Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,409
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Bab 20

Ejay mundar-mundir di ruang tamu rumahnya. Wajah Nur Jannah terbayang di mata. Cintanya pada gadis itu tidak pernah luntur walaupun Nur Jannah telah menjadi milik orang lain. Bukan dia tidak cuba untuk melupakan sepupunya itu. Namun setiap kali dicuba, wajah Nur Jannah seakan-akan menari di hadapannya. Pernah dia menyuarakan rasa hatinya kepada emaknya di kampung. Mujurlah emaknya faham dan tidak mengetawakannya. Mujur juga saudara yang lain tidak mengetahui rasa cintanya. Kalau tidak, pasti dia ditertawakan apa lagi mereka semua tahu dia dan Nur Jannah sudah seperti adik-beradik. Ah! Mengapa dia boleh jatuh cinta kepada sepupunya sendiri.

“ Sudah-sudahlah kau ingatkan lagi si Nur tu. Dia kan dah kahwin! Hari tu mak nak cakap dengan Mak Ngah kamu, kamu tak nak. Sekarang dah tak boleh buat apa-apa. Kau doa jelah supaya si Nur tu bahagia dengan suami dia.” Mak Siah sekadar menasihati.

“ Ejay tahu tu mak! Sebab tulah Ejay cuba juga lupakan dia. Tapi setiap kali nak lupa ada je halangan. Ejay pun tak tahu dah nak buat macam mana.” Tutur Ejay berterus-terang.

“ Em..tu dah kira gila bayang. Mak tak nak kau merana kerana Nur tu.Mak rasa kau carilah orang lain. Kalau tak ada mak tolong carikan!”

“ Em mak ni! Ke situ pulak! perasaan ni bukan boleh dipaksa-paksa. Tengoklah nanti mana tahu ada puteri kayangan singgah kat kampung kita ni. Masa tu mak tolong ejaskan untuk Ejay, boleh?” Ejay tersengih lebar melihat wajah emaknya yang sedikit tegang.

“ Insya’Allah..doa-doakanlah!”

Ejay tersedar dari lamunan apabila telefonnya berbunyi.Pantas diangkat apabila nama Nur Jannah tertera di skrin telefon.

“ Helo Nur!” Ejay bersuara ceria.Apa mimpi Nur Jannah menghubungi dirinya.

“ Em..abang, esok Nur dengan kawan Nur, Maria, nak balik Ipoh.” Tutur Nur Jannah perlahan namun jelas di telinga Ejay.

“ Dengan Maria? Suami Nur mana?Tak ikut?” Ejay mengerutkan dahinya. Dia merasa hairan mengapa Nur Jannah tidak pulang dengan suaminya. Ada masalahkah mereka? Atau lelaki itu terlalu sibuk menguruskan kerja?

“ Dia ada kerja..sebab tu Nur ajak Maria. Abang balik jam berapa?” Nur Jannah terpaksa berbohong.

“ Em..bolehlah balik sekali esok. Abang ambil Nur dengan Maria. Ok tak?” suara Ejay kedengaran begitu gembira. Ingin dia menatap seraut wajah Nur Jannah yang manis. Wajah yang telah berjaya mencuri sekeping hatinya.

“ Tak menyusahkan abang ke?” Nur Jannah serba salah.Menolak bimbang Ejay akan tersinggung pula.

“ Tak adalah, satu jalan je kan! Esok abang datang. Jangan pulang sendiri ek!” Ejay sempat mengingatkan Nur Jananh. Dia rindu untuk melihat senyuman sepupunya itu.

“ Yelah bang..nanti Nur bagitahu Maria. Assalamualaikum..”

“ Waalaikummussalam..” Ejay memutuskan talian. Dia termenung seketika memikirkan rumah tangga Nur Jannah. Benarkah kau bahagia Nur? Andai betul abang tumpang gembira, walaupun kasih sayang abang sememangnya untuk Nur.Abang akan cuba lupakan Nur. Percayalah!

****

Zurina melabuhkan punggungnya di atas sofa sambil mengambil remote control untuk menukar siaran televisyen. Maisarah yang terbaring di atas lantai berlapikkan toto memandang sekilas. Pantas dia mengambil semula remote control tersebut.

“ Ala kau ni..aku nak tengok siaran lain pun tak boleh!”Zurina bersuara sambil mencapai Novel hasil tangan Norhayati Ibrahim di atas sofa tersebut. Dia membelek-belek sekilas kemudian meletakkan semula di tempat asal.

“ Bukan tak boleh!Tapi kau tu suka sangat potong jalan aku!”

“ Ala…tukar sekejap pun tak boleh?”Zurina masih tidak berpuas hati. Dia membaringkan dirinya ke atas sofa. Terkebil-kebil matanya menatap cerita yang dipaparkan di kaca televisyen.

“ Sahara mana? Dari tadi aku tak nampak. Bukan balik dengan kau ke tadi?” Maisarah menjenguk kepalanya mencari kelibat Sahara. Namun tiada tanda Sahara akan keluar dari bilik.

“ Dalam biliklah tu. Agaknya penat. Maklumlah banyak kerja kat office tu!” Zurina membuat andaian sendiri sambil memandang Maisarah. Kemudian matanya berkalih semula ke arah televisyen..

“ Kau panggillah dia.Aku rasa dia tak makan lagi tu. Dah jam berapa ni..” Maisarah memandang jam di dinding. Hampir jam 9.00 malam. Namun kelibat Sahara tidak kelihatan.

“ Aik! Ambil berat pulak kau Mai! Aku ingat kau ni tahu marah je! Kat aku tak ada pun macam tu! ” Zurina mencebik tidak berpuas hati.

‘‘ Ala..kau ni Ina, kau takkan tak tahu, aku sayang jugak kat kau! Pergilah panggil Sahara tu! ’’ Zurina seakan memujuk.

“ Kau pergilah panggil. Kau kan baik.” Zurina memberi alasan.

“ Habis tu, kau tak baik? Kata bestfriend dari sekolah. Alih-alih aku juga yang kena!” Maisarah bangun menuju ke bilik Sahara. Pintu diketuk berkali-kali, namun tiada tanda pintu akan dibuka. Zurina yang juga datang, memanggil Sahara beberapa kali.

“ Sahara..buka pintu ni. Kau kenapa berkurung je dalam bilik. Jomlah makan!” Zurina turut mengentuk pintu bilik Sahara berkali-kali. Namun tiada sahutan atau tanda pintu itu akan dibuka.

“ Apahal dia?” Maisarah mengangkat kening.

“ Entah! Tadi okey je! Agaknya datang bulan,” Zurina tergelak kecil. Maisarah mencubit bahunya kuat. Pantas Zurina menjerit kecil.

“ Main-mainlah pulak! Apalah Sahara buat dalam bilik tu? Aku risau juga! Atau dia gaduh dengan balak dia tak?” Maisarah berteka-teki.

“ Tak tahulah aku Mai! Nanti dia lapar, dia keluarlah! Jom tengok TV lagi bagus!” tutur Zurina sambil menarik Maisarah. Mereka bergegas semula untuk menonton televisyen. Sesekali mereka menjengukkan kepala kalau-kalau Sahara keluar dari biliknya. Namun sehingga jam 11.00 malam, kelibat gadis itu tetap tidak kelihatan.

****

Sahara terbaring di atas tilam empuk. Panggilan Zurina dan Maisarah sebentar tadi tidak diendahkan. Perutnya yang berkeroncong minta diisi juga dibiar tanpa perasaan.Dia sibuk melayan hatinya yang rawan. Sampai hati Fakhruddin menolaknya walau dirayu. Jiwanya benar-benar tersiksa kerana merindui Fakhruddin. Puas dia berfikir bagaimana untuk menambat hati lelaki itu kembali. Namun semuanya hampa belaka. Teringat dia perbualannya bersama Fakhruddin siang tadi. Sampai hati Fakhruddin menyuruhnya kembali kepada suaminya. Kembali kepada John David samalah menempah neraka dunia. Dia sudah cukup terseksa dengan kecurangan lelaki itu. Sudah beberapa kali John David bersikap curang. Perempuan sekeliling pinggang. Hidup bermandikan air arak dan membawa perempuan ke rumah beberapa kali. Puas dia menangis, namun hanya herdikan yang dia dapat.

I hate You, John David!”Sahara mengetap bibirnya. Air matanya terhembur keluar tanpa dipaksa. Dia bencikan lelaki itu begitu banyak. Hatinya terguris dan terluka parah. Walau dirayu, dia tidak akan bersama lelaki itu kembali. Tidak sesekali!. Sahara mencapai potretnya bersama Fakhruddin yang masih tersimpan kukuh di dalam frim gambar. Pantas wajah itu disentuh lembut. Ada senyuman yang masih terpamer walau kini sudah hilang dibawa arus waktu.

“ Maafkan Ara, Riz! Ara yang salah kerana mengkhianati cinta kita. Kalau tidak kerana Ara, sudah lama kita bersama membina istana bahagia. Ara yang hanya mengikut perasaan tanpa fikir kelukaan di hati Riz,” Sahara mengucup lembut potret tersebut. Ada kesal yang tidak berkesudahan menunjal-nunjal hulu hatinya. Sakitnya cukup terasa. Mengapa Fakhruddin tidak memberi ruang kepadanya untuk membuktikan cintanya untuk kali kedua? Besar sangatkah dosanya kepada lelaki itu? Ah Riz, Ara terseksa Riz! Ara tak tahu macam mana nak lupakan Riz! Sahara mengeluh tidak sudah. Dia sedar, kelukaaan yang dialaminya kini, pernah dirasai oleh lelaki itu. Pastikah Fakhruddin lebih merasainya. Memikirkannya, Sahara menangis lagi.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.