Oleh kerana
terlalu lapar, Irdina, Ashikin dan Iman dengan berselera makan mee hoon goreng yang
tak berapa sedap di kafeteria kolej. Tiba-tiba ada seorang senior berjalan ke
arah mereka dengan lagak macho. Meluat betul Irdina dengan mamat ni. Orang
tengah makan, dia sibuk minta nombor telefon. Dia ingat aku ni operator telekom
ke? Bentak hati Irdina.
“Maafkan saya
saudara, saya datang ke sini untuk belajar, bukan untuk bertukar-tukar nombor
telefon,” dengan selamba rock saja
Irdina menjawab. Mukanya pun langsung tak dipandang.
Terbeliak mata Ashikin dan Iman mendengar
jawapan yang Irdina berikan. Senior yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang
Mus terus bangun dan menghilangkan diri. Padan muka!
“Kau gila ke,
Dina? Berani kau cakap begitu pada senior?” tempelak Iman.
“Alah, setakat
senior Enam Atas, tak ada apa-apalah Iman. Kan betul apa aku kata? Kita datang
sini sebab nak belajar, bukan nak buang masa,” balas Irdina.
“Betul tindakan
Dina tu, Iman. Lagipun Dina minta maaf dulu sebagai muqadimmah,” sokong
Ashikin.
“Banyaklah kau
punya muqadimmah. Aku harap dia tak berdendam ke, apa ke pada kau nanti. Kita
ni di masih baru di tempat orang, kita mesti pandai bawa diri,” Iman memberi
peringatan.
Irdina kurang
faham dengan kata-kata Iman, hanya mendiamkan diri. Malas bertekak pasal
perkara yang tidak penting.
“Berlagak betul
pelajar-pelajar Enam Rendah ni kan? Ada yang jual mahal lagi tu,” salah seorang
pelajar lelaki yang duduk dalam satu
kumpulan di belakang mereka bersuara. Irdina
dapat merasakan
butir bicaranya itu ditujukan kepada dirinya.
“Nasib baik mee
hoon sudah habis aku makan, kalau tidak, ada yang mandi mee hoon goreng tu,”
bisik Irdina pada Ashikin membuatkan kawannya itu ketawa.
“Iyalah kan.
Belum apa-apa dah tunjuk lagak di sini. Macamlah cantik sangat,” tambah seorang
lagi.
Irdina dapat
rasakan darahnya menyirap naik ke kepala. Dia mahu menoleh untuk menjawab namun
dihalang oleh Ashikin dan Iman. Ashikin memberikan isyarat dengan matanya yang besar
dan bulat agar mereka segera menghabiskan minuman dan beredar dari situ.
“Biarlah dia
berlagak. Dia belum bertemu lagi dengan lawannya,” pelajar yang pertama tadi
memberi komen dengan suara yang lebih nyaring.
“Pinggan tak
retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak, aku lagilah tak ingin!” salah seorang
daripada mereka mengherdik disambut ketawa yang lain. Ketawa yang amat
menyakitkan telinga. Hati Irdina mendidih dengan rasa marah sehingga bahangnya
dapat dirasakan bagai menyelinap ke pelusuk tubuh.
Irdina sudah
hendak berdiri untuk bersemuka dengan kumpulan pelajar lelaki tersebut tetapi
dengan pantas pula Ashikin menarik tangannya. Bagaikan bodyguard, mereka berdua memegang kedua lengan Irdina dan memaksa
Irdina mengikut mereka beredar dari kantin.
“Kenapa halang
aku? Tangan aku ni dah gatal nak menampar. Mereka tu perlu diajar,” Irdina
betul-betul geram. Teringat masa di sekolah lama dulu dia pernah memukul rakan
sekelas dengan batang penyapu sebab menggelar Irdina dan kawan-kawannya GRO.
Akibat bergurau tak kena tempat, badan binasa. Berbirat badannya dikerjakan
Irdina. Nasib baik ada saksi yang mendengar dia mengejek, kalau tak, Irdina boleh
digantung sekolah atas sebab mencederakan pelajar lain.
“Dina, aku kenal
sangat dengan perangai kau ni. Aku minta tolong sangat-sangat, kau kontrollah
sikit baran kau tu. Tak elok untuk reputasi kau nanti,” Iman menegurku.
“Apa yang kau
merepek pasal reputasi segala ni Iman? Aku bukannya artis. Lagipun, salah ke
kalau aku mempertahankan maruah?” Irdina membantah.
“Itu aku tahu,
aku faham. Tapi janganlah kena tegur sikit, kena sindir macam tu kau terus naik
angin. Biarkan sajalah. Tak ke mana pun sindiran mereka tu. Aku tak mahu kau
jadi mangsa dendam pula. Sekarang ni kerana dendam, macam-macam benda orang
boleh buat tau? Kau tak takut kena ilmu hitam ke?” pertanyaan Iman menakutkan
Irdina. Bagaimana Iman boleh terfikir benda-benda macam ni? Terlebih menonton
filem-filem seram David Teoh agaknya. Irdina akui ada benarnya kata-kata Iman.
Kenapalah dia tak boleh bersikap tenang saja? Ashikin pun terdiam mendengar
ceramah percuma dari Iman.
“Okey, aku faham
sekarang. Aku minta maaf, lepas ni aku akan lebih berhati-hati di dalam
percakapan dan perbuatan. Dahlah, kita lupakan hal tu. Jom, kita berlatih sikit
sebelum raptai,” balas Irdina lantas mengajak mereka masuk ke dalam dewan.
“Kertas apa ni
kak?” soal Irdina apabila salah seorang AJK Minggu Suai Kenal dari Tingkatan 6
Atas menghulurkan sekeping kertas kepadanya.
“Ada kawan kakak
minta tolong sampaikan,” balas kak Intan Suraya.
Irdina, Iman dan
Ashikin berpandangan. “Betul ke ini untuk saya? Tak salah orang ke?”
“Kawan kakak kata
bagi surat ni kepada junior bernama Irdina.
Setahu kakak, awak seorang saja bernama Irdina di sini kan?”
Aku mengangguk
perlahan. Kertas yang dihulur diambil. “terima kasih kak.”
Kakak bernama
Intan Suraya hanya senyum dan beredar ke bahagian hadapan dewan.
“Amboi Dina,
belum sampai seminggu di sini dah ada secret
admirer. Tu belum kira a known admirer
di kafeteria tadi. Ish, buat aku cemburu je,” ucap Ashikin, seraya mencebik
bibir.
“Jangan nak mengarut.
Lepas dibaca, kertas ni akan masuk tong sampah. Aku tak akan layan sesiapa pun,
okey,” pintas Irdina. Kertas yang berlipat dibuka perlahan.
Tiga pasang mata
tertumpu kepada coretan ringkas di dalam kertas
“Kau ni memang bertuah Dina. Dalam masa satu
hari ada dua orang abang senior yang nak berkenalan. Aku ni ada ke yang minat?”
Iman separuh merungut. Nada suaranya seperti kecewa.
“Bagi kau
bertuah, bagi aku bala. Aku tak ada niat nak memikat sesiapa. Kalau mama aku
tau aku layan benda macam ni, lunyai aku dikerjakan. Kau bukan tak kenal mama
aku.”
“Pandai-pandailah
sembunyi,” kata Iman. Sama ada dia serius atau main-main, Irdina tak pasti.
“No thank you. Aku tak mahu, titik!” ucap
Irdina dengan tegas. Kertas kecil direnyuk lantas dibuang ke dalam tong sampah.