Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,346
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 24

BAB 24

Anisah menekan-nekan perutnya yang sedikit membengkak itu. Dari pagi tadi, dia sudah menelan nenas muda sebanyak tiga biji sebagai sarapannya! Sudah seminggu dia berjogging di padang taman perumahannya di awal pagi sebelum dia ke kuliah.

Rakan-rakan serumahnya merasa pelik dengan sikap Anisah semenjak seminggu ini. Biasanya Anisah memang tidak pernah bercampur dengan mereka apatah lagi ingin berjogging seorang diri di taman permainan di kawasan perumahan sewa mereka itu. Namun perubahan itu tidak pernah diluahkan oleh mereka. Barangkali Anisah merasa berat badannya sudah naik akibat tidak pernah membuat sebarang senaman, fikir mereka.

Bagi Anisah, semua yang dilakukannya itu dengan harapan kandungannya itu dapat digugurkan secara semulajadi tanpa pergi ke mana-mana doctor ataupun bidan bagi tujuan menggugurkan kandungannya. Biarpun Zakuan telah berpesan agar menjaga baik-baik kandungannya itu dan dia sendiri juga telah berjanji akan bertanggung-jawab terhadap bayi yang dikandungkan oleh Anisah itu, namun Anisah masih lagi merasa ragu-ragu.

Bolehkah dipercayai kata-kata Zakuan itu? Sedangkan ketika Anisah bertanya apakah yang perlu dilakukan olehnya sekarang, Zakuan hanya memintanya bersabar dan menjaga kandungannya baik-baik. Sementara itu, Zakuan mengatakan yang dia sedang memikirkan cara bagaimana mahu menyembunyikan kehamilan Anisah sehingga Anisah selamat melahirkan.

“Awak jangan risau Nisah.. Saya akan bertanggung-jawab.. Saya nak pergi mana lagi. Lagipun, saya seorang saja harapan Mama saya.. Saya pun tak nak lukakan perasaan Mama saya..” Kata Zakuan memberi jaminan apabila Anisah masih sangsi dengan pengakuannya sebelum ini.

“Saya Cuma mintak satu… Awak jangan memandai-mandai lakukan apa-apa terhadap kandungan awak tu! Saya nak awak bersabar sementara saya cuba fikirkan cara terbaik untuk mengaburi masalah kita ini pada pandangan orang lain..” Pinta Zakuan.

Anisah hanya mendiamkan diri. Memang sekali dengar, Anisah patut bersyukur kerana Zakuan tidak melatah malah turut sama mengakui kesilapan masing-masing. Bukankah Zakuan telah menunjukkan sifat bertanggung-jawabnya itu? Tapi.. entah mengapa, Anisah tidak berapa yakin dengan pengakuan Zakuan itu.

Benarkah Zakuan boleh menerima serta mencintainya lagi setelah dia kini hamil? Bagaimana jika Zakuan tiba-tiba berubah fikiran kerana tidak sanggup melukai perasaan ibu kesayangannya itu?

Habis.. Anisah bagaimana? Segala persoalannya itu benar-benar menyesakkan dada serta membuntukan fikirannya. Maka, tiada cara lain yang terfikir olehnya di saat ini selain meneruskan niat menggugurkan kandungannya itu!

Namun, Anisah tidak sedar... siapa dia jika Tuhan lebih berkuasa atas segala-galanya di muka bumi ini…

Walau berpuluh-puluh kali Anisah melasakkan dirinya dengan membuat senaman berat malah sehingga tahap menumbuk perutnya sendiri serta memakan nenas muda bersama air coke, namun Anisah tidak pernah mengalami apa-apa pendarahan mahupun kekejangan di perutnya. Malah, dari sehari ke sehari, dia mula merasakan pergerakan-pergerakan halus jauh dari dalam rahimnya itu.

Tahulah Anisah bahawa dia kini sedang membawa satu nyawa di dalam rahimnya itu. Nampaknya Tuhan tidak pernah merestui tindakan kejamnya itu. Antara rela dan tidak, Anisah terpaksa ‘membawa’ bayi itu ke mana sahaja dia pergi.

Bagi melindungi perutnya yang semakin terserlah itu, Anisah sering memakai baju bersaiz besar malah kini lebih gemar memakai jubah serta tudung labuh bagi menyembunyikan kandungannya itu.

Tiada siapa yang perasan malah ketika dia pulang ke kampung, Ibu dan Ayahnya juga tidak perasankan perubahan Anisah itu. Anisah juga lebih gemar menyendiri di dalam bilik berjam-jam baik di rumah sewanya mahupun di kampung tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Bagi rakan-rakan serumahnya, mereka sudah terbiasa dengan sikap pendiam dan tidak suka bergaul Anisah itu. Maka, tiada apa-apa yang pelik dan berbeza pada pandangan mereka terhadap perubahan sikap Anisah.

Sehinggalah pada suatu hari, Anisah menelefon Zakuan agar segera pulang ke Kuala Lumpur kerana Anisah ingin berbincang dengan Zakuan mengenai kelahiran bayi mereka itu.

“Awak kata, dalam bulan Jun? Sekarang baru bulan April… Lambat lagi tuhh…” Kata Zakuan di hujung talian sewaktu Anisah menggesa Zakuan pulang juga ke Kuala Lumpur.

“Itu saya agak-agak aje. Saya pun tak tahu bila tarikh sebenar yang sepatutnya saya bersalin. Minggu depan, semester break. Saya tak nak balik kampung. Buatnya time tu.. saya nak bersalin, habislah saya awak…! Tolonglah.. fikirkan apa saja cara dan kat mana saya nak buat persediaan bersalin ni..!” Rayu Anisah.

Zakuan terdiam memikirkan sesuatu.

“Hmm.. ye laa.. Minggu depan saya balik KL. Dalam masa yang sama, saya akan fikirkan alternatifnya. Awak jaga diri ye..!” Kata Zakuan sekaligus sempat berpesan kepada Anisah.

“Hmm… ye laa…!” Jawab Anisah lemah.

Akhirnya petang Ahad itu, Zakuan datang menemui Anisah. Zakuan Berjaya menyewa sebuah rumah teres kawannya di Pantai Dalam dan di situlah juga Anisah ditempatkan sebagai tempat persediaan Anisah melahirkan bayi mereka. Bukan tidak boleh Anisah tinggal di rumah sewa yang didudukinya sekarang kerana semua rakan-rakan serumahnya juga sudah pulang ke kampung. Zakuan memikirkan jika tiba-tiba ibunya datang memeriksa rumah sewa itu dan mendapati Anisah berada di situ maka akan terbongkarlah rahsia mereka itu.

Bagi Anisah, dia merasa lega kerana di saat melahirkan itu, kebetulan pula ianya jatuh pada waktu cuti semester untuk 3 bulan, Kepada ibubapanya, Anisah memberitahu bahawa dia telah terpilih mengikuti program anak angkat dan Anisah akan di tempatkan di salah sebuah keluarga di Pulau Pinang selama 3 bulan. Anisah juga berpesan kepada ibubapanya bahawa dia akan selalu menghubungi mereka di kampung sepanjang program itu.

Walaupun agak sedikit kecewa kerana cuti semester kali ini anak tunggal mereka tidak dapat bercuti di kampung namun ibubapa Anisah sempat berpesan agar Anisah menjaga diri dan mengingatkan agar Anisah selalu menghubungi mereka. Terasa sayu rasa di hati Anisah dengan pesanan ibubapanya namun dengan keadaannya yang tidak mengizinkan itu, Anisah terpaksa menahan diri dan menguatkan hatinya.

Awal pagi Jumaat itu, Anisah terjaga dari tidurnya. Sebenarnya, sudah lama Anisah tidak dapat merasa tidur yang lena, semenjak dia mengetahui yang dirinya mengandung. Banyak perkara yang difikirkannya.

Entah mengapa, semenjak malam tadi, Anisah merasa tidak selesa di bahagian perutnya. Dari berbaring, dia cuba tidur secara duduk pula. Walaupun perutnya tidaklah besar mana namun Anisah dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang menekan kuat dari dalam rahimnya. Asakan demi asakan yang menekan di ari-arinya membuatkan Anisah terus terbangun. Terasa seperti ingin membuang air besar pula.

Namun, ketika dia ingin mencangkung di tandas, tiba-tiba dia dapat merasakan lelehan air keluar dari celah seluarnya. Dia mengamati lelehan itu dan ternyata ada sedikit cairan darah keluar dari pehanya. Anisah mula cemas dan ketika itulah dia terasa seperti ingin membuang air besar. Rasa itu bagai tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Anisah tidak peduli, akibat rasa yang sukar ingin tafsirkan apa yang berlaku di dalam perutnya itu dan ditambah rasa tidak tertahan-tahan ingin meneran, maka Anisah terus melepaskan teranannya itu.

Namun dari teranannya itu, bukannya najis yang disangkanya keluar tetapi meluncur laju satu kepala kecil disertai tubuh mungil terus ke lubang tandas. Anisah terkejut yang amat sangat namun entah dari mana datangnya kudrat itu, Anisah terus menyambut tubuh kecil itu dari terus meluncur ke dalam lubang tandas!

Dalam rasa ngeri, takut, cemas dan pelbagai perasaan lagi, Anisah menarik perlahan keluar tubuh seorang bayi yang masih bersalut lendir bercampur darah itu dari celah kelangkangnya. Namun bayi itu tidak dapat ditarik keluar sepenuhnya kerana tali pusat bayi itu masih terikat dengan urinya yang belum dikeluarkan lagi dari rahim Anisah.

Dalam keadaan terhuyung hayang itu, Anisah merangkak keluar sambil menggendong bayinya yang masih berlumuran darah. Dia merangkak ke dapur dan terus mencapai gunting besar yang berada di atas meja makan. Tanpa perasaan, Anisah segera menggunting tali pusat yang mengikat bayinya dengan urinya itu. Selesai berbuat demikian, Anisah segera menonggengkan bayinya yang sedikit kebiruan itu lantas ditepuk punggung bayi itu berkali-kali.

Anisah mengorek sedikit lendir yang memenuhi mulut bayinya itu sambil meneruskan menepuk punggung bayinya. Maha suci Allah, bayi itu sedikit tersedak lantas terus mengeluarkan tangisan pertamanya itu. Anisah mencapai kain batiknya yang elok terlipat di atas kusyen di ruang tamu. Dibalutnya bayi itu agar bayinya itu tidak kesejukan.

Elok dibalut dengan kain batik, bayi itu berhenti menangis. Anisah memandang bayinya yang sudah berhenti menangis. Di kala itu, hatinya merasakan suatu perasaan bahagia bila memandang bayinya. Comelnya bayi ini! Detik hati Anisah. Dia segera mencium bayinya.

Tiba-tiba, Anisah teringatkan Zakuan. Dengan merangkak juga, Anisah mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja bersebelahan kusyen di ruang tamu rumah sewanya itu.

“Awak.. datang sekarang..! Saya… saya.. dah bersalin…!” Kata Anisah disulami tangisannya itu.

“Hah?? Biar betul!!”

Zakuan yang mendengar terjerit kecil, terus terpisat-pisat bangun dari tidurnya. Dia semakin gelabah dan panic. Ketika dia membuka pintu rumah, Hajjah Amnah menegurnya.

“Wan.. kenapa ni? Nak pergi mana awal pagi ni..?”

Zakuan tersentak namun cuba melindungi kekalutan dirinya sendiri.

“Err.. ka..kawan Wan.. accident Mama! Wan kena pergi lawat dia di hospital, Mama. Kawan-kawan yang lain, semuanya dah berkumpul kat hospital tu..!” Jawab Zakuan gelabah.

Tanpa mendengar jawapan ibunya, Zakuan terus keluar dan memandu keretanya menuju ke rumah sewa Anisah. Sebaik tiba di rumah sewa Anisah, suasana di rumah sewa Anisah agak sunyi. Zakuan sudah mula merasa pelik. Jika Anisah benar sudah bersalin, mengapa dia tidak mendengar suara tangisan bayi?

Zakuan membuka pintu rumah Anisah yang tidak berkunci. Demi terbukanya pintu rumah itu, Zakuan terkejut yang amat sangat apabila melihat lelehan darah yang bersepah di setiap sudut lantai di ruang tamu rumah itu. Dia tercari-cari di mana Anisah.

“Nisah..! Nisah..!” Panggil Zakuan.

Tiada jawapan! Zakuan ke ruang dapur, masih lagi sisa-sisa lelehan darah mewarnai lantai dapur hingga ke bilik air. Dijengahnya ke dalam bilik air, pun tiada! Zakuan berlari ke bilik tidur.

Di situlah, Anisah sedang duduk berteleku di sudut bilik sambil memeluk bayinya yang masih berbungkus kain batik. Sisa-sisa darah juga terdapat di setiap sudut bilik di atas lantai.

Zakuan berlari mendapatkan Anisah. Anisah masih tidak bersuara. Mukanya pucat dan tubuhnya menggigil. Kelihatan darah masih lagi mengalir dari celah peha Anisah.

“Ya Allah.. apa dah jadi ni, Nisah…? Mana baby?” Tanya Zakuan kalut.

Anisah memandang Zakuan. Dia menghulurkan bayi yang dipeluknya itu kepada Zakuan. Zakuan mengambil bayi itu dari tangan Anisah. Dia menyelak kain batik yang menutupi wajah bayi mereka itu. Alangkah terkejutnya Zakuan apabila mendapati bayi itu kebiruan dan tubuh mungil itu benar-benar sejuk.

Zakuan meletakkan jari telunjuknya ke hidung bayi itu untuk merasa helaan dari pernafasan bayi itu. Namun hampa.

“Kita dapat baby boy awak.. Dia tidur tu…!” Kata Anisah lemah.

“Ya Allah awak… awak tau tak.. baby kita dah tak ada.. baby kita dah mati!” Kata Zakuan cemas.

Anisah terkejut namun dia benar-benar tidak berdaya. Malah untuk bangun dan bergerak sekalipun, dia tidak mampu. Anisah memandang Zakuan tanpa perasaan. Zakuan pula mula panic.

Melihatkan wajah pucat Anisah yang hampir-hampir mahu rebah itu dan memikirkan cara bagaimana mahu diselesaikan tentang bayi mereka yang sudah tidak bernyawa lagi itu, hatinya mula tidak keruan. Seluruh badannya menggigil.

“Nisah… awak tunggu sini kejap ye.. Saya uruskan bayi kita. Kejap lagi saya balik dan hantar awak ke hospital. Awak.. awak dah banyak kehilangan darah ni.. Bertahan ye..!” Kata Zakuan dalam kekalutan dan kebuntuan untuk berfikir. Anisah pula sudah benar-benar tidak berdaya.

Sepantas yang boleh, Zakuan mengangkat bayi yang berbungkus kain batik itu lalu terus membawanya masuk ke kereta. Diletakkan bayi itu di tempat duduk di bahagian sebelah pemandu.

Sejurus selepas itu, Zakuan terus memandu keluar dari kawasan rumah sewa Anisah. Zakuan memandu tanpa arah yang pasti sambil di dalam kepala sibuk memikirkan di mana mahu diletakkan bayi itu.

“Kalau aku tanam, mana aku nak cari cangkul dan semua barang-barang nak menggali tu semua. Dan.. kat mana pulak aku nak tanam. Aduhhh…! Macamana ni??” Kata Zakuan sendirian.

Ketika Zakuan melintasi kawasan surau di taman perumahan itu, Zakuan memberhentikan keretanya. Dia membaca papan tanda di hadapan suaru itu; “Suaru Al-Hidayah, Taman Sri Selasih”. Zakuan menarik nafas lega. Dia pasti, dia berada di luar taman perumahan yang disewa oleh Anisah.

Dengan langkah yang berhati-hati sambil memerhatikan kawasan sekeliling dan setelah memastikan tiada seorang pun yang berada di situ, Zakuan terus mengambil bayi itu lalu diletakkan bayi itu di tangga surau.

“Maafkan kami baby.. Ini sahaja yang mampu kami lakukan.. Aku tahu, kau akan bahagia di dunia sana daripada menderita hidup di dunia ini..Maafkan kami…!” Kata Zakuan perlahan dalam nada sebak sambil merenung bayinya itu untuk kali terakhir.

Tidak menunggu lama, Zakuan terus berlari ke keretanya dan terus memecut laju keretanya meninggalkan kawasan surau itu. Zakuan sedar bila-bila masa dari sekarang, orang di kawasan perumahan itu akan tiba ke surau itu untuk menunaikan solat subuh.

Matlamatnya kini ingin membawa Anisah ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum keadaan Anisah benar-benar merbahaya. Setibanya dia di rumah sewa Anisah, Anisah sudah terbaring tidak sedarkan diri. Zakuan terus mendukung Anisah lalu dibawanya masuk ke dalam kereta.

Sempat lagi dia memikirkan, jika dibawa ke hospital sudah pasti banyak prosedur yang akan Zakuan hadapi. Lantas, Zakuan terus membawa Anisah ke Klinik Bersalin Neesha, tidak jauh dari kawasan Anisah tinggal.

Doanya tidak putus-putus agar Anisah masih sempat diselamatkan.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.