Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
376,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 15

DI DALAM Range Rover Evoque Hasef itu, Zahra hanya mendiamkan diri. Dia masih rasa cuak dengan apa yang berlaku di dalam bilik hotel tadi. Jelas, Hasef sudah dapat menelah siapa dirinya yang sebenar. Biar pun sekarang dia mungkin nampak lain tetapi Hasef terus sahaja dapat meneka.

 Namun, dia tidak akan mengaku. Tadi, Hasef telahpun bertanya di mana rumahnya. Sebaik sahaja tahu, SUV itu bergerak laju ke destinasi yang diperkatakan. Suasana dalam kereta senyap sunyi seketika. Masing-masing melayan perasaan. Hasef hairan kenapa Zahra tak mahu mengaku sahaja yang dia adalah gadis penjual nasi lemak itu. Namun dia sangat pasti Zahralah gadis itu tetapi pada saat itu dia tidak mahu terus mendapatkan penjelasan dari gadis itu.

“Awak kena ada pendirian…. tak sepatutnya ikut sahaja kata-kata ayah awak. Awak berhak untuk katakan tidak untuk kerja awak sebagai escort itu.” kata Hasef tiba-tiba. Zahra melepaskan keluhan. Merasa seperti dia dipersalahkan pula.

“Apa pilihan yang saya ada Hasef. Ayah ugut akan jual adik saya dan halau nenek saya kalau saya berdegil. Saya terpaksa ikut…..asalkan mereka tidak diapa-apakan. Mereka manusia penting dalam hidup saya selepas ibu saya meninggal 5 tahun lalu. Saya sanggup buat apa sahaja asalkan mereka tidak diapa-apakan,” balas Zahra.

“Apa rancangan awak kalau ayah awak hantar awak semula ke kelab tu?” tanya Hasef lagi. Zahra tersentak. Memang dia pun sedang memikirkan perkara yang sama. Malam tadi dia sudah terlepas. Malam seterusnya, nasibnya belum tahu. 

Nampak gayanya setiap malam selepas itu dia akan berhadapan dengan masalah yang sama. Ya Allah, bagaimana ingin ku pertahankan kesucian diriku ini? Bagaimana hendak dia jauhkan dirinya dari maksiat??? soal Zahra sendiri.

“Saya tak ada rancangan. Saya benar-benar buntu.” akui Zahra menekup wajah dengan tangannya.

“Habis…awak nak biarkan diri awak digunakan macam tu? Awak sepatutnya lebih bijak menolak. Kalau awak tak ada apa-apa plan biar saya cuba pujuk ayah awak. Manalah tahu..” ujar Hasef.

“Pujuk?? Maksud Hasef untuk lepaskan saya dari bekerja sebagai escort??? Saya tak pasti awak akan berjaya. Ayah saya tu degil orangnya. Dia selalu ikut kepala sendiri. Saya dah banyak kali merayu pada dia Hasef. Macam-macam penjelasan saya bagi tapi ayah saya degil. Dia nak saya jadi escort juga,” Hasef terdiam.

“Habis, tak kan awak nak mengalah.”

“Cubalah Hasef bagi cadangan. Saya memang tak terfikir apa-apa. Kecuali kalau Hasef nak buat kerja gila kahwin dengan saya.” kata Zahra sedikit bergurau.

“Kahwin??” soal Hasef. Bila Hasef menyoal begitu dia tahu dia terlepas cakap.

“Lupakan apa saya cakap. Saya hanya bergurau. Dah tentulah idea tu tak masuk akal kan?” soal Zahra sambil ketawa sedikit.

Hasef hanya tersengeh sedikit. Namun, pertanyaan gadis itu tidak terjawab. Zahra terus rasa segan. Haih Zahra! Kau dah kenapa? Dah tak malu pelawa orang kahwin? Kan dah malu!

Hasef terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Kahwin? Entah kenapa sejak semalam Hasef benar-benar belas pada gadis itu. Dan waktu itu bila wajah gadis itu dipandang hatinya seolah tidak keruan. Perasaan ingin mempertahankan dan menjaga gadis itu terasa kuat di jiwa sedangkan gadis itu entah siapa-siapa.

Pelik sungguh perasaan itu. Adakah keputusannya itu bertunjangkan nafsu? Tambahan pula dia hampir tidur dengan gadis itu semalam. Dan sekarang matanya asyik memandang pada bibir merah gadis itu. Arggh! Tolong! Dia perlu lakukan sesuatu. Terbayang dia wajah menggoda gadis itu malam tadi.

Arghh…tidak sanggup rasanya kalau gadis itu terpaksa melayan orang lain dengan wajah sebegitu selepas dia. Cemburunya tiba-tiba muncul. Hasef menelan air liur bila teringat peristiwa malam tadi. Cepat-cepat dia hilangkan dari fikirannya. Aku ni dah kenapa? Macamlah tak pernah jumpa perempuan secantik Zahra, desis hatinya. Aku harus ingat Zeti…ye Zeti. 

Dan sudah tentulah dia tak akan terfikir sehingga mahu berkahwin dengan gadis itu hanya untuk menyelamatkan gadis itu. Zeti tu nak letak mana pulak? bisik hatinya tapi di sudut hati ada rasa semacam. Kahwin? Hatinya seperti melonjak pula.


SESAMPAI di rumah Zahra yang terletak di kawasan kampung setinggan itu Hasef turut keluar bersama-sama Zahra. Hajatnya ingin berjumpa dengan bapa Zahra. Mungkin dia boleh memujuk lelaki itu supaya tidak lagi menghantar Zahra ke kelab itu. Manalah tahu kalau-kalau pandangannya diterima.

“Terima kasih Hasef. Tapi saya rasa baik Hasef balik sahaja.” suruh Zahra. Dia risau kalau Rais bertindak di luar kawalan. Kereta buruk Rais kelihatan terparkir di hadapan rumah itu. Melihat kereta itu sahaja hatinya jadi cuak.

“Tak…saya nak jumpa ayah awak.” kata Hasef degil.

“Jangan Hasef. Baik awak balik.” suruh Zahra.

“Jangan takut. Dah tentu dia tak boleh apa-apakan saya dan juga awak. Trust me!” ujarnya memandang tepat pada wajah gadis itu yang jelas pucat. Zahra terdiam. Degil pula lelaki itu. Dia ingat dia superman ke batman?

Sebelum Zahra sampai ke pintu utama rumah, Rais sudah tercegat di hadapan pintu sambil bercekak pinggang. Keadaannya kelihatan tidak terurus seperti biasa. Matanya melilau bengis pada Zahra dan kemudian Hasef.

“Aku ingat kau dah tak mau balik ke rumah ni lagi!” semburnya pada Zahra. Zahra terpisat-pisat.

“Kau tak ingat apa aku cakap? Jangan balik lambat!” sambungnya lagi lantas mahu menempeleng wajah Zahra tanpa mempedulikan Hasef yang turut berada di situ. Namun, secepat kilat Hasef menahan tangan lelaki itu. Tangan Rais terhenti.

“Pakcik…jangan!” kata Hasef melarang.

“Eh…kau siapa ni? Kurang ajar.” ujar Rais kini mahu bergelut pula dengan Hasef. Dia cuba menghayun penumbuk dan terajangnya pada Hasef. Namun dengan ketinggian dan saiz badan Hasef yang tegap, Rais akhirnya dipegang pula oleh Hasef. Rais meronta-ronta. Hatinya diamuk amarah teramat. Kakinya terangkat spontan ingin menerajang tetapi tidak sampai.

“Pakcik…pakcik…dengar dulu. Saya..saya yang bayar pakcik malam tadi untuk anak pakcik ni. Saya ada hajat yang sudah tentu pakcik tak akan tolak. Dengar dulu hajat saya ni,” kata Hasef. Rais berhenti bergelut bila mendengarkan perkataan hajat itu. Dia menolak tubuh Hasef dan kemudian membetulkan bajunya.

Hajat? Hajat apa? soal Zahra dalam hati. Dia sejak tadi merasa panik dengan apa yang berlaku. Terutamanya bila Rais mula bertindak ganas terhadap Hasef. Dan sekarang Hasef bercakap tentang hajat pula. Wajah Hasef serta-merta dipandang hairan. Hasef memandang padanya sekilas sebelum menentang mata Rais semula.

“Hah! Apa hajat kau? Sebelum aku panggil orang kampung belasah kau. Kau jangan main-main!” kata Rais dengan bengis. Hatinya geram bila Hasef masuk campur dalam urusan keluarganya. Zahra makin cuak. Wajah Hasef dan Rais dipandang silih berganti. Waktu seolah berhenti seketika. Masing-masing menunggu apa hajat yang mahu diperkatakan oleh Hasef. Hasef memandang tepat pada Rais.

“Pakcik….hajat saya ialah…” dia memandang wajah polos Zahra seketika. Jantung Zahra berdegup kencang. “…saya nak ambil anak pakcik Zahra jadi isteri saya.” sambung Hasef tiba-tiba sekali nafas.

Zahra terpempan. Hah???. Jantung Zahra rasa mahu meletup. Dia terasa mahu pengsan. Dia tak salah dengarkah? Biar benar. Isteri? Tadi dia hanya berseloroh. Tak sangka pulak lelaki itu terikut pula. Ye dia memang terkesan dengan sikapnya yang gentleman malam tadi. Tidak pun menyentuhnya dan seterusnya menyelamatkan kehormatannya. Hasef seperti wira padanya. Dia teringat kata-kata lembut Hasef yang jelas simpati dengan dirinya. Kata-kata itu menyentuh hati wanitanya. Bergetar setiap kali lelaki itu memandangnya. Namun, dia tidak mahu lelaki itu menyusahkan diri sehingga ke tahap berkahwin dengannya untuk menyelamatkannya.

“Apa??? Kau gila ke???...” sergah Rais jelas terkejut.

“Pakcik dengar dulu….ajak saya masuk dan kita bincang semua ni baik-baik di dalam. Tak elok kalau kita di luar saja.…nanti semua orang dengar,” Rais merenung wajah Hasef seketika. Mengukur kesungguhan kata-kata lelaki muda yang penuh gaya di hadapannya itu.

“Baiklah….kau boleh masuk…” akur Rais sambil mengurut-ngurut dagunya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.