Home Novel Komedi/Romantik Komedi MATCH MADE IN HEAVEN
MATCH MADE IN HEAVEN
Wafa Arissa
24/2/2014 22:40:44
15,442
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3: NAK MASUK ASRAMA

“Mama, kalau Dina tak silap, dulu mama pernah ceritakan pengalaman mama menjadi pelajar asrama. Seronok ke mama?” Irdina mula menyusun ayat untuk mengambil hati Puan Khadijah.

Mamanya senyum, mungkin teringat kenangan semasa menjadi pelajar asrama.“Memang seronok tapi mama duduk asrama sebab rumah mama jauh. Mama dari daerah lain. Kenapa tiba-tiba sebut pasal asrama ni Dina?”

“Saja nak tau. Ma, kalau Dina duduk kat asrama, mama benarkan tak?” dengan perlahan Irdina mengaju pertanyaan. Dalam hati dia berdoa agar mamanya tidak naik angin.

Tangan mama berhenti daripada memotong sayur sawi. Senyap seketika. “Sekolah Dina tu bukannya jauh sangat dari rumah. Kenapa pula perlu duduk di asrama?”

Ubi kentang yang dikupas dan dibasuh oleh Kak Sinta diletak ke dalam sebiji mangkuk berisi air. Irdina menghampiri Puan Khadijah yang memerhati gerak-gerinya. Dari anak matanya Irdina tahu wanita itu mahukan jawapan.

Mangkuk di letak di atas meja dan Irdina mengambil tempat duduk di sebelah mamanya.

“Ma, kolej tu ada menyediakan asrama dan pelajar-pelajar Tingkatan Enam digalakkan tinggal di asrama. Dina teringin sangat hendak merasa duduk di asrama macam abang-abang dulu. Bunyinya macam best saja ma,” jelas Irdina sambil cuba mengambil hati.

“Di rumah pun Dina boleh belajar, tak payahlah duduk di asrama,” bantah Puan Khadijah.

“Memang boleh ma. Tapi banyak kerja yang Dina perlu buat bersama kawan-kawan sekelas, terutama sekali untuk subjek Pengajian Am. Banyak kerja berkumpulan dan tugasan-tugasan yang cikgu berikan pun bukannya senang untuk dibuat bersendirian. Tingkatan 6 ni sudah disamakan dengan Pra-U. Lebih kurang macam matrikulasi juga.” jelas Irdina lagi dengan bersemangat.

Irdina sendiri pun hairan. Mula-mula dulu dia negatif sangat tentang Tingkatan 6, tetapi ceramah ‘Laluan Lain ke Universiti’ yang diberi oleh Kaunselor sekolah semasa minggu suai kenal telah membuka mata dan minda Irdina.

Kalau dia berusaha dengan tekun dan konsisten, dia pun boleh masuk U dan terus ambil kursus Ijazah Sarjana Muda. Semenjak itu, Irdina memasang azam untuk menebus kesilapannya tahun lepas.

Puan Khadijah hanya diam. Tangannya menyambung kerja memotong sayur sawi. Selesai itu, dia memotong ubi kentang. Mamanya seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri, sedang berfikir agaknya. Irdina cuba beranggapan positif.

“Dina ada bincang dengan papa pasal ni?” akhirnya Puan Khadijah bersuara setelah habis ubi kentang dipotong.

“Sudah. Papa kata bincang elok-elok dengan mama dulu. Kalau mama beri green light, papa ikut saja. Papa kata ini satu peluang untuk Dina belajar berdikari. Kalau berjauhan dengan keluarga nanti, Dina tak akan rasa kekok,” bersungguh-sungguh dia memberi penjelasan. Sebenarnya ayat papanya berhenti pada perkataan berdikari. Yang lain tu Irdina tambah sendiri. Dia cuma mahu mamanya faham.

Mamanya diam lagi seolah-olah apa yang Irdina katakan tadi hanya angin lalu.

Risau betul aku bila mama begini, bisik hati Irdina.

Selesai menyediakan bahan-bahan, mama bangun. Periuk sudah tersedia di atas tungku dapur. Hari ini menu makan tengahari mereka ialah kari daging lembu, sayur sawi dicampur udang masak dengan sos tiram, ikan kembung goreng, ikan masin dan sedikit ulam-ulam.

Irdina masih tercongok di kerusi menanti respon. Dia agak bimbang mamanya akan memberikan respon negatif.

“Ma, kalau tak ada apa-apa lagi yang Dina perlu tolong, Dina masuk bilik dulu ya. Ada kerja rumah yang belum siap. Baru dua minggu, kerja rumah dah bertimbun,” sengaja Irdina berkata begitu untuk menagih simpati.

Mamanya memandang sekilas dan hanya mengangguk.

“Dina.”

“Ya, ma.”

“Berikan mama masa untuk fikir dan bincang dengan papa,” ucap Puan Khadijah seraya memberikan Irdina satu pandangan penuh kasih sayang. Redup mata mamanya membuatkan hati Irdina berdetik hiba.

Irdina senyum dan mengangguk sebelum naik ke atas. Memang benar, kerjarumah yang diberikan cikgu sangat banyak sehinggakan Irdina merasa tidak larat untuk menyiapkan semuanya dalam masa dua hari.

Nasib baik aku tak ambil subjek sains, kalau tak memang KO! Dalam aku cuba membuat keputusan kerjarumah yang mana satu aku hendak buat dahulu, Irdina mengomel sendirian tatkala telefon bimbit berbunyi. Nama Ashikin tertera di skrin.

“Assalamualaikum, kau tengah buat apa tu?”

“Waalaikumusalam. Aku tengah bengang ni. Tak tau mana satu aku nak buat dulu. Sejarah dua esei, BM pun esei. I simply do not know what to do.

“Samalah dengan kes aku ni. Kita buat sama-sama nak? Dalam pukul dua petang nanti aku ke rumah kau.” Ashikin memberi cadangan.

“Ok juga tu. Iman bagaimana?” tiba-tiba Irdina teringatkan Iman yang juga sekelas dengan kami. Aina dan Izzah tidak jadi menyambung di Tingkatan 6. Kedua-duanya lebih rela duduk di rumah sementara menunggu tawaran. Untungnya mereka berdua punyai mak dan bapa yang sporting!

“Aku dah tanya Iman tadi, dia tak dapat ikut serta. Katanya hendak ke airport untuk jemput abang dia,” balas Ashikin dengan nada suara yang agak kecewa. “Macamlah mak atau ayah dia tak boleh jemput.” Ashikin membebel.

“Alah, biarkanlah. Aku tunggu kau datang nanti. Bawa sekali buku Pengajian Am yang kau tunjukkan pada aku hari tu. Aku nak tunjuk kat mama. Oh ya! Aku dah tanya mama pasal duduk asrama tu. Dia minta masa untuk fikir dan bincang dengan papa aku. Ayah kau macam mana? Dia setuju ke?”

“Percaya atau tidak, ayah aku setuju. Nantilah aku ceritakan semuanya. Jumpa nanti ya, assalamualaikum,” ucap Ashikin.

Irdina membalas salam sebelum mematikan panggilan. Dia memilih untuk membuat latihan Sejarah Kertas 1 dahulu. Hampir sejam setengah masa yang dia gunakan hanya untuk mencari bahan dari internet dan juga buku rujukan. Taklah susah sangat sebenarnya cuma dia perlu membaca dan memilih maklumat yang bertepatan dengan kehendak soalan.

“Dina, makan tengaharinya udah siap. Ibu suruh ke bawah, makan.” kedengaran suara Kak Sinta di balik pintu bilik.

“Baik Kak, Dina turun kejap lagi.”

Masa di meja makan Irdina nampak wajah mamanya agak tegang. Mungkin memikirkan permintaan Irdina pagi tadi. Papa pula berselera sungguh makan. Irdina sendiri menceduk nasi ala kadar saja. Tekaknya seperti tidak berselera tapi nasi dan kari daging tetap dikunyah dan telan. Walau apa pun dia mesti terus berusaha untuk mengambil hati mamanya.

“Sedapnya kari daging mama kamu ni Dina. Ada ikan masin lagi. Hmmm...naik lagi berat badan papa ni,” kata papa. Irdina rasa papa sengaja memuji untuk mengambil hati mama yang dari tadi membisu.

“Alah papa ni, semua yang mama masak sedap. Mama is the best chef in the world,” Irdina menambah.

“Iya lah tu Dina. Makanlah masakan mama ni sepuas hati. Bila dah duduk asrama nanti tak ada kamu nak merasa masakan sesedap ini hari-hari,” suara mamanya tiba-tba memecah kesunyian.

Irdina berhenti menyuap, Encik Wahab pula tersandar. Keduanya berpandangan, terkejut mendengar kata-kata Puan Khadijah.

Biar betul mama ni? Mahu saja aku melonjak kerana terlalu gembira, namun keinginan itu ku tahan kerana masih belum ada hitam dan putih. Jangan-jangan mama hanya menyindir atau hendak menakutkan aku, bisik hati Irdina.

“Hai, papa dan Dina ni kenapa? Masakan mama tiba-tiba jadi tak sedap ke?” dengan bersahaja Puan Khadijah menyoal, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

“Eh, sedap ma. Malah semakin sedap,” Irdina memuji. Papanya hanya mengangguk dan dengan matanya yang masih merenung mama, dia mencapai daun pegaga. Irdina hampir tersedak menahan ketawa melihat papa selamba saja mengunyah daun pegaga yang tercecah kicap pedas untuk ikan goreng, bukannya sambal belacan.

Selesai makan, Irdina membantu Kak Sinta mengemas dapur. Sekejap lagi nak masuk waktu Zohor, Irdina bergegas hendak naik ke atas untuk mengemas sikit ‘sarang ular sawa’ (istilah yang mamanya selalu gunakan) sebelum Ashikin sampai. Baru dua tiga anak tangga didaki, terdengar mama memanggil dari arah ruang keluarga. Jantungnya berdebar, takut untuk berhadapan dengan Puan Khadijah.

“Duduk sini sekejap, mama ada perkara nak tanya.” Mamanya memberi ruang untuk Irdina duduk.

Irdina menoleh ke arah papanya yang duduk di sebelah kiri, namun cepat-cepat papanya mengangkat suratkhabar menutupi muka mengelak pandangan Irdina. Apalah papa ni? Hati Irdina merungut.

“Dina dah fikir masak-masak?” soal Puan Khadijah.

Irdina hanya mengangguk tanpa berani memandang wajah mamanya.

“Dina tak rindukan mama dan papa ke kalau duduk di asrama?”

Irdina dapat mendengar getaran sedih di dalam nada suara mamanya. Anak mata mamanya direnung, terasa perit di kerongkongan menahan sebak. Tak sangka mamanya akan bertanya soalan begitu.

“Mama, Dina pasti akan rindukan mama dan papa. Tapi lambat atau cepat, esok atau lusa Dina akan pasti berjauhan dengan mama dan papa dan Dina akan rindu dengan semua orang yang Dina sayang. Dina perlu belajar dan melalui semua ini sekarang. Dina perlu biasakan diri, betul tak mama?” ucap Irdina seraya memeluk Puan Khadijah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.