Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM WAD : BILIK 13
PROJEK SERAM WAD : BILIK 13
Ebriza Aminnudin
18/3/2016 21:15:53
11,496
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 5: Siapakah nenek di Bilik 13?

“KAK!”

Kanak-kanak lelaki sepuluh tahun itu tiba-tiba muncul di hadapan Addin Adilla sambil ketawa sebelum melarikan diri.

Eh, ni budak semalam.

“Adik! Adik tunggu akak, dik. Ada benda yang akak nak tanya ni. Adik tunggu jangan lari!”

Addin Adilla pantas mengejar kanak-kanak lelaki sepuluh tahun itu yang cukup laju lariannya. Sehingga tidak cukup nafas Addin Adilla mengejarnya.

Ke mana sahaja dia nak lari malam-malam ni? Selalu sangat merayau budak ni-lah. Bengang Addin Adilla dengan kerenah kanak-kanak lelaki sepuluh tahun itu.

“Auch!”

Addin Adilla terlanggar seseorang sehingga mengaduh kesakitan. Yalah, larian yang agak kencang membuatkan Addin Adilla tidak perasan akan orang yang berhampiran dengannya. Apabila mata tertumpu ke arah sesuatu objek, objek yang lain sering diabaikan.

“Dilla, kau nak ke mana tu?” tanya Hurieya dengan suara lantang.

“Dilla, yang kau lari ni kenapa? Siapa yang kau kejar?” Sufiya Anissa pula menjerit ke arahnya, namun Addin Adilla buat tidak endah menyebabkan Sufiya Anissa dan Hurieya berpandangan sesama sendiri.

“Kenapa dengan Dilla tu, Yaya? Apa yang dikejarnya?” ujar Sufiya Anissa melayangkan pertanyaan buat Hurieya.

Hurieya mengangkat bahunya.

“Kau tanya aku macamlah aku tahu. Sakit tau kena langgar dengan dia tadi. Kuat betul! Aku tak nampak pun apa yang dikejar atau mungkin kita tak perasan. Asalkan jangan dia ke Bilik 13, sudah,” ujar Hurieya membuatkan Sufiya Anissa menayang sengihan.

“Haahkan? Mana dia nak pergi suka hati dialah. Jangan ke Bilik 13 sudah. Naya aje dia nanti,” jawab Sufiya Anissa sambil menggeleng-geleng melihat tingkah Addin Adilla yang agak agresif dan tidak seperti jururawat baru yang lain ketika mula bekerja.

Addin Adilla melepaskan lelah seketika. Sungguh penat dia mengejar kanak-kanak lelaki itu.

“Manalah dia pergi pulak ni? Lesap macam angin. Teruknya!”

Addin Adilla menyusun pernafasannya yang bertaburan. Apabila dia berpaling ke hadapan, serta merta tubuhnya berdiri tegak dan kaku bagaikan patung. Perlahan-lahan dia menelan air liur. Dia berfikir seketika sama ada betul atau tidak apa yang hendak dilakukannya.

Macam mana ni? Betul ke apa yang aku nak buat ni walaupun dah berkali-kali diberi amaran? Hati Addin Adilla berbelah bagi sama ada hendak meneruskan niatnya atau membatalkannya sahaja.

Kalau aku tak naik ke sana, aku takkan jumpa dengan budak lelaki tu dan aku takkan tahu kenapa dia suka sangat kacau aku semasa bertugas, Addin Adilla masih lagi berdiskusi dengan dirinya sendiri.

Aku kena jumpa jugak si budak lelaki tu. Aku tak pedulilah. Apa nak jadi, jadilah.”

Akhirnya Addin Adilla membuat keputusan setelah lama dia menimbang baik buruk apa yang akan dilakukannya. Lalu Addin Adilla menekan lif menuju ke atas. Dia menanti dengan sabar sehingga pintu lif itu terbuka.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka luas, Addin Adilla terus masuk tanpa berfikir panjang. Walaupun pantai hatinya dipukul ombak ganas, namun dia cuba bersabar agar apa yang melintas di fikirannya dapat dilaksanakan dengan segera. Dia tidak mahu menangguh kerana itu akan membuat hatinya semakin rawan. Beberapa kali Addin Adilla menarik nafas sebelum dia menekan butang lif ke tingkat 13 di mana terletaknya Bilik 13.

Mata Addin Adilla tidak lepas-lepas memandang ke arah butang-butang yang menyala satu per satu menunjukkan nombor tingkat mana lif itu sedang membawa dirinya.

“Akak cari saya ke?”

“Argh!!!”

Addin Adilla terperanjat apabila mendengar suara halus betul-betul berada di belakangnya. Pucat seketika wajah gadis itu. Addin Adilla berasa takut hendak menoleh ke belakang. Peluh mula merenik di ruang dahinya.

“Akak takut dengan saya ke? Keh...keh...keh...” Suara itu ketawa dengan lantang membuatkan Addin Adilla terpaksa menoleh ke belakang dengan agak perlahan.

Addin Adilla menarik nafas lega sebaik sahaja terlihat seraut wajah yang dikenalinya dan dicarinya sebentar tadi.

“Adik. Macam mana adik boleh berada kat belakang akak ni? Tadi masa akak masuk, akak tak nampak pun adik kat belakang akak?” ujar Addin Adilla sambil mencekak pinggangnya yang ramping bak kerengga.

Kanak-kanak lelaki itu terus ketawa. Geli hati melihat tingkah Addin Adilla.

“Akak memang takut ya? Dari tadi saya ada kat belakang akak cuma akak saja yang tak nampak,” jelas kanak-kanak lelaki itu.

Eh, bila masa pulak dia di belakang aku? Memang masa aku masuk tadi, tak nampak pun dia ni. Ke mata aku yang rabun? Addin Adilla tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku terhadap dirinya.

“Akak tak pernah takut pada apa pun, okey? Siapa nama adik ni?” tanya Addin Adilla yang kepingin tahu nama kanak-kanak lelaki itu sejak dari semalam lagi.

“Nama saya Ludin Junior. Akak boleh panggil Ludin aje,” jelas kanak-kanak lelaki itu yang bernama Ludin.

“Oh, Ludin Junior. Sedap nama tu. Kalau akak panggil Din boleh?” Sengaja Addin Adilla ingin menyakat Ludin.

Pantas Ludin menggeleng-geleng.

“Tak nak. Tak nak. Ludin tak suka dengan panggilan tu. Tak sedap. Akak kena panggil Ludin jugak,” bentak Ludin.

Giliran Addin Adilla pula menyumbang ketawa.

“Yalah. Yalah. Akak panggil Ludin. Nama akak Dilla,” ujar Addin Adilla memperkenalkan namanya pula.

“Jadi, Ludin kena panggil Kak Dilla ya?” tanya Ludin inginkan kepastian.

Addin Adilla mengangguk mengiakan apa yang dikatakan Ludin.

“Tapi Ludin lebih suka panggil akak aje. Akak, kita dah sampai.”

Ludin terus menarik tangan Addin Adilla apabila pintu lif itu terbuka di tingkat 13. Addin Adilla tidak sempat hendak buat apa-apa selain menuruti langkah Ludin.

“Ludin nak bawa akak ke mana ni?” tanya Addin Adilla sambil menahan langkah kakinya kerana dia tidak mahu Ludin membawanya tanpa arah tujuan.

“Ludin nak bawa akak jalan-jalan. Jomlah.”

“Tak nak. Akak tak nak jalan-jalan kat sini. Nanti kena marah dengan ketua jururawat semalam. Jangan paksa akak, okey sayang?” Addin Adilla cuba berlembut.

Ludin membuat muka.

“Akak tak nak main dengan Ludin ke?”

“Bukan tak nak main tapi...”

Mata Addin Adilla menyorot ke arah seorang tua yang masih duduk di atas kerusi sejak dari semalam. Posisinya tetap serupa dengan wajah ditundukkan ke bawah.

Siapa nenek tua tu ya? Kenapa dari semalam tak balik-balik lagi? Pelik pulak aku tengok dia tak bergerak-gerak. Hati Addin Adilla mula merusuh.

“Ludin, nenek tua tu siapa ya?” tanya Addin Adilla sambil menoleh ke arah Ludin.

Hai! Mana budak ni pergi? Terkejut melihat Ludin sudah tiada lagi di sisinya. Patutlah pegangan tangannya terasa ringan sahaja. Tidak lagi berat ketika mula-mula ditarik keluar dari pintu lif itu.

Aneh betul budak ni. Tiba-tiba lenyap. Suka-suka hati dia datang, suka-suka hati dia pergi, omel Addin Adilla sambil mengerutkan wajahnya pada satu persoalan yang amat sukar untuk ditemui jawapan.

Alang-alang dah ada kat sini, baik aku tanya terus pada nenek tu siapa yang sedang ditunggunya. Kalau boleh tolong, aku akan tolong. Bukan susah pun, Addin Adilla akhirnya membuat keputusan dengan harapan KJ Fimi tidak akan keluar dari Bilik 13 sebelum dia pergi.

Dada Addin Adilla tidak henti-henti dipukul dengan taufan yang agak kencang. Namun, dia tidak mahu menangguhkan apa yang bersarang di dalam hatinya. Dia harus laksanakan secepat yang mungkin kerana dia amat kasihan pada nenek tua itu yang tidak bergerak-gerak dari semalam. Apakah nenek tua itu tidak berasa lenguh badannya? Tiada satu pun soalan Addin Adilla dapat dijawab dengan sempurna.

“Nek,” tegur Addin Adilla sambil memegang tangan nenek tua itu.

Nenek tua itu terkejut ditegur Addin Adilla. Dia tidak menyahut malah semakin menundukkan wajahnya. Addin Adilla cuba mencuri lihat wajah nenek tua itu tapi kecewa apabila dia menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan.

“Kenapa kamu datang ke sini?” tanya nenek tua itu dengan suara serak-serak basah.

Eh, nenek ni menangis ke? Semacam aje aku tengok. Kenapa tiba-tiba nak menangis pulak? Fikiran Addin Adilla semakin bercelaru.

“Nenek menangis ke? Saya cuma nak bantu nenek. Dari semalam saya tengok nenek duduk kat sini aje. Nenek tunggu siapa sebenarnya? Siapa nama nenek?” ujar Addin Adilla memberanikan diri bertanya walaupun hatinya disapa kegerunan.

Semakin kuat tangisan nenek itu menimbulkan keseraman di hati Addin Adilla kerana tangisannya seakan lolongan yang cukup menakutkan. Beberapa kali Addin Adilla menelan liurnya.

“Nama nenek, Nek Sapiah.”

Hanya itu sahaja yang sempat Nenek Sapiah beritahu sebelum lengan Addin Adilla dicekak dengan kasar. Tersentak Addin Adilla memandang ke hadapan. Gulp! Air liurnya bagaikan kering di situ.

Alamak! Wanita gergasi ni dah datang pulak. Mati aku! Pucat muka Addin Adilla memandang ke arah KJ Fimi.

“Berani kau datang lagi ke wad aku ya? Tak makan saman sungguh. Berambus kau dari sini!” tengking KJ Fimi menolak Addin Adilla sehingga ke pintu lif.

Dengan sekali tolak sahaja Addin Adilla melayang ke arah sana. Pelik Addin Adilla dengan kekuatan yang luar biasa dimiliki oleh KJ Fimi. Kalau suaranya sahaja mampu melantunkan orang ke belakang apatah lagi sentuhan dari tangan ajaibnya, pasti bisa mendatangkan kemudaratan.

“Aku tak suka staf di bawah KJ Ilhanie datang ke wad aku. Aku harap kau faham dan takkan jejak lagi kaki ke sini. Faham!!!” Suara yang dikeluarkan KJ Fimi mendorong Addin Adilla ke belakang semula dan jatuh terduduk setelah dia bangun sebentar tadi.

“Tapi kenapa KJ Fimi bermusuh dengan KJ Ilhanie? Apa sebabnya membuatkan KJ Fimi tak suka dengan KJ Ilhanie?” ujar Addin Adilla memberanikan dirinya untuk bertanya.

Dia sudah tidak berdaya lagi ingin mencari jawapan kepada setiap persoalan yang semakin membebankan mindanya. Dari masa ke semasa kotak fikirnya semakin padat dengan persoalan.

“Kau tak perlu tahu apa sebabnya. Itu antara aku dan dia! Penyibuk!”

Sekali lagi KJ Fimi menolak Addin Adilla sehingga terhumban ke dalam mulut lif yang sedang ternganga luas.

“Jangan datang lagi ke wad ini!” Amaran yang cukup keras keluar dari mulut KJ Fimi sebelum pintu lif itu tertutup dengan sendirinya.

“Apa yang KJ Ilhanie dah buat hingga KJ Fimi naik angin macam tu sekali? Diharamkan pulak staf KJ Ilhanie naik ke Bilik 13. Pelik!”

Addin Adilla bangun dan terus menekan butang lif ke tingkat bawah. Dia tidak mahu lif itu terbuka di tingkat 13 lagi. Ngeri rasanya berhadapan dengan KJ Fimi.

Haa... ni satu lagi. Ludin. Selalu saja lesap lepas main-mainkan aku, Addin Adilla merengus kasar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.