey saja. Takkan tiba-tiba otaknya mereng. Keluarganya juga tak ada keturunan mental. Aku tak boleh menerima kenyataan ni.” Firdee Aqasha menafikan apa yang bermain di dalam minda mereka dan sekaligus menepis kata-kata yang dihulurkan oleh ustaz-ustaz itu.

“Habis tu kenapa dia kerap nampak sesuatu yang kita tak nampak? Kita hanya lihat roh nenek tua itu sekali dua aje, tapi Jhaz? Dia melihatnya berulang-ulang kali. Sekarang ni, roh nenek tua itu boleh berada di dalam diri sesiapa saja. Aku takutlah. Aku sayang dia,” nada suara Husnarisyam semakin mengendur dan air matanya mula turun setitik demi setitik. Era Kasmiran yang berada bersebelahan Husnarisyam menenangkan gadis itu dengan menggosok-gosok bahu dan belakangnya.

“Kau jangan risau sangat Risyam. Kami yakin dia tak apa-apa. Kami juga terganggu dengan keadaan Jhaz. Tapi aku keliru. Agak mustahil, pemuda yang sewarak Jhaz diganggu oleh syaitan melainkan ada sesuatu yang tersembunyi.” Khirulnizan cuba mengemukakan motifnya, kenapa roh nenek tua itu sering mengganggu Jhaznarul.

“Maksud kau apa, Nizan?” Husnarisyam seakan-akan berminat dengan apa yang dikemukakan oleh Khirulnizan.

Kini semua mata melurus ke arah Khirulnizan. Mereka ingin tahu pendapat pemuda itu dengan frasa yang dikeluarkannya.

“Maksud aku, pasti ada sesuatu sebab kenapa nenek tua tu hanya muncul di minda Jhaz dan meminta pertolongan. Dia ingin Jhaz menolongnya. Mungkin hanya Jhaz saja yang mampu menolongnya berbanding kita semua. Sebab itu hanya Jhaz yang mampu lihat dia.” Itu pendapat yang berada di dalam benak Khirulnizan.

“Tapi cara nenek tu salah. Dia telah mengganggu emosi Jhaz sehingga mereka menganggap Jhaz tu gila. Aku tak boleh terima cara meminta bantuan begitu.” Syed Dahuri menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Satu lagi yang buat aku musyikil. Kenapa Mamu Arries seiring dengan nenek tua itu mengganggu Jhaz? Apa kaitan Mamu Arries dengan Jhaz pula? Rumitlah perkara yang kita alami ni. Lepas satu, satu.” Zunika pula mengemukakan sesuatu yang membelit pusat akalnya.

“Aku pun tak faham kemunculan Mamu Arries dalam hidup Jhaz. Semuanya bermula lepas kita turun dari tapak perkhemahan Hutan Simpanan Kaffi. Makin lama, makin pening kepala aku memikirkannya.” Nisrinah pula meluahkan rasa.

“Apa caranya kita nak bantu Jhaz?” Era Kasmiran sudah tidak boleh menerima keadaan ini yang melibatkan mereka semua. Jika boleh dia ingin semuanya selesai dengan sempurna.

Teman-teman yang lain hanya menggeleng-gelengkan kepala masing-masing. Buntu mereka mencari jawapan pada satu persoalan yang sukar jalan perleraian.

“Kita tengok dulu keadaan Jhaz dalam dua tiga hari ni. Kalau tak elok juga, baru kita fikirkan apa yang telah diusulkan oleh ustaz-ustaz tu. Manalah tahu cara perubatan moden boleh membantu Jhaz dari segi emosinya.” Firdee Aqasha memberikan pendapatnya pula.

“Aku setuju. Tak salah mencuba dari membiarkan Jhaz terus bergelumang dengan emosinya tak stabil tu. Aku tak mahu kehilangan kawan aku gara-gara roh jahat yang mengganggu.” Aziham bersetuju dengan cadangan yang diusulkan oleh Firdee Aqasha.

“Kau orang yang lain macam mana?” mata Zularman menyinggah dari satu raut wajah ke satu raut wajah teman-teman yang berada di hadapannya. Kesemua mereka diam membisu.

“Risyam? Kau rasa okey ke apa yang kami hendak lakukan pada Jhaz? Kami ingin memberikan yang terbaik padanya.” Zularman kembali bersuara setelah dia melihat semua teman-temannya seakan-akan tidak berminat untuk menjawab.

“Aku ikut saja jika itu yang kau orang rasa terbaik buat Jhaz. Tolonglah kembalikan Jhaz yang lama pada aku. Aku rindukan Jhaz aku.” Husnarisyam melentokkan kepalanya ke bahu Nisrinah pula sambil melepaskan esakan kecil.

Kesemua mereka yang berada di situ cukup bersimpati pada pasangan kekasih ini. Husnarisyam juga kelihatan amat sugul dengan apa yang menimpa buah hatinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.