Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,424
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4: MALAM PERTAMA

Selepas tamat waktu persekolahan, Irdina dan Ashikin terus ke pejabat Ketua Warden untuk mendaftar sebagai penghuni asrama. Barang-barang keperluan Irdina akan dihantar Puan Khadijah dan Encik Wahab selepas waktu pejabat. Uncle Taufik pula sudah menunggu di pintu pagar sekolah untuk menghantar barang-barang keperluan dan beg pakaian Ashikin. 

“Ehem,” Iman cuba mencuri perhatian. “Belum duduk asrama dah lupa dengan kawan. Agaknya esok, nama aku pun orang dah tak ingat.” 

Mereka berdua begitu teruja sekali sehingga tidak sedar Iman mengekori dari belakang. Irdina dan Ashikin memberhentikan langkah.

“Maaf Iman, kami nak cepat. Ketua Warden sudah pesan kalau nak mendaftar mesti sebelum pukul 2 petang. Bukannya kita lupa dengan kawan,” ucap Irdina.

Ashikin menghampiri Iman lalu memeluk kawannya itu. Sambil melepaskan pelukan, Ashikin memujuk.

“Mana boleh kami lupakan kawan seperti Cik Iman Safiya ni. Kita kan masih sekelas. Itulah, orang ajak duduk asrama sama-sama tak nak. Masih belum terlambat kalau kau nak masuk juga Iman.”

“Apa kata lepas mendaftar ni, kau ikut kami ke asrama dulu. Manalah tahu, hati kau terbuka untuk menjadi budak hostel.” Irdina memberi cadangan. Iman mengerutkan dahi tetapi pada masa yang sama mengangguk setuju.

Selesai mendaftar, Irdina dan Ashikin membawa Iman ke blok Asrama Puteri. Mereka berdua ditempatkan di dalam bilik yang sama dan akan berkongsi dengan beberapa orang pelajar Matrikulasi yang akan mendaftar dalam masa dua minggu lagi. Jadi buat masa ini, hanya mereka berdua sahaja penghuni bilik AP-7. Iman mencebik bibir memerhati keadaan sekeliling. Berkerut dahinya melihat keadaan bilik yang kecil. Katil bertingkat dan almari kecil untuk menyimpan barangan peribadi.

Guys, I don’t think I want to spend my one and a half year staying here. Its too crowded. Aku tak biasalah. Tengok saja loker tu, tak akan cukup untuk pakaian dan keperluan aku. Tandas dan bilik mandi pun berkongsi. Eh, aku tak akan dapat duduk di sini lama-lama,” komen Iman.

Irdina hanya menggeleng. Dia tahu Iman sudah biasa hidup mewah dan tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang serba-serbi kekurangan. Ashikin pun hidup dilingkungi kemewahan tetapi mungkin disebabkan sikap ibu tirinya, Ashikin lebih terbuka dan bersikap menerima.

“Alah bisa, tegal biasa Iman. Aku tak kisah, asalkan aku dapat keluar sekejap dari neraka di rumah aku tu.” Ashikin bersuara. Tersentak Irdina mendengar kata-kata Ashikin namun dia hanya berdiam sahaja.

“Iman, kalau kau singgah di gerai Abang Is, tolong sampaikan salam aku pada dia ya,” pinta Ashikin mengubah topik perbualan. Perutnya yang lapar akibat tak sempat makan tengahari mengingatkannya kepada tuan punya gerai burger.

“Sampaikan salam saja? Burger tak nak?”

“Kalau kau sudi belikan, apa salahnya hantarkan sekali. Iyalah, tak dapat lepaskan rindu pada orangnya, pada burgernya pun jadilah.” Irdina mengusik disambut ketawa Iman. Ashikin tersipu-sipu malu.

“Tengoklah kalau aku free malam nanti, aku hantar.”

Selesai membantu Irdina dan Ashikin, Iman minta diri. Dua orang sahabatnya dari kecil itu menghantar Iman sehingga ke tempat letak kereta.

“Kita jumpa esok di kelas. Kalau ada apa-apa kol aku, aku akan datang menyelamatkan kau berdua."

“Nak selamatkan kami dari apa?” soal Irdina.

“Manalah tahu, asrama ni berhantu ke? Atau kau berdua diganggu makhluk halus ke ?” Iman seperti sengaja menakut-nakutkan Irdina dan Ashikin.

“Hish! Kau ni dah terlebih menonton cerita hantu. Kami akan okey, jangan risau,” balas Ashikin.

“Iyalah kau ni Iman. Hantu tak wujudlah,” sahut Irdina. Kata-kata Iman sedikit-sebanyak membuat perutnya senak.

"Assalamualaikum and have fun on your first night here. Baca Al-Fatihah dan ayat Kursi sebelum tidur,” ucap Iman seraya menghidupkan enjin kereta.

Irdina dan Ashikin membalas salam sambil melambai-lambai. Sebaik kereta Iman bergerak, mereka berdua kembali ke bilik dan bersiap-siap untuk ke dewan makan. Makan malam bermula dari pukul 6 petang. Pukul 7:30 malam nanti mereka mesti berada di kelas untuk belajar atau membuat ulangkaji dan menyiapkan tugasan.

Kesemua itu akan menjadi rutin harian mereka berdua sebaik saja menjadi pelajar asrama. Dua minggu sekali mereka dibenarkan balik ke rumah, tetapi Ashikin sudah membuat keputusan untuk tidak balik. Biarlah ayahnya saja yang datang melawat sekali-sekala.

“Aku rasa ayah aku lebih suka begitu. Dia cuma akan menjenguk aku sekali sekala daripada nak bawa aku balik dua minggu sekali. Silap haribulan, dia terus akan lupakan aku. Perempuan tu mesti gembira sakan sekarang.”

Irdina mengeluh lesu mendengar luahan hati Ashikin. Kenapa kebelakangan ini Ashikin sangat negatif? Mudah benar dia menyerah kalah, tidak seperti dulu, hatinya berbisik. Irdina dapat merasakan Ashikin menyembunyikan sesuatu darinya.

Selepas makan malam, Irdina ke pondok jaga menunggu Puan Khadijah dan Encik Wahab menghantar barang-barang keperluannya pula. Oleh kerana lelaki tidak dibenarkan masuk, hanya Puan Khadijah yang membantu mengemas barang-barang Irdina.

“Mama harap, peluang ini tidak akan disia-siakan. Belajar rajin-rajin dan buat semua tugasan dengan penuh komitmen. Kalau ada apa-apa, kol mama atau papa. Laptop dan broadband ada dalam beg ni, tapi jangan disalahguna.” Puan Khadijah menghulurkan beg berisi laptop dan broadband untuk memudahkan Irdina membuat tugasan. Wang belanja juga dihulurkan.

Kedua beranak kemudian berpelukan. “Terima kasih mama. Dina berjanji kali ini Dina tak akan kecewakan mama, papa dan abang-abang. I love you, mama.

Mata Puan Khadijah berair. Dia tidak pernah berenggang dengan Irdina seperti ini. Hatinya sedih bercampur bimbang. Dahi Irdina dikucup sayang. Setelah bersalaman, Puan Khadijah dan Encik Wahab meninggalkan perkarangan sekolah.

“Aku cemburu melihat kau dan mama kau tadi. Entah bilalah aku dapat merasai pelukan dan ciuman mummy aku.”

“Ashikin, mama aku pun peluk dan cium kau tadi kan? Dia dah anggap kau macam anak sendiri tau?’

Ashikin mengeluh. “Aku tahu tapi mana sama dengan ibu kandung sendiri, kan? Eh, kau ada cek email kau tak?”

“Belum. Kita solat dulu, di kelas nanti aku buka email. Kau tak bawa laptop ke? Tak nampak pun tadi.”

Big boss tak benarkan. Dia kata kalau perlu sangat pakai komputer sekolah atau kongsi dengan kawan. Dia bimbang kalau aku dapat berhubung dengan mummy. Jangan kata laptop, handphone pun dia tak benarkan aku bawa,” Ashikin menjawab.

Irdina mengeluh. Tak sangka Uncle Taufik berfikiran begitu.

“Hmm...tak apalah. Kita kongsi laptop aku ni. Nasib baik pelajar Tingkatan Enam dibenarkan bawa laptop taklah boring sangat. Jom, kita ke surau.”

Selepas solat Maghrib berjemaah, Irdina dan Ashikin sempat berkenalan dengan sekumpulan penghuni Asrama Puteri yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Lima. Mereka menyambut kedatangan Irdina dan Ashikin dengan baik dan mengajak kedua sahabat itu menyertai sesi usrah setiap hari selepas solat Asar.

Tepat pukul 7:20 malam, loceng berbunyi sebagai peringatan agar kesemua penghuni asrama bergerak ke kelas masing-masing. Oleh kerana malam ni malam pertama Irdina menghuni asrama, dia agak kekok dan cemerkap. Kelam-kabut dia memakai baju kurung dan memakai tudung kerana dia dan Ashikin agak lambat balik dari surau.

Sebaik sampai di kelas mereka, Irdina memeriksa email. Alhamdulillah, email Ashikin tempohari dibalas oleh Auntie Sarah. Bukan main seronok lagi Ashikin membaca email dari mummy yang dirinduinya. Di dalam emailnya Auntie Sarah menitipkan alamat rumah dan nombor telefon baru untuk memudahkan Ashikin menghubunginya kelak. Dia juga meminta alamat sekolah Ashikin dan mencadangkan agar Ashikin membuka akaun bank untuk memudahkan dia mengirim wang belanja.

Irdina memerhati saja perlakuan Ashikin yang tersenym-senyum di hadapan laptop. Sudah lama dia tidak melihat Ashikin segembira itu. Syukur alhamdulillah, ucapnya di dalam hati.

Kelas malam berjalan lancar. Irdina dapat menghabiskan beberapa kerjarumah dan sempat menyambung membaca novel Whitney My Love tulisan Judith McNaught. Leka benar dia membaca sehingga tidak sedar dirinya diperhati dari jauh.

“Dina...Dina...” dengan separuh berbisik, Ashikin cuba mendapatkan perhatian Irdina.

Irdina tersentak apabila kakinya disepak oleh Ashikin. “Apa dia? Kau ni kacau betul. Aku tengah syok baca cerita ni.”

“Abang senior di kantin hari tu tengah perhati kau. Muka dia nampak semacamlah Dina. Macam nak telan kau saja,” ucap Ashikin. Mukanya memang nampak risau.

Irdina merendahkan kedudukan novel yang tadi menutup mukanya. Matanya bertembung dengan mata abang senior yang membahasakan dirinya Abang Mus tempohari. Renungan lelaki itu membuatkan dia merasa meluat.

“Tak faham bahasa betul si Abang Mus ni. Aku cakap kat warden nanti baru dia tahu.” Irdina melepaskan rasa geram.

“Jangan Dina. Biarkanlah saja dia begitu, lambat-laun dia akan bosan juga kalau kau tak layan,” nasihat Ashikin.

Irdina mengangguk setuju. Abang Mus dibiarkan memerhati. Novel di tangan diangkat kembali dan dibaca. Di sebalik novelnya dia sempat bertanya Ashikin sama ada lelaki tu masih berdiri di koridor atau tidak.

“Dia dah pergi,” jawab Ashikin ringkas.

Irdina menarik nafas lega. Lima minit sebelum pukul 10 malam, Irdina dan Ashikin mengemas buku-buku. Tidak sabar rasa hati Irdina untuk kembali semula ke bilik asrama mereka. Malam ini malam pertama dia akan tidur di bilik yang asing, yang bukan seperti bilik tidurnya di rumah.

Semasa roll-call di dataran kecil yang sebenarnya tempat menyidai pakaian, Irdina dan Ashikin diperkenalkan kepada penghuni-penghuni Asrama Puteri yang lain oleh Ketua Pengawas Asrama. Mereka berdua dimaklumkan tentang peraturan asrama dan tugas-tugas pembersihan asrama yang dibuat pada setiap hari Sabtu. Selesai roll-call, Irdina dan Ashikin menapak semula ke bilik mereka berdua.

“Tak sangka ya, mereka semua baik-baik,” puji Irdina.

“Mudah-mudahan begitulah Dina. Aku dah mengantuk ni. Kalau kau tersedar lebih awal, tolong kejutkan aku eh,” pinta Ashikin sambil menarik selimut. Seketika kemudian, kedengaran dengkuran Ashikin.

Hai, cepat betul dia tertidur. Aku belum sempat jawab lagi, Irdina mengomel seraya membaringkan badan ke atas katil.

Semasa roll-call tadi, mata Irdina sudah mengantuk, tetapi apabila sudah berbaring belum pula mahu lelap. Irdina mengiring ke kanan, kemudian ke kiri, dia masih sukar untuk tidur.

Berubah tempat agaknya, fikir Irdina. Matanya dipejamkan dan dia cuba tidur lagi. Dengkuran Ashikin yang tenggelam timbul juga menyukarkan Irdina untuk tidur.

Kenapa dia susah untuk tidur sedangkan Ashikin sudah lama dibuai mimpi. Irdina membuka matanya dan melihat keadaan sekeliling bilik yang samar-samar. Keadaan bilik yang sunyi sepi dan masih agak kosong, ditambah dengan dingin angin dari luar membuatkan Irdina merasa seram sejuk seketika.

Ish, kenapa aku rasa lain macam saja ni? hatinya berbisik.

Sedang dia mengamati bilik asrama itu, mata Irdina tiba-tiba terlihat satu kelibat di luar tingkap yang bertentangan arah dengan katilnya. Walaupun tidak jelas tetapi pada pengamatan Irdina kelibat itu seperti manusia yang sedang memerhati. Jantungnya seperti hendak tercabut dari tangkai.

Ah, mungkin tak ada apa-apa. My eyes are playing tricks on me, Irdina mengomel sendiri sambil matanya dikelip-kelip beberapa kali. Irdina memejamkan mata kemudian membuka kembali dengan harapan kelibat itu tiada lagi di situ. Kelibat itu masih lagi di situ, berdiri kaku dan memerhatinya dari luar.

Ketika ini dia memang begitu takut. Rasa menyesal pun ada. Irdina memandang ke arah katil Ashikin di sebelah dan mahu memanggil kawannya itu tetapi mulutnya bagaikan terkunci. Teringat dengan pesan Iman petang tadi, Irdina terus membaca surah Al-Fatihah, surah An-Nas, Al-Falaq, Surah Al-Ikhlas dan Ayatul Kursi.

Ya Allah, lindungilah hambaMu ini, doa Irdina di dalam hati. Matanya dipejam rapat. Seketika kemudian matanya dibuka lagi. Kelibat itu masih ditempat yang sama, kali ini kelihatan bergerak-gerak.

Ya Allah ya tuhanku. Hanya padaMu aku memohon perlindungan. Kasihanilah hambaMu ini ya Allah, percepatkanlah datangnya pagi, Irdina berdoa seraya menangis.

Akhirnya selimut ditarik terus ke kepala dan Ayatul Kursi diulang berkali-kali sehinggalah dia terlelap sewaktu hampir dinihari.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.