Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,426
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1: COLLEGE GIRL

Seawal pukul 7:00 pagi Irdina sudah dihantar oleh Encik Wahab ke kolej. Dia ditinggalkan pintu pagar utama saja, kata papanya Irdina bukan budak Tahun Satu atau Tingkatan Satu lagi sehingga perlu ditemani. Irdina mencemik muka. Sampai hati papa, hatinya mendongkol. Kalau sekolah lama dia tidak perlu merasa janggal. Ini tempat baru, dia tidak kenal sesiapa pun di situ dan tidak tahu selok belok kolej tersebut.

“Tapi, kalau ada perlu apa-apa , telefon papa. Alah, sudahlah tu, tak payahlah nak buat muka sedih pula. Tak seronok ke sekarang ni Dina dah jadi college girl?” ucap papanya selepas Irdina bersalam, mungkin perasan dengan mata Irdina yang mula digenangi air.

“Belajarlah menyesuaikan diri di tempat baru ni. Lagipun, sementara saja sehingga dapat tawaran sambung belajar,” sambungnya lagi.

Irdina bukannya sedih sebab disuruh mendaftar sendiri, dia sedih sebab mamanya tidak dapat ikut menghantar sekali. Kebelakangan ini Puan Khadijah sangat sibuk sehingga Irdina merasa terabai sedikit dan kesunyian. Sebak rasa dada, maklumlah dia anak perempuan tunggal dan sangat rapat dengan mamanya.

Walaupun mamanya tegas dan kadang-kadang macam singa tapi dia tahu, Puan Khadijah sangat sayangkan dirinya. Irdina tahu mamanya tidak begitu gembira dengan keputusan SPMnya yang tak secemerlang keputusan abang-abangnya dulu, tetapi dia membelikan juga hadiah untuk Irdina.

Irdina terus masuk ke perkarangan kolej. Kekok benar rasanya menjadi bahan tontonan pelajar-pelajar yang memerhatinya semenjak tadi. Matanya melilau ke sana ke mari mencari dewan tempat pendaftaran. Akhirnya dia memberanikan diri bertanya seorang pengawas perempuan yang sudi menemaninya terus ke dewan sekolah.

Pelajar Tingkatan Lima yang memperkenalkan dirinya sebagai Azza sangat peramah orangnya. Sempat juga mereka berdua bertukar cerita walaupun hanya berkisar tentang sekolah asal Irdina.

Irdina kemudian ditinggalkan di dewan sendirian. Mula-mula hanya dia seorang di situ, lama-kelamaan suasana di dalam dewan menjadi hingar-bingar apabila bilangan pelajar yang tiba semakin bertambah. Ada yang datang bersendirian seperti dirinya, ada yang ditemani ibu atau bapa.

Irdina duduk di tempat yang disediakan tetapi sengaja memilih kerusi yang paling belakang. Dia perlu menunggu kawan-kawannya datang untuk mendaftar bersama. Bahang panas yang kian terasa menyebabkan Irdina rimas. Kepalanya sudah mulai berdenyut-denyut.

“Aduh! Panasnya! Tak pernah dibuang ke debu kipas ni?” Irdina merungut. Kipas angin di atas kepala pun tak dapat dirasa kesejukkannya.

Kertas yang diedarkan oleh seorang guru tadi digunakan sebagai kipas untuk menyejukkan muka yang berpeluh.

Migrain, migrain, janganlah kau menyerang sekarang, Irdina mengomel. Itulah kelemahan Irdina. Kalau berada di tempat yang sesak, panas dan tertutup aku akan diserang migrain.

Penat betul menunggu.

“Bosannya, mana hantu empat ekor tak sampai-sampai lagi ni? Takkan sesat?” Irdina membebel sendiri bila kelibat tiga orang kawannya belum kelihatan sedangkan sesi pendaftaran telah bermula setengah jam yang lalu.

Dalam dia leka melayan perasaan ‘emo’, dia dikejutkan oleh satu tepukan di bahu. Ashikin rupanya.

“Mana yang lain?” Selamba saja Ashikin menyoal, walhal Irdina sudah naik geram menunggu mereka yang tidak kunjung tiba. Dia rasa dia yang lebih layak mengajukan soalan itu.

“Hello kawan. Aku dari awal pagi tadi keseorangan tau! Aku ingatkan kau dan yang lain-lain sudah tukar fikiran” Ashikin diberi jelingan tajam.

“Marah?”

“Tak, aku gembira sangat. Kau tengoklah senyuman ubat gigi Darlie aku ni,” balas Irdina dengan tersengih untuk menampakkan barisan gigi seperti dalam iklan ubat gigi.

“Maaflah, tak sengaja. Aku berperang mulut dengan perempuan berlagak bagus tu. Hampir-hampir aku tak dapat datang,” Ashikin mula bercerita. Badannya disandarkan dan mukanya kelihatan tegang.
Bila Ashikin sebut perkataan berperang Irdina sudah dapat mengagak, dia dan ibu tirinya mesti berselisih faham lagi.

Muka Ashikin di pandang. Rasa kasihan menyelinap di hati. “Kita setel mendaftar dulu. Lepas tu kita cakap pasal tu. Kawan kita tiga orang lagi tu jadi ke tak?” Ashikin hanya mengangkat bahu.

Mungkin kurang fokus kerana dibebani masalah dengan ibu tirinya. Nasib baik Iman sampai juga, membantu Irdina menghiburkan hati Ashikin. Irdina sedikit lega melihat wajah Ashikin yang sentiasa menjadi mangsa ibu tirinya itu mengukir senyum.

Tiba giliran Irdina mendaftar. Dia ditanya sama ada hendak duduk di asrama atau tidak. Asrama? Irdina tidak perasan yang kolej ni ada menyediakan asrama. Rupa-rupanya pelajar-pelajar Tingkatan Enam digalakkan untuk tinggal di asrama.

Ya Allah! Cuai betul aku ni. Kenapa aku tak baca betul-betul? Kalau aku tahu lebih awal, aku akan minta supaya mama dan papa benarkan aku jadi pelajar asrama sebab aku memang sudah lama mengimpikan kehidupan di asrama. Mesti best, kan? Irdina membebel di dalam hati.

Ashikin kata dia tahu, tapi dia belum sempat berbincang dengan bapanya. Iman pula memang tidak berniat untuk menjadi pelajar asrama. Leceh dan mengongkong. Cukuplah dikongkong dengan peraturan sekolah, kata Iman.

Pelajar-pelajar baru kemudian diberi masa untuk rehat di kantin sebelum kembali ke dewan untuk sesi taklimat dari Penolong Kanan Tingkatan Enam. Hendak ucapkan Selamat Datang lah tu. Mulai esok hingga hari Jumaat, mereka akan mengikuti Minggu Suai Kenal dan kesemua pelajar yang telah mendaftar diwajibkan menyertai setiap aktiviti yang disediakan. Tengahari itu mereka bertiga balik bersama dijemput oleh abang Iman.

Sepanjang perjalanan mereka begitu asyik bercerita termasuklah impian dan rancangan Irdina yang berhasrat untuk menjadi pelajar asrama. Ashikin pun berfikir benda yang sama. Dia amat yakin ibu tirinya secara tidak langsung akan membantu meyakinkan bapanya tentang kebaikan tinggal di asrama.

“Dia sanggup buat apa saja asalkan aku keluar dari rumah tu.” Ashikin mengadu, nada suaranya menyembunyikan sebak. Alamak! Mungkin terlalu seronok, Irdina lupa untuk bertanyakan apa yang berlaku pada Ashikin tadi. Irdina berbisik pada Ashikin kerana tidak mahu abang Iman tahu tapi Ashikin kata apa yang berlaku sudah tidak penting sekarang. Irdina mengangguk faham dan memintanya agar bersabar.

Di rumah Irdina memikirkan bagaimana caranya untuk memberitahu mama dan papa tentang keinginannya untuk menjadi pelajar asrama. Apabila papanya balik dari kerja dia meminta nasihat dan pendapat sambil mereka berdua minum petang. Papanya suka dan bersetuju kerana Encik Wahab ni jenis yang suka anak-anaknya berdikari.

Mama pula bagaimana? Fikir Irdina. Semoga yang baik-baik akan berpihak padanya. Lagipun Encik Wahab berkata dia akan memberi sokongan 100% kepada Irdina.

Malam itu Irdina tidur awal dari biasa. Entah kenapa dia tidak sabar menunggu datangnya hari esok.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.