Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,444
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2: MINGGU SUAI KENAL & SENIOR SENGAL

Oleh kerana terlalu lapar, Irdina, Ashikin dan Iman dengan berselera makan mee hoon goreng yang tak berapa sedap di kafeteria kolej. Tiba-tiba ada seorang senior berjalan ke arah mereka dengan lagak macho. Meluat betul Irdina dengan mamat ni. Orang tengah makan, dia sibuk minta nombor telefon. Dia ingat aku ni operator telekom ke? Bentak hati Irdina.

“Maafkan saya saudara, saya datang ke sini untuk belajar, bukan untuk bertukar-tukar nombor telefon,” dengan selamba rock saja Irdina menjawab. Mukanya pun langsung tak dipandang.

Terbeliak mata Ashikin dan Iman mendengar jawapan yang Irdina berikan. Senior yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Mus terus bangun dan menghilangkan diri. Padan muka!

“Kau gila ke, Dina? Berani kau cakap begitu pada senior?” tempelak Iman.

“Alah, setakat senior Enam Atas, tak ada apa-apalah Iman. Kan betul apa aku kata? Kita datang sini sebab nak belajar, bukan nak buang masa,” balas Irdina.

“Betul tindakan Dina tu, Iman. Lagipun Dina minta maaf dulu sebagai muqadimmah,” sokong Ashikin.

“Banyaklah kau punya muqadimmah. Aku harap dia tak berdendam ke, apa ke pada kau nanti. Kita ni di masih baru di tempat orang, kita mesti pandai bawa diri,” Iman memberi peringatan.

Irdina kurang faham dengan kata-kata Iman, hanya mendiamkan diri. Malas bertekak pasal perkara yang tidak penting.

“Berlagak betul pelajar-pelajar Enam Rendah ni kan? Ada yang jual mahal lagi tu,” salah seorang pelajar lelaki yang duduk dalam satu kumpulan di belakang mereka bersuara. Irdina

dapat merasakan butir bicaranya itu ditujukan kepada dirinya.

“Nasib baik mee hoon sudah habis aku makan, kalau tidak, ada yang mandi mee hoon goreng tu,” bisik Irdina pada Ashikin membuatkan kawannya itu ketawa.

“Iyalah kan. Belum apa-apa dah tunjuk lagak di sini. Macamlah cantik sangat,” tambah seorang lagi.

Irdina dapat rasakan darahnya menyirap naik ke kepala. Dia mahu menoleh untuk menjawab namun dihalang oleh Ashikin dan Iman. Ashikin memberikan isyarat dengan matanya yang besar dan bulat agar mereka segera menghabiskan minuman dan beredar dari situ.

“Biarlah dia berlagak. Dia belum bertemu lagi dengan lawannya,” pelajar yang pertama tadi memberi komen dengan suara yang lebih nyaring.

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak, aku lagilah tak ingin!” salah seorang daripada mereka mengherdik disambut ketawa yang lain. Ketawa yang amat menyakitkan telinga. Hati Irdina mendidih dengan rasa marah sehingga bahangnya dapat dirasakan bagai menyelinap ke pelusuk tubuh.

Irdina sudah hendak berdiri untuk bersemuka dengan kumpulan pelajar lelaki tersebut tetapi dengan pantas pula Ashikin menarik tangannya. Bagaikan bodyguard, mereka berdua memegang kedua lengan Irdina dan memaksa Irdina mengikut mereka beredar dari kantin.

“Kenapa halang aku? Tangan aku ni dah gatal nak menampar. Mereka tu perlu diajar,” Irdina betul-betul geram. Teringat masa di sekolah lama dulu dia pernah memukul rakan sekelas dengan batang penyapu sebab menggelar Irdina dan kawan-kawannya GRO. Akibat bergurau tak kena tempat, badan binasa. Berbirat badannya dikerjakan Irdina. Nasib baik ada saksi yang mendengar dia mengejek, kalau tak, Irdina boleh digantung sekolah atas sebab mencederakan pelajar lain.

“Dina, aku kenal sangat dengan perangai kau ni. Aku minta tolong sangat-sangat, kau kontrollah sikit baran kau tu. Tak elok untuk reputasi kau nanti,” Iman menegurku.

“Apa yang kau merepek pasal reputasi segala ni Iman? Aku bukannya artis. Lagipun, salah ke kalau aku mempertahankan maruah?” Irdina membantah.

“Itu aku tahu, aku faham. Tapi janganlah kena tegur sikit, kena sindir macam tu kau terus naik angin. Biarkan sajalah. Tak ke mana pun sindiran mereka tu. Aku tak mahu kau jadi mangsa dendam pula. Sekarang ni kerana dendam, macam-macam benda orang boleh buat tau? Kau tak takut kena ilmu hitam ke?” pertanyaan Iman menakutkan Irdina. Bagaimana Iman boleh terfikir benda-benda macam ni? Terlebih menonton filem-filem seram David Teoh agaknya. Irdina akui ada benarnya kata-kata Iman. Kenapalah dia tak boleh bersikap tenang saja? Ashikin pun terdiam mendengar ceramah percuma dari Iman.

“Okey, aku faham sekarang. Aku minta maaf, lepas ni aku akan lebih berhati-hati di dalam percakapan dan perbuatan. Dahlah, kita lupakan hal tu. Jom, kita berlatih sikit sebelum raptai,” balas Irdina lantas mengajak mereka masuk ke dalam dewan.

“Kertas apa ni kak?” soal Irdina apabila salah seorang AJK Minggu Suai Kenal dari Tingkatan 6 Atas menghulurkan sekeping kertas kepadanya.

“Ada kawan kakak minta tolong sampaikan,” balas kak Intan Suraya.

Irdina, Iman dan Ashikin berpandangan. “Betul ke ini untuk saya? Tak salah orang ke?”

“Kawan kakak kata bagi surat ni kepada junior bernama Irdina. Setahu kakak, awak seorang saja bernama Irdina di sini kan?”

Aku mengangguk perlahan. Kertas yang dihulur diambil. “terima kasih kak.”

Kakak bernama Intan Suraya hanya senyum dan beredar ke bahagian hadapan dewan.

“Amboi Dina, belum sampai seminggu di sini dah ada secret admirer. Tu belum kira a known admirer di kafeteria tadi. Ish, buat aku cemburu je,” ucap Ashikin, seraya mencebik bibir.

“Jangan nak mengarut. Lepas dibaca, kertas ni akan masuk tong sampah. Aku tak akan layan sesiapa pun, okey,” pintas Irdina. Kertas yang berlipat dibuka perlahan.

Tiga pasang mata tertumpu kepada coretan ringkas di dalam kertas

“Kau ni memang bertuah Dina. Dalam masa satu hari ada dua orang abang senior yang nak berkenalan. Aku ni ada ke yang minat?” Iman separuh merungut. Nada suaranya seperti kecewa.

“Bagi kau bertuah, bagi aku bala. Aku tak ada niat nak memikat sesiapa. Kalau mama aku tau aku layan benda macam ni, lunyai aku dikerjakan. Kau bukan tak kenal mama aku.”

“Pandai-pandailah sembunyi,” kata Iman. Sama ada dia serius atau main-main, Irdina tak pasti.

No thank you. Aku tak mahu, titik!” ucap Irdina dengan tegas. Kertas kecil direnyuk lantas dibuang ke dalam tong sampah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.