PROLOG
Pada mulanya
Irdina Qaisara tidak ada hati hendak mendaftar masuk ke Tingkatan 6, tetapi dia
tidak ada pilihan lain. Tawaran untuk menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS
belum diterima. Itu pun Irdina sekadar mencuba nasib memohon kursus-kursus diploma
saja. Matrikulasi? Percaya atau tidak, dia terlupa untuk menghantar borang
permohonan.
Sehari suntuk
dia dimarahi mamanya, Puan Khadijah. Natijah dari kealpaan itu, dia terpaksa
menunggu tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat Diploma saja. Dengar-dengar
khabar, pertengahan Julai atau awal Ogos barulah surat tawaran dihantar kepada
pemohon-pemohon yang berjaya. Entah bagaimanalah nasib Irdina nanti, diterima
atau tidak risau juga dia memikirkan.
“Itulah, mama
selalu pesan belajar rajin-rajin, mula dari awal. Sekarang ni kalau dapat 5A
sekalipun, susah nak dapat tawaran U, tau?” Puan Khadijah berleter buat
kesekian kali. Sebagai seorang ibu dan seorang pensyarah, dia agak terkilan
kerana keputusan Irdina tidak seperti yang dijangka. Entah di mana silapnya.
Acapkali dia menyalahkan dirinya yang sering berpergian dan berkursus sehingga kurang memberi perhatian kepada anak bongsunya itu.
Irdina pula merasa
dirinya sudah membuat yang terbaik. Itu saja yang dia mampu. Teruk sangat ke
kalau aku mendapat 5A, 3B dan 1C dalam SPM yang lalu? Fikir Irdina.
Kalau mak ayah
orang lain, sudah tentu mereka akan cukup bersyukur bila anak mereka mendapat
keputusan begini, Irdina mengomel sendirian selepas dibebel mama pada hari
mengambil slip keputusan.
Alah, bukannnya aku
seorang yang sangkut. Ashikin, Aina, dan Iman pun terpaksa menyambung persekolahan di Tingkatan 6 juga walaupun keputusan SPM kami
hampir sama dengan keputusan aku, fikirnya lagi. Bila dia bercakap begitu pada
mamanya, dia sendiri yang kena balik.
“Alasan! Gunakan
kawan-kawan sebagai helah bela diri dan tak mahu mengaku kesalahan sendiri,”
kata Puan Khadijah. Irdina terkedu.
Papanya pula tidak
mahu Irdina membuang masa.
“Kalau tak nak sambung
belajar, papa akan carikan calon yang sesuai dan kahwinkan Dina dengan dia. Nak
ke jadi suri rumah? Jaga makan pakai suami? Jaga anak?” soal papanya, Encik
Wahab.
Kecut perut
Irdina mendengar kata-kata yang berbaur ugutan dari papanya. Macam mana dia hendak menjadi surirumah, satu kerja di rumah dan di
dapur pun dia tidak tahu hendak buat. Inilah bahananya terlalu bergantung
dengan orang gaji. Cuci dan seterika baju sekolah pun tidak pernah dibuat
sendiri. Kalau setakat mencuci baju menggunakan mesin basuh tak mengapalah
juga, tapi memasak untuk suami, anak? Sorilah! Ngeri Irdina mengenangkan.
Akhirnya Irdina
bersetuju tetapi dia perlu berpindah ke sekolah lain kerana di sekolah asal
kelas-kelas yang ada hanyalah sehingga Tingkatan 5 saja. Semasa mendapat surat
tawaran untuk ke Tingkatan Enam Irdina terkejut sebab sekolah barunya itu adalah
sebuah kolej untuk pelajar-pelajar terpilih. Wah! Teruja juga dia mengenangkan
diri yang akan menjadi pelajar kolej yang terkenal itu.