Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
374,962
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 13

MALAM itu Zahra menghabiskan masa di dalam bilik hotel tersebut seorang diri. Dia telah pun menyarung kimono yang diberikan oleh lelaki itu. Siapa sangka nasibnya baik. Tadi, sewaktu dia solat dan pada sujud terakhir dia sujud lebih lama. Dia sangat bersyukur malam itu tiada apa yang berlaku terhadapnya. 

Dia bersyukur kerana Allah Taala telah mengalihkan hati lelaki itu dari membuat sesuatu yang tak sepatutnya terhadapnya. Allah sahaja yang tahu betapa paniknya dia tadi bila lelaki itu membawanya ke bilik hotel itu. Dalam hati dia asyik beristighfar di samping meminta bantuan dari Allah. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku. Jelas lelaki itu terus hilang keinginan melihat parut di belakang badannya. Sudah tentu hodoh lantas memadamkan niatnya.

Namun, dia resah. Malam ini dia lepas tapi bagaimanakah dengan malam-malam seterusnya? Bagaimanakah dia akan hadapi kehidupan seperti itu lagi berada dalam ketakutan cuba untuk mempertahankan kesucian dirinya. Siapalah yang boleh diharapkan? Bapanya jelas-jelas tidak pedulikan dia lagi. Entah di mana kasih dan sayang lelaki itu pada anak perempuannya?

Pedih perasaan itu apabila seorang ayah mengkhianati kasih sayang seorang anak. Penderaan fizikal yang sering dia hadapi tidak seteruk menyedari yang ayahnya tiada langsung rasa untuk mempertahankan dirinya menyebabkan dia terfikir adakah dia anak kandung lelaki itu? Entah-entah dia hanyalah seorang anak angkat. Itulah sebabnya Rais langsung tidak menyayanginya.

Zahra terasa sebak. Air mata mengalir di pipinya yang mulus. Dia merasa kecewa. Mungkin juga dia anak angkat kerana selama 19 tahun itu dia tidak pernah merasa kasih sayangnya ayahnya itu. Selalunya hanya ibunya sahaja yang menumpahkan sepenuh kasih sayang terhadapnya dan adiknya. Oh ibu….air mata Zahra tumpah makin lebat. Rindunya pada kasih sayang arwah ibunya itu. Teringat momen-momen terakhir bersama ibunya dahulu. Masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya yang terakhir.

     “Zahra, jaga adik kamu dan nenek kamu baik-baik. Ibu minta maaf kerana tak dapat menjaga kamu dan adik sebaiknya.” kata ibunya sewaktu di katil hospital. Dia baru sahaja menjalani kemoterapi dan kelihatan sangat lemah dan pucat.

     “Ibu, jangan cakap macam tu. InsyaAllah ibu akan sihat kembali dan akan jaga kami seperti dulu.” balas Zahra dengan air mata berjujuran.

      “Tidak sayang…ibu dah tak banyak masa….ibu minta maaf sayang…minta maaf sangat-sangat…” ujar ibunya dengan kata-kata terputus-putus tidak cukup nafas. Setelah melalui prosedur kemo yang melelahkan.

      “Dahlah ibu…jangan banyak bercakap…nanti ibu letih,” ujar Zahra lembut. Simpati melihat ibunya yang tercungap-cungap itu.

       “Dengar sayang….ibu nak minta maaf kerana….ibu tak mungkin dapat menyaksikan kamu masuk universiti dan terima ijazah…ibu tahu itu cita-cita kamu…dan maafkan ibu juga kerana tidak mungkin bersama kamu mengambil foto bersama-sama semasa kamu menerima ijazah dan juga sewaktu kamu bernikah dan seterusnya menimang cahaya mata nanti. Keadaan ibu tak mungkin mengizinkan ibu bersama kamu dan adik lagi. Ibu minta maaf sayang. Maafkan ibu kerana menyusahkan kamu. Jaga adik kamu dan nenek baik-baik,” ujar ibunya sambil mengelus-ngelus wajah Zahra yang basah dengan air mata.

     Zahra mengangguk-angguk sambil merenung wajah pucat dan cengkung ibunya itu dengan hati sangat sebak. Dia mencium wajah pucat itu.

Mahu saja dia mengongoi di situ menjerit mengatakan bahawa ibunya akan pulih semula. Dia mahu katakan ibunya akan sihat seperti selepas kemoterapinya. Semuanya akan balik seperti biasa. Sudah tentu ada berita gembira setelah mereka berusaha berbulan-bulan. Macam-macam telah dicuba. 

    Ibunya telah berusaha, doktor juga telah berusaha. Dia tahu Allah SWT akan menyembuhkan ibunya. Setiap hari setiap solat dia berdoa supaya ibunya sihat kembali. Dia percaya dengan keajaiban kerana dia seorang yang sentiasa positif. Ada harapan menggunung di hatinya yang ibunya akan sihat semula. Malahan beberapa hari sebelum kemo ibunya kelihatan sangat ceria dan nampak sihat. Mula lalu makan lauk kegemarannya sup ayam bersambal kicap memberikan harapan pada yang melihat perkembangan positif itu.

Namun, Allah SWT tahu apa yang terbaik. Ibunya dipanggil pergi jua setelah kemoterapinya. Hancur luluh hati Zahra tetapi dia sedar dia tidak boleh menyalahkan Allah SWT. Dia hanya makhluk daif berdoa memohon pada Sang Pencipta yang sebaik-baik Perancang dan yang Maha Berkuasa. Sudah tentu Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan adiknya.

Pemergian ibunya mungkin ada banyak hikmahnya namun pada saat dia menyaksikan ibunya meninggal dunia dia mahu menjerit tapi dia tahu dia perlu kuat untuk adik dan neneknya. Justeru itu tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya apatah lagi jeritan hanya air mata sahaja bercucuran meski pun hatinya menjerit luka.

Seribu satu kerisauan menerjah dirinya terasa seperti anak ayam kehilangan ibu. Dia seolah hilang arah dan rasa seketika. Mujurlah dia masih ada seorang nenek. Nenek Bibahlah yang memujuknya. Memeluknya di kala dia perlukan pelukan dan kata-kata semangat. Kalau mahu mengharapkan ayahnya memanglah tidak. Dia menyalahkan mereka pula atas kematian isterinya.

Nampaknya malam itu Zahra akan sendiri sahaja di bilik itu. Lagipun untuk lebih selamat, tadi dia telahpun menyelak pintu bilik itu dan meletakkan sebuah kerusi di depan pintu itu. Manalah tahu lelaki itu ubah fikiran pula. Selepas solat Isyak dia membaringkan diri cuba melelapkan mata supaya malam itu cepat berlalu.

Dalam hatinya dia teringat-ingat adik dan neneknya. Dia berharap mereka tidak diapakan-apakan oleh ayahnya itu yang kadang-kadang moodnya tidak menentu. Zahra menghela nafas seketika. Entah bilalah ayahnya akan berubah dan entah bilalah ayahnya akan sedar dan mula menyayangi mereka semua sebagai anak-anaknya dan tidak hanya memikirkan dirinya sahaja.

     “Tapi yang paling penting…aku perlu fikir cara untuk lepaskan diri dari ayah. Hari ini aku lepas tapi esok lusa belum tentu lagi. Ya Allah apa yang harus aku lakukan? Aku tak sanggup kotorkan diri ku ya Allah. Ya Allah bantu lah aku,” bisik Zahra sendiri lirih dan air matanya mengalir lagi.

     HASEF baru sahaja tiba di rumahnya. Sampai-sampai sahaja dia terus ke bilik. Sewaktu dia berbaring untuk tidur dia teringat gadis tadi dan peristiwa tadi. Wajah gadis itu terbayang-bayang di matanya. Dia mula perasan wajah gadis itu yang makin lama makin familiar pada pandangan matanya. Kenapa gadis itu seperti pernah dilihatnya? Kenapa ada rasa dejavu pula? Siapakah gadis itu sebenarnya? Pernahkah dia berjumpa gadis itu sebelum itu?

Hasef meraup wajah. Apa dah jadi dengan aku ni? Pertama, aku telah membawa perempuan escort ke hotel dan kedua aku tak boleh lupakan pula wajah perempuan itu? soal Hasef pada dirinya sendiri. Wajah itu seperti degil terus melekat di ruang mindanya. Episod-episod dia berjumpa gadis itu seperti terimbau-imbau termasuk melihat belakang gadis itu yang nanar dengan parut. Hodohnya melihat parut itu. Bayangkan semua itu ditahan oleh tubuh gadis itu yang kurus. Dia simpati tapi bukan hanya simpati sahaja yang dia rasa. Ada perasaan lain yang dia sendiri tidak mengerti.

Argghh!! Hasef meraup wajahnya lagi. Sudah Hasef, kau dah ada Zeti. Jangan kusutkan apa yang sudah kusut. Kalau Zeti tahu apa yang sudah berlaku dan dia telah membawa seorang gadis escort ke hotel sudah tentu mengamuk tunangnya itu. Silap haribulan putus pula pertunangan mereka. Zeti pula memang kaki cemburu. Kau jangan buat pening Hasef! bisik Hasef memarahi diri sendiri. 

Dia bangun lantas ke bilik air lantas mengambil wudhu. Dia mahu solat taubat kerana terjebak sehingga hampir mencemari kehornatan seorang gadis malam itu. Dia orang baik-baik dan keluarganya juga baik-baik. Tindakan seperti itu memang sepatutnya tiada dalam kamusnya!.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.