Home Novel Seram/Misteri NOVEL
NOVEL
Ebriza Aminnudin
18/1/2017 14:54:35
10,786
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 9: Yang Diseru Adakah Menjadi Kenyataan

SEBAIK sahaja selesai mengalas perutnya yang lapar, Hirwan kembali menatap sebuah novel yang sangat unik terletak elok di atas meja. Hirwan berasa teruja dan segera mengambil telefon bimbitnya untuk merakam gambar novel yang dikatakan amat berpuaka itu. Dia cuba memuat naik ke aplikasi Instagram dan juga Facebook tetapi malang baginya gambar itu seolah-olah tidak mengizinkannya berbuat demikian. Hirwan mendengus geram. Bagai hendak melempar sahaja telefon bimbitnya setelah segala usahanya menemui kegagalan. Bukan sahaja ke media sosial gagal dimuat naik gambar novel puaka itu, malahan menghantarnya kepada rakan-rakan juga tidak boleh. Seakan ada halangan untuk dia berkongsi gambar novel puaka yang kini berada di hadapan matanya. Ahhh.. Bagaimana dia hendak membuktikan kepada mereka?

“Hesy! Kenapa aku tak boleh upload gambar novel puaka ni? Apa yang tak kena? Handphonebaru kut.”

Sakit hati Hirwan bukan kepalang lagi. Dia tidak memberikan sepenuh tumpuan terhadap novel puaka itu. Hirwan membaringkan dirinya di atas sofa sambil merenung ke atas. Entah apa yang difikirkannya.

Tiba-tiba dia mendengar sesuatu yang datang dari sisinya. Pantas Hirwan memalingkan kepalanya. Alangkah terkejutnya Hirwan apabila dia melihat novel yang dikatakan berpuaka sedang membuka helaian demi helaian muka surat seolah-olah meminta Hirwan membaca isinya dengan segera.

Hirwan berasa pelik lalu matanya meliar ke sana sini mencari punca bagaimana novel berkulit keras berkerawang itu mampu membuka helaian demi helaian dengan sendiri kerana di dalam rumahnya tidak ada angin melainkan penghawa dingin. Penghawa dingin juga tidak mungkin akan mampu membuka kulit novel itu dengan sendirinya.

“Peliknya. Betul ke ia berpuaka? Macam mana boleh terbuka dengan sendiri sedangkan tak ada angin dalam rumah aku,” Hirwan berkira-kira ingin mengambil novel puaka itu sesudah lama merenunginya.

Hati Hirwan dilanda debaran rasa yang cukup kuat. Debaran hatinya bagaikan ombak rakus menghempas pantai. Beberapa kali Hirwan menelan liurnya dan menarik nafas dalam-dalam.

Keadaan novel puaka itu menarik perhatian Hirwan agar terus membaca tanpa menangguh walau sesaat jua. Fikiran Hirwan masih sangsi tetapi entah kenapa hatinya seperti tertarik untuk mengambil novel itu.

“Aku akan buktikan pada semua yang novel ni bukan novel puaka. Mereka saja nak main-mainkan aku agar aku percaya akan kewujudannya,” Hirwan memandang sinis walaupun debaran hatinya masih tidak mahu surut.

Sekali lagi Hirwan menarik nafas yang panjang setelah novel puaka itu berada di dalam genggamannya di dalam keadaan tertutup. Hirwan menutupnya ketika diambil sebentar tadi. Sebelum membaca sebarang cerita yang terdapat di dalam novel puaka itu, Hirwan memasang rekod video dan diletakkan di atas satu sudut ruangan agar nampak jelas. Dia mahu buktikan sesuatu pada mereka yang memperlekehkannya.

Sebentar kemudian, Hirwan terus membaca kisah-kisah yang terdapat di dalam novel puaka itu. Dari muka surat pertama hinggalah seterusnya. Makin dibaca makin menarik kerana keseraman yang terkandung di dalam novel puaka itu amat lain sekali. Ia seolah-olah hidup dan Hirwan tenggelam di dalam cerita yang dibacanya. Hirwan terus terleka dalam dunia ciptaaan novel puaka itu sehingga dia tidak sedar waktu sudah menginjak ke angka 3 pagi. Walaupun mengantuk tetapi mata Hirwan masih degil untuk melelapkannya selagi pembacaannya tidak menemukan perkataan tamat. Setiap cerita yang berbeza membuatkan Hirwan semakin segar.

“Menarik sungguh cerita seram di dalam novel berkerawang ni. Tak sia-sia aku menyerunya. Cerita-cerita yang tekandung di dalamnya seolah-olah hidup. Betul ke semua cerita di dalam novel ni berdasarkan cerita sebenar?”

Hirwan bertanya kepada dirinya sendirinya. Ada kalanya Hirwan terasa seakan-akan cerita-cerita di dalam novel itu bergerak dengan sendirinya seakan satu wayang gambar. Apa yang tercerna di mindanya dapat dilihat di dalam novel puaka itu seolah sedang menonton cerita. Keadaan itulah yang sebenarnya membuat Hirwan terus hanyut dan terleka. Novel puaka ini mampu menarik minta pembacanya agar tidak meninggalkan satu pun isi cerita yang tercatat di dalamnya. Semakin lama semakin ngeri dan semakin menarik untuk terus dihadamkan oleh pembacanya.

Di dalam keasyikan membaca, penumpuan Hirwan terganggu apabila muka surat seterusnya tidak mencatatkan apa-apa cerita. Kosong. Hirwan merasa aneh dan mula bengang dengan keadaan itu. Hatinya mula hangat.

“Ni yang aku tak suka. Tengah syok-syok baca, tak ada cerita pula pada bab seterusnya. Kalau tak nak bagi aku baca, cakap ajelah tak payah buat macam ni,” semakin lama semakin tercungkil amarah Hirwan. Mahu sahaja dilemparnya novel puaka itu tetapi tangannya tidak sempat melakukan apa yang dirancang mindanya kerana di dalam muka surat seterusnya muncul tulisan-tulisan yang menggambarkan sebuah cerita yang lain.

“Wow! Novel ni betul-betul sakti. Ia seolah-olah dapat dengar kemarahan hati aku dan terus melakarkan cerita yang lain. Bagus-bagus, aku suka!” wajah Hirwan kembali berseri-seri dan terus membacanya dengan rakus. Makin lama makin seronok dia menghayati cerita baru yang baru sahaja muncul di dalam helaian-helaian kosong itu.

Tiba-tiba sahaja, Hirwan terasa ada air yang jatuh di atas kepalanya. Terhenti pembacaan Hirwan yang sudah datang ke bab di mana suatu makhluk akan muncul di dalam cerita yang sedang dikarang oleh entah siapa penulisnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.