Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
6,960
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6: KNIGHT IN SHINING ARMOUR

“Sentia, aku dan Shikin nak ke dewan makan. Kau berkemaslah dulu. Nanti kita sembang lagi. Atau kau nak pergi makan sekali?”

Sentia menolak sebab dia mahu mengemas barang-barangnya dahulu. Petang nanti, pelajar-pelajar Matrikulasi perlu berkumpul semula di dewan. Irdina dan Ashikin meminta diri seraya mengambil dulang makanan dan bergegas ke dewan makan. Setengah jam lagi masa untuk makan tengahari akan berakhir.

Mungkin akibat tergesa-gesa Irdina tidak sengaja terlanggar seorang pelajar lelaki yang baru keluar dari dewan makan. Hampir-hampir dulangnya terlepas dari pegangan, kalau tidak sudah tentu dia akan disorak.

Irdina cepat-cepat meminta maaf namun pelajar itu seperti acuh tak acuh saja. Dia cuma memandang sekilas, mengangkat keningnya dan berlalu.

“Sombongnya, orang minta maaf pun dia buat dek saja,” Irdina merungut.

“Biarkan saja. Mungkin pelajar baru tu. Aku tak pernah tengok pun dia sebelum ni.” komen Ashikin sambil berjalan ke arah kaunter untuk mengambil makanan.

“Amboi sejak bila pula Cik Ashikin ni menjadi pemerhati? Semua muka pelajar asrama dia dah kenal. Jangan sampai lupa dengan abang burger tu sudahlah ya,” Irdina mengusik.

Merah padam muka Ashikin bila Irdina menyebut tentang burger. Dua hari lepas Abang Is ada menitipkan surat buatnya melalui Iman. Isi suratnya ringkas tapi penuh bermakna. Mungkin hujung minggu ini Abang Is akan melawat Ashikin dan akan membawa burger kegemarannya.

Ashikin belum pernah lagi balik bermalam di rumah semenjak menjadi penghuni asrama. Irdina pun sama. Katanya alang-alang menunggu cuti pertengahan semester tak lama lagi. Kebetulan pula Puan Khatijah sedang berkursus jadi Irdina merasa malas untuk balik. Hari Ahad lepas, Encik Wahab ada melawatnya sambil menghantar bekalan makanan kering dan barang keperluan yang dipesan oleh Irdina.

Selesai makan, Irdina dan Ashikin solat dan kemudian bersiap untuk ke kelas semula. Petang ini ada perjumpaan untuk membuat tugasan Bahasa Melayu. Semasa dalam perjalanan ke kelas, Irdina tertoleh-toleh ke dewan utama. Entah kenapa matanya seperti tercari-cari wajah tadi. Pelik betul, buat apa aku nak cari dia? Budak sombong tu, Irdina mengomel di dalam hati.

Sudah hampir setengah jam mereka berdua di situ barulah dua orang rakan sekelas mereka sampai. Aloysious dan Jerry meminta maaf sebab lambat. Kedua-duanya tertidur selepas makan tengahari.

Dalam kerancakan mereka berbincang tugasan, tumpuan Irdina terganggu oleh derap kaki di tangga yang terletak bersebelahan dengan kelasnya. Tidak lama kemudian sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan kelihatan berjalan melintasi kelas Irdina. Pelajar-pelajar Matrikulasi sedang dibawa melawat kelas masing-masing yang terletak di blok yang sama dengan kelas-kelas Tingkatan 6 Rendah.

Entah kenapa Irdina merasakan jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Matanya tidak beralih dari memerhatikan kumpulan pelajar-pelajar tersebut sehinggalah kepada seorang pelajar lelaki yang berjalan di belakang sekali. Saat terpandang dia, Irdina merasa gemuruh. Mata si dia itu juga seperti melekat pada wajah Irdina, tidak berkelip-kelip menyebabkan Irdina menjadi gugup.

Si dia tidak meneruskan perjalanan ke kelas seperti yang lain, sebaliknya berdiri kaku dan memerhati Irdina. Ya Allah, kenapa dia renung aku begitu? Bisik hati Irdina.

Ashikin yang baru perasan hanya mampu melihat wajah kawannya itu dan jejaka di luar kelas dengan silih berganti. Irdina seperti berada di dalam dunianya sendiri.

“Dina, Dina...,” panggil Ashikin separuh berbisik.

Apabila temannya itu tidak memberi respon, Ashikin berdehem kuat. Irdina memalingkan muka ke arah buku di meja. Si jejaka itu pula berjalan dengan cepat untuk menyertai kumpulannya semula.

Selepas saling berpandangan dan bertentangan mata tadi, Irdina tidak dapat menumpukan perhatian kepada perbincangan. Dia hanya mengangguk saja dan sekejap-sekejap menyebut okey.

“Aku rasakan ada orang telah dipanah cinta tadi. Lain macam saja orang tu sekarang.” Ashikin menyindir apabila melihat keadaan Irdina yang gelisah tidak menentu.

“Ish, kau ni. Jangan merepeklah.”

“Hai, kau perasan kenapa? Aku ada sebut nama kau tadi ke? Jangan-jangan...,”

“Sudahlah Ashikin. Jangan mengada-ngada,” sampuk Irdina.

Kumpulan pelajar-pelajar Matrikulasi itu muncul kembali. Irdina cepat-cepat menutup mukanya dengan buku Pengajian Am.

                                                                ***********************************

Petang itu mereka berdua agak awal ke dewan makan. Bilangan penghuni asrama masih belum ramai di kaunter memudahkan Irdina dan Ashikin mengambil makanan dan minuman masing-masing dengan cepat.

Berselera pula Irdina makan petang ini walaupun hanya nasi putih berlauk ayam masak merah, sayur kacang panjang tumis kering dan sedikit acar timun. Mungkin lauk tu memang lauk kesukaan Irdina. Ashikin pun turut berselera makan.

Dewam makan semakin bising. Selesai makan, Irdina dan Ashikin mencuci dulang sebelum kembali ke asrama. Oleh kerana ramai pelajar yang mencuci dulang di singki, lantai menjadi basah dan licin.

Akibat leka berbual, Irdina terpijak lopak air di bahagian simen yang berlubang. Badannya hilang imbangan. Tak semena-mena seseorang menahan lengannya dari belakang. Kalau tidak sudah tentu dia akan terlentang atau tersungkur di kaki lima jalan itu.

Seram sejuk seluruh tubuh tatkala dia tersandar di badan si dia yang menyelamatkan keadaan. Cepat-cepat Irdina meluruskan badan, bimbang pelajar-pelajar di situ terlihat apa yang berlaku dan memikirkan yang bukan-bukan. Malunya Irdina ketika itu hanya tuhan yang tahu.

Saat mata mereka saling bertentang, hati Irdina seakan berhenti berdegup. Dialah pelajar lelaki yang dilanggarnya tengahari tadi dan dia juga orang yang sama yang asyik merenungnya semasa dibawa melawat blok kelas petang tadi. Perlahan-lahan dia melepaskan pegangannya di lengan Irdina. Kedua-duanya membisu seribu bahasa. Ashikin di sebelah menyaksikan apa yang berlaku dengan mata yang tidak berkedip.

“Terima kasih,” akhirnya Irdina bersuara. Hanya itu saja yang mampu diucapkan. Si dia hanya mengukir senyum dan mengangguk.

Sebelum berlalu, dia menoleh ke arah Irdina, “Next time please be careful. I might not always be around to save you,” pesannya separuh bergurau.

Irdina membulatkan matanya mendengar komen sebegitu. Hasrat hati untuk membidas tetapi si dia sudah pun meninggalkannya terkulat-kulat di situ. Seketika kemudian, Irdina memeriksa kakinya yang tersandung di dalam lopak air.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.