Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
146,531
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 23

BAB 23

Anisah mundar mandir di tepi katil di dalam bilik sewanya itu. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk di atas katil. Fikirannya ligat memikirkan jalan bagi menyelesaikan masalah dan kebuntuan fikirannya.

Sudah berpuluh-puluh sms dan panggilan telefon dibuatnya untuk menghubungi kekasih hatinya Zakuan. Namun semuanya hampa. Zakuan tidak dapat dihubungi. Mana pulak dia pergi ni! Hati Anisah semakin membara. Marah sangat dia pada Zakuan yang tidak menjawab panggilan dan sms nya itu.

Kalau diikutkan, ingin sahaja dia pergi ke tempat kerja Zakuan di Johor Baharu itu sekarang juga! Berita penting ini wajib diberitahu kepada Zakuan. Tidak boleh tidak. Wajib!

Anisah segera berlari mendapatkan beg sandangnya. Dia mengeluarkan sesuatu dari bungkusan kecil itu. Dia merenung “pregnant test kit” yang telah dibelinya petang semalam. Entah untuk kali keberapa, dia melihat dua jalur garisan merah terpapar di skrin kecil test kit itu. Anisah membaca lagi kertas kecil yang mengandungi cara-cara membaca test kititu untuk kesekian kalinya.

“Masa terbaik buat UPT ialah semasa bangun pagi sebab air kencing semasa tu paling pekat (most concentrated). Hmm.. aku dah buat pada waktu yang disarankan. Jika terdapat dua jalur garisan merah bermakna positif iaitu mengandung. Haa… memang ada dua jalur garisan ni..” Anisah berkata-kata sendirian.

Akhirnya, Anisah terpaksa mengakui hakikat bahawa kini dia sedang hamil. Berapa usia kandungannya, dia sendiri tidak tahu. Untuk pergi menemui doctor bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kehamilannya amatlah mustahil. Masakan doctor ingin mempercayai dirinya yang sedang hamil dalam usia 18 tahun itu!

Pasti akan banyak persoalan yang timbul nanti. Suami puan di mana? Pasti itu soalan yang bakal ditanya oleh doctor. Fikir Anisah sendirian.

Anisah menganggarkan bahawa dia kini sedang hamil sebulan berdasarkan kelewatan tarikh haidnya yang mula tidak datang bulan lepas.

Pelbagai persoalan yang membelengu fikirannya kini. Pertama, Zakuan perlu tahu tentang kehamilannya ini. Kedua, bagaimana ingin menyembunyikan kehamilannya ini dari pandangan mata rakan-rakan serumahnya. Dan yang paling penting, bagaimana ingin menyembunyikan kisah sebenar dari pengetahuan Ibu dan Ayahnya di kampung.

“Arrggghhh..!!! Tensionnya!!” Jerit Anisah di dalam bilik sewanya yang kecil itu.

“Aku perlu lakukan sesuatu sebelum perut ini membesar! Tidak… mereka semua tak perlu tahu tentang bayi ini.. Tidak!” Jerit Anisah di dalam hati.

Anisah termenung di situ. Menyesalkah dia? Bukankah sudah terlewat untuk menyesali atas perkara yang telah terjadi? Mengapa baru sekarang dia terfikir apa yang dilakukan itu satu kesalahan dan dosa? Mengapa tidak dari dulu? Sewaktu di awal perkenalannya dengan Zakuan?

Bukankah Ibu dan Ayahnya telah membekalkan secukupnya ilmu agama, tatasusila serta adap sopan seorang gadis Islam sebelum dia menjejakkan kakinya ke universiti lagi? Bukankah sudah berpuluh-puluh ikrar janji yang telah dilafazkannya di hadapan Ibu dan Ayah bahawa dia akan menjaga dirinya, kehormatannya serta nama baik keluarganya? Mengapa terlepas sahaja dari pandangan Ibu dan Ayah, Anisah boleh berubah laku sehingga begitu sekali?

Anisah meraup wajahnya. Dia mengeluh perlahan. Untuk apa menyesal kerana itu adalah kerelaannya sendiri. Dia sendiri yang merelakan hati dan imannya rapuh sebegitu mudah di tangan seorang lelaki yang hanya enam bulan sahaja usia perkenalan.

Masih Anisah ingat detik awal perkenalannya dengan Zakuan. Ketika itu, hanya Anisah seorang sahaja berada di rumah sewanya. Rakan-rakan serumah yang lain masing-masing belum balik dari kuliah lagi. Anisah pula tidak ada kelas untuk hari itu, maka dia hanya mengulangkaji di rumah sahaja.

Dalam Anisah sedang leka mengulangkaji pelajarannya, ketika itulah dia ternampak bayang-bayang seseorang yang pada pandangan Anisah seperti seorang lelaki sedang terhendap-hendap di tepi tingkap biliknya.

Anisah mula cemas. Sudahlah seorang diri di dalam rumah, waktu itu jam baru menunjukkan pukul 2.00 petang. Suasana persekitaran taman perumahan di situ memang sunyi di waktu-waktu begini. Dengan rasa berani-berani takut, Anisah mencapai penyapu di dapur dan bersiap sedia untuk membuka pintu rumah. Anisah nekad, apa nak jadi.. jadilah. Dia tidak akan membiarkan lelaki yang sedang terhendap-hendap di tingkap biliknya itu melakukan sesuatu yang tidak diingini.

Dengan sedikit keberanian yang ada, setelah memastikan yang lelaki itu betul-betul berada di depan pintu masuk rumah sewanya, Anisah lantas membuka pintu lalu terus menghayun penyapu ke muka lelaki itu berkali-kali.

Apa lagi terjerit-jerit lelaki itu meminta Anisah menghentikan tindakannya sambil kedua-dua tangannya menepis serangan bertubi-tubi dari Anisah.

“Hoii..! Saya tuan rumahlah!” Jerit lelaki itu.

Mendengar jeritan lelaki itu, Anisah terhenti. Dia memandang lelaki di hadapannya itu, bagi memastikan adakah benar lelaki itu tuan rumah sewa yang didudukinya sekarang.

“Kata Amira, tuan rumah sewa ni.. Mak Cik Amnah. Tak pernah pulak dia bagitau tuan rumah ni seorang lelaki..!” Sempat otak Anisah memikirkan dalam diam-diam.

“Ya.. saya anak Mak Cik Amnah..! Nama saya Zakuan Adli. Mak saya demam.. tu sebab saya datang wakilkan dia untuk ambil duit sewa bulan ni…”

Bagai tahu-tahu saja Anisah sedang keliru tentang siapakah tuan rumah yang sebenarnya, Zakuan memperkenalkan dirinya. Anisah terdiam.

“Tapi… kalau betul awak anak tuan rumah ni.. kenapa yang terhendap-hendap kat tepi tingkap tu macam pencuri?” Tanya Anisah berani.

Zakuan sudah tergaru-garu kepalanya mencari jawapan yang munasabah.

“Errr… err… saya.. saya…” Zakuan tergagap menjawab.

“Hah.. memang sah lah awak ni bukan anak tuan rumah..! Lebih baik awak pergi dari sini sebelum saya menjerit supaya semua orang kat taman perumahan ni datang belasah awak!” Jerkah Anisah garang.

“Ok.. ok.. nanti dulu.. biar saya buktikan..!” Kata Zakuan. Serentak itu, dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu dia mendail nombor seseorang.

“Mama..! Mama tolong cakap dengan perempuan gila ni Ma.. yang Wan anak Mama! Perempuan gila ni tak percaya Wan datang wakilkan Mama nak ambil duit sewa..!” Kata Zakuan perlahan namun dalam nada yang cemas.

Beberapa saat kemudian, Zakuan menghulurkan telefon bimbitnya kepada Anisah.

“Nah.. cakaplah dengan Mak Cik Amnah sendiri!” Kata Zakuan kasar. Anisah mengambil telefon bimbit dari Zakuan. Sempat dia menjeling tajam ke arah Zakuan.

“Ya.. saya Anisah… Mak Cik ni Mak Cik Amnah ye?.. Ohhhh… maaf, saya tak tahu pulak.. Ya, Mak Cik… okey..okey… hahahha… saya tak ada kuliah hari ni Mak Cik… Hmm… Okey,.. nanti saya bagi kat dia… minta maaf ye Mak Cik.. terima kasih… assalammualaikum…”

Tamat perbualan Anisah dengan Mak Cik Amnah itu, Anisah segera mematikan talian. Teragak-agak dia menghulurkan telefon bimbit itu kepada Zakuan bila mendapati Zakuan merenungnya seolah-olah ingin menelannya!

“Saya … saya minta maaf.. sebab salah sangka kat awak..! Err.. nanti yee.. saya ambil duit sewa tu..” Tanpa menunggu jawapan dari Zakuan, Anisah berlari masuk ke dalam rumah.

Beberapa minit kemudian, Anisah keluar sambil membawa sekeping sampul surat berisi duit sewa bulan itu. Segera dihulurkan kepada Zakuan. Zakuan mengambil sampul surat itu sambil matanya tajam merenung Anisah. Anisah menjadi tidak keruan. Rasa bersalah kerana memukul Zakuan dengan penyapu mula bersarang di dalam diri.

“Encik.. saya minta maaf yee.. pasal tadi.. Saya tak bermaksud nak..” Belum sempat Anisah menghabiskan ayatnya, Zakuan sudah terlebih dahulu menyampuk.

“It’s okay.. Saya pun bersalah jugak sebab datang ke rumah ni macam pencuri. Saya ingat tak ada orang kat dalam rumah ni. Err.. siapa nama awak tadi?”

“Nur Anisah..!”

“Mama saya kata, semua penyewa kat dalam rumah ni.. student Kolej Antarabangsa ehh? Awak ambil jurusan apa?” Tanya Zakuan dalam nada yang mesra.

“Err.. saya ambil mass comm…!”

“Ohh… menarik tu…!”

Begitulah permulaan perkenalan Anisah dengan Zakuan. Dari sehari ke sehari, persahabatan mereka semakin erat. Apatah lagi, mereka saling berhubung melalui telefon, sms mahupun email. Zakuan yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Johor Baharu sering mencari peluang untuk berjumpa Anisah jika ada pelepasan cuti untuknya.

Mungkin persahabatan jarak jauh itu terpelihara kesuciannya jika ianya tidak disertai dengan lanjutan pertemuan demi pertemuan. Apatah lagi, lanjutan dari pertemuan itu telah membenihkan rasa rindu, sayang dan cinta di antara mereka berdua. Anisah yang memang terdidik dari keluarga yang kuat agama memang memelihara kesucian percintaannya itu.

Lebih-lebih lagi, inilah kali pertama dia merasakan hatinya benar-benar menyayangi insan bernama lelaki itu. Selama ini, Anisah dijaga dan dikawal rapi oleh ayahnya yang merupakan seorang imam di kampungnya, manakala ibunya pula seorang ustazah KAFA di sekolah rendah.

Ayahnya melarang keras Anisah berkawan dengan mana-mana lelaki tanpa pengetahuannya. Malah ibunya sentiasa memantau pergerakkannya dan melarang Anisah bercampur dengan kawan-kawan yang lain. Dunia Anisah adalah di sekolah dan selepas itu terus pulang ke rumah. Segala aktviti kokurikulum tidak dibenarkan sama sekali!

Namun, bila dia berjauhan dari ibubapanya dan tinggal di rumah sewa ini, Anisah merasakan suatu kebahagiaan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Hatinya benar-benar lapang kerana terasa hidupnya tidak dikawal sepenuhnya oleh ibubapanya dan dia bebas membuat keputusan sendiri dalam mencari kebahagiaan hatinya yang sebenar.

Bagaimanapun, Anisah sebenarnya tersilap perhitungan. Sangkanya dengan kebebasan yang diperolehi serta bekalan ilmu agama yang dibekalkan oleh ibubabpanya itu dia bisa menangkis segala dugaan nafsu dan hasutan syaitan. Malah kepercayaan penuhnya kepada Zakuan yang mula dicintainya itu telah memakan dirinya semula..!

Mereka berdua akhirnya hanyut lewat di pertemuan kali kelima di mana berakhirnya sebuah mahkota suci yang dipertahankan selama ini dengan kerelaan sendiri di sebuah hotel murah di ibu kota. Keterlanjuran kali pertama rupanya tidak memberi sebarang impak dan pengajaran kepada mereka malah ianya menimbulkan ‘ketagihan’ yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata.

Maka sejak dari itu, setiap pertemuan mereka diulangi lagi dengan keterlanjuran haram itu. Natijahnya, keputusan yang diterima hasil dari ujian ‘pregnant test kid’ itu telah mendapati dirinya hamil..!

Anisah mengeluh lagi. Tidak ada sesiapa yang perlu disalahkan. Dirinya sendiri dan Zakuanlah yang patut dipersalahkan. Semua yang dilakukan atas kerelaan sendiri. Tiada paksaan dari mana-mana pihak pun.

Anisah ligat memikirkan cara bagaimana mahu memberitahu Zakuan tentang hal ini. Anisah mahu memastikan bahawa zakuan harus bertanggung-jawab dalam keterlanjuran mereka itu. Anisah percaya, Zakuan yang juga datangnya dari keluarga yang baik-baik pasti mahu bertanggung-jawab ke atas dirinya agar nama baik keluarganya juga tidak akan tercemar.

Dalam waktu yang sama, Anisah segera membuka computer ribanya lantas jari-jemarinya laju menaip “google” di internet. Entah mengapa, laju sahaja jarinya menaip perkataan; ‘cara-cara menggugurkan kandungan’ di ruangan kotak “google” itu.

Entah berperasaan ataupun tidak, Anisah terus leka membaca pelbagai pilihan artikel hasil cariannya di “google” itu. Masyaallah.. sudah hilangkah sifat-sifat kemanusiaan di dalam diri Anisah?

Di mana keimanannya kepada Allah yang dijaga selama ini? Sudah matikah hatinya sehingga tidak dapat memikirkan mana yang baik dan yang buruk?

Moga Allah masih memberinya ruang untuk bertaubat. Setidak-tidaknya, dia perlu sedar atas apa yang telah dilakukaknnya selama ini..!


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.