Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
271,173
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 35

BAB 35

Jika ditanya.. apakah perasaannya di waktu ini…Effa tidak dapat memberikan jawapan yang pasti dan tepat. Effa bingung… keliru … buntu.. sedih.. kecewa..dan segala macam rasa yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Pernah dia cuba mencari apa ertinya bahagia dalam erti kata sebenarnya. Pelbagai jawapan yang diberi oleh rakan-rakannya tentang erti bahagia menurut persepsi masing-masing. Namun jawapan daripada ayahnya adalah sesuatu jawapan yang benar-benar melekat di hatinya sehingga kini;

“Kebahagiaan itu adalah ketika kita senantiasa memiliki rasa syukur dan kesabaran dalam hidup kita. Kerana memang.. kunci kebahagiaan adalah rasa syukur dan kesabaran. Orang yang selalu menjadikan rasa syukur dan kesabarannya sebagai landasan untuk menemukan bahagia, ia tidak akan pernah ragu dengan kebahagiaannya. Dan kebahagiaan itu datang hanya dengan hitungan babak atau episode….”

“Jadilah wanita yang selalu bersyukur ketika senang dan bersabar ketika ditimpa musibah. Jangan bermimpi hidup di alam khayalan, yang tidak ada sakit, tidak ada kemiskinan, tidak ada kesedihan dan teman tanpa ‘aib…”

Effa kembali lagi memikirkan dalam-dalam maksud kata-kata ayahnya itu. Satu persatu diteliti maksudnya. Effa cuba memadamkan andaiannya terhadap perkara-perkara negative, kekeliruan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain dan dia cuba menghalakan pandangannya hanya pada sisi-sisi positif lagi baik yang ada pada mereka-mereka itu.

“Selalu berbaik sangka, berpura-pura tidak mengerti dan berpegang teguh hanya pada Allah. Jangan sampai kita berpegang pada manusia kerana sesungguhnya mereka itu tidak layak dijadikan pegangan dan sandaran dalam menyelesaikan urusan Allah swt.” Effa teringat lagi kata-kata Ayahnya.

Di dalam hal ini, Effa masih dalam dilemma, berperang dengan perasaannya sendiri antara cinta, kepercayaan dan persahabatan. Baru sahaja ingin menyelami dan merasai erti menyintai dan dicintai. Baru sahaja lagi menyulam angan-angan untuk bersanding di mahligai impian bersama orang yang dicintainya setelah dia memberi jawapan “ya” pada lamaran Azlan tempohari.

Malah, baru dua minggu lepas keluarganya dan keluarga Azlan berbincang tentang tarikh yang sesuai untuk mereka mengadakan majlis pertunangan. Dan akhirnya, kata sepakat telah dibuat, majlis pertunangan mereka akan diadakan pada akhir bulan ini.

Effa juga sudah sedikit demi sedikit memulakan persiapan untuk majlis pertunangannya itu. Memang terasa sedih apatah lagi di kala dia ingin menyambut hari bahagianya itu, Effa terasa kekurangan dalam persiapannya itu. Tiada kelibat seorang “ibu” yang sepatutnya begitu sibuk menguruskan majlis pertunangan anak perempuannya..!

Apalah sangat diharapkan dari seorang bapa dan dua orang abangnya itu. Kalau ikutkan mereka, segala persiapan hantaran dan kenduri, serahkan sahaja kepada orang yang lebih arif dan professional yang melakukannya. Hanya perlu membayar upah atas segala khidmat mereka. Senang cerita, tak payah nak sakit-sakit kepala! Cadang Irwan Hafizy.

Namun bagi Effa, adalah lebih manis jika majlisnya itu disempurnakan olehnya sendiri baik dari segi persiapan mahupun perlaksanaannya. Nasib baik, sahabat baiknya Emelda sentiasa memberi sokongan dan sentiasa membantunya dalam apa jua keadaan sekalipun.

Malah, Emelda lah orang yang paling gembira dan teruja apabila mendapat tahu berita pertunangan Effa itu.

“Haa Mak Cik.. kau ingat lagi tak.. kata-kata aku dulu?” Tanya Emelda di hujung talian sewaktu Effa memberitahu berita gembiranya itu.

“Pasal apa? Kau tu memang banyak cakap.. Kata-kata kau yang mana satu tu ekk?” Tanya Effa tergelak.

“Eleh… buat-buat tak tau pulak..! Bukan ke aku pernah usik kau masa kau pergi shopping tak hingat kat Bangkok dulu tu.. Aku pernah cakap, silap-silap kau jumpa future husband kau kat Bangkok tuhh…” Emelda memberitahu.

Mendengar kata-kata Emelda itu, Effa ketawa terkekeh-kekeh gelihati.

“Kau ingat lagi ehh…!” Kata Effa.

“Ehh.. mestilah aku ingat.. Kau yang cerita kat aku tentang detik-detik pertemuan kau dengan Azlan di Bangkok dulu.. Mak Cik.. walau aku dah beranak lima, aku belum nyanyuk lagi, okeyyy..!” Bidas Emelda.

Kata-kata Emelda itu dijawab Effa dengan tawa yang panjang. Teringat detik-detik pertemuannya dengan Azlan yang manis untuk dikenang.

Emelda merenung wajah Effa dengan senyuman namun ada riak sedih di wajahnya.

“Hoii Mak Cik..!! Kenapa kau?” Sergah Effa bila melihat Emelda merenungnya sebegitu dalam sekali.

“I’m happy for you, Effa! Akhirnya.. kau bertemu juga dengan soul mate kau. Aku doakan semoga kau berbahagia di samping orang yang kau cinta..!” Ucap Emelda dalam nada sebak. Lantas dipeluknya Effa dengan kejap.

Effa terharu mendengar ucapan dan doa sahabat karibnya itu. Aminn..! Sambutnya di dalam hati.

“Thanks Mel!.. Ehh.. dahlah.. Kau ni emo sangatlah Mak Cik! Janganlah buat aku sedih.. Anyway.. Aminn… Aku juga berharap begitu Mel…!” Kata Effa sambil melepaskan pelukan Emelda. Mereka berdua tersenyum.

Effa tersedar dari lamunannya. Meraup wajahnya dan membuang pandangannya jauh ke hadapan di Selat Melaka yang terbentang luas membiru. Sudah dua malam dia ‘melarikan’ diri dari segala kekusutan fikirannya. Makin dia menjauhkan diri, makin dekat perasaan dan ingatannya kepada Azlan.

Hajat di hati ingin menenangkan fikiran di resort yang serba mewah ini yang sering diperkatakan oleh orang ramai.Avillion Port Dickson memang diakui merupakan syurga pantai yang cukup eksotik. Namun akhirnya dia menyalahkan dirinya sendiri kerana memilih resort ini sebagai destinasi untuk dirinya mencari ketenangan.

Manakan tidak, resort ini benar-benar bak syurga cinta untuk pasangan yang sedang asyik bercinta ditambah dengan cakrawala luas pemandangan laut dan sinar matahari yang mendamaikan.

Sedangkan dirinya yang sedang membawa hati yang lara dek kerana kekasih hati telah dipaksa berkahwin dengan gadis lain yang bukan merupakan orang lain bagi dirinya, kawan sekolahnya juga!

Apalah malang bagi dirinya... tempat ini bukan sahaja merobek jiwanya malah hatinya tidak pernah tenteram dan terus-terusan teringatkan Azlan. Patutkah dia menyalahkan Azlan dalam hal ini? Atau... Surya? Habis.. jika salah seorang bersalah, mengapa mesti aku yang menjadi mangsanya? Apakah aku yang bersalah? Effa bermonolog sendirian.

“Sayang... Lan tak tahu macamana nak hadapi semua ini. Fikiran Lan buntu. Cuma yang Lan harapkan.. pengertian Sayang dan kepercayaan Sayang pada cinta Lan.. Lan dah tak tahu dengan cara apa lagi untuk Lan buktikan kasih dan cinta Lan hanya pada Sayang...” Kata-kata Azlan masih lagi terngiang-ngiang di telinganya lewat pertemuan mereka minggu lepas.

Masih terbayang di ingatannya bagaimana Azlan merayu padanya agar mempercayai kata-katanya itu. Di waktu itu, Effa tidak dapat mengucapkan walau sepatah kata pun pada Azlan. Di dalam fikirannya masih memikirkan apa logiknya cerita Azlan dan relevannya permintaan Azlan kepada dirinya.

“Sayang... Lan nak Sayang tau... Lan terpaksa menerima permintaan abang Surya itu. Lan dah tak ada cara lain lagi dah. Bukan Lan bermaksud nak menangguk di air yang keruh tapi.. Lan.. terpaksa atas segala budi yang Lan terima dari mereka sekeluarga selama ini.. “

“Cuma... Lan... Lan.. nak mintak Sayang setuju dengan permintaan dan rancangan Lan ni.. “

“Apa dia?” Pertama kali Effa bersuara setelah sekian lamanya membisu.

“Kalau boleh.. kita kahwin dulu.. sebelum Lan kena kahwin dengan Surya..boleh tak Sayang? Lan nak.. Sayang orang yang pertama yang Lan lafazkan untuk menjadi isteri Lan.. Boleh tak.. Sayang setuju dengan permintaan Lan ni?” Tanya Azlan separuh mendesak.

Effa merenung lama wajah lelaki yang telah bertahta di hatinya. Wajah itu benar-benar kusut. Hilang segala kesegakan dan penampilannya yang meyakinkan sebagai seorang pegawai polis disegani. Yang ada kini hanya wajah yang murung dan fikiran yang berserabut. Kasihan Azlan! Detik hati Effa.

“Lan.. jika Effa hanyalah gadis yatim piatu dan tiada saudara-mara.. permintaan Lan tu.. dah lama Effa tunaikan.. Tapi.. Effa masih ada lagi ayah dan dua orang abang yang masih sihat walafiat untuk mewalikan pernikahan kita. Perkara begini bukan boleh dibuat main-main Lan. Kita kena mendapat persetujuan mereka dahulu dan sebelum itu, kita perlu memastikan bahawa mereka semua memahami situasi yang kita hadapi sekarang. Masalahnya.. adakah seratus-peratus mereka dapat mempercayai kata-kata Lan tu..!”

Kata-kata Effa itu membuatkan Azlan terdiam seketika. Dia semakin tertekan. Hatinya tersentap.

“Sayang ingat.. Lan main-main ke? Lan serius tau! Sayang nak ke.. bergelar isteri kedua walau pada hakikatnya.. Sayang orang yang pertama dan yang terakhir dalam hidup Lan?” Tanya Azlan.

“Persoalannya.. bolehkah wali-wali Effa tu.. membenarkan Effa jadi isteri kedua Lan?’ Tanya Effa balik.

“Apa-apa pun.. Lan tetap nak kahwin dengan Sayang jugak! Biar mereka cakap Lan tamak.. tapi.. Lan tetap akan tunaikan janji Lan untuk memperisterikan Sayang..!” Tegas Azlan.

Melihatkan Effa hanya terdiam, Azlan sudah mula risau.

“Atau... Sayang memang dah tak boleh terima Lan setelah mengetahui perkara sebenar?” Teka Azlan.

Effa pula menjadi semakin tertekan. Serba salah jadinya. Perlukah dia menjawab pertanyaan Azlan pada waktu fikirannya yang semakin keliru dan bercelaru. Pertanyaan Azlan seakan mendesaknya untuk menerima segala cadangan Azlan itu. Sedangkan, Effa perlu memikirkan pro dan kontranya di pihak Ayah dan abang-abangnya itu. Menyintai Azlan tidak bermakna Effa perlu mengikut dan menerima apa sahaja yang diusulkan oleh Azlan.

“Lan.. tolonglah jangan desak Effa sekarang... Effa masih terkejut lagi ni..” Kata Effa.

“Kita dah tak banyak masa lagi Sayang..!” Tegas Azlan semakin mendesak.

Effa mengeluh kuat. Sudahnya, Effa meminta Azlan meneruskan permintaan yang dibuat dari keluarga Surya. Effa tidak boleh menerima cadangan Azlan untuk berkahwin dalam waktu yang terdekat ini. Banyak hati yang perlu dijaga. Sementara itu, dalam waktu yang sama Effa meminta Azlan berserah dan bertawakkal kepada Allah. Pasrah akan ketentuan takdir yang ditelah diterima.

“Tapi Sayang...Lan tetap menyintai Sayang... Lan tak boleh terima orang lain selain dari Sayang...” Sayu Azlan berkata.

Mata Azlan berkaca-kaca, memandang dan merenung Effa sekaligus mengharapkan pengertian dari kekasihnya itu.

“Effa tau tu.. Lan..! Jangan bimbang.. cinta Lan masih tetap bersemi di hati Effa kini dan buat selamanya. Cuma.. kita sama-sama berdoa... something miracle will happen to both of us..”

Azlan mengeluh. Kusut fikirannya dengan masalah yang menimpa. Di kala ini, dia mengharapkan pengertian Effa dan bersetuju dengan cadangannya itu. Namun, Effa seperti tidak mahu bersetuju dengan apa yang dicadangkannya itu.

“Lan.. mungkin ini satu dugaan atau ujian untuk menguji cinta kita berdua. Buat masa ini.. Effa tidak nampak bagusnya cadangan Lan tu. Malah akan memburukkan lagi keadaan. Jika ditakdirkan yang cinta kita tidak kesampaian... Effa redha, Lan...”

Berat hati Effa menuturkan kata-kata itu. Namun, apalah dayanya untuk melawan takdir yang telah tersurat. Memang Azlan, lelaki yang bertahta di hatinya dan berjaya membuka hatinya untuk menerima cinta.

Tetapi.. jika apa yang dirancang tidak dapat direalisasikan..malah banyak pula halangannya, maka Effa hanya berserah kepada Allah.. Hanya DIA yang maha mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik kejadian ini. Effa berdoa di dalam hati, moga Azlan dapat berfikir dengan waras dan rasional dan menerima ketentuan takdir yang telah tersurat buat mereka.

Dalam remang cahaya senja yang semakin kelam itu, Effa yang masih berdiri memandang laut yang membiru tetap berdoa.. jika terjadinya satu keajaiban,.. dan jika jodohnya dengan Azlan masih ada… dia meminta kepada yang ESA agar Azlan kembali ke sisinya dan menyempurnakan impiannya untuk bergelar isteri kepada Irfan Azlan sehingga ke akhir hayatnya…

Hati Effa seperti pasti, ini hanyalah dugaan cinta mereka untuk menguji sejauh mana keikhlasan mereka memelihara cinta yang bersemi. Entah mengapa, nalurinya kuat mengatakan bahawa lambat laun.. jodohnya tetap dengan Azlan biarpun banyak rintangan yang terpaksa ditempuhinya.

Effa pasrah, biarpun Azlan mungkin menjadi milik orang lain suatu hari nanti namun.. hati dan cintanya tetap khusus buat Azlan seorang…!

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.