Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,430
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5: SENIOR GILA BAYANG!

Suasana di dewan makan agak sesak dan panas. Suara pelajar-pelajar, bunyi senduk dan periuk berlaga membingitkan. Irdina menguap beberapa kali, mengantuk sebab semalam dia sukar tidur dan tidurnya juga tidak lena.

Dalam mereka berdiri menunggu giliran mengambil makanan tengahari, Irdina dan Ashikin dikejutkan oleh bunyi sesuatu jatuh ke lantai diikuti dengan pekikan dan sorakan pelajar-pelajar lelaki. Semuanya kerana salah seorang pelajar yang beratur tidak sengaja menjatuhkan dulang makanannya yang diperbuat daripada aluminium. Bunyinya memang agak kuat.

“Itu pun nak dikecohkan ke?” Irdina menyoal dengan rasa geram. Hatinya merasa kasihan melihat wajah pelajar lelaki yang dikiranya mungkin baru Tingkatan Satu atau Dua merah padam menahan malu diperlakukan begitu.

Ashikin menjungkitkan bahu, “mungkin sudah budaya atau cara mereka begitu. Aku dengar, kalau yang jatuhkan traytu perempuan, dia akan kena boo. Nasib baik, aku beli yang plastik.”

“Ish! Macam budak-budak.” Irdina masih gusar. Dulangnya dipegang dengan kemas, malu kalau terlepas dari tangan. Tak sanggup rasanya menjadi bahan ejekan.

Barisan pelajar perempuan tidak sepanjang barisan lelaki dan jarak di antara dua barisan itu tidaklah begitu jauh.

“Assalamualaikum, Irdina. Seronok jadi penghuni asrama?” Abang Mus yang kebetulan berdiri tidak jauh dari Irdina menegur.

Irdina pura-pira tidak mendengar dan menoleh ke arah lain.

“Petang ni Irdina ke kelas tak?” dia bertanya lagi.

Kalau aku pergi, kenapa? Soal Irdina di dalam hati.

Irdina merasa serba salah. Kalau ikutkan hati mahu saja dia memotong barisan tapi itu tidak dibenarkan. Irdina kemudian mengangkat dulangnya dan menggunakan dulang itu untuk menghadang pandangan pelajar lelaki itu.

“Maaf, abang. Kawan saya ni pemalu. Kita okey saja. Terima kasih sebab sudi ambil tahu.” Bimbang dengan perlakuan dingin Irdina, Ashikin menjawab pertanyaan Abang Mus.

Abang Mus senyum. “Oh, tak mengapa. Awak tolong sampaikan salam saya pada si Irdina yang pemalu ni ya?”

Ashikin mengangguk.

Mendengar kata-kata Abang Mus itu membuat hati Irdina mendidih panas. Kalau tidak mengenangkan di mana dia berada sekarang sudah tentu muka lelaki itu akan ditenyeh dengan dulang makanan di tangan.

Dina, control yourself. He means well,” pujuk Ashikin separuh berbisik. Dia bimbang Irdina akan bertindak drastik.

I don’t care how he meant it. I don’t like what he is doing. Mengundang bahaya, kau tau tak,” balas Irdina, berbisik juga.

Bibirnya diketap geram. Giliran Irdina mengambil makanan dan minuman tiba. Dia berdiri di tepi sekejap menunggu Ashikin kemudian keduanya mencari tempat duduk. Kebetulan ada sebuah meja yang masih kosong berhampiran pintu dewan.

Dulang diletak di atas meja. Menu mereka hari itu adalah ayam masak kicap, sayur sawi dan nasi putih. Lauk pertama Irdina semenjak bergelar pelajar asrama. Irdina memerhati lauk di dalam dulang seolah-olah menunggu seleranya datang namun tekaknya seperti tidak sudi untuk merasa. Nasi berkuah ayam kicap dikuis-kuis dengan sudu.

“Kenapa ni Dina? Sakit ke?” Ashikin yang sudah dua tiga kali menyuap nasi kehairanan.

Irdina menggeleng. Baru menyuapkan sesudu nasi ke mulut, Irdina berhenti dan meletakkan sudu kembali ke dalam dulang. Sudahlah tidak berselera, ditambah lagi dengan sesuatu yang menyakitkan mata membuatkan Irdina terus tidak lalu makan. Nasi yang sudah di dalam mulut dikunyah perlahan dan cuba ditelan.

“Tak sedap ke? Kau rindu masakan mama kau ke?” Ashikin menguji.

Irdina cuba mengukir senyum. “Kita tukar tempat duduk, boleh? Aku tak selesa,”

Tanpa banyak soal Ashikin mengangguk dan bangun. Sebaik melabuhkan punggung barulah dia sedar kenapa Irdina bersikap pelik. Abang Mus seperti sengaja mencari tempat duduk yang membolehkannya melihat Irdina makan.

“Maafkan aku Dina, aku tak perasan tadi.”

“Dia masih melihat ke arah kita kan?” soal Irdina seperti ada sepasang mata di belakang kepalanya.

I guess so. He is kind of cute. Mungkin, dia cuma mahu berkawan. Aku rasa tak salah kalau setakat berkawan saja.”

“Memang tak salah kalau dia memang berniat untuk berkawan. Aku takut niatnya lain.”

Ashikin berhenti menyuap. Wajah Irdina direnung. “Janganlah mudah sangat berburuk sangka Dina. Aku rasa layan sajalah dia mcam kau layan kawan-kawan lelaki sekelas kita, mungkin dia akan sedar yang kau tidak berminat untuk berlebih-lebih. Tapi, daripada apa yang aku nampak, dia memang sukakan kau.”

“Apa yang harus aku buat? Baru tiga minggu kita bersekolah d sini dan baru sehari duduk di asrama, dia dah buat aku rimas. Bukannya aku bencikan dia tapi aku cuma tak mahu melayan saja. Aku ke sini bukan untuk bercinta, bercouple.” Irdina merungut.

“Maknanya, kau sukalah kat dia?” Ashikin menebak.

“Bukan begitulah,” tempelak Irdina. “Tengok muka dia pun aku meluat, tak ada rasa apa-apa pun. Belum masanya Shikin. Lagipun, bukan citarasa aku.”

Kata-kata Irdina menggeletek rasa hingga Ashikin tak dapat menahan ketawa. “Sungguh aku tak sangka, rupa-rupanya gadis garang hampir brutal ni ada tastesendiri. Kalau aku boleh tahu, ciri-ciri bagaimana menepati citarasa kau tu?”

Irdina tersenyum. “Kita habiskan makan dulu. Lepas ni solat dan bersiap untuk kelas petang. Nanti aku senaraikan, kau sedialah dengan kertas dan pensel untuk mencatat senarai panjang aku tu, okey.”

Pelajar bernama Mustafa memerhati gelagat Irdina dari jauh. Hatinya mendongkol geram kerana gadis itu seperti sengaja mengelak darinya, malah memandangnya pun gadis itu tidak mahu. Dia beranggapan Irdina sombong tetapi masih mahu memahat azam untuk terus menarik perhatiannya.

Irdina menanggalkan telekung dan bersiap untuk ke kelas. Pada waktu petang, pelajar-pelajar asrama dibenarkan ke kelas untuk membuat ulangkaji atau membuat tugasan. Petang ini Irdina mahu memulakan beberapa tugasan penting yang perlu dihantar dalam masa dua minggu. Walaupun tempoh itu lama, tetapi kalau bertangguh, akan memakan diri juga.

“Shikin, kau dah solat?”

“Uzur,” ringkas saja jawapan Ashikin. Dia juga sedang bersiap dan mengemas beg untuk bersama-sama ke kelas.

Baru sahaja Irdina hendak mengunci pintu bilik, dia didekati oleh pengawas yang pernah menunjukkan jalan ke dewan pada hari pendaftaran dulu, tetapi Irdina tidak ingat namanya.

“Assalamualaikum Kak Irdina. Masih ingat dengan saya?”

Irdina kalut. “Err..maaf dik. Kak ingat muka tapi tak ingat nama. Siapa ya?”

“Azza.”

Irdina menepuk dahi baru teringat. “Azza, baru kak ingat. Kakak minta maaf banyak-banyak sebab lupa nama Azza. Oh, ya. Ini Kak Ashikin, kawan baik kakak dan juga classmatemerangkap roommate.

Ashikin menyambut salam Azza. Senyuman tidak lekang dari bibir pelajar Tingkatan Lima itu.

“Kami nak ke kelas ni Azza. Nak buat tugasan. Azza nak ikut sekali?” Ajak Irdina.

"Tak mengapa kak. Sebenarnya saya ni disuruh memberi surat ni kepada kakak,” ucap Azza sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih.

Irdina dan Ashikin berpandangan. Ashikin memberi isyarat agar Irdina menerima saja sampul surat misteri yang dihulurkan apabila perasan Irdina kelihatan teragak-agak.

“Surat dari siapa ni Azza?”

“Dia tak suruh betitahu nama. Dia pesan, kalau nak tahu, mesti baca surat tu dulu. Saya minta diri dulu ya kak. Ada perrjumpaan pengawas asrama,” jawab Azza sambil bersalam dan meminta diri.

Sampul putih di tangan dibelek depan dan belakang untuk mencari kalau-kalau nama pengirimnya ada, namun kedua-dua belah sampul putih bersih tanpa tinta. Ashikin memerhati saja perlakuan Irdina.

“Bila kau nak baca surat tu? Takkan nak pegang sampai pagi esok?” Ashikin menyakat.

Irdina seperti tenggelam dalam fikirannya sendiri dan tidak sedar pertanyaan Ashikin. Oleh kerana bosan menunggu respon Irdina, Ashikin membuka pintu bilik dan memimpin Irdina masuk ke dalam. Irdina pula seperti zombi saja dan terus duduk termangu di katil.

“Teruk betul kau ni Dina. Baru dapat surat dah trauma. Kalau susah sangat, biar aku bacakan surat tu. Lepas tu terpulang pada kau nak buat apa.” Ashikin memberi cadangan.

Tanpa diduga, Irdina menghulurkan surat misteri kepada Ashikin. Dia seperti tidak kisah kalau isi surat diketahui oleh orang lain. “Kau baca supaya aku boleh dengar. Terus-terang aku cakap, aku takut dan aku tak suka.”

“Kau pasti? Tak kisah aku baca?”

Irdina menggeleng.

“Baiklah,” kata Ashikin. Bahagian tepi sampul dikoyakkan, surat diambil keluar dan dibuka perlahan. Tatkala membaca ayat pertama, Ashikin tergamam dan cepat-cepat menyerahkan surat kepada Irdina. “Kau baca sendiri Dina. Aku tak sanggup.”

Walaupun keberatan, Irdina memberanikan diri membaca. Isi kandungan surat dari Abang Mus membuatkan Irdina geli-geleman. Lelaki itu bermain kata-kata mengungkap rindu. Kata Abang Mus, hatinya sudah terpaut sejak pertama kali terpandang Irdina. Siangnya asyik terbayang wajah, malamnya pula dibuai mimpi indah bersama Irdina. Di hatinya cuma ada Irdina. Penghujung surat diakhiri dengan kata cinta dan sayang, berharap kasih berbalas. Sebaik surat habis dibaca, Irdina meramas kertas putih bertinta biru di tangan lantas dimasukkan ke dalam bakul sampah. Ashikin memerhati saja perlakuan temannya itu tanpa berani bersuara. Irdina kalau sudah marah atau tidak suka, jangan diusik, ditanya atau diuji.

“Shikin, aku tak jadilah nak ke kelas. Kita buat kerja di bilik ni saja, boleh? Aku tak ada mood.”

Ashikin mengangguk faham lantas membawa beg dan buku-buku ke meja belajar yang disediakan di tengah-tengah bilik asrama mereka.

“Tolong jangan tanya pasal surat tu dan jangan sebut nama lelaki tu. Aku tak akan balas surat dia mahupun perasaan dia, biar dia gila bayang. Kalau dia ada tanya kau, kau cakap saja aku sudah ada teman istimewa,” ucap Irdina sebaik melabuhkan punggung di kerusi.

Ashikin tergamam tapi mengangguk juga. Bila pula Dina ada teman istimewa? Hatinya berbisik, tidak berani bertanya dengan lisan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.