Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,438
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
PROLOG

PROLOG

Pada mulanya Irdina Qaisara tidak ada hati hendak mendaftar masuk ke Tingkatan 6, tetapi dia tidak ada pilihan lain. Tawaran untuk menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS belum diterima. Itu pun Irdina sekadar mencuba nasib memohon kursus-kursus diploma saja. Matrikulasi? Percaya atau tidak, dia terlupa untuk menghantar borang permohonan.

Sehari suntuk dia dimarahi mamanya, Puan Khadijah. Natijah dari kealpaan itu, dia terpaksa menunggu tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat Diploma saja. Dengar-dengar khabar, pertengahan Julai atau awal Ogos barulah surat tawaran dihantar kepada pemohon-pemohon yang berjaya. Entah bagaimanalah nasib Irdina nanti, diterima atau tidak risau juga dia memikirkan.

“Itulah, mama selalu pesan belajar rajin-rajin, mula dari awal. Sekarang ni kalau dapat 5A sekalipun, susah nak dapat tawaran U, tau?” Puan Khadijah berleter buat kesekian kali. Sebagai seorang ibu dan seorang pensyarah, dia agak terkilan kerana keputusan Irdina tidak seperti yang dijangka. Entah di mana silapnya. Acapkali dia menyalahkan dirinya yang sering berpergian dan berkursus sehingga kurang memberi perhatian kepada anak bongsunya itu.

Irdina pula merasa dirinya sudah membuat yang terbaik. Itu saja yang dia mampu. Teruk sangat ke kalau aku mendapat 5A, 3B dan 1C dalam SPM yang lalu? Fikir Irdina.

Kalau mak ayah orang lain, sudah tentu mereka akan cukup bersyukur bila anak mereka mendapat keputusan begini, Irdina mengomel sendirian selepas dibebel mama pada hari mengambil slip keputusan.

Alah, bukannnya aku seorang yang sangkut. Ashikin, Aina, dan Iman pun terpaksa menyambung persekolahan di Tingkatan 6 juga walaupun keputusan SPM kami hampir sama dengan keputusan aku, fikirnya lagi. Bila dia bercakap begitu pada mamanya, dia sendiri yang kena balik.

“Alasan! Gunakan kawan-kawan sebagai helah bela diri dan tak mahu mengaku kesalahan sendiri,” kata Puan Khadijah. Irdina terkedu.

Papanya pula tidak mahu Irdina membuang masa.

“Kalau tak nak sambung belajar, papa akan carikan calon yang sesuai dan kahwinkan Dina dengan dia. Nak ke jadi suri rumah? Jaga makan pakai suami? Jaga anak?” soal papanya, Encik Wahab.

Kecut perut Irdina mendengar kata-kata yang berbaur ugutan dari papanya. Macam mana dia hendak menjadi surirumah, satu kerja di rumah dan di dapur pun dia tidak tahu hendak buat. Inilah bahananya terlalu bergantung dengan orang gaji. Cuci dan seterika baju sekolah pun tidak pernah dibuat sendiri. Kalau setakat mencuci baju menggunakan mesin basuh tak mengapalah juga, tapi memasak untuk suami, anak? Sorilah! Ngeri Irdina mengenangkan.

Akhirnya Irdina bersetuju tetapi dia perlu berpindah ke sekolah lain kerana di sekolah asal kelas-kelas yang ada hanyalah sehingga Tingkatan 5 saja. Semasa mendapat surat tawaran untuk ke Tingkatan Enam Irdina terkejut sebab sekolah barunya itu adalah sebuah kolej untuk pelajar-pelajar terpilih. Wah! Teruja juga dia mengenangkan diri yang akan menjadi pelajar kolej yang terkenal itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.