Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
373,714
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 1
Tahun 2015

ZAHRA meneliti mesej whatsapp itu lagi lantas mengeluh. Dia memicit kepala yang tiba-tiba berdenyut. Rambutnya yang sekerat bahu dilepaskan dan kemudian diikat semula sehingga menjadi sanggul. Dia mengurut-ngurut rambutnya. Jelas dia sangat bimbang. Perlukah dia ikutkan permintaan dari penghantar sms itu sedangkan hatinya sangat berat? Zahra mengeluh lagi. Rakannya Maryam yang sedang menelaah di sebelahnya mengangkat muka. Sejak tadi rakan sebiliknya itu asyik mengeluh menyebabkan dia tertanya-tanya. Dan bila Zahra bangun dari bangkunya kemudian mundar-mandir dalam bilik itu menambah rasa ingin tahu Maryam. Apa sudah kena dengan Zahra? Dia ada masalahkah? detik hati Maryam?. Mereka sudah 2 tahun berkongsi bilik sejak di tahun pertama lagi di salah sebuah institut pengajian tinggi itu. Sudah tahu sedikit sebanyak tentang diri masing-masing dan mengenal hati budi. Berkawan rapat dan malahan sering mengambil kelas bersama-sama.

“Kenapa Zahra? Dari tadi aku tengok kau macam kucing hilang anak saja kenapa?” tegur Maryam perihatin. Zahra memandang padanya lantas duduk di birai katil Maryam. Wajah Maryam rakannya itu ditenung dalam-dalam. Tidak pasti bagaimana hendak meluahkan apa yang menyesakkan dadanya dan bagaimana untuk memulakan bicara. Bolehkah Maryam faham situasinya itu? Zahra serba salah. Wajarkah dia memberitahu Maryam? Zahra tidak jadi memberitahu. Dia bingkas bangun.

“Eh, kau nak ke mana pula? Tadi kau nak beritahu aku apa?” tanya Maryam terkejut dengan pergerakan Zahra yang seolah-olah ingin bercakap sesuatu tetapi membatalkan niatnya. Eh dah kenapa pulak? desis hati Maryam. Sejak bila pula Zahra jadi manusia kompleks? Nak cakap tapi tak cakap? Zahra mengeleng-ngeleng.

 “Err…aku tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa,” dalih Zahra. Maryam merenung wajah putih melepak Zahra yang berbibir merah itu. Gadis itu sering menjadi kegilaan pelajar lelaki di kampus tetapi Zahra tidak pernah melayan walau seorang pun. Macam-macam dia terima sejak tahun pertama dengan bunga, kad, coklat dan sebagainya tapi Zahra tidak mengendahkan semua. Selalunya bunga-bunga diletakkan sahaja di bilik itu manakala coklat dikongsi bersama-sama. Zahra memang serius tidak mahu diganggu dengan hubungan seperti itu. Hairan juga Maryam tapi menurut Zahra dia mahu selesaikan pelajarannya dahulu. Maryam teringat kata-kata Zahra semasa di tahun pertama.

“Bukan senang aku nak datang sini. Kau tak tahu apa yang telah aku harungi untuk sampai di sini. Jadi, bila aku dapat peluang seperti ini aku tak akan sia-siakan dan juga buang masa dengan melayan budak lelaki yang belum matang seperti itu. Mereka patutnya belajar bukannya sibuk mencari pasangan di masa ini,” kata Zahra serius bila ditanya oleh Maryam satu hari kenapa dia tidak pernah melayan semua ajakan untuk berkawan dan sebagainya. Penuh peti surat di bawah dengan macam-macam bila tiba Hari Valentine.

“Wow! Sampai begitu sekali pandangan kau??. Dasyhat!... baiklah, aku hormati. Cuma, ada yang kata masa ni lah kita nak kenal-kenal mana yang sesuai untuk jadi calon suami. Bila dah kerja pilihan dah tak banyak,” balas Maryam pula. Zahra hanya mengeleng. Dia tetap dengan pandangannya dan menyebabkan beberapa pelajar lelaki memendam rasa. 

Mengikut pemerhatian Maryam, Zahra yang dikenalinya ialah seorang yang baik hati walaupun sering menghabiskan masanya sendiri dari bergaul dengan ramai orang. Dia sering bersama Maryam dan beberapa rakan yang dia kenal baik namun sering kurang selesa dengan orang yang baru dikenali. Beberapa kali pelajar lelaki cuba berbual dengannya tapi gadis beriras kacukan Inggeris bermata coklat itu sering buat tidak tahu dan pergi. Banyak kali juga dia akan memberikan pelbagai alasan.Maryam melirik pada Zahra lagi yang kembali mundar-mandir. Nampak berat sangat masalahnya sehingga lantai bilik diukurnya entah berapa kali sambil memicit-micit kepalanya.

“Kau ni ada masalah apa? Bagi tahulah pada aku, mana tahu aku boleh selesaikan?” pinta Maryam. Zahra berhenti langkah lantas merenung Maryam. Dia tercangak-cangak. Berbelah bagi sama ada wajarkah dia meluahkan pada Maryam atau tidak? Dia tidak mahu bila dia sudah meluahkan, hatinya menyesal pula kerana apa yang tertera di telefonnya itu bukan sesuatu yang mudah. Ia akan membawa banyak kesan terhadapnya.Maryam mengeluh. Memang bermisteri sungguh Zahra buat masa itu. Sebenarnya secara am dia bukan kenal sangat Zahra Rais yang sering bermisteri itu terutama dengan latarbelakangnya. Zahra jarang bercerita tentang keluarganya seperti Maryam yang seperti bertih jagung kalau bercerita tentang keluarga dan adik-adiknya. Sering Zahra tumpang gembira dengan cerita Maryam itu. Zahra pula yang diketahuinya mempunyai seorang adik dan tinggal bersama bapanya. Zahra jarang pulang dan sering mengikut Maryam balik kampung bila cuti semester.

“Tak ada apa…aku okay, tiada masalah.” dalih Zahra kembali ke mejanya.

“Tak ada masalah? Yang kau mundar-mandir macam nak marathon tu kenapa?” rungut Maryam.

“Aku….” Zahra terkulat-kulat menggigit bibirnya merahnya yang hanya bersalut lip gloss sahaja. Rasa lipgloss strawberry itu terlekat sedikit di lidah.

“Ye, kau kenapa?” tanya Maryam kembali sedikit suspens menunggu kata-kata Zahra itu. Berdebar pulak rasa hatinya melihat perlakuan Zahra itu.

“Aku…” kata-katanya seolah tersekat. Dia tahu Maryam rakan baiknya tapi bolehkah Maryam menerima apa yang akan diluahkannya nanti?

“Ish kau ni! Cakaplah…” gesa Maryam dengan suara yang mula naik darjahnya.

“Kau janganlah paksa aku pulak…” marah Zahra merungut. Geram juga bila digesa seperti itu.“Dah kau tu tergagap-gagap….nak cakap, cakap sajalah…apa yang susah sangat?” marah Maryam geram.

“Eh tak apalah….kalau kau dah marah aku tak maulah susahkan kau.” kata Zahra seperti merajuk saja bunyinya. Eh, merajuk pulak budak perempuan ni, bisik hati Maryam.

“Okay, aku tak marah, aku cuma excited nak tahu saja…kau tahulah kan kalau aku dah excited, suara tu naik tinggi sikit…tapi aku tak marah. Betul, aku tak marah,” ujar Maryam sengaja tersengeh cuba melegakan hati Zahra. Cuba memujuk. 

Zahra memandang Maryam. Kemudian dia mengambil nafas perlahan-lahan. Kemudian melepaskannya pula. Dia mengulang perbuatannya beberapa kali. Maryam hanya diam memerhatikan. Namun bila dibuat beberapa kali Maryam merasa lebih tidak sabar. 

Wah, memang berat ni, getus hati Maryam bila melihat perlakuan Zahra itu. Sahih masalah yang Zahra hadapi satu masalah yang berat dengan cara mengambil nafas seperti itu seolah hendak berenang kuak lentang olimpik sahaja lakunya.

“Aku takutlah nak beritahu kau. Kau ni boleh percaya ke?” adunya dengan dahi berkerut.

“Eh, kau kan dah kenal aku bertahun-tahun. Kau tahu kan aku macamana? Nasi kat kampung aku tu dah lebih seperiuk kau makan. Tak kan kau tak tahu lagi aku macamana?” tanya Maryam. 

Zahra merenung Maryam. Memang dia sering balik ke kampung Maryam lebih dari kampung sendiri. Setakat itu dia melihat Maryam sebagai seorang kawan yang amanah dan baik budi. Tidak pernah bawa cerita dan mengumpat hal orang lain. Tapi dia masih sangsi kerana apa yang nak diluahkan bukan sesuatu yang mudah dan ringkas. Yang tidak pernah dia luahkan pada sesiapa pun. Malah tiada siapa pun tahu. 

Mahukah Maryam menerima apa yang akan dia katakan nanti? Apakah pandangan Maryam terhadapnya nanti?Zahra resah. Tak mungkin. Dia masih lagi belum boleh meluahkan. Lidahnya kelu. Dia renung wajah rakannya itu. Maryam yang kecil kurus bercermin mata, berwajah ceria dan comel. Dia sering cemburu dengan keceriaan dan keramahan Maryam yang sering menyenangkan semua orang. Seorang yang gembira seolah tiada masalah dalam dunia dan tiada yang berserabut dalam jiwa dan kepala. 

Tidak seperti dia. Sering mempunyai kemelut sendiri yang sukar untuk diluahkan. Seperti yang berlaku saat itu. Dia masih belum sedia untuk meluahkan. Sejak tadi tangannya dan tengkuknya berpeluh bila terfikir untuk meluahkan pada Maryam. Dia takut. Dia takut dengan kenangan lama itu. Kalau boleh mahu saja dia memadam semua sehingga tiada yang tersisa tapi kenangan itu menjadi sebahagian dari hidupnya. Ia sering terimbau apabila menerima mesej seperti itu.

“Zahra, kau boleh percayakan aku. Beritahulah apa dia? Aku sedia mendengar.” ujar Maryam seolah memujuk dan seterusnya bangun merapati Zahra dan duduk di birai katil gadis itu yang bercadar polos warna hijau epal dengan selimut warna merah jambu lembut kemas terlipat di hujung katil bujang itu. Zahra terkulat-kulat merenung rakannya itu.


“Masalahnya Maryam…..aku tak sedia. Tak sedia lagi nak beritahu kau. Aku minta maaf.” ujar Zahra dengan wajah sugul kemudian bangun. Dia mencapai tudung ekspress dari dalam loker dan memakainya. Maryam terpempan. Dia juga turut terbangun.

“Eh, kau nak ke mana tu?” tanyanya ke arah Zahra yang siap memakai tudung.“Aku keluar kejap. Aku mintak maaf. Aku tak boleh beritahu kau lagi.” jelasnya.

“Aku ikut boleh?” pinta Maryam mengharap.

“Sorry, aku perlukan masa bersendirian.” ujarnya lalu keluar dari bilik itu. Maryam mengeleng-ngeleng dan menepuk dahi. Penat aku tunggu! bisik hati Maryam.

 Penyudahnya tiada apa pun yang diluahkan oleh gadis itu. Misteri sungguh Zahra hari itu!


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.