Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
376,016
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

“TERIMA kasih dik,” ujar Malek kepada Zahra yang menghidang. Wajah Zahra diperhatikannya. Hasef di sebelah mengeleng melihat wajah Malek yang merenung semacam. Macamlah gadis itu cantik sangat seperti supermodel sampai Malek terlongo begitu. Dia memerhatikan gadis itu seketika. Cuba mencari tarikan yang dikatakan oleh Malek. Namun, dengan wajahnya yang agak terlindung dengan tudung yang sengaja didepankan, Hasef tidak nampak apa-apa yang istimewa kecuali hidung mancung dan bibir yang merah tanpa gincu.

“Sama-sama bang.” jawab Zahra tersenyum sekilas pada Malek hanya berbahasa. Senyum ikhlas untuk pelanggan yang membeli nasi lemaknya tidak lebih dari itu. Lelaki di sebelah Malek hanya senyap mengambil pinggan nasi lemak dan juga minuman teh aisnya tanpa berkata apa-apa manakala mata Malek masih terlekat pada gadis itu.

“Nama adik ni siapa?” tanya Malek sebelum Zahra mahu berlalu. Zahra hanya tersengeh. Dia tidak mahu memberitahu namanya. Cukuplah setakat menjadi pelayan di situ namun bila memberikan nama, semacam pencerobohan privasinya pula. Dia mahu menjadi gadis tanpa nama sahaja di situ ataupun gadis penjual nasi lemak sahaja.

“Perlu ke abang tahu? Abang boleh panggil saya adik sahaja.” balas Zahra sopan.

“Kenapa? Adik takut saya tahu nama adik ke?” tanya Malek kembali.

“Tak….cuma saya ni tak penting. Saya hanya pelayan restoran dan penjual nasi lemak di sini sahaja. Saya lebih suka kalau abang tak tahu nama saya,” jawab Zahra ikhlas.

Jawapan itu menarik minat Hasef di sebelah Malek yang kini mengangkat muka memandang wajah Zahra. Bibirnya mengulum sedikit senyum bila mendengar kata-kata gadis itu. Pandai bercakap juga gadis itu walaupun seorang penjual nasi lemak, desis hati Hasef. Hasef merenung gadis itu seketika.

Zahra yang terperasan terus membalas pandangan lelaki itu. Ada sesuatu dengan lelaki itu yang menyebabkan dia terus membalas renungan lelaki itu. Entah kenapa dia terpukau seketika dengan renungan itu. Renungan dari anak mata yang hitam berkilat itu seolah ada tarikan. Keningnya, matanya, hidungnya semua elok terletak. Wajah yang sempurna. 

Rambutnya yang tebal berombak tersisir kemas. Kening Hasef yang lebat tiba-tiba terjongket sedikit, berkerut memandang Zahra. Mata Zahra terlekat pada mulutnya yang seperti terukir mengherot sedikit seperti tersenyum sinis. Serta-merta Zahra terperasan. 

Mulut yang herot itu kerana melihat Zahra yang tak berkelip merenung lelaki itu. Zahra serta merta tersedar lantas segera mengalih pandangan. Entah berapa lama dia merenung lelaki itu. Malunya. Aku ni dah kenapa pulak dok tenung lelaki ni? bisiknya sendiri dengan wajah sedikit merah.

“Tapi, saya nak tahu juga nama adik. Manalah tahu kalau-kalau lepas ni kita makin rapat ke?” ujar Malek berkias seolah memujuk itu menyentak lamunan Zahra. Malek senyum sehabis menggoda untuk Zahra kemudian mengangkat kening pada Hasef di hadapannya. Zahra menjilat bibir. Tidak pasti apa yang perlu dijawab.

“Err maaf…saya… ada banyak kerja di dalam. Abang berdua makan dulu ye.” jawab Zahra tergagap-gagap sekadar berbasa-basi. Malek menjuihkan bibir sedikit hampa. Si cantik manis itu jelas jual mahal dan tidak berminat untuk memberitahu namanya.

“Tanya nama pun tak boleh ke dik??? Kenapa nak jual mahal sangat?” tiba-tiba lelaki di sebelah Malek yang direnungnya tadi menyindir tajam menyebabkan Zahra terpempan. Zahra tidak jadi berlalu. Amboi! Dia tersinggung dengan nada itu. Namun Zahra menoleh juga. Mata hitam berkening lebat itu menerjah wajahnya.

“Saya bukan jual mahal cuma saya tak biasa bagi nama pada orang, abang. Maaf ye bang.” ujar Zahra meminta maaf. Lagipun mereka pelanggannya, risau juga kerana sebagai pelanggan mereka juga harus dihormati.

“Kawan saya ni hanya nak tahu nama sebab dia tak mahu asyik panggil awak tu adik sahaja sampai bila-bila. Tak kan bagi nama pun tak boleh?” selar lelaki itu masih merenung tepat ke wajah Zahra dengan senyum menyindir. Zahra menghela nafas. Geram pun ye. Dia tidak suka dengan nada kata-kata lelaki itu.

“Selalu pelanggan di sini tak pernah tanya nama saya pun.” dalih Zahra membalas renungan lelaki itu.

“Kami ni lain sikit. Suka berurusan dengan orang yang ada nama. Barulah ada personalised service. Itu namanya customer service. Pelanggan adalah raja, faham?” balas Hasef. Customer service? Amboi, lelaki ini ingat restoran kecil itu restoran mahal ke?? Berlagaknya!!!, desis hati Zahra bosan.

“Abang boleh panggil saya dik aje…” ujar Zahra tersenyum sedikit pada Malek masih berdegil. Hati Hasef jadi sedikit panas. Degilnya budak perempuan itu.

“Nak jual mahal sangat kenapa? Ingat kami ni sindiket jual orang ke? Haisshhh! Bagi nama pun payah!” suara Hasef sedikit tinggi. berdesing telinga Zahra mendengarnya.

“Bukan macam tu…” jawab Zahra pantas.

“Habis????” soal Hasef dengan suara meninggi. Zahra terpempan. Dia tercangak-cangak. Melihatkan respon gadis itu Hasef panas hati. Dia angin tiba-tiba.

“Dah Malek jom kita balik! Tanya baik-baik bagi nama pun tak nak. Hilang selera aku nak makan bila ada orang sombong ni.” marah Hasef seperti hendak bangun. Zahra tersentak lagi sekali. Hah?? Terkejut dengan tindakan drastik lelaki itu. Malek merenung Hasef tak percaya. Eh, emo pulak kawan aku ni, desis hati Malek.

“Hasef nanti dulu….” dia berpaling pada Zahra pula. “Adik…betul kata kawan abang ni. Tak bestlah hanya panggil dik sahaja. Lagipun…err.. kami bukan ada niat jahat pada adik pun…sebenarnya abang minat sungguh dengan nasi lemak adik ni. Ingat esok nak tempah untuk staf di pejabat. Jadi, kalau nak tempah kena lah bagi nama,” ujar Malek cuba menenangkan keadaan kemudian mengenyit mata pada Hasef di hadapannya. Hasef membulatkan mata. Malek memang memandai. Bila pula syarikat mereka mahu menempah nasi lemak itu?. Dari budak perempuan sombong itu pula?. Tak hingin langsung dia! gerutunya geram.

“Betul ke ni?” tanya Zahra memandang Malek ragu-ragu. Semua itu seperti tidak masuk akal. Wajah Malek dan Hasef direnung silih berganti. Pada wajah Hasef yang kelat mata Zahra terlekat di situ. Mereka merenung antara satu sama lain dengan pandangan tidak puas hati. Zahra tidak puas hati dengan nada kata-kata lelaki itu dan Hasef pula dengan kedegilan gadis itu.

“Betul. Kami nak tempah. Nak tempah dengan siapa ni kalau adik tak mahu bagi nama?” ujar Malek cuba meyakinkan. Hasef di sebelah sudahpun menghela nafas. 

Susah kalau ulat bulu naik daun ni, rungut Hasef dalam hati. Dia meraup rambutnya dan kini bercekak pinggang. Geramnya sudah mencanak. Boleh pulak Malek menempah nasi lemak dari gadis sombong itu!!. Wajah Zahra direnung seperti hendak dimakan. Zahra cepat-cepat mengalih pandangan. Kalau melihat wajah Hasef mahu saja Zahra beredar dari situ tapi melihat wajah Malek yang seolah mengharap menyebabkan Zahra sedikit lembut hati. Zahra menghela nafas.

“Baiklah. Saya percaya dengan kata abang tu. Abang boleh panggil saya Za. Berapa banyak abang nak tempah esok?” kata Zahra terpaksa memberikan juga namanya.

“Za saja ke?…err nama penuh?” tanya Malek seolah merayu. Wajah Zahra ditenung-tenung lagi. Amboi, melebih pulak. Kau nak buat apa dengan nama penuh aku??? desis hati Zahra sedikit angin.

“Setakat ni Za sahaja ye bang, berapa abang nak tempah?” kata Zahra sedikit serius. Malek mengeluh. Degil juga budak perempuan itu. Hasef tambah mendengus.

“Za pun Za lah. Abang nak tempah 15 bungkus nasi lemak special esok. Nanti abang ambil pagi-pagi macam ni, okay tak?” Malek akhirnya akur.

“Baiklah, esok saya akan sediakan untuk abang. Kalau abang nak special saya akan letak ayam goreng. Tapi ada tambahan RM2. Setiap satu RM 3 ye bang.” kata Zahra yang sudahpun menulis sesuatu di buku nota kecil yang diambil dari poket seluar jeansnya.

“Okay. Berapa pun harganya abang akan bayar. Jangan risau.” kata Malek merenung gadis itu yang sedang menulis sesuatu di atas buku nota itu.

“Siapa nama abang ye?” tanya Zahra pula.

“Nama abang Malek dan kawan abang ni Hasef. Kami ni satu pejabat,” Malek memperkenalkan diri. Zahra mengangguk dan tersenyum nipis pada lelaki itu. Wajah Hasef yang memandang padanya tidak dikerling.

“Bang Malek, tolong tuliskan juga nombor telefon di sini. Nanti kalau dah siap saya akan telefon abang.” ujar Zahra memberikan buku nota itu kepada Malek. Malek pun menyambutnya. Sementara menunggu itu matanya terpandang Hasef yang jelas sedang memandangnya dengan wajah masam dan kelat. Muka tak puas hati. Ah! Nasiblah!, bisik Zahra dalam hati.

Namun, Zahra agak terkesan dengan riak wajah lelaki itu yang ketat semacam, tidak semesra Malek. Pasti masih hangat dengan apa yang berlaku tadi. Kalau boleh dia tidak mahu berlama di situ direnung Hasef yang memandangnya seperti mahu tembus sahaja sambil seolah-olah dihakimi pula. Lelaki itu tidak tahukah merenung seorang perempuan sebegitu adalah kurang sopan. Its plain rude! Malek memberikan semula buku nota dan Zahra tersenyum pada lelaki itu.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya pergi buat kerja saya ye. Kalau abang berdua nak tambah apa-apa panggil saja Za ye.” beritahu Zahra. Malek mengangguk-angguk sambil tersengeh pada gadis itu.

“Okay, Za. Jangan lupa esok ye?” Malek mengingatkan lagi.

“InsyaAllah. Abang jangan risau. Saya akan sediakan seperti yang saya janjikan. 15 bungkus nasi lemak special akan siap esok,” ujar Zahra tersenyum manis mencairkan hati Malek. Namun senyumnya mati bila melihat renungan tajam Hasef. Hish! Dia ni tak habis-habis lagi ke? Memang bermasalah le dia ni tenung-tenung macam nak makan orang??? desis hati Zahra geram.


Previous: Bab 4
Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.