Home Novel Keluarga TAKKAN BERPALING DARIMU
TAKKAN BERPALING DARIMU
Wafa Arissa
28/8/2015 10:26:18
1,142
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
PROLOG

“Fira, ni ada surat untuk kau,” teguran Tia memecah kesunyian di dalam pusat sumber kolej.

Safirah kerutkan dahi. Tangannya terus kaku pada buku yang dipegang yang masih berada di atas rak buku. Matanya mengerling kertas kecil di tangan Tia.

“Dari siapa?” tanya Safirah dengan nada serius.

“Tu...” Tia juihkan bibir ke arah si jejaka yang duduk selang tiga meja jauhnya dari mereka berdua. Jejaka itu seperti memerhati dan menunggu reaksi darinya.

“Zaid?”

Tia mengangguk.

“Ehem!” pengawas pusat sumber yang sedang menyusun buku berdehem memberi amaran. Matanya menyorot ke arah Tia dan Safirah.

Safirah tarik lengan Tia dan bergerak ke rak buku yang agak ke belakang.

“Dia nak apa?” tanya Safirah dengan nada rendah, hampir berbisik.

“Manalah aku tahu. Kau bukalah surat tu...baca. Aku pun nak tau isinya,” balas Tia. Berminat juga dia hendak mengetahui isi surat pelajar bernama Zaid untuk sahabat baiknya itu.

Safirah lihat surat yang masih kemas berlipat di tangan. Hatinya main tarik tali, nak baca ke tidak, nak baca ke nak buang. Bergetar juga rasa hatinya, maklumlah pertama kali menerima surat dari seorang jejaka.

Apa mimpi Zaid mengutus surat buatnya. Tanpa sampul, tanpa stem, cuma dilipat dan diklip dengan dawai kokot. Hampeh! Tak romantik langsung, fikir Safirah. Sempat pula dia berfikir begitu.

Apa perlunya dia tulis surat? Fikir Safirah. Mereka berdua sering bertembung di koridor sementelahan kelas mereka berdua bersebelahan sahaja. Rumah pun bukannya jauh. Baling batu pun boleh dengar.

Kalau ada keperluan, cakap sajalah, fikirnya lagi. Safirah kemudian meninggalkan Tia terpinga-pinga. Menonong dia berjalan ke arah meja di mana Zaid sedang duduk. Melihat Safirah menghampiri, Zaid pura-pura membuka buku di atas meja.

Sampai di meja Zaid, Safirah letak surat yang belum dibuka ke atas meja.

“Yang awak tulis-tulis surat ni kenapa? Tak boleh cakap depan-depan ke?” tanya Safirah dengan muka garang.

Zaid terkulat-kulat. Terkunci mulutnya berdepan dengan Safirah, gadis pujaan hati. Nak cakap depan-depan macam mana? Malulah, fikirnya dalam diam.

“Ambik balik surat ni. Saya tak nak simpan. Kalau bapa saya terjumpa, bukan setakat saya, dengan awak-awak sekali mati dia kerjakan.” Safirah letak surat yang belum dibuka di atas meja.

Zaid telan airliur. Hesy, kalau simpan elok-elok, mustahil dia jumpa. Tak kan kerana surat sampai nak membunuh? Fikir Zaid.

“Awak belum baca lagi kan? Bacalah dulu, lepas tu awak nak buang ke, bakar ke, terpulang.”

Safirah berpeluk tubuh. “Tak nak baca. Awak cakap saja.”

Giliran Puan Flora, pegawai yang menjaga pusat sumber pula berdehem.

Zaid capai surat dan simpan dalam poket seluar. Dia kemudian berdiri dan dengan berani dia tarik lengan Safirah lalu menarik gadis itu keluar dari pusat sumber. Tia terlopong. Safirah sendiri tergamam namun kakinya melangkah menuruti langkah Zaid.

Sampai di luar, Safirah rentap lengannya dengan kasar dari pegangan Zaid.

“Kenapa dengan awak ni? Tak malu ke orang tengok? Awak buat macam tu lagi, saya tumbuk awak.” Safirah membentak seraya menunjukkan penumbuknya ke muka Zaid.

Tak semena-mena, tangan Zaid capai penumbuk Safirah dan perlahan-lahan tangan Safirah diturunkan. Safirah tidak melawan dek kerana terkejut dengan tindakan Zaid. Surat tadi diambil dari poket dan dibuka kemudian ditunjukkan ke muka Safirah yang membaca lewat mata baris-demi baris apa yang tertulis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.