Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
373,704
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

   ZAHRA menekan nombor di telefon bimbitnya. Dia sengaja keluar dari biliknya di tingkat 3 dan turun mencari tempat yang sedikit sunyi. Dia ingin menelefon tanpa didengar oleh sesiapa supaya buah butir perbualannya dengan si pemilik nombor telefon itu akan sentiasa menjadi rahsia. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu.

    “Ha kau! Aku nak kau balik minggu ni!” ujar lelaki itu dari hujung talian dengan kasar sebaik sahaja Zahra mengatakan hello. Sejak tadi mesej whatsapp lelaki itu telah menerjah skrin telefonnya menyebabkan Zahra resah. Entah kenapa tiba-tiba lelaki itu bermesej pula dengannya setelah senyap sunyi sejak dua bulan lepas.

    “Saya banyak kerja.” jawab Zahra dengan kasar. Kalau boleh dia tidak mahu berjumpa lelaki itu lagi selepas apa yang terjadi. Lelaki itu mendengus.

     “Eh, setiap kali aku suruh kau balik kau tak mahu. Kau mesti ingat kat rumah ni adik kau aku yang jaga, aku yang keluar belanja. Kau tu lepas tangan. Aku dah banyak bersabar dengan kau. Aku kata balik, baliklah.” marahnya. Zahra makin angin. Lepas tangan?

    “Awak tahu tak saya sibuk? Saya banyak tugasan. Awak ingat saya ni holiday ke? Saya sedang belajarlah. Ada masa saya boleh balik, ada masa tidak, faham?” marah Zahra pada lelaki itu mahu berdalih lagi. Lelaki tu melepaskan nafas kasar.

   “Kau jangan berdolak-dalik. Aku dah lama bersabar dengan kau. Kau kena balik minggu ni jugak. Kalau tak aku akan halau adik kau keluar dari rumah aku. Aku tak kira…” ugutnya. Zahra makin geram. Lelaki itu memang suka benar mengugut dia. Kali ini menghalau adiknya pula. Hati Zahra jadi galau. Kalau itu yang lelaki tersebut lakukan bagaimana dengan adiknya? Argghh…dia tak mahu adiknya yang masih kecil itu merempat pula.

     “Janganlah main ugut pulak macam tu. Kesianlah kat adik saya. Bukan saya tak mau balik…ini minggu exam. Saya kena belajar. Boleh tak saya balik minggu depan bila saya dah habis exam?” Zahra cuba berlembut sedikit. Ada nada memujuk walaupun dia tidak pasti lelaki itu akan terpujuk. Lagipun, risau juga kalau lelaki itu kotakan apa yang diugutnya itu.

    “Hei…dengar sini budak perempuan. Exam ke tak exam, kau kena balik jugak hujung minggu ni!” jerkah lelaki itu dengan suara yang kuat sehingga mahu pekak telinga Zahra dibuatnya. Zahra terpaksa menjauhkan sedikit fon itu dari telinganya. Menjerit tak agak-agak!

    “Tak payahlah jerit sampai boleh pekak telinga orang. Cuba awak bagi tahu.. kenapa saya kena balik? Apa yang penting sangat ni sampai awak nak ugut-ugut saya macam ni?” tanya Zahra semula tidak puas hati dengan suara semakin meninggi. lelaki di hujung talian senyap seketika. Zahra turut senyap. Seperti malaikat lalu sahaja. Kedengaran desah nafas lelaki itu seketika.

     “Balik aje lah aku kata. Kau ni faham tak apa aku cakap? Nama saja budak universiti tapi otak beku. Tak boleh nak faham arahan. Orang cakap banyak kali pun tak faham-faham!.” ujar lelaki itu tiba-tiba, sempat menyindir. Zahra makin hangat. Suruh balik tapi tiada sebab. Dia ingat masa aku ni tak berharga ke? desis hati Zahra geram.

    “Kau nak balik ke tidak ni?” tanyanya lagi dengan suara kasar. Zahra mengeluh. Dia tahu kalau dia tidak ikutkan kata-kata lelaki itu, ketenteramannya akan hilang setiap kali mesej lelaki itu menjelma di whatsapp nya. Bahkan, mesej lelaki itu akan terus menerjah dan menghuru-harakan hidupnya. Kalau dia biarkan tidak berjawab dia pasti lelaki itu akan telefon pula tidak kira masa. Yang itu akan menghuru-harakan lagi hidupnya.

    “Ye.. saya baliklah.” ujar Zahra mengalah. “Tapi awak jangan halau adik saya atau siksa dia pulak. Awak dah janji dengan saya. Kalau saya balik awak tak akan apa-apakan dia.” pintanya pula.

    “Kau siapa? Kenapa pulak aku kena ikut kata kau tu? Ikut suka aku lah. Cuba sedar sikit siapa diri kau tu. Perempuan murah! Dahlah penipu!!” tuduhnya tanpa Zahra dapat membela diri. Apapun yang Zahra ingin katakan atau jeritkan pada lelaki itu sekarang dan juga sebelum ini, lelaki itu tidak pernah percaya. Entah berapa kali dia membela diri tetapi semuanya sia-sia. Dia masih perempuan murah dan penipu di mata lelaki itu.

    “Nanti aku hantar kereta ambik kau dari kampus.” katanya tiba-tiba.

     “Tak payah. Saya balik sendiri. Kalau awak nak saya balik, biar saya balik sendiri.” tegas Zahra. Kalau ada kereta yang jemput nanti ramai pula yang salah faham.

      “Kalau aku tak jemput kau…kau akan tipu lagi. Dah 2 bulan kau tak balik. Setiap kali aku suruh kau asyik berdalih. Kali ni kalau kau tak balik aku memang nak hantar adik kau ke rumah anak yatim,” ugut lelaki itu lagi.

     “Jangan!…saya akan balik. Awak jangan risau…saya balik nanti,” ujar Zahra cuba meyakinkan lelaki itu.

      “Baiklah, kau jangan main-main.” ujar lelaki itu dari celah gigi yang diketapkan.

       “Saya tak main-main. Saya serius dan saya akan balik ke rumah awak minggu ini seperti awak minta tapi jangan apa-apakan adik saya.” pinta Zahra.

        “Aku akan tunggu. Kalau kau tipu, tahulah apa akibatnya nanti. Adik kau tu akan merasa azabnya,” ugut lelaki itu.

       “Saya tahu. Awak kan memang kejam.” sindir Zahra pula.

       “Hah, tahu pun. Kau tahu kan apa aku boleh buat pada kau dan keluarga kau kan?!. Jadi, kau jangan nak tipu aku!”

      “Yelah kat dunia ni awak bolehlah buat apa saja tapi awak kena ingat setiap kezaliman awak tu ada yang memerhatikannya dan satu hari nanti akan ada balasannya.” sindir Zahra geram. Lelaki di hujung talian ketawa. Ketawa menjengkelkan.

     “Wah sedapnya kau mengenakan aku ye? Macamlah kau tu baik sangat!” ujarnya di hujung ketawa.

      “Ikutlah. Siapa yang makan wasabi dialah yang rasa sengitnya.” ujar Zahra mengenakan lelaki itu sedas.

      “Amboi bukan main kau lagi ye. Tunggulah kau balik nanti. Aku tak kan lepaskan kau. Aku ada sesuatu yang ‘special’ menunggu kau.” kata lelaki itu penuh makna menyebabkan Zahra rasa bimbang dengan kata-katanya itu. Special? Namun, dia tidak boleh lemah kepada lelaki itu. Dia perlu kuat untuk adiknya.

     “Saya tak takut dengan awak lah. Kalau awak apa-apakan adik saya, saya bersumpah saya akan kerat awak halus-halus.”

     “Eeee…takutnya aku!. Dengar sini perempuan murah! Kau jangan nak tunjuk besar kepala pulak. Kau kena ingat siapa aku pada kau. Jangan kau nak kurang ajar pulak ye.”

     “Saya tak kurang ajar. Saya nak bagi tahu yang saya mungkin seorang perempuan tapi saya tak selemah yang awak sangka. Dan saya tak akan biarkan awak buli saya lagi. Cukuplah apa yang awak dah buat pada saya dan keluarga saya.”

      “Jangan berlagaklah.” sindir lelaki itu.

     “Ah! Tak kiralah. Malas saya bercakap dengan awak ni. Saya banyak kerja. Tak ada masa saya nak layan awak.” kata Zahra geram. Kedengaran tawa sinis lelaki di hujung talian.

     “Eh eh…kau ingat aku suka sangat nak bercakap dengan kau???. Yang penting minggu ni kau balik. Aku tunggu kau. Kalau kau tak balik, kau tahulah langit tu tinggi atau rendah. Waktu tu jugak aku halau adik kau keluar. Dan aku akan datang cari kau di universiti kau tu biar mereka tahu siapa kau sebenarnya!!!” jerkah lelaki itu menyebabkan Zahra menyumpah dalam hati. Bencinya dia pada lelaki itu Tuhan saja yang tahu. Dia benci lelaki itu sejak dua tahun lepas dan mungkin untuk selama-lamanya!!

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.