Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,368
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 20

BAB 20

Effa masih lagi leka menaip di komputer ribanya itu. Kelihatan amat sibuk sekali sehingga tidak beralih pandangannya ke mana-mana arahpun. Diam tidak diam, sudah setahun Effa menjadi pekerja tetap sebagai pakar psikiatri di Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) itu.

Berdasarkan pengalamannya menjalani latihan siswazah di hospital di Universiti Harvard serta beberapa kes-kes yang telah Berjaya Effa tangani, permohonannya untuk bekerja di UMMC itu bukanlah merupakan suatu masalah bagi pihak pengurusan.

Barangkali sudah menjadi rezeki Effa, segalanya berjalan lancar. Effa pula sentiasa menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Alhamdulillah, rezekinya di dalam bidang itu terus mencurah-curah. Khidmatnya sebagai penasihat dan perunding kaunseling dalam Jabatan Hal Ehwal Kemasyarakatan dan Wanita itu masih diperlukan.

Atas sifat-sifat Effa yang mudah mesra dan disenangi oleh semua orang terutamanya di kalangan remaja, Effa banyak memenuhi undangan sebagai penceramah jemputan dalam kempen-kempen kesedaran kepada remaja-remaja di sekolah-sekolah, kolej-kolej dan di universiti-universiti juga.

Jadual kerjanya semakin padat dan ketat. Kadang-kala tiada masa dapat diperuntukan untuk dirinya juga.

Keadaan itu amat membimbangkan Abdullah Said dan juga abang-abang Effa. Namun, bagi Effa kesibukan itu tidak pernah pun membantutkan niat ikhlasnya untuk membantu dan melunaskan tuntutan kerjanya kepada masyarakat. Effa senang dengan kerjayanya itu.

Effa terhenti dari menaip sesuatu di computer ribanya. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Membuat senaman ringkas untuk lima minit bagi melegakan keregangan di tengkuk dan bahunya akibat terlalu lama menekun menaip.

Diperhatikannya hasil tulisan yang ditaipnya di atas meja. Setiap kes yang dikendalikannya perlu dibuat laporan penuh yang merangkumi analisis sesuatu kes, cara menanganinya serta kesimpulan kes itu.

Effa melelapkan matanya sebentar. Teringat perbualan antara dirinya, abangnya serta ayahnya tempohari.

“Kalau macam nilah gayanya.. alamat.. Adik ni jadi Andalusia lah nanti..!” Kata Irwan Hafizy sewaktu mereka sedang bersarapan tempohari. Effa yang mendengar segera menjeling.

“Siapa suruh Angah sibukkan pasal Adik. Angah kalau nak kahwin., kahwin ajelah..! Tak yah tunggu Adik. Adik lambat lagi nak fikirkan hal tu semua..!” Kata Effa sambil mengunyah mee goreng yang digorengnya sebentar tadi.

“Amboii… Cantiknya muka..! Ayah.., cubalah nasihatkan anak dara Ayah ni.. Umur tu dah makin meningkat.. Kita ni punyalah risaukan hal dia. Dia boleh buat poyo aje..!” Adu Irwan Hafizy.

“Betul tu.. apa kata Angah, Dik!.. Kami risau sebenarnya. Takkan Adik nak membujang, tak ada teman sampai ke tua? Kalau Angah dan Along dah kahwin, Ayah pulak nanti dah tak ada.. macamana? Siapa nak jaga Adik?” Sokong Abdullah Said.

Di wajah tuanya terpancar kerisauan yang amat sangat tentang masa depan anak daranya itu.

Effa terdiam. Tersentuh hatinya dengan keperihatinan ayah dan abangnya itu. Dia melihat wajah kedua-duanya. Huh.. memang diaorang ni serius! Sempat lagi Effa berkata-kata di dalam hati.

“Dulu.. kitaorang faham sebab Adik sibuk dengan belajar. Haa.. kitaorang tak kisah pun Adik nak ambik Master. Tapi.. sekarang ni.. Adik gunakan alasan sibuk dengan kerjaya pulak. Huh.. kalau macam ni.. sampai bila nak kahwin..? Adik ingat, ada ke lelaki zaman sekarang yang nak kahwin dengan perempuan yang gila kerjaya ni?” Bebel Irway Hafizy.

Effa memandang wajah abangnya itu. Ditolehnya ayahnya yang diam sambil mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan kata-kata Irwan Hafizy. Effa menarik nafas panjang.

“Okey.. untuk pengetahuan Ayah dan Angah.. Adik memang betul-betul sibuk sekarang ni. Adik tak ada masa nak fikirkan hal tu semua.. Bukan tak nak.. bohonglah kalau Adik kata, Adik tak sunyi tapi.. kerja-kerja Adik ni pun.. dah cukup memeriahkan lagi suasana hidup Adik.” Jawab Effa berhati-hati. Takut menyinggung perasaan ayah dan abangnya itu.

Abdullah Said yang mendengar jawapan Effa sudah menggelengkan kepalanya. Baru sahaja Irwan Hafizy ingin membuka mulutnya untuk berkata, Effa sudah menyambung;

“Ayah.. Angah… tak payah semakkan fikiran fikirkan pasal Adik ni.. Adik hargai semua keperihatinan Ayah dan Angah. Tapi.. setakat memikirkan masalah jodoh Adik.. kita serahkan pada yang maha Kuasa yee.. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa dan bila jodoh Adik sampai nanti. Sebab itu, Adik cakap.. kalau Angah sudah ada calon dan sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga, teruskanlah. Adik sokong!”

“Lagipun.. Adik dah semakin menyukai kerjaya Adik ini. Memang penat.. tapi Adik seronok. Seronok membantu para remaja yang bermasalah dan juga dalam masa yang sama dapat menyumbangkan khidmat dalam memberi rawatan terbaik untuk pesakit-pesakit jiwa..” Sambung Effa.

“Hmm… jangan Adik ikut sekali mental sudahlah..! “ Usik Irwan Hafizy selamba. Dia sudah bangun dari kerusinya.

“Angah ni..! Orang serius.. dia main-main plak! Angah jangan tak tau.. orang Malaysia ni ramai yang mempunyai jiwa yang kacau tau! Memang Nampak normal tapi kalau mereka terlalu ikutkan hati..silap-silap mereka boleh dikatagorikan menghadapi penyakit mental atau tekanan jiwa..” Sanggah Effa tidak mahu kalah.

Irwan Hafizy terus bangun namun sempat dia mencebikkan bibirnya pada adiknya itu. Effa mula bengang. Abdullah Said yang memandang gelagat dua beradik itu hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Tapi Dik… Ayah nak Adik jawab dengan jujur ni.. “ Tiba-tiba Abdullah Said bersuara.

Effa memandang ayahnya. Begitu juga Irwan Hafizy.

“Apa dia Ayah?” Tanya Effa.

“Hmm… Betul ke..Adik tak ada teman lelaki lagi?” Tanya Abdullah Said.

“Err.. belum lagi Ayah. Kenapa Ayah?” Tanya Effa kehairanan.

“Hmm.. kalau belum lagi.. nanti Ayah tolong pinangkan siapa-siapa yang berminat nak cari calon isteri.. Adik setuju tak?” Belum sempat Abdullah Said menjawab, Irwan Hafizy sudah mencelah.

Mendengar itu, Effa sudah menjeling tajam abangnya. Abdullah Said hanya diam sambil tersenyum.

“Ayah.. Kenapa?” Tanya Effa lagi. Daripada hairan, dia menjadi risau pula dengan pertanyaan ayahnya itu.

“Tak ada apa-apalah Adik.. Ayah Cuma Tanya jer.. Ayah tertanya-tanya juga.. anak dara Ayah yang cantik manis ni.. takkanlah tak ada teman lelaki lagi atau setidak-tidaknya kawan lelaki… Ayah harap.. Adik pertimbangkan apa yang Ayah katakan dan risaukan tentang diri Adik tu yee…” Kata Abdullah Said dengan penuh makna.

Effa terdiam. Dia sebenarnya sedar dan faham tentang kerisauan ayah serta abang-abangnya itu. Namun, apakan dayanya…

Effa tersedar dari lamunannya itu. Dia memandang sekeliling bilik pejabatnya itu, laporan-laporan kerjanya yang masih berselerak di atas meja. Serentak itu dia mengeluh.

Entah kenapa tiba-tiba dia teringatkan pemuda yang bernama Azlan itu. Sudah hampir setahun lebih dia tidak melihat kelibat pemuda itu. Entah apa khabarnya, dia sendiri tidak tahu.

Bukan tidak ada kawan lelaki yang Effa kenali tetapi semuanya Effa layan sekadar teman biasa sahaja. Jika ingin dikatagorikan “istimewa” ataupun “lain daripada yang lain”, mungkin Azlan adalah orangnya yang menepati cirri-ciri katagori itu.

Effa sendiri pun tidak faham mengapa Azlan yang sentiasa berada di dalam ingatannya. Kehadiran pemuda itu di dalam hidupnya dengan penampilan-penampilan “secara tidak sengaja” sebenarnya meninggalkan momen-momen indah di dalam diari hidupnya.

Karektor pemuda itu juga sebenarnya menarik perhatian Effa.

Namun, ada suatu perkara yang menghalang Effa untuk mengenali lebih dekat dengan pemuda itu. Kejadian semasa di Hotel Glory Beach Resort, Port Dickson itu sebenarnya memaku terus niatnya untuk rapat dengan pemudaitu.

Dari gaya Surya memperkenalkan Azlan kepadanya dan Emelda, menunjukkan Surya mempunyai hubungan istimewa dengan Azlan.

Bagi Effa, apabila menyentuh tentang Surya, dia tidak mahu lagi mencampuri segala urusan yang berkaitan tentang Surya. Walaupun dia telah melupakan sejarah silam dan persengketaannya dengan Surya, Effa yakin dan percaya Surya tidak akan dapat melupakannya.

Effa tahu dari gaya Surya semasa di dalam dewan di Glory Beach Resort dahulu. Surya memang tidak akan pernah berubah. Dari matanya, Effa tahu, Surya masih lagi menyimpan dendam terhadapnya.

Untuk itu, Effa tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan Surya. Jika itu takdirnya Azlan adalah teman lelaki Surya, Effa terima dengan fikiran yang positif.

Cuma..Effa tidak faham, mengapa Takdir sentiasa “menemukan” dirinya dengan Azlan pada waktu-waktu yang tidak pernah dijangkakan. Malah, selepas setiap pertemuan itu pasti akan meninggalkan “sesuatu” yang melekat terus di ingatannya.

“Hmm… mungkin kini tidak lagi… Aku pun dah tak terserempak dengan dia lagi dah… Dah setahun lebih dah ni..! Entah-entah dia pun dah kahwin dengan si Surya tuhh…!” Kata Effa sendirian.

Sejurus itu, Effa terus duduk tegak dan bersedia menyambung semula tugasan laporannya yang tertangguh tadi.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.